Thursday, May 1, 2014

Ahmad Said Kecewa Beberapa Projek Pembangunan Lewat Siap


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam melahirkan rasa kesal atas kelewatan beberapa projek pembangunan termasuk Paya Bunga Square (PB Square) di Kuala Terengganu yang menelan belanja kira-kira RM141.867 juta.

Katanya kontraktor projek PB Square kepunyaan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) setinggi 17 tingkat itu telah diberi lanjutan tempoh siap sebanyak tiga kali antara 21 Julai 2013 hingga 8 Mei ini.

"Saya telah menegur kontraktor kerana projek itu lambat siap

Sekiranya mereka (kontraktor) tidak mampu menyiapkannya sehingga 8 Mei ini, mereka akan didenda sebanyak RM17,500 sehari," katanya kepada pemberita ketika melawat PB Square semalam.

Turut hadir Pengurus Besar PMINT Datuk Othman Muda. Katanya berikutan projek PB Square tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, PMINT mengalami kerugian lebih RM9 juta.

"Kita sudah mempunyai penyewa (untuk blok pejabat dan hotel di PB Square)...kalau semua itu beroperasi kita sudah memperoleh RM1,252,000 sebulan, itu tidak termasuk tempat letak kereta yang mampu memberi hasil kepada PMINT," katanya.


PB Square adalah kompleks perniagaan yang mengandungi empat tingkat podium perniagaan, empat tingkat tempat letak kereta termasuk satu tingkat di bawah tanah dan dua blok bangunan 17 tingkat untuk hotel dan pejabat.

Ahmad Said berkata kebanyakan projek pembangunan di Terengganu dijalankan oleh kontraktor tempatan dan ia sering mengalami kelewatan.

"Sebagai contoh projek Bandar Baru Kijal di Kemaman yang menempatkan kompleks tekstil, sehingga kini belum siap sepenuhnya.

Begitu juga dengan projek kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir yang sepatutnya siap pada September ini, tetapi telah tertangguh sehingga September tahun depan.

"Kita bukan tidak mahu beri peluang kepada kontraktor tempatan, tetapi kalau projek yang dibuat tidak siap dan kita mengalami kerugian yang besar... susahlah," katanya.

2 comments:

  1. Bila di 'Black list', marahkan kerajaan. Inilah dia kontraktor yang tidak mengenang budi, tahu nak untung aje...

    ReplyDelete
  2. Lagi contoh terbaru Festival Kenyir. Indah Kabar dari rupa. Kedai bebas cukai mana dianya ???. Mana dia Exco yang terlibat ?? Tak kan lah perkara ini pun nak suruh MB lakukan. Hai...hai...hai....

    ReplyDelete