Thursday, May 1, 2014

Najib - Kerajaan Komited Modenkan Undang-Undang Buruh Malaysia


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited memodenkan undang-undang buruh Malaysia sejajar dengan keperluan sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dalam perutusan Hari Pekerjanya yang dikirim di halaman Facebooknya, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam usaha mewujudkan resolusi lebih berkesan berhubung pemecatan pekerja tidak adil dan pertikaian pekerja.

Ini juga untuk menentukan penguatkuasaan anugerah Mahkamah Perusahaan yang berkesan; dan mengimbangi keperluan bisnes dengan hak pekerja menerusi rundingan.

"Akta Pekerjaan 1955 juga sedang dikaji semula demi menentukan undang-undang itu sejajar dengan keperluan majikan tempatan dan asing, serta keperluan tenaga kerja negara perindustrian.

"Sebarang pindaan terhadap undang-undang itu bermatlamat mendorong produktiviti dan kecekapan; meningkatkan tahap pendapatan serta melindungi pekerja bagi menyokong daya saing tempatan, serantau dan global," kata beliau.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja, Najib berkata kerajaan komited menambah baik tempat kerja bagi semua warga Malaysia, tanpa mengira pangkat, status, kaum dan pendirian politik.

Beliau berkata, menurut sejarah, Hari Pekerja adalah hari untuk merayakan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, terutama penetapan hari kerja lapan jam dan pada masa lampau, undang-undang pekerjaan berada pada standard rendah dan pekerja dalam tahun 1800an mula bersatu bagi mendapatkan layanan lebih adil di tempat kerja.

Najib berkata, ketika Malaysia beralih dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, ia memerlukan kerjasama semua pekerja dari setiap sektor ekonomi, oleh kerana tenaga kerja adalah tulang belakang ekonomi.

"Kini masanya bagi pekerja, ekonomi dan negara kita bersatu bagi mencapai status negara maju menjelang 2020," kata beliau.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata sejak negara menyambut Hari Pekerja 2013, kadar pengangguran Malaysia telah bertambah baik, kini di tahap terendah 3.2 peratus dan masih merupakan antara yang terendah di dunia.

"Hari ini, pekerja kita mendapat gaji yang adil, waktu kerja yang selesa, keadaan kerja yang selamat, dan martabat persaraan terjamin," kata beliau.

No comments:

Post a Comment