Wednesday, May 7, 2014

Cukai Pintu: 40 NGO Kemuka Bantahan Bertulis Kepada MBKT


Jawatankuasa Bertindak Isu Kenaikan Cukai Pintu Terengganu yang dianggotai 40 badan bukan kerajaan (NGO) Selasa mengemukakan bantahan bertulis kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhubung kadar baharu cukai pintu yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2015.

Pengerusinya Ahmad Amzad Hashim berkata bantahan itu dikemukakan kerana kadar cukai pintu yang ditaksirkan dalam notis semakan senarai nilaian MBKT itu terlalu tinggi.

"Sebahagian daripada premis kediaman ada yang mengalami kenaikan 100 peratus, 200 peratus dan 600 peratus, malah ada kenaikan sehingga 1,000 peratus di mana sebelum ini nilai cukai pintu hanya RM120 dan dinaikkan sehingga RM1,200.

"Terdapat juga kes, terutamanya rumah di kawasan kampung yang sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai pintu menerima notis membayar cukai berkenaan mulai tahun depan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantahan bertulis itu kepada Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Datuk Bandar MBKT Mohamad Muda yang mewakili Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang pada pukul 10 pagi semalam.

Jawatankuasa berharap MBKT dapat membatalkan kenaikan kadar cukai pintu ini demi kesejahteraan rakyat, kata Ahmad Amzad.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan meneliti dan membuat tindakan susulan berhubung bantahan yang diterima daripada rakyat.

"Datuk Bandar Kuala Terengganu sendiri sudah memberitahu semua Anggota Majlis MBKT untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai tempoh bantahan secara bertulis ini yang perlu dikemukakan kepada MBKT sebelum 2 Jun," katanya.

No comments:

Post a Comment