Friday, May 30, 2014

APMM Sedia Perangi Penyelewengan Diesel Di Perairan Terengganu

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di perairan Terengganu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9 Terengganu Kapten Maritim Xavier Thevadas berkata pihaknya yakin melalui aset sedia ada iaitu enam buah kapal dan tujuh bot laju, operasi membanteras dapat ditingkatkan.

"Kita memang ada terima aduan hasil perisikan mengenainya dan memang ada berlaku (penyelewengan diesel) namun setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat atas kekangan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian sempena program Eksesais Mencari dan Menyelamat (Sarex) Wilayah Timur (Wiltim) kali ke-8 di Daerah Maritim Kuala Terengganu semalam.

Eksesais bersepadu itu turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Laut dan Majlis Keselamatan Negara.

Program yang disertai kira-kira 80 anggota dari pelbagai agensi berkenaan diadakan secara penggiliran di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ia dijalankan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk tragedi pesawat terhempas, feri atau kapal karam di perairan negeri ini, katanya.

No comments:

Post a Comment