Selepas mencatat kejayaan cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Asia 2014 (ACC 2014) di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini, pelumba trek negara, Mohd Azizulhasni Awang kini memberikan perhatian bagi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut berkata, beliau tidak akan mengabaikan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow Scotland, Julai ini yang dilihat sama penting terutamanya dari segi pungutan pingat untuk kontinjen negara.
Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' meraih satu emas dan perak masing-masing menerusi acara pecut lelaki elit selain perak dalam acara keirin pada ACC 2014.
"Saya lebih fokus pada Sukan Asia kerana ia mungkin (dilihat) lebih penting untuk negara dan Sukan Komanwel untuk diri saya sendiri dan saya tetap cuba beri persembahan terbaik bagi meraih pingat dalam kedua-dua temasya itu nanti.
"Saya akan fokus bagi (meraih pingat) acara keirin dan pecut pada Sukan Asia...kalau Sukan Komanwel, saya fokus acara keirin tapi kalau ada peluang menang pingat acara pecut, kenapa saya tidak berani mencuba," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Mohd Azizulhasni yang kini berpangkalan di Melbourne, Australia, turut gembira kerana dapat kembali semula kepada prestasi asal selepas mengalami kemerosotan prestasi sebelum ini.
"Alhamdulillah, persembahan saya kembali meningkat dari tahun ke tahun dan tahun ini ada nampak perubahan signifikan berbanding tahun terdahulu.
"Segala kerja keras saya sejak awal musim ini, ia sudah mula menampakkan hasil kerana program latihan saya berbeza dengan atlet yang lain disebabkan faktor fizikal selain masa saya yang terhad kerana saya masih seorang pelajar," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih berkata John Beasley berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pelumba khususnya pelumba muda Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang meraih tiga pingat emas dalam kategori junior.
Jurulatih kelahiran Australia itu, bagaimanapun, berkata Muhammad Firdaus tidak akan diturunkan untuk Sukan Asia ataupun Sukan Komanwel kerana mahu pelumba berusia 18 tahun itu memberi tumpuan pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Seoul, Korea Selatan dari 8 hingga 12 Ogos ini.
"Pelumba negara akan bertanding pada Jelajah Adelaide di Australia dalam masa dua minggu lagi dan kejohanan tempatan di Itali sebelum Sukan Komanwel bermula di Glasgow, Scotland, pada 23 Julai ini," katanya.
Beasley berkata skuad trek negara mempunyai peluang meraih pingat dalam acara pecut dan keirin pada Sukan Asia.
No comments:
Post a Comment