Wednesday, May 21, 2014

Satu Juta Pelancong Dijangka Lawat Tasik Kenyir

Pembangunan sedang dan bakal dilaksanakan di Hulu Terengganu bukan sekadar mengubah landskap keseluruhan daerah ini, tetapi juga menjadi pemangkin kedatangan pengunjung di Tasik Kenyir.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud berkata, pihaknya menjangkakan satu juta pengunjung datang ke Tasik Kenyir pada tahun hadapan berikutan banyak tempat menarik boleh dilawati.

“Sebenarnya pembangunan di Tasik Kenyir dan daerah Hulu Terengganu bagaikan melengkapi antara satu sama lain. Sebagai contoh, dengan adanya kemudahan jalan raya atau lebuh raya ia akan memudahkan lagi akses perhubungan darat bagi pelancong untuk ke Tasik Kenyir.

“Malah, dengan adanya daya tarikan di Tasik Kenyir termasuk projek Kenyir Island Hoping (KIH) serta kawasan bebas cukai di Pulau Bayas ia juga menggamit kedatangan pengunjung ke daerah Hulu Terengganu. Dalam tempoh lima tahun, dijangkakan daerah ini akan berubah wajah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir,  kelmarin.

Wan Mat Amin berkata, salah satu projek KIH ialah taman tema air atau Tasik Kenyir Waterpark di Pulau Poh yang dijangka dibuka kepada umum sekitar September ini. Menurutnya, projek lain yang sudah siap dan telah pun menggamit kedatangan pelancong adalah Taman Burung dan Taman Herba.

No comments:

Post a Comment