Wednesday, May 7, 2014

Promosi Kraf Malaysia Peringkat Terengganu Catat Jualan RM471,692

Promosi Kraf Malaysia peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama tujuh hari di Mesra Mall Kemaman sejak 28 April lepas mencatat jualan bernilai RM471,962.

Penolong Pengarah Unit Teknikal dan Promosi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, Mohd Suhaimi Zakaria berkata produk tekstil iaitu batik dan songket mencatat jualan tertinggi RM249,667.

"Ini diikuti produk berasaskan hasil tanah seperti pasu dan labu sayung yang diperbuat daripada seramik (RM69,110), produk berasaskan logam seperti tembaga iaitu RM64,916, hasil rimba (RM59,971) dan aneka kraf (RM28,028)," katanya semalam.

Mohd Suhaimi berkata nilai jualan itu menunjukkan perkembangan positif dalam mencapai sasaran RM1.5 juta sepanjang tahun ini.

"Kita akan anjurkan satu lagi promosi seumpama ini di Padang Astaka dekat Chukai dengan penyertaan lebih ramai usahawan dan ia dijangka terus melonjakkan jualan hasil kraf tangan," katanya.

 Sebanyak 40 usahawan menyertai promosi itu yang turut menawarkan pelbagai produk dengan inovasi terbaharu pada harga berpatutan. Tahun lepas Terengganu merekodkan jualan pelbagai kraf bernilai RM1.2 juta.

No comments:

Post a Comment