Thursday, May 1, 2014

Hentikan Isu Tukar MB- Ahli Parlimen Setiu.


Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh mahu supaya beberapa pihak menghentikan segera memainkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu kerana ia sudah jelas bahawa tiada pertukaran akan berlaku buat masa ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Razak sudah menolak khabar angin yang disebarkan berhubung cadangan untuk menukar beberapa Menteri Besar, baru-baru ini.

"PM sudah menyatakan tiada pertukaran mana-mana MB, kita ada 'prosedure', bukannya boleh tukar macam itu saja.

"Keadaan sudah jernih, kenapa kita mahu keruhkan suasana," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dua buah Mesin Jahit daripada pejabat Parlimen Setiu kepada seorang surirumah yang mengalami kebakaran rumah tidak lama dulu di Kampung Bintang, Setiu hari semalam.

Zulkifly mengharapkan mereka yang cuba mahu memecahbelahkan UMNO Terengganu ini supaya bermuhasabah diri.

"Jika kita keruhkan keadaan yang jernih ini, maka akan ada perpecahan dan ini memberi ruang kepada pihak pembangkang," katanya yang akan berdiri di bawah kepimpinan yang ada sekarang.

Menurutnya, semua pihak jangan memikirkan perkara ini dan yang penting ialah bagaimana untuk bekerja dengan lebih baik lagi untuk membangunkan negeri ini.

 "Pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berjalan lancar dan baik jadi janganlah kita cuba menganggu gugatnya.

Sepatutnya kita bersama-sama pemimpin yang ada bekerja lebih keras lagi demi untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Sebelum itu, Zulkifly turut menyampaikan sumbangan dua buah mesin jahit kepada seorang tukang jahit yang layak menerima bantuan itu di Putera Jaya, Setiu.

No comments:

Post a Comment