Thursday, May 29, 2014

Felda Rancang Buka Tiga Lagi Premis Sawari Bantu Peneroka Pasar Produk

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merancang membuka tiga lagi premis Sawari (Satu Wilayah Satu Industri) sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad berkata tiga lokasi itu ialah di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu di Sabah; Felda Tenggaroh 3 di Mersing, Johor dan sebuah hotel di London. "Sehingga kini Felda sudah mempunyai tiga premis Sawari yang sudah beroperasi iaitu dua di Kuala Lumpur dan terbaharu, di Tepoh dekat Kuala Terengganu.

"Pencapaian kesemua jualan premis Sawari Felda tahun lepas sebanyak RM1,161 juta manakala jualan sehingga April lalu sebanyak RM301,301," katanya kepada pemberita selepas merasmikan premis Sawari itu di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Wilayah Terengganu Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab.

Sejak beroperasi 1 Feb lepas, Sawari Kuala Terengganu mencatat jualan sebanyak RM33,407 setakat ini.
Seramai 135 usahawan yang terdiri daripada golongan peneroka di seluruh negara berjaya memasarkan produk mereka di Sawari itu dengan mengeluarkan 1,701 produk makanan dan kraf. Antara kemudahan yang terdapat di Sawari Kuala Terengganu ialah perkhidmatan mesin ATM, perkhidmatan E-Pay, Wifi dan sebuah kafe.

Faizoull berkata pembukaan Sawari bertujuan memberi peluang kepada pengusaha dari kalangan peneroka Felda mempelbagaikan pendapatan ekonomi mereka untuk kehidupan masa depan yang lebih baik. 

"Program Sawari ini melibatkan pengusaha dari 11 wilayah Felda, termasuk Felda Raja Alias di Negeri Sembilan, Gua Musang di Kelantan, Trolak di Perak dan Felda Sahabat di Sabah.

"Sawari di Tepoh ini akan dijadikan hab pengumpulan setempat untuk produk dari seluruh Malaysia, terutama dari tanah rancangan Felda sekitar Pantai Timur," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata nilai eksport tujuh jenis produk makanan sejuk beku ke luar negara dijangka meningkat apabila kilang pemprosesan makanan bernilai RM25 juta di Felda Pasak dekat Johor siap akhir tahun depan.

"Ketika ini, kita mengeksport satu kontena dengan nilai RM75,000 ke pasaran luar negara dan apabila kilang itu siap kelak, kadar pengeluaran dijangka meningkat, seterusnya kita boleh mengeksport sehingga 15 kontena makanan sejuk beku sebulan," katanya. Antara negara yang sudah mengimport produk tersebut ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Australia.

No comments:

Post a Comment