Saturday, May 17, 2014

Media Baharu Dipantau Berikutan Perkembangan Politik Di Terengganu

Pihak polis akan terus memantau penyebaran maklumat menerusi media baharu berikutan perkembangan politik semasa di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata walaupun situasi politik di Terengganu kembali tenang tetapi pihaknya tetap berwaspada dan terus menggerakkan pasukan khas untuk memantau laman sosial Facebook, blog dan aplikasi WhatsApp.

"Sekali lagi saya mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang kekacauan dengan menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung krisis politik di negeri ini.

"Saya tidak mahu ada pihak yang cuba menggugat keamanan dan keselamatan masyarakat kerana keadaan politik sudah kembali stabil seperti sedia kala," katanya kepada pemberita kelmarin.

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Ghazali Taib dan Roslee Daud sebelum ini bertindak keluar daripada Umno dan mengistihar menjadi Adun Bebas, tetapi kemudiannya ketiga-tiga mereka menyertai semula Umno.

No comments:

Post a Comment