Wednesday, May 28, 2014

Tanaman Ubi Vitato Pertubuhan Peladang Terengganu Musnah Akibat Kemarau

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila hampir keseluruhan projek mini estet tanaman ubi vitato di Rhu Tapai, Merang di Setiu musnah akibat kemarau. 

Pengurus besar PPNT Sawalludin Ahmad berkata kemarau panjang luar biasa yang berterusan menjejaskan pertumbuhan dan pembesaran tanaman vitato.

"Hampir 90 peratus daripada tanaman ubi vitato ini tidak dapat keluar hasil dan mati kerana tanah kering dan panas melampau.


"Kita usahakan pada bulan Mac lepas membabitkan tanaman kawasan seluas 10.5 hektar di mana sepatutnya hasil projek itu dijadual dapat dituai pada Jun nanti," katanya selepas melakukan lawatan kerja bersama jawatankuasa teknikal ke projek itu semalam.

Jawatankuasa teknikal itu terdiri daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Jabatan Pertanian negeri Terengganu.

Mini estet itu diusahakan bermula tahun lepas dalam sebidang tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas 33.5 hektar dan PPNT memperoleh peruntukan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di bawah program pengeluaran makanan asas.

Menurut Sawalludin sekiranya tanaman tersebut mengeluarkan hasil mengikut jadual, ia akan memberi hasil sebanyak 20 tan metrik bagi setiap hektar dan vitato tersebut akan dibekalkan kepada kilang memproses vitato PPNT di Gong Machang, Mukim Tembila Besut.

"Ini kali pertama PPNT mengalami kerugian dalam projek tanaman ubi vitato namun ia tidak mematahkan semangat untuk kita terus mengusahakan tanaman itu pada masa akan datang. "Kemungkinan buat masa ini, kawasan itu akan ditanam labu manis dan tembikai selepas ini hingga kemarau reda," katanya.

No comments:

Post a Comment