Najib dan Presiden China Xi Jinping ketika lawatan beliau ke Malaysia tidak berapa lama dahulu. |
China menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia terus menjadi rakan perdagangan terbesar China dari Asean sejak 2008.
Tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM202.23 bilion, meningkat 12.5 peratus. Malaysia dan China bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$160 bilion menjelang 2017.
Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xi'an Xianyang pada kira-kira 5.25 petang.
Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin dan isterinya Datin Rahmah Mohd Lajis, Naib Gabenor Provinsi Shaanxi Wang Lixia, Timbalan Setiausaha Agung Provinsi Shaanxi Zhang Xiaoning, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Shaanxi Zhang Baowen dan Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang. Lawatan beliau ke China adalah atas undangan rakan sejawatannya Li Keqiang.
Anggota lain delegasi Malaysia ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China Tan Sri Ong Ka Ting.
Najib dan rombongannya dijadual melawat Xi'an dan Beijing dari 27 Mei hingga 1 Jun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.
Sejurus tiba di hotel penginapan mereka, Najib dan Rosmah menerima kunjungan Gabenor Provinsi Shaanxi, Lou Qinjian. Kemudiannya, Najib dan rombongannya dijadual menghadiri jamuan malam dihoskan oleh Lou di hotel itu.
Hari ini, Najib, yang juga Menteri Kewangan dijadual merasmikan Minggu Festival Makanan Halal Malaysia-Xi an di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai Malaysia.
Sebelum melawat Muzium Pahlawan Qin Terracotta dan Kuda, perdana menteri dan isteri akan melawat Masjid Besar Xi'an berusia 1,200 tahun.
Selepas itu mereka akan berlepas ke Beijing dan bertemu pemimpin tinggi China di sana pada hari yang sama.
Semasa di Beijing, Najib dijadual menghadiri mesyuarat dua hala dengan pemimpin tinggi China, menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara kerajaan melibatkan kerjasama perdagangan dan politik, melawat Beijing Foreign Studies University dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie.
Beliau juga dijadual menghadiri sidang kemuncak ekonomi dengan para usahawan China di Beijing. Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 semasa almarhum Tun Abdul Razak Hussein, yang juga ayahanda Najib, adalah perdana menteri Malaysia.
Malaysia merupakan negara pertama dalam kalangan anggota Asean menjalin hubungan diplomatik dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.
.
No comments:
Post a Comment