Wednesday, May 7, 2014

Pelbagai Langkah Perkasa Usahawan Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu akan memperkasakan usahawan negeri itu terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata antara langkah yang dilakukan ialah mewujudkan 34 mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri itu bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.

"Saya berharap dengan wujudnya mini RTC itu, ia menjadi pemangkin kepada usahawan IKS untuk bergerak ke hadapan dalam memajukan perusahaan mereka," katanya.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Terengganu memberi beberapa penekanan seperti mewujudkan 50 mini RTC di seluruh negeri itu.

Roslee juga berkata Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu berjaya melahirkan 30,000 usahawan sejak yayasan itu ditubuhkan pada 1994 yang melibatkan bantuan modal kira-kira RM40 juta.

Katanya kini, terdapat kira-kira 3,000 usahawan di bawah bimbingan YPU dan terdapat lebih 13 usahawan di negeri itu berjaya dalam bidang masing-masing. Katanya kebanyakan usahawan di Terengganu terlibat dengan perniagaan pengeluaran makanan dan pembuatan, perusahaan membuat batik dan songket serta perkilangan.

"Kita juga mahu menjenamakan keluaran batik dan songket Terengganu seperti T'Batik dan T'Songket, supaya pembeli dapat membezakan batik dan songket Terengganu dengan barangan dari luar," katanya.

Beliau berkata YPU turut menubuhkan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan membabitkan 23 jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu dalam pembangunan usahawan termasuk dalam aspek bantuan dana dan pinjaman.

"Langkah lain ialah mengadakan program turun padang bagi mengumpul maklumat dan mengenal pasti masalah yang mereka hadapi," katanya.

No comments:

Post a Comment