Wednesday, May 21, 2014

PPKKB Labur RM500,000 Dalam Projek Ternakan Ikan Di Tasik Kenyir

Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Berang (PPKKB) akan melabur lebih RM500,000 untuk projek ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Kenyir tahun ini.

Pengurus PPKKB Rosman Abdul Wahab berkata peruntukan itu bagi menyediakan ikan untuk kolam yang masih kosong mulai Julai ini.

"Sekarang ini kita ada 252 buah kolam kesemuanya, daripada jumlah itu 148 buah telah digunakan manakala 104 buah lagi masih kosong," katanya.

Menurut beliau PPKKB sekarang ini menternak tiga jenis ikan iaitu ikan patin, baung dan talapia hampir 120,000 ekor. Ikan tersebut kini mencapai saiz 300 gram seekor.

Beliau berkata PPKKB berharap ikan dari Tasik Kenyir dapat menembusi pasaran luar Kuala Berang pada masa akan datang apabila kolam PPKKB beroperasi sepenuhnya.

Rosman berkata untuk memastikan bekalan benih ikan untuk kolam-kolam PPKKB mencukupi, pertubuhan itu telah mewujudkan pusat pengasuhan benih ikan yang pada masa ini mempunyai hampir 100,000 benih. 

"Kita belum bercadang untuk mengeluarkan benih ikan sendiri pada masa ini kerana pelbagai masalah seperti tempat dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PPKKB mencatat keuntungan bersih sebanyak RM82,444 daripada aktiviti ekonomi sepanjang tahun lepas daripada perolehan kasar sebanyak RM471,663.

Antara perniagaan yang dijalankan PPKKB ialah projek kelapa sawit, bekalan ladang, kerja-kerja kontrak dan kejenteraan ladang serta pelaburan saham.

No comments:

Post a Comment