Saturday, May 17, 2014

Terenggganu Tumpu Lima Projek Pembangunan Infrastruktur Asas Untuk Pastikan KPI Tercapai

Kerajaan negeri Terengganu kini memberi tumpuan kepada lima projek yang menjadi aras petunjuk prestasi utama (KPI) Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) untuk dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Rosli Othman berkata lima projek itu adalah projek Jalan Bukit Munduk-Kampung Alur Lik di Setiu yang perlu disiapkan pada bulan depan.

"Projek kedua ialah Jalan Keruak-Gunung Bongsu di Besut yang perlu disiapkan pada Oktober tahun ini dan projek ketiga ialah memastikan projek naik taraf jalan dua lorong menjadi empat lorong dari Kuala Terengganu ke Kemaman berjalan lancar di dua fasa yang sedang dalam pembinaan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) kelmarin.

Tegasnya dua lokasi untuk naik taraf empat lorong itu kini sedang berjalan di Kampung Kolam ke Jambatan Merchang dekat Marang dan Kampung Kuala Abang hingga ke Rantau Abang di Dungun yang perlu siap sebelum Disember tahun ini.

Rosli berkata tumpuan juga diberikan kepada Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 termasuk pembinaan Plaza Tol dan beliau berkata projek itu juga berjalan mengikut jadual.

"Malah, menjelang Aidilfitri tahun ini, susur keluar Cheneh di Kemaman dijangka mula dibuka kepada orang ramai. Sebelum ini pengguna jalan raya perlu menggunakan susur keluar Jabor.

"KPI terakhir ialah memastikan pembinaan 20 kilometer jalan desa dan luar bandar di seluruh Terengganu dan kita masih dalam peringkat perbincangan bersama semua Pejabat Daerah untuk memastikan lokasi yang sesuai," katanya.

Beliau juga yakin kelima-lima projek utama itu akan dapat disiapkan mengikut tarikh asal kerana pembinaan setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

No comments:

Post a Comment