Sunday, June 8, 2014
Kompleks Usahawan Terengganu Berharga RM21.5 Juta Dibuka Esok
Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) berharga RM21.5 juta di Kampung Kubang Jela, Manir di sini, akan dibuka secara rasminya Isnin ini (esok) oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu A.Razak Sulaiman berkata sempena perasmian itu, YPU akan menganjurkan karnival jualan hasil usahawan, mulai hari ini hingga 14 Jun
"Karnival itu turut menjual produk usahawan IKS Terengganu dan pasar tani oleh Fama sepanjang tempoh tersebut," katanya kelmarin.
Kompleks dua tingkat itu yang siap dibina pada akhir 2013, akan menjadi ikon pembangunan keusahawanan serta destinasi pelancongan negeri.
Satu bahagian dalam kompleks itu yang dikenali Kota Batik, akan memulakan operasi jualan Batik Terengganu asli oleh 18 usahawan batik yang membuka perniagaan mereka sehingga ini.
Usahawan Industri Teknologi Maklumat (ICT) pula ditempatkan tingkat satu yang dinamakan pasar ICT Terengganu.
A.Razak berkata Pasar raya The Store juga turut memeriahkan acara dengan membuat jualan promosi barang-barang pengguna di kompleks tersebut sepanjang karnival berlangsung.
Beliau berkata YPU juga meluluskan permohonan seorang usahawan tempatan untuk membuka sebuah pasar raya di lot perniagaan seluas 12,000 kaki persegi dalam kompleks itu.
"Pasar raya itu dijangka beroperasi dalam tempoh tiga bulan selepas kerja-kerja ubah suai disiapkan," katanya.
Menurut A.Razak, sehingga kini sebanyak 25 syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Terengganu sudah pun mengesahkan penyertaan pada karnival itu.
"Sebanyak 12 syarikat usahawan IKS luar Terengganu juga mengesahkan pembabitan masing-masing," katanya. Agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Tekun Nasional (Tekun), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan jabatan Veterinar juga akan membuka gerai keusahawanan bagi memeriahkan karnival tersebut.
No comments:
Post a Comment