Friday, June 6, 2014

Pekebun Kecil Getah Terima Dana RM130j

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (kanan) pada sidang media di Putrajaya semalam bagi mengumumkan seramai 260,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima RM500 di bawah bantuan khas kejatuhan harga getah mulai pertengahan Jun ini. 
Seramai 260,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima bantuan khas RM500 mulai pertengahan bulan ini berikutan kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak RM130 juta diperuntukkan kerajaan untuk pengagihan bantuan khas berkenaan secara sekali bayaran (one-off ) kepada pekebun kecil yang layak.

"Ia adalah langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah SMR yang mencatatkan paras terendah tahun ini, RM5.44 per kilogram.

“Kerajaan memandang berat isu kejatuhan harga getah di pasaran dunia yang antara lain dipengaruhi faktor cuaca tidak menentu sehingga memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil,” katanya pada sidang media di Putrajaya  semalam.

Mohd Shafie berkata, bantuan akan disalurkan oleh RISDA secara berperingkat kepada semua penerima yang layak.

“Bantuan akan dikreditkan terus dalam akaun pekebun dan semua penerima akan dimaklumkan melalui surat. Ini bantuan kali kedua yang disalurkan kerajaan selepas memperuntukkan RM127.3 juta kepada 254,672 penerima tahun lalu.

“Kita juga menerima maklum balas yang memuaskan daripada penerima bantuan tahun lalu yang menghargai usaha kerajaan meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bantuan yang diberikan dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek, bantuan jangka panjang tetap diteruskan.

“Kerajaan bantu bukan saja dengan beri imbuhan, tetapi teruskan pemberian kemudahan lain seperti baja dan benih percuma kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment