Friday, January 17, 2014

Kangkung - Penjawat Awam, Pemimpin Politik Turut Mentertawakan Najib?


"Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan. Apakah penjawat  awam, ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam  mentertawakan Najib?"
Daripada hambali1 

Petang tadi anak saya yang sedang belajar di tingkatan tiga menunjukkan satu video bagaimana ucapan Perdana Menteri di Kemaman pada 12 Januari lalu dijadikan sebuah lagu.

Katanya, dia mendapat bahan itu selepas dihantar oleg cik gunya (anak saya tidak bawa handphone ke sekolah).

Bayangkan bagaimana pihak-pihak tertentu (tentunya bukan prokerajaan) cuba menarik minat golongan muda untuk memperlekeh dan mempersendakan Datuk Seri Mohd Najib Razak melalui media baru.

Dia bertanyakan saya isu sebenar. Saya jelaskan dengan harapan dia akan sebar pula di kalangan rakan-raknnya. Namun, ada juga anak-anak kita, khususnya remaja yang akan terus menyebarkan video seperti ini untuk mereka jadikan bahan ketawa.

Jika berlaku seperti ini, remaja atau orang muda tidak boleh dipersalahkan kerana menelan bulat-bulat apa yang disebarkan.

Dengan sendirinya, apabila ini belaku, sumbangan dan bakti kepada rakyat seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, lenyap begitu sahaja.


Bayangkan hanya dengan lagu kangkung atau apa juga ‘joke’ mengenai kangkong akan menenggelamkan pengumuman kerajaan termasuk:

1. Bantuan untuk mangsa banjir sebanyak RM96 juta;

2. Bantuan barangan sebanyak 5,000 kepda 19,205 keluarga di Terengganu sahaja, tidak termasuk di negeri-negeri lain kelak; serta,

3. Bantuan wang tunai RM1,500 dan RM500 masing-masing dari kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri. 

Bantuan itu secara khusus untuk 14,000 keluarga di Kemaman yang akan menerima sumbangan itu secara berperingkat.

Ini belum lagi pengumuman mengenai projek tebatan banjir yang membabitkan seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.

"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan banjir dan meraikan sukarelawan banjir di Padang Astaka Chukai pada Ahad lalu.

Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pula berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya.

Di pihak kerajaan, sehingga hari ini pun isu kangkung ini tidak dapat dineutralisedkan, malah persendaan oleh puak pembangkang semakin bersifat ‘kurang ajar’.

Berikutan kegagalan pihak-pihak yang sepatutnya ‘membersihkan imej PM dalam isu kangkong ini’, pembangkang semakin berani mengetengah dan mempermainkan isu ini secara besar-beesaran.


Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang tidak tahan Perdana Menteri mereka dipersendakan semalam, mengutuk sekeras kerasnya perbuatan biadap dan ‘kurang ajar’ sekumpulan kecil penyokong PKR yang dikelolakan oleh ADUN PKR Machang Bubuk itu.

Gambar bagaimana mereka menyumbat masuk sayur kangkung ke mulut replika Perdana Menteri sungguh tidak sopan.

Ketuanya, Rafizal Abd Rahim berkata, sikap biadap kumpulan ini merupakan tindakan mentaliti kelas rendah dan tidak akan membantu pun ke arah menurunkan kos saraan hidup. Tindakan ini hanya dilihat sebagai tindakan untuk meraih populariti murahan tatkala isu kenaikan harga barang menjadi topik hangat didalam negara kita.

“Jika mereka ini bertanggungjawab, seharusnya mereka ini berganding bahu dengan Kerajaan untuk mencari punca kenaikan ini dengan melihat ‘supply chain’ khususnya kegiatan ‘orang tengah’ yang memonopolikan barang keperluan seharian.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri meminta semua pihak agar segera berhenti mempolitikkan isu sayur kangkung ini dalam semua saluran media.

Pemuda sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan pemimpin negara daripada dihina dan dikotak katikkan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri ingin memberi amaran dan pilihan kepada PKR Machang Bubuk untuk tidak lagi melakukan penghinaan kepada pemimpin negara atau mereka perlu berdepan dengan Pemuda UMNO jika masih berdegil.

Bagi orang politik, inilah yang dilihat mereka cara berkesan tetapi sebagai sebuah kerajaan, apakah tindakan pegawai kerajaan atau menjawat awam khususnya peringkat atasan mempertahankan Perdana Menteri mereka?

Atau apakah penjawat awam turut mentertawakan Najib? Sebagai ahli atau pemimpin politik, sejauh ini kita tidak melihat dengan nyata apa yang dilakukan oleh ketua-ketua cawangan, Bahagian atau juga Pengerusi Perhubungan UMNO mempertahankan Presiden UMNO.

Bagi parti komponen pula, apa dilakukan oleh pemimpin mereka mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional itu dalam isu seperti ini.

Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan.

Apakah ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam  mentertawakan Najib?

Perdana Menteri Jawab Kritikan Kenyataan 'Kangkung'


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan 'kangkung' sebagai penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang kerana ia sekadar contoh barangan yang digunakan ramai orang.

"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.

"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 'kangkung' yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang sambil menambah bahawa perkara itu tidak patut dipermainkan.


Dalam pada itu, Najib telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati. Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan peniaga lebih beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu rakyat.

"Saya dah arahkan kementerian untuk gunakan akta sedia ada yang mana kuasa dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana peniaga yang umumkan bayaran atau caj yang terlalu tinggi, (semata-mata) untuk mendapat untung lebih.

"Ini satu cara bagaimana kita boleh bantu mengurangkan harga kepada pengguna dan rakyat, (akibat) peniaga tidak beretika yang cuba mencari kesempatan dalam masa sekarang," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Bersama Perdana Menteri anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Kuala Lumpur, malam semalam.

Beliau turut menggesa pengguna supaya lebih proaktif dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan.

Najib Arah KPDNKK Lebih Tegas Terhadap Peniaga Sengaja Naikkan Harga Barang


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Perdana Menteri berkata ia bagi memastikan peniaga lebih beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu rakyat.

"Saya dah arahkan kementerian untuk gunakan akta sedia ada yang mana kuasa dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana peniaga yang umumkan bayaran atau caj yang terlalu tinggi, (semata-mata) untuk mendapat untung lebih.

"Ini satu cara bagaimana kita boleh bantu mengurangkan harga kepada pengguna dan rakyat, (akibat) peniaga tidak beretika yang cuba mencari kesempatan dalam masa sekarang," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Bersama Perdana Menteri anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Kuala Lumpur, malam semalam.

Beliau turut menggesa pengguna supaya lebih proaktif dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan.

Di samping itu, Najib berkata beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan turun padang untuk melihat situasi harga barang dengan lebih dekat. Menurutnya, kesempatan itu akan diambil untuk mempromosikan kedai yang menawarkan harga berpatutan kepada rakyat.

 "Kita akan iklan atau maklumkan kepada semua pihak bahawa inilah kedai-kedai yang patut dikunjungi orang ramai," katanya.

Mengulas isu 'kangkung' yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang, Najib berkata perkara itu tidak patut dipermainkan.

Beliau berkata sayuran itu hanyalah contoh barangan yang digunakan ramai orang.

"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.

"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya.

Dalam pada itu, Najib memuji tindakan peniaga di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang menurutnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan harga makanan dan minuman tidak dinaikkan sehingga membebankan pengguna.

"Presidennya (Noorul Hassan Saul Hameed) berkata kedai-kedai yang dikendalikan Presma atau anggotanya begitu bertanggung jawab sekali.

Meskipun harga susu manis dan gula naik, tetapi beliau beri jaminan kepada saya harga teh tarik tak dinaikkan. "Ini adalah contoh bagaimana peniaga yang amat bertanggungjawab dan tidak mahu mengambil kesempatan atau eksploitasi keadaan (berbanding pihak yang) memberi pelbagai alasan semata-mata untuk tujuan naikkan harga," katanya.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membolehkan Koperasi Kimma Bhd (KopKimma) membuka cawangan Al-Rahnu di perkarangan Masjid India di Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau secara peribadi memandang tinggi usaha KopKimma untuk membuka cawangan itu bagi memastikan masyarakat India Muslim mempunyai peluang untuk memohon skim mikro kredit bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Saya memandang tinggi usaha KopKimma di bawah pengerusinya (Prof Datuk Dr) Mohd Harun Nizam yang bercadang membuka cawangan Al-Rahnu yang pertama di perkarangan masjid itu sedikit masa lagi. 

"Ini akan membolehkan golongan India Muslim di negara ini mendapat pinjaman mikro kredit dengan kadar lebih adil dan berpatutan berbanding kedai yang gunakan kadar yang begitu tinggi," katanya.

Mengulas pencapaian komuniti tersebut di negara ini, Najib berkata di bawah kepimpinan Kimma, masyarakat India Muslim tempatan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti peruncitan, katering, kedai emas dan sebagainya.

Namun, beliau melahirkan harapan masyarakat itu terus mempelbagaikan lagi bidang keusahawanan yang diceburi untuk merangkumi bidang lebih mencabar seperti bioteknologi, teknologi hijau serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Norfarhan, Zairo Bakal Jadi Nadi Terengganu Dalam Liga Super


Terengganu meletakkan harapan tinggi di bahu bekas penyerang berbisa Kelantan, Norfarhan Mohamad (kiri) dan pemain tengah Zairo Anuar Zailani (atas) untuk memperbaiki pencapaian skuad pada saingan Liga Super, bermula Sabtu ini.

Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata bekas dua tonggak 'The Red Warriors' itu mempunyai banyak pengalaman dalam pertandingan akhir Piala FA dan Piala Malaysia ketika bersama Kelantan.

Selain itu, kedua-dua pemain itu turut membantu Kelantan dalam pertandingan Piala AFC tahun lepas, katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu akan memulakan kempen Liga Super menentang pasukan PKNS Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu,  Sabtu ini.

Marzuki berkata Norfarhan mahupun Zairo, masing-masing menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk membantu Terengganu dalam kempen tersebut tahun ini.

"Saya cukup gembira dengan komitmen dan saya yakin pasukan Terengganu akan bangkit dalam Liga Super dengan kehadiran kedua-dua pemain itu," katanya.

Mengenai perlawanan pembukaan nanti, beliau berkata Terengganu akan menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan sepenuhnya untuk memungut tiga mata.

Beliau berkata kemenangan itu penting sebagai penyuntik semangat pemain untuk mengharungi perlawanan seterusnya nanti.

Marzuki berkata Terengganu di bawah jurulatih Abdul Rahman Ibrahim telah diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan termasuk di Indonesia sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Super musim ini.

Dalam kempen Liga Super 2013, Terengganu menghuni tangga kesembilan dengan menang tujuh daripada 22 perlawanan.

Thursday, January 16, 2014

Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu Dijangka Siap Akhir Tahun

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang tertangguh, selepas mula dibina pada 2006 dengan peruntukan kira-kira RM76 juta, dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata kompleks yang terletak di tapak seluas kira-kira 50 hektar itu akan turut menempatkan Pusat Sains Negara (PSN) cawangan Pantai Timur. 

"Apabila siap kelak, PSKT akan mempunyai kelengkapan yang sama dengan apa yang ada di PSN dengan tambahan peruntukan kira-kira RM40 juta.

"Segala kelengkapan dan keperluan di pusat itu kelak akan diisi secara berperingkat," katanya ketika ditemui pada program 'Cakap-cakap Sains: Jenayah dan Keselamatan ICT' di Kuaala Terenggaanu, hari ini. PSKT kini bertempat di Planetarium di Kuala Terenggnu.

Mengenai PSN, Ahmad Farhan berkata ketika ini hanya negeri Kedah mempunyai PSN di Wilayah Utara manakala Terengganu akan menjadi PSN Wilayah Pantai Timur.

Katanya Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman telah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai itu.

"Kalau PSN buka cawangan di sini, ia mampu menarik pelawat terutama pelajar dari Kelantan, Pahang dan juga Johor ke Terengganu," jelas beliau.

Sementara itu Ahmad Farhan berkata sepanjang tahun ini PSKT akan menjalankan Program Cakap-cakap Sains melibatkan 20 program termasuk Cakap-cakap Sains mengenai Astronomi, Keselamatan ICT, Sains dan Inovasi, pelancaran Bulan Astronomi dan Bulan Sains Sukan.

"Kami mahu ajak masyarakat dan pelajar mengetahui bahawa kehidupan ini semuanya berkait dengan sains," katanya.

Wednesday, January 15, 2014

Kerajaan Terengganu Sedia Labur Untuk Dua Pasukan Bola Sepak

KUALA TERENGGANU (15 Januari 2914) - Kerajaan negeri sedia membuat pelaburan besar dalam dua pasukan bola sepaknya bagi memastikan kelangsungan usaha pembangunan dan kualiti pasukan Terengganu FA dan T-Team, sekali gus untuk menjulang kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana kerajaan negeri melihat cabaran pasukan-pasukan lawan lebih hebat dan sengit berbanding musim sebelumnya.

"Masalah bajet kewangan tidak timbul, apa yang penting kita harap kedua-dua pasukan ini akan berjaya membawa pulang salah satu piala tahun ini," katanya tanpa mendedahkan jumlah pelaburan yang akan dilakukan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain, jersi baharu dan menandatangani kontrak pasukan Liga Super Terengganu FA dan T-Team 2014 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di Kuala Terengganu, lama tadi.


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Menurut Ahmad Said, Kerajaan Negeri bersedia memberikan ganjaran sewajarnya bagi meningkatkan prestasi pemain sekiranya mereka menunjukkan permainan cemerlang dalam setiap perlawanan.

Katanya, pada tahun ini pasukan Terengganu FA dan T-Team membariskan pemain terbaik dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad memberi peringatan bahawa pihak pengurusan pasukan akan menggugurkan mana-mana pemain yang cuba menjual perlawanan dan tidak berdisiplin.

"Tidak ada kompromi dan pemain-pemain terbabit akan digugurkan sekiranya didapati terlibat dalam masalah ini," katanya yang tidak akan menerima mana-mana pemain yang ingin mencari keuntungan cepat tetapi membunuh masa depan dan karier mereka sendiri.

Pada majlis itu, Terengganu FA menerima tajaan sebanyak RM2.3 juta manakala T-Team pula RM2.7 juta. 

Ahmad Said bagaimanapun berkata, tajaan berkenaan masih tidak mencukupi untuk mengurus kedua-dua pasukan berkenaan dan kos selebihnya akan ditanggung kerajaan negeri.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam berkata hampir keseluruhan barisan pemain Terengganu FA dan T-Team musim ini terdiri daripada anak-anak Terengganu dengan sasaran membawa pulang Piala Malaysia musim ini.
Katanya, pemain yang sebelum ini bermain di luar Terengganu, telah dipanggil untuk berkhidmat dengan pasukan negeri sendiri.

Menteri Besar, Isteri Lawat `Anak Permata Maulidur Rasul’


Menteri Besar dan isteri melawat bayi yang digelar 'Anak Permata Maulidur Rasul' sempena sambutan Maulidur Rasul 1435H di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Oleh: Suriati Ali Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu mencatatkan seramai 44 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat sedang menyambut hari kebesaran Islam pada 12 Rabiul Awal atau bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Rata-rata ibu kepada bayi yang digelar `Anak Permata Maulidur Rasul’ itu menyatakan perasaan terharu dan berasa bertuah kerana dapat melahirkan anak ketika umat Islam sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w.

Situasi gembira itu turut dikongsi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said apabila sudi mengunjungi ibu dan bayi yang selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dato’ Dr Anwa Sulaiman.


 Ahmad Said berkata, seramai 27 bayi, termasuk 13 bayi lelaki selamat dilahirkan pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di HSNZ, mereka dilaporkan sihat dan tiada kematian dicatatkan.

"Bayi paling awal dilahirkan pada jam 7,30 petang, manakala bayi seberat 4.95 kilogram dicatatkan paling besar yang dilahir seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Puan Ramlah Awang, 41. 

“Saya berharap ibu dan bapa dapat mendidik anak-anak ini, supaya menjadi insan berguna apabila membesar kelak. “Ibu bayi sewajarnya berasa bertuah kerana dipilih Allah, melahirkan anak sama tarikh dengan kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w.,” katanya.

Tuesday, January 14, 2014

Ahmad Said Perlu Berdaubat, Dakwa Banjir Kerana Rakyat Pilih Pakatan?


“Hari ini juga ramai orang datang berjumpa dengan saya, memberitahu bahawa ucapan MB Terengganu sangat menyeleweng. Saya berasa sangat berdukacita dan kesal dengan ucapan ini dan saya mohon supaya MB bertaubat kepada Allah serta jangan angkuh dan sombong..."
- ADUN Chukai,  Hanafiah Mat 

Benarkah Menteri Besar Terengganu ada menyebut ‘kerana pembangkang menanglah di Kemaman ini maka banjir besar berlaku’?

Jika tidak benar,  Datuk Seri Ahmad Said sewajarnya bukan sahaja menafikan malah mengambil tindakan keras terhadap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chukai Hanafiah Mat kerana memfitnah beliau.

Bukan  sekadar itu sahaja, Hanafiah turut menyifatkan 'Menteri Besar menyeleweng daripada ajaran Islam."

Tuduhan ini amat berat apa lagi Ahmad Said turut diminta bertaubat kerana seolah-olah beliau tidak percaya bala banjir diturunkan Allah.

Hanafiah semalam meminta Ahmad Said bertaubat kerana mengeluarkan 'ucapan angkuh' di majlis penyampaian bantuan banjir oleh Perdana Menteri kelmarin.

Dakwanya, dalam ucapannya Menteri Besar  berkata, "Kerana BN kalah kepada pembangkanglah di DUN Chukai, Kemaman dapat bala banjir”

Laman Yahoo yang memetik FMT dan laman rasmi PAS Terengganu memetik Hanafiah turut bertanya kenapa ketika PAS menang tiga kerusi (Air Putih, Chukai dan Kijal) dan Parlimen Kemaman (PKR) pada tahun 1999, Kemaman tidak banjir?


ADUN Chukai itu kesal dengan ucapan Menteri Besar itu yang disifatkannya sangat menyeleweng sebagai seorang Islam.

Beliau menyarankan Ahmad Said bertaubat kerana menurutnya, ucapan yang sombong dan angkuh seperti itu bukan sahaja mengelirukan bahkan bolehmenyebabkan gugurnya ‘syahadh’ seseorang.

“Hari ini juga ramai orang datang berjumpa dengan saya, memberitahu bahawa ucapan Menteri Besar Terengganu sangat menyeleweng.

“Saya berasa sangat berdukacita dan kesal dengan ucapan ini dan saya mohon supaya Menteri Besar bertaubat kepada Allah serta jangan angkuh dan sombong kerana Menteri Besar berkata ‘kerana pembangkang menanglah di Kemaman ini maka banjir besar berlaku’,”jelasnya.

Hanafiah yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Kemaman menggesa Ahmad Said merujuk kepada ayat al-Quran dalam surah as-Saba dalam ayat 15 dan 16 yang menyatakan jelas kepada banjir ini datang daripada Allah, apabila manusia sudah lupa dan lalai kepada Allah.

Katanya, dalam surah Nuh juga, Allah menceritakan bahawa apabila manusia melakukan kejahatan lalu Allah datangkan musibah supaya manusia itu sedar dan beriman kepada Allah.

“Jelas ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah menyatakan bahawa banjir ini adalah datang daripada Allah. Bukan kerana PAS menang ataupun bukan parti-parti lain ataupun perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan banjir.

“ Ini saya rasa satu kenyataan yang sangat mendukcitakan sama ada kepada umat Islam di Terengganu ataupun di seluruh Malaysia,”tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Hanafiah meminta Ahmad Said bertaubat kerana seolah-olah beliau tidak percaya bala banjir diturunkan Allah.

Kemaman dilanda banjir besar baru-baru ini di mana 80 peratus daripada buminya ditenggelami air. Ia disifatkan sebagai kejadian pertama dalam sejarah daerah itu.

Manakala ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, meminta kerajaan mengisytiharkan darurat di daerah itu bagi membolehkan kerja-kerja bantuan dibuat namun ditolak oleh kerajaan.


PAS dan unit-unit di bawahnya telah memberikan bantuan penuh kepada mangsa banjir ketika pemimpin Umno sibuk dengan Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan bantuan kepada 19,205 mangsa banjir di negeri ini yang disifatkan sebagai bantuan luar biasa di majlis yang berlangsung di Padang Astaka di Kemaman.

Bantuan banjir ini mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu.

Antara produk yang diterima mereka adalah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, kesemua 19,205 keluarga yang terlibat dengan banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Najib seterusnya melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai sehingga mencecah hampir 20,000 orang pada majlis itu dalam keadaan cuaca mendung dan hujan renyai.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.


Mengulas majlis penyampaian tersebut, Hanafiah berkata ramai penerima kecewa kerana terlalu lama beratur untuk mengambil kupon sampai ke petang sehingga mereka tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah dan terpaksa ponteng kerja.

“Malah yang lebih mengecewakan mereka pada bulan April, tiga bulan dari sekarang baru mereka dapat menunaikan kupon itu untuk mengambil peti ais, televisyen dan tilam yang dijanjikan itu,” kata mereka.

Beliau berkata kalau dah tahu bulan April baru dapat ambil barang tersebut, kenapa buat majlis sekarang. “Buatlah pada bulan Mac, sekurang-kurangnya tidak lama mereka menunggu barang yang dijanjikan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pada masa yang sama Hanafiah mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke daerah Kemaman.

Beliau mengucapkan terima kasih bagi pihak rakyat DUN Chukai dan yakin pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir oleh Najib adalah hasil duit rakyat, bukannya wang Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Bagi pihak saya dan seluruh rakyat Kemaman, yang pertamamnya, mengucapkan terima kasih kerana Perdana Menteri bersedia menyampaikan bantuan, “yang mana bantuan ini saya yakin ianya daripada pembayar-pembayar cukai dan juga penderma-penderma daripada kerajaan dan kerajaan memberi balik kepada rakyat yang mengalami musibah di Kemaman,”ujarnya kelmarin.


Timbalan Menteri Kena Tumbuk, Buat Laporan Polis


Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan membuat laporan polis selepas mendakwa beliau ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor itu di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata Kamalanathan membuat laporan itu di Balai Polis Bukit Beruntung selepas mengalami kecederaan di bahagian leher dalam kejadian pukul 2.30 petang itu. 

"Selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Baharu, Kamalanathan seterusnya telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk rakaman percakapan," kata Mohd Shukri semalam.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan polis sedang mencari suspek tersebut.

Menurut laporan polis itu, sebelum kejadian, bapa suspek berkenaan dikatakan menemui Kamalanathan di pejabat itu untuk meminta bantuan timbalan menteri itu bagi urusan memindahkan menantunya yang bertugas sebagai guru di Johor ke Hulu Selangor.

Kamalanathan bagaimanapun menerangkan beliau hanya mampu memberikan sokongan kepada permohonan itu, sebelum bapa suspek bertindak merayu hingga menyatakan sanggup mencium kaki anggota Parlimen Hulu Selangor itu.

Menurut laporan polis, Kamalanathan mendakwa suspek kemudian berjumpanya dengan sekumpulan pemuda lain di pejabatnya dan melepaskan satu tumbukan ke bahagian lehernya.

Penerima BR1M Tidak Perlu Daftar Lagi

Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedia ada tidak perlu lagi mendaftar utuk memohon skim berkenaan kerana mereka tetap akan menerimanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, wujud kekeliruan dalam kalangan orang ramai khususnya penerima BR1M sebelumnya bahawa mereka perlu mendaftar lagi untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Katanya, penerima sebelum ini tidak perlu lagi memohon, sebaliknya hanya memberikan nombor akaun masing-masing kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memudahkan urusan pemberian bantuan menerusi akaun bank.



"Ramai yang bertanya kepada saya mengenai perkara ini. Saya tegaskan sekali lagi bahawa pemohon sebelum ini yang telah menerima BR1M tidak perlu lagi mendaftar untuk bantuan itu.

Mereka akan menerimanya, cuma bagi mana-mana yang masih belum memberikan nombor akaun kepada LHDN, sila lakukannya segera sebelum 31 Januari ini bagi membolehkan pembayaran dibuat.

"Selain itu, kali ini kami mengambil pendekatan pembayaran BR1M menggunakan bank kerana berpendapat langkah ini lebih efisien berbanding kita buat majlis dan meminta rakyat beratur menunggu.

Kita kena hormat rakyat, takkan kita mahu rakyat beratur tengah-tengah hujan, panas seperti di negara dunia kedua," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan program Perjumpaan Khas Bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO Bahagian Tambun di Ipoh, kelmarin.

Sementara itu penerima BR1M  sedia ada serta yang baru memohon, akan menerima bantuan itu secara pembayaran tunai melalui pejabat daerah masing-masing, jika diisytihar muflis.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata berikutan langkah terbaru kerajaan yang memperkenal sistem pembayaran BR1M 3.0 melalui bank, ramai penerima yang diisytihar muflis tertanya-tanya status bantuan kepada mereka.

"Mereka ini muflis atas sebab yang pelbagai, termasuk menjadi penjamin pinjaman saudara mara dan rakan-rakan, menyebabkan akaun bank sedia ada dibekukan dan kerajaan sedar dengan kesulitan yang dialami itu.

"Sehubungan itu, kita minta golongan ini supaya tidak risau kerana mereka tetap layak menerima bantuan dan hanya perlu mengisi borang dan memaklumkan status muflis kepada Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun melalui laman sesawang www.hasil.gov.my,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Rakyat Haji Ithin di Parit Terus Darat, Benut semalam.

Beliau berkata, selain golongan muflis, mereka yang sukar membuka buku akaun kerana terlantar sakit dalam tempoh lama atau tidak mempunyai jalur pada ibu jari juga akan dipertimbang menerima pembayaran bantuan secara tunai.

Monday, January 13, 2014

Anak Rosmah, Riza Aziz Harumkan Nama Negara Di Golden Globes

Leonardo DiCaprio memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik meneruisi filem The Wolf Of Wall Street, menerusi Anugerah Gloden Globes. 
Produser filem Hollywood kelahiran Malaysia, Riza Aziz membuktikan kebolehan anak tempatan apabila filem terbitannya, The Wolf Of Wall Street, berjaya menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan mantap Leonardo DiCaprio.

Filem penuh kontroversi yang berdasarkan kisah benar mengenai broker saham Wall Street, Jordan Belfort (DiCaprio) yang dipenjarakan kerana rasuah dan jenayah perdagangan itu turut membariskan bintang-bintang terkenal Hollywood seperti Jonah Hill, Margot Robbie and Matthew McConaughey.

Namun, Riza enggan mengulas mengenai kontroversi yang melanda filemnya yang menelan belanja US$100 juta , (RM326 juta) itu termasuklah tuduhan sebuah portal pro-pembangkang yang mendakwa produser berpengaruh itu mendapat sumbangan kewangan daripada ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Riza (paling kiri) bersama penerbit Joey McFarland dan para pelakon filem The Wolf of Wall Street iaitu Margot Robbie, Leonardo DiCaprio ketika tayangan perdana filem

Riza merupakan anak Rosmah bersama bekas suami pertamanya, Abdul Aziz Nong Chik.
Mengulas mengenai kemenangan DiCaprio, Riza memberitahu mStar Online dalam temu bual eksklusif bahawa dia sangat berbangga dengan bakat dan dedikasi bintang ‘superstar’ Hollywood itu.

"Saya senang bekerjasama dengan Leo. Dia seorang pelakon yang sangat profesional dan 'committed' terhadap tugasnya,” ujar Riza.

DiCaprio bersetuju berlakon filem The Wolf Of Wall Street di atas dasar persahabatannya yang sudah terjalin dengan Riza sejak beberapa tahun yang lalu.

"Leo seorang bintang filem ternama yang sangat merendah diri dan baik hati," puji Riza.

mStar

Sunday, January 12, 2014

Bantuan Banjir Catat Sejarah, Beri Sumbangan Produk Bernilai RM5,000


Bantuan banjir mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu.

Bantuan banjir peringkat nasional itu, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat yang ditimpa musibah.

Antara produk yang diterima mereka ialah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, seramai 19,205 keluarga terbabit banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Ketika berucap pada majlis itu, Najib berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang.

"Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Kalau ikut dasar kita, kita beri sumbangan RM500 kepada setiap keluarga.

Tapi tinjauan saya semasa banjir, kalau kekal (jumlah bantuan itu), tidak berbaloi berbanding kerugian yang dipikul," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan badan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah itu. "Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan.

Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang? Bukankah kerajaan Barisan Nasional? Janganlah cuba mainkan rakyat, sekali dua kali turun, sekali dua kali singsing seluar, kononnya merekalah juara rakyat, (sedangkan) dari dulu sampai kini, Umno dan Barisan Nasionallah pembela rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan BN tidak pernah membezakan fahaman politik sebaliknya membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Najib berharap bantuan yang diberikan pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Terengganu hari ini diharap dapat memulihkan semula semangat mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah itu. Beliau berkata apa yang penting, kaedah menyampaikan bantuan itu perlulah cekap bagi memastikan mangsa banjir menerima bantuan berkenaan.

"Bagi bantuan di Terengganu ini, saya difahamkan semua diberikan kupon, jadi boleh ambil dari rangkaian kedai tertentu," katanya. Dalam perkembangan sama, Najib berkata kerajaan akan melakukan pelbagai projek bagi menangani masalah banjir di masa depan.

Menurutnya projek tebatan banjir di Kemaman bakal melibatkan kos RM480 juta manakala kos membaiki kemudahan asas yang rosak akibat banjir seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan keperluan asas lain dijangkan menelan berbilion ringgit.

Perdana Menteri berkata semua agensi berkaitan dan pasukan keselamatan turut diminta melakukan kesiapsiagaan lebih rapi dalam menghadapi gelombang banjir berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini.