"Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan. Apakah penjawat awam, ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam mentertawakan Najib?"
Daripada hambali1 Petang tadi anak saya yang sedang belajar di tingkatan tiga menunjukkan satu video bagaimana ucapan Perdana Menteri di Kemaman pada 12 Januari lalu dijadikan sebuah lagu.
Katanya, dia mendapat bahan itu selepas dihantar oleg cik gunya (anak saya tidak bawa handphone ke sekolah).
Bayangkan bagaimana pihak-pihak tertentu (tentunya bukan prokerajaan) cuba menarik minat golongan muda untuk memperlekeh dan mempersendakan Datuk Seri Mohd Najib Razak melalui media baru.
Dia bertanyakan saya isu sebenar. Saya jelaskan dengan harapan dia akan sebar pula di kalangan rakan-raknnya. Namun, ada juga anak-anak kita, khususnya remaja yang akan terus menyebarkan video seperti ini untuk mereka jadikan bahan ketawa.
Jika berlaku seperti ini, remaja atau orang muda tidak boleh dipersalahkan kerana menelan bulat-bulat apa yang disebarkan.
Dengan sendirinya, apabila ini belaku, sumbangan dan bakti kepada rakyat seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, lenyap begitu sahaja.
Bayangkan hanya dengan lagu kangkung atau apa juga ‘joke’ mengenai kangkong akan menenggelamkan pengumuman kerajaan termasuk:
1. Bantuan untuk mangsa banjir sebanyak RM96 juta;
2. Bantuan barangan sebanyak 5,000 kepda 19,205 keluarga di Terengganu sahaja, tidak termasuk di negeri-negeri lain kelak; serta,
3. Bantuan wang tunai RM1,500 dan RM500 masing-masing dari kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri.
Bantuan itu secara khusus untuk 14,000 keluarga di Kemaman yang akan menerima sumbangan itu secara berperingkat.
Ini belum lagi pengumuman mengenai projek tebatan banjir yang membabitkan seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.
"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan banjir dan meraikan sukarelawan banjir di Padang Astaka Chukai pada Ahad lalu.
Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.
Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pula berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.
Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya.
Di pihak kerajaan, sehingga hari ini pun isu kangkung ini tidak dapat dineutralisedkan, malah persendaan oleh puak pembangkang semakin bersifat ‘kurang ajar’.
Berikutan kegagalan pihak-pihak yang sepatutnya ‘membersihkan imej PM dalam isu kangkong ini’, pembangkang semakin berani mengetengah dan mempermainkan isu ini secara besar-beesaran.
Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang tidak tahan Perdana Menteri mereka dipersendakan semalam, mengutuk sekeras kerasnya perbuatan biadap dan ‘kurang ajar’ sekumpulan kecil penyokong PKR yang dikelolakan oleh ADUN PKR Machang Bubuk itu.
Gambar bagaimana mereka menyumbat masuk sayur kangkung ke mulut replika Perdana Menteri sungguh tidak sopan.
Ketuanya, Rafizal Abd Rahim berkata, sikap biadap kumpulan ini merupakan tindakan mentaliti kelas rendah dan tidak akan membantu pun ke arah menurunkan kos saraan hidup. Tindakan ini hanya dilihat sebagai tindakan untuk meraih populariti murahan tatkala isu kenaikan harga barang menjadi topik hangat didalam negara kita.
“Jika mereka ini bertanggungjawab, seharusnya mereka ini berganding bahu dengan Kerajaan untuk mencari punca kenaikan ini dengan melihat ‘supply chain’ khususnya kegiatan ‘orang tengah’ yang memonopolikan barang keperluan seharian.
Pergerakan Pemuda UMNO Negeri meminta semua pihak agar segera berhenti mempolitikkan isu sayur kangkung ini dalam semua saluran media.
Pemuda sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan pemimpin negara daripada dihina dan dikotak katikkan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri ingin memberi amaran dan pilihan kepada PKR Machang Bubuk untuk tidak lagi melakukan penghinaan kepada pemimpin negara atau mereka perlu berdepan dengan Pemuda UMNO jika masih berdegil.
Bagi orang politik, inilah yang dilihat mereka cara berkesan tetapi sebagai sebuah kerajaan, apakah tindakan pegawai kerajaan atau menjawat awam khususnya peringkat atasan mempertahankan Perdana Menteri mereka?
Atau apakah penjawat awam turut mentertawakan Najib? Sebagai ahli atau pemimpin politik, sejauh ini kita tidak melihat dengan nyata apa yang dilakukan oleh ketua-ketua cawangan, Bahagian atau juga Pengerusi Perhubungan UMNO mempertahankan Presiden UMNO.
Bagi parti komponen pula, apa dilakukan oleh pemimpin mereka mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional itu dalam isu seperti ini.
Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan.
Apakah ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam mentertawakan Najib?