Tuesday, October 27, 2015

ECER Jadikan Terengganu Destinasi Pelaburan Bertaraf Dunia - Ahmad Razif


"Sejak ECER ditubuhkan pada 2007 hingga September tahun ini, Terengganu berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM27.1 bilion atau 32.7 peratus daripada jumlah pelaburan terkumpul di ECER setakat ini, yang akan mewujudkan 25,191 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan."

Tahniah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kerana memberikan jawapan yang jelas kepada kritikan PAS bahawa  ‘Rakyat Terengganu Tidak Juga Makmur Walau ECER Terima Pelaburan RM7 Bilion’.

Jawapan Ahmad Razif yang dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC ECER) Terengganu kali ketiga 2015 di Kuala Terengganu semalam sewajarnya difahami dengan baik oleh rakyat Terengganu.

Mereka perlu menerima dengan hati terbuka dan tidak terpengaruh dengan dakyah yang jauh menyimpang daripada kebenaran oleh PAS.

PAS hanya tahu mengkritik dan berkokok.Mereka tidak mampu memberikan apa-apa.


Yang mampu mereka lakukan ialah mempersoal dan ‘membelasah’ tanpa ada cadangan konkrit. Bagi mereka menyalahkan kerajaan adalah kemenangan walaupun tahu sesuatu projek itu tidak mendatang kesan segera.

Projek ECER bukan mi segera atau seperti pemberian one-off Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M yang sesetengahnya diberi pagi, petang sudah lesap semuanya!

Projek jangka panjang dan berterusan ini bukan kecil manfaatnya.

Seperti dijelaskan oleh Menteri Besar, program Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memberi manfaat kepada hampir 8,000 rakyat di Terengganu  sejak diperkenalkan pada 2007.

Baca betul-betul…8,000 orang dan apabila disebut manfaat, bukan sahaja dari segi pekerajaan semata-mata tetapi mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Ahmad Razif berkata kalau dikira dari segi semua manfaat - pelbagai kemudahan termasuk perniagaan, pendidikan, keusahawanan serta memperkasa Bumiputera - ia melebihi jumlah 25,000 orang.

Nilai pelaburan yang telah diterima Terengganu hasil daripada pelbagai projek pembangunan ECERDC sejauh ini ialah RM27.1 bilion.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Posit (Pusat?),  Ahmad Amzad Hashim dalam satu penulisannya cuba memperkecilkan sumbangan ECER kepada Terengganu berdasarkan Laporan Ekonomi 2015/2016 yang diterbitkan kerajaan atau secara khususnya dengan mengasaskan kritikannya berdasarkan ayat berikut: “Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik pelaburan berjumlah RM78 bilion sejak dimulakan pada 2007, menyumbang 71% daripada jumlah sasaran sebanyak RM110 billion 2020.”

Lantas beliau bertanya, wajar dikenal pasti negeri negeri mana yang berada di bawah ECER?

Dari situ berapa billionkah pelaburan diterima oleh negeri negeri berkenaan?

Kelantan berapa billion terima pelaburan? Terengganu berapa billion? Pahang berapa billion?

Di Terengganu yang diperintah oleh UMNO, mana satukah pelaburan besar yang diterima?


Malah menurutnya, yang disebut-sebut pembangunan KTCC menarik pelbagai pembangunan dalam pelbagai sektor perhotelan di Seberang Takir, Kerajaan Terengganu kini seperti was was dengan pelaburan yang dicanangkan.

KTCC sarat dengan gambaran artis menunjukkan pelbagai bentuk bangunan bangunan tinggi hotel. Kalau tidak masakan tiba tiba diumumkan sedang mempertimbangkan pembangunan industri petroleum di Seberang Takir, tapak yang hampir serupa lokasi pelaburan KTCC?

Selanjutnya beliau mengemukakan soalan:

Atau adakah pelaburan yang banyak itu sebenarnya di Kelantan?

Atau adakah pentadbiran Datuk Seri Najib salurkan ke negerinya Pahang seperti yang dilakukan dengan royalti petroleum dari kawasan perairan PM307 Bertam milik Terengganu?

Kata beliau, pelaburan RM78 billion adalah sesuatu yang sepatutnya diterjemah dalam bentuk fizikal yang boleh dilihat oleh rakyat, dinikmati dalam bentuk peluang ekonomi dan pekerjaan untuk rakyat serta peningkatatan taraf kehidupan dan kemakmuran rakyat.

Ia boleh dilihat melalui statistik kadar pendapatan isirumah, kadar kemiskinan, kadar pengangguran, pemilikan rumah dan hartanah.

Ahmad Razif semalam menjelaskan, ECERDC telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi pelaksanaan 41 projek dan program berimpak tinggi di Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10, sebagai usaha menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebuah wilayah maju menjelang 2020.


Malah, sejak ECER ditubuhkan pada 2007 hingga September tahun ini, Terengganu berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM27.1 bilion atau 32.7 peratus daripada jumlah pelaburan terkumpul di ECER setakat ini, yang akan mewujudkan 25,191 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar di Terengganu iaitu sebanyak 48 peratus, diikuti bio-ekonomi (23.6 peratus), pelancongan (13.4 peratus) serta minyak, gas dan petrokimia (8.49 peratus).

Ahmad Razif berkata selain kewujudan syarikat-syarikat ternama seperti syarikat minyak negara Petronas, CJ CheilJedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, Terengganu juga berjaya menarik pelabur dalam bidang bio-ekonomi, pembuatan dan pelancongan yang membuktikan negeri tersebut sebuah destinasi pelaburan bertaraf dunia.

Katanya Program Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP), TERAJU@ECER, Suri@Home dan program pembasmian kemiskinan Agropolitan telah memberi manfaat kepada hampir 8,000 rakyat di Terengganu yang kini berupaya menikmati pendapatan lebih tinggi dan prestasi akademik lebih baik.

"Terengganu yang terkenal dengan industri minyak, gas dan petrokimia, kini terus mencipta nama dalam industri bioteknologi global dengan pewujudan Taman Biopolimer Kertih (KBP) yang merupakan hab bioekonomi bersepadu bagi industri biopolimer dan produk berasaskan bio-kimia.

"Jumlah pelaburan di KBP kini mencecah RM5.07 bilion, yang akan mewujudkan 1,114 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.

KBP merupakan lokasi bagi kilang bio-metionina dan platform tiokimia bersepadu yang pertama seumpamanya di dunia, dimiliki oleh CJ CheilJedang dari Korea dan Arkema dari Perancis.

Dengan bermulanya operasi fasiliti pembuatan CJ-Arkema yang bernilai RM2.1 bilion pada tahun ini, Malaysia kini merupakan pengeluar bio-metionina mesra alam pertama di dunia.

Ahmad Razif berkata sebuah lagi projek utama ECER di Terengganu ialah projek mercu tanda Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang akan menjadikan ibu negeri Terengganu sebagai sebuah Bandaraya Warisan Pesisir Air dan Gerbang Pelancongan Timur ECER.


"Projek ini dijangka menarik pelaburan sebanyak RM5 bilion dan mewujudkan lebih 10,170 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor pada 2020," katanya.

Antara komponen penting dalam pembangunan KTCC ialah pembinaan jambatan angkat KTCC Drawbridge, jambatan pertama seumpamanya di Malaysia.

ECERDC telah menyiapkan pembinaan infrastruktur utama di Muara Selatan KTCC, sementara pembinaan infrastruktur di Muara Utara dan KTCC Drawbridge sedang giat dilaksanakan.

KTCC Drawbridge akan dihubungkan secara terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan di negeri ini khususnya, dan ECER amnya, katanya.


Untuk rekod, diperturunkan sekali lagi secara ringkas Laporan Ekonomi 2015/2016 berkaitan ECER yang disiarkan pada 23 Oktober lalu:


ECER  sehingga kini berjaya mewujudkan  76,120 perkerjaan dan sebahagian besar daripada pelaburan adalah dalam sektor pembuatan (57 peratus), diikuti oleh pelancongan (17 peratus) dan bioekonomi (7.0 peratus).

Dari sudut agihan pelaburan swasta dan guna tenaga, kementerian berkata Pahang merupakan penerima terbesar dengan pelaburan berjumlah RM39.5 bilion dan 36,636 pekerjaan, diikuti Teranganu, Kelantan dan Timur Laut Johor.

Tujuh nod telah dikenal pasti di bawah ECER bagi mempromosi integrasi bandar-luar bandar dan memastikan keseimbangan pembangunan ekonomi termasuk Zone Ekonomi Khas, pembangunan merentasi sempadan dan KTCC-Kenyir-Dungun.

ECER juga melaksanakan program bagi memperkasa bumiputera. Sehingga Jun 2015, sejumlah 97 buah syarikat bumiputera telah melabur sejumlah RM12.2 bilion dan dijangka mewujudkan 14,491 pekerjaan.

Selain menerima insentif dari ECER, kementerian berkata syarikat-syarikat ini turut memainkan peranan penting dalam kluster pembuatan dengan syarikat Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyumbang 30 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak RM1.1 bilion.

Rasanya jawapan yang diberikan oleh Ahmad Razif itu jelas dan terang lagi bersuluh.

Kalaupun PAS mahu mengkritik, berilah cadangan-cadangan sesuai umpamanya melalui soalan atau perbahasan di Dewan Undangan Negeri Terengganu atau cara-cara lain yang sesuai.
Jangan kerana pembangkang, lakukan bangkangan atau kritikan melulu yang tidak tahu hujung pangkal.

Ranyat Terengganu tahu menilai dan tanyalah kepada yang menerima manfaat dan akan menerima manfaat mengenai kebaikan ECER.


Mungkin dengan cara itu, PAS akan menjadi lebih berhemah!


No comments:

Post a Comment