Thursday, October 29, 2015

LPT2 - Faktor Berbahaya Sentiasa Wujud, Namun Pemandu Jenis Apakah Kita?

"Sebanyak 20 peratus pemandu memecut antara 110km/j hingga 130km/j manakala 50 peratus memandu laju dengan purata melebihi 140 km/j...sikap pengguna memandu laju, purata melebihi had kelajuan 110 km sejam antara penyumbang peningkatan kadar kemalangan maut di LPT2."
- Kajian Jabatan Kerja Raya

Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berbahaya!

Selain beberapa tempat permukaannya tidak rata, beralun, berlaku mendapan, keadaan belokan bahaya dibeberapa tempat turut mencipta “kolam air” apabila berlaku hujan lebat (baca laporan ini).

Mudah untuk menuding jari dan mengatakan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu ‘klu-klek’ dalam isu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Juga mudah untuk mengatakan bahawa pemimpin kerajaan tidak peka atau ‘ambil mudah’ mengenai nyawa yang melayang di LPT2.

Pemimpin PAS asyik menyalahkan kerajaan BN tanpa melihat realiti.

Soal asas ialah pemanduan yang berhemah dan mematuhi arahan adalah sangat penting.


Walaupun bengkang-bengkok, tidak rata, licin atau pun ‘ada hantu’ di LPT2 sekali pun, jika pemandu mematuhi larangan dan peraturan yang ditetapkan melalui pemaduan selamat dan berhemah, semua mungkin dapat mengelakkan kemalangan, termasuk kemalangan maut.

Menerusi kajian yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR), hanya 30 peratus pengguna di LPT2 mematuhi had laju yang ditetapkan.

Hasil kajian bagi tempoh sehari, mendapati kira-kira 20 peratus pemandu memecut antara 110km/j hingga 130km/j manakala 50 peratus memandu laju dengan purata melebihi 140 km/j ketika menggunakan lebuh raya tersebut.

Daripada kajian mendapati, kedudukan sikap pengguna yang memandu laju dengan purata melebihi had kelajuan 110 km sejam antara penyumbang peningkatan kadar kemalangan maut di LPT2.

Semantera had kelajuan pemanduan maksimum yang direkodkan JKR semasa kajiannya di LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, di sini ke Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu itu adalah 177km/j.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), LPT2 dari Jabor di Kemaman sehingga Gemuruh di Kuala Nerus meragut 85 nyawa sejak dibuka Januari 2011 secara berperingkat.

Pihak berkuasa menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu.

Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar atas) mengadakan lawatan tinjauan dan diberikan penerangan mengenai risiko kemalangan bertempat di KM258.9 LPT2 dekat Kemaman yang merupakan lokasi kemalangan meragut nyawa enam sekeluarga baru-baru in .

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Ir Rosli Othman dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman.

“Kebanyakan kemalangan di LPT2 berpunca daripada faktor manusia antaranya dengan memandu laju. Kita akan berusaha memberi kesedaran kepada pemandu supaya mematuhi had laju ditetapkan se­perti memasang lebih banyak papan tanda amaran di sepanjang lebuh raya ini bagi mengurangkan kemalangan maut,” katanya.

Semasa tinjauan itu, petugas media turut dibawa menaiki kenderaan Pengimbas Jalan Ikram (IRS) iaitu sebuah kenderaan yang dilengkapi mesin pengimbas dan kamera untuk melihat proses mengutip data termasuk dari segi alunan serta kerataan jalan raya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, berdasarkan perkiraan kasar beliau, kira-kira 20 peratus keadaan jalan raya di LPT2 dikesan bermasalah seperti beralun dan memerlukan perhatian terutama berhampiran struktur jambatan.

Bagaimanapun kata beliau, laporan penuh berhubung keadaan itu belum diperoleh dan tidak boleh dibuat andaian sama ada ia menjadi punca kemalangan sehingga kajian dilakukan oleh Ikram Paves Sdn. Bhd. tentang kadar kelicinan jalan raya selesai.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejumlah 72 kemalangan di sepanjang LPT2 dikenal pasti berpunca daripada limpahan air yang melintasi jalan dan tindakan seperti membina sistem perparitan telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Berhubung permintaan supaya kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang LPT2 dibuka secepat mungkin bagi membolehkan para pengguna beristirehat serta menyegarkan diri, beliau berkata, pihaknya dalam proses melantik syarikat konsesi yang dijangka dapat diketahui dalam tempoh sebulan.

Sebagai langkah penguatkuasaankeselamatan, polis memasang lebih banyak perangkap had laju di sepanjang laluan 184 km LPT2 itu.

Selain itu papan tanda amaran juga akan diperbanyakkan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada para pemandu yang menggunakan laluan tersebut.

JKR juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan elemen keselamatan terus dipertingkat termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk perniagaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya itu.

Kerana itu, sudah-sudahlah pemimpin PAS, terutamanya Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Marang Mohd Nor Hamzah yang mengkritik tanpa melihat kajian yang dihasilkan.

Menyalahkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri  Ahmad Razif Abdul Rahman yang mengatakan kecuaian pemandu sebagai faktor utama atas kemalangan-kemalangan yang telah berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang empat tahun ianya dibuka boleh dipertikaikan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Ir. Rosli Othman turut menyokong pendapat yang  menjadikan pemandu sebagai faktor utama kemalangan di LPT2.

Sudah jelas bahawa laporan-laporan polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ialah sebanyak 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan yang sehingga 16 Oktober baru-baru ini berjumlah 1989 kemalangan dengan 82 kematian adalah berpunca daripada kecuaian pemandu, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus faktor kenderaan dan lain-lain kes.

“Daripada kajian, kemalangan berlaku di jalan lurus dengan keadaan jalan dan cuaca baik. Kita percaya pemandu memandu laju dengan kelajuan melebihi 120 km sejam,” ujarnya.

Beliau juga mahu keputusan hasil siasatan berhubung punca nahas di LPT2 disegerakan bagi memastikan tahap keselamatan LPT2 dipertingkatkan.

Bila mula Menteri Besar mahu lepas tangan  dan bersikap ‘klul-klek’ dengan pelbagai alasan dan memproses ‘bahan separuh masak tetapi terus dihidangkan kepada orang ramai’?

Ahmad Razif menyebut berdasarkan fakta dan beliau tidak pernah menafikan mana-mana wujudnya pelbagai masalah di LPT2.

JKR sendiri mengesahkan terdapat 27 tempat yang perlu diperbaiki dan memerlukan sejumlah RM6 juta bagi kos baik pulih tersebut.

Ini menggambarkan betapa pemandu perlu mematuhui semua arahan dan memandu dengan berhemah.


Kesungguhan kerajaan turut buktikan apabila 300 orang termasuk a pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solat hajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu baru-baru ini.

Tujuannya adalah  bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Kita yakin dengan ketentuan Ilahi mengenai sesuatu kemalangan, termasuk kemalangan maut tetapi tidakkan nasib kita di tangan kita sendiri yang tentukan?

Sebagai pemandu, jadilah pemandu yang berhemah.

Mahu kenyataan dan jawapan yang bagaimana lagi?

Jangan politikkan soal kematian dengan menyalahkan kerajaan BN semata-mata kerana pelbagai usaha dilakukan.

Lebih baik kalau rajin dan benar-benar mahu pemandu selamat, PAS turut berkempen di LPT2 - bukan dengan poster hentam BN – tetapi amalan pemanduan berhemah dan mematahi arahan-arahan, terutamanya di kawasan yang dijangka boleh berlaku kemalangan.

1 comment:

  1. Hiway pertama la katakan. Bg kami di barat (PLUS), rasa saya majoriti ikut had laju. Yg hasil banyak boleh beli kereta mewah, beli minyak mcm beli milo ais pun ada di sini. Harap berubah lah ya?
    Utk LPT, saya selalu dengar dr sedara mara yg duk area sini. Mereka bangga bila boleh bawak kereta laju2. 160km/j ke atas. Kereta bkn la yg top spec. Avanza 1.5, Wira, Waja. Takde ABS, airbag pun plg canggih pun 2 kt depan, TC apatah lg, mmg x dak. Bg saya, ini semua mentaliti suka bawak laju. Harap2 nnt berkurangan lah.
    Harap kerajaan tambah AES lagi. Saya juga pernah kena saman. Tak la sokong sangat AES, tapi ini ja method yg ada setakat ni. Bukak cpt2 R&R.
    Saya x pernah lg guna LPT2, setakat Karak dan LPT1. LPT1, not bad tp still PLUS better. Karak lg teruk dgn jln berselekoh2. Menyampah.

    ReplyDelete