Friday, October 9, 2015

Jawapan 1MDB, Jaminan Zahid Elak Kekeliruan, Tohmahan Berterusan....



"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinet menilai baik titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu berkenaan....pada masa ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang 1MDB dan ia disambut baik oleh pelabur dalam serta luar negara."

Dua perkembangan menarik mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

Pertama firma pelaburan kerajaan itu menjawab persoalan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan firma kerajaan itu sarat hutang.

Kata Muhyiddin: “Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita.

Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.”

1MDB kesal walaupun penjelasan berulang, beberapa bekas dan ahli politik semasa tertentu terus mengeluarkan separuh kebenaran mengenai syarikat tersebut.

1MDB menganggap ini adalah sebahagian serangan sengaja dan bermotifkan politik, untuk mensabotaj bukan sahaja IPO tenaga yang dirancang sebelum ini tetapi pelaksanaan berterusan pelan rasionalisasinya.

Bagi 1MDB, 100 peratus pemegang saham utamanya, Kerajaan Malaysia, komited sepenuhnya untuk melaksanakan rancangan itu, seperti yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Perkara kedua ialah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk SeriDr Ahmad Zahid Hamidi memberikan reaksi kepada titah Raja-Raja Melayu dengan mengatakan bahawa kerajaan memberi jaminan, sebarang bentuk siasatan berkaitan isu 1MDB akan dilakukan secara adil dan terbuka.

Kenyataan media itu dikeluarkan selepas Majlis Raja-Raja pada Selasa menitahkan supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

Kedua-dua kenyataan – oleh 1MDB dan Dr Ahmad Zahid -  yang bersifat jaminan, mencerahkan sedikit keraguan, apalagi apabila ada pihak mengaitkan titah berkenaan sebagai isyarat supaya Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak berundur.

Bagi 1MDB, melabelkan sebagai 'syarikat yang dibebani hutang' adalah mengelirukan.

Ini kerana beberapa perniagaan telah berjaya menggunakan hutang untuk membina asas aset mereka.

Dalam kes 1MDB, dari ekuiti RM1 juta, sejumlah RM1.7bilion jumlah ekuiti pemegang saham kumpulan telah dijana pada 31 Mac 2014.

"Walau apa pun kemungkinan cabaran pada masa ini dan yang berikutnya, di mana ia didokumenkan dengan baik dan diakui, 1MDB masih yakin dapat menjana lebih nilai apabila kita meneruskan progres pelan rasionalisasi," kata 1MDB dalam satu kenyataan semalam.

Bagi 1MDB, ia menyedari siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin (Rabu) yang penciriannya 1MDB sebagai 'syarikat yang dibebani hutang' adalah mengelirukan.

Ini kerana  Muhyiddin, sebagai bekas anggota Kabinet, “tahu sepenuhnya bahawa nilai aset 1MDB melebihi hutang.”

"Sebagai anggota Kabinet, apabila 1MDB telah ditubuhkan, Tan Sri Muhyiddin sedar mengenai struktur modal 1MDB. Dengan RM1 juta ekuiti daripada pemegang saham, Kementerian Kewangan, 1MDB meningkatkan modal di pasaran - di mana merupakan hutang pada akaun syarikat .

"Banyak perniagaan, di Malaysia dan luar negara, telah berjaya menggunakan hutang untuk membina asas aset mereka. Dalam kes 1MDB, dari RM 1 juta ekuiti, jumlah ekuiti pemegang saham kumpulan sebanyak RM1.7 bilion telah dijana pada 31 Mac 2014,”
kata 1MDB.

"Fakta ini diperkuatkan lagi dengan nilai ketara ditunjukkan oleh pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap penjualan ekuiti dalam Edra Tenaga dan Bandar Malaysia.

Dr Ahmad Zahid pula memberi jaminan, semua siasatan terhadap mana-mana pihak yang akan dibuat dengan berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak sepatutnya berlaku.

"Kerajaan juga mengambil berat dan menghormati titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai mata wang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangan kos beban rakyat menjadi fokus untuk kerajaan.

"Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat," katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Menurutnya: "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinet menilai baik titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu berkenaan.

Dr Ahmad Zahid turut menjelaskan,  pada masa ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang 1MDB dan ia disambut baik oleh pelabur dalam serta luar negara.

Dalam masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang itu melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut akan dibentangkan.

"Diharapkan tiada pihak yang menangguk di air keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan,” tegasnya.

Selain itu, Pasukan Petugas Khas menyiasat firma pelaburan 1MDB tidak pernah dibubarkan, kata Pejabat Peguam Negara.

"Hakikatnya, siasatan yang dijalankan oleh agensi yang terlibat tidak pernah pada bila-bila masa dihentikan atau disekat. Peguam negara sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi yang berkaitan apabila siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, termasuk arahan untuk mempercepat siasatan.

"Sehingga hari ini, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum melengkapkan siasatan mereka kerana kenyataan beberapa saksi utama masih belum direkodkan," kata kenyataan itu.

Pendirian Pejabat itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Ogos yang menyatakan Pasukan Petugas Khas sudah tidak diperlukan seperti yang dinasihatkan oleh Peguam Negara yang baru Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

No comments:

Post a Comment