Saturday, October 24, 2015

Laporan Ekonomi : ECER Tarik RM78 Bilion Pelaburan Sejak 2007


Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM78 bilion sejak dimulakan pada 2007, menyumbang 71 peratus daripada jumlah sasaran sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

Daripada jumlah ini, sebanyak 76,120 perkerjaan telah diwujudkan, demikian menurut Kementerian Kewangan di dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan semalam.

Laporan ini dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan Menteri Kewangan.

"Sebahagian besar daripada pelaburan adalah dalam sektor pembuatan (57 peratus), diikuti oleh pelancongan (17 peratus) dan bioekonomi (7.0 peratus)," katanya.

ECER merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing, Johor.

Dari sudut agihan pelaburan swasta dan guna tenaga, kementerian berkata Pahang merupakan penerima terbesar dengan pelaburan berjumlah RM39.5 bilion dan 36,636 pekerjaan, diikuti Teranganu, Kelantan dan Timur Laut Johor.


Tujuh nod telah dikenal pasti di bawah ECER bagi mempromosi integrasi bandar-luar bandar dan memastikan keseimbangan pembangunan ekonomi termasuk Zone Ekonomi Khas, pembangunan merentasi sempadan dan KTCC-Kenyir-Dungun.

"ECER juga melaksanakan program bagi memperkasa bumiputera. Sehingga Jun 2015, sejumlah 97 buah syarikat bumiputera telah melabur sejumlah RM12.2 bilion dan dijangka mewujudkan 14,491 pekerjaan," katanya.

Selain menerima insentif dari ECER, kementerian berkata syarikat-syarikat ini turut memainkan peranan penting dalam kluster pembuatan dengan syarikat Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyumbang 30 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak RM1.1 bilion.

Sementara itu, kementerian berkata Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) terus menunjukkan potensi pertumbuhan yang menggalakkan pada tahun kelapan penubuhannya tahun ini.

Setakat ini, SCORE telah menerima pelaburan swasta sebanyak RM30.6 bilion dan telah mewujudkan lebih 16,044 peluang pekerjaan.

"Sasaran jumlah pelaburan SCORE bernilai RM334 bilion, yang mana 80 peratus dijangka daripada sektor swasta manakala bakinya daripada sektor awam.

Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) merupakan agensi utama yang melaksanakan inisiatif SCORE, memberi tumpuan dalam menyelaras dan mempercepat pembangunan," katanya.

No comments:

Post a Comment