Tuesday, October 20, 2015

Penilai Bebas Kaji Permukaan, Belokan & Mendapan LPT2 - Menteri


"Badan itu akan mengaudit belokan dan permukaan lebuh raya yang mungkin tidak rata...Ia juga akan membuat profil jalan sama ada berlaku mendapan yang boleh mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya."
 - Datuk Seri Fadillah Yusof

Selepas pelbagai punca dikaitkan dengan kemalangan dan kematian di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), termasuk kerana paranormal, kerajaan akhirnya bersetuju melantik sebuah badan penilai beba.

Ia sudah dilantik untuk membuat penilaian keadaan LPT2 yang laporan awalnya dijangka siap minggu depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah untuk melantik badan penilai bebas tersebut bagi menilai semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan.

Badan itu juga akan mengaudit tahap keselamatan berhubung belokan dan permukaan lebuh raya yang mungkin tidak rata.

"Ia juga akan membuat profil jalan sama ada berlaku mendapan yang menyebabkan jalan tidak rata yang boleh mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita pada Konvensyen Antarabangsa Ukur Bahan 2015 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut satu laporan, pakar lebuh raya,  Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan hari ini berkata sudah tiba masanya kepada Kerajaan untuk mendapatkan khidmat badan-badan profesional bebas bagi melakukan audit ke atas lebuh raya di Malaysia.

Ini kerana banyak kemalangan dan kematian berlaku di LPT2.

Beliau mempersoalkan mengapa tidak dilakukan sebarang audit oleh badan bebas walaupun terdapat kemalangan maut yang tinggi di lebuh raya.

Katanya,  audit hendaklah dibuat di LPT2 di mana telah terdapat 85 kematian dan 1,991 kemalangan sejak dibuka pada tahun 2011.

Menurutnya : “Statistik menunjukkan bahawa 70% adalah kemalangan tunggal (kemalangan tanpa melibatkan kenderaan lain) dan kira-kira 30% adalah disebabkan oleh jalan-jalan yang rosak.

“Tetapi adakah lebuh raya itu mempunyai ciri-ciri atau halangan yang boleh menyelamatkan nyawa?

Dr Muhammad Marizwan
“Ia satu perkara yang asas. Semua yang perlu dan mesti diaudit. Jika audit boleh dilakukan di jabatan-jabatan, mengapa tidak mereka dilakukan di lebuh raya kita di Malaysia, “kata penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) itu dipetik akhbar The Star.

Menurutnya, dengan tol dan pembinaan lebuh raya di bayar oleh orang ramai, ia adalah sangat penting dan perlu untuk mempunyai pihak bebas menjalankan audit yang kerap ke atas lebuh raya.

Dr Muhammad, yang terlibat dalam mereka bentuk LPT2 kira-kira 10 tahun lalu menjelaskan pereka lebuh raya tidak akan berkompromi dengan keselamatan tetapi beliau mempersoalkan adakah kontraktor telah mematuhi sepenuhnya dengan reka bentuk yang dipersetuju atau adakah pembinaan itu dibuat mengikut spesifikasi.

“Ramai yang memberitahu kita bahawa lebuh raya dibina mengikut reka bentuk antarabangsa. Saya bersetuju dengan itu.

“Tetapi adakah spesifikasi reka bentuk diikuti semasa pembinaan? Juruaudit bebas akan dapat memberitahu kita tentang perkara tersebut, “katanya.

Beliau menegaskan bahawa beberapa lokasi bahagian lebuh raya adalah beralun dan mencipta “kolam air” apabila berlaku hujan lebat.

Sementara itu Menteri Kerja Raya berkata sebaik mendapat laporan awal, langkah mitigasi termasuk menurap semula jalan atau memperbaiki lencongan akan diambil dengan segera.

Fadillah diminta mengulas mengenai keadaan LPT2 yang banyak merekod jumlah kemalangan yang mengorbankan nyawa.


Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, LPT2 sejauh 184 kilometer itu dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus mencatat 1,989 kes kemalangan dan meragut 85 nyawa sejak beroperasi pada Januari 2011.

Sementara pada Rabu lepas, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Kuantan maut dalam kemalangan di lebuh raya berkenaan dan seorang penunggang motosikal pula maut semalam.

Fadillah menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu.

"Kalau mengikut segala garis panduan dan tatacara pemanduan berhemah, Insya-Allah semua akan selamat di jalan raya," katanya.

Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan JKR juga diarahkan supaya menempatkan lebih banyak papan tanda amaran di lokasi berisiko berlaku kemalangan

"Ini adalah tindakan segera yang diambil bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya berkenaan," kata Fadillah.

Beliau berkata punca kemalangan di kebanyakan lebuh raya dalam negara adalah berpunca daripada kecuaian manusia, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik dan keadaan jalan yang tidak selamat.

No comments:

Post a Comment