Friday, November 6, 2015

Bandar Wakaf - Babitkan Asnaf Secara Langsung Dalam Pembangunan Mega


"Perincian mengenai konsep wakaf yang akan diamalkan di bandar tersebut akan diuruskan oleh Maidam...kawasan meliputi 8.8 hektar itu akan diperhalusi balik oleh Maidam dan jika perlu akan menambah keluasannya pada masa akan datang."
- Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

Oleh Hambali Abdul Latiff
Bandar Wakaf yang bakal dibangunkan di Kuala Nerus bukan sekadar mercu tanda kebangkitan ekonomi umat Islam di Terengganu tetapi di Malaysia amnya.

Selain itu, yang penting ialah bandar di tapak seluas 22 ekar itu akan meyediakan pusat perniagaan, perumahan dan hotel yang membabitkan secara langsung kumpulan asnaf dalam pembangunan mega.

Ini sesuatu yang mendahului konsep pembangunan bandar di negara ini. Sebelum ini pembangunan bandar sering dikaitkan dengan kumpulan peniaga, elit, kakitangan kerajaan serta yang berkemampuan sama ada memiliki hartanah dan mengusahakan kegiatan perniagaan. Atau dengan kata lain perbandaran lebih kepada kumpulan pertengahan dan yang berada.

Sementara yang kelas bawahan dan berpendapatan rendah hanya sebagai ‘penumpang’ di bandar-bandar berkenaan.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Namun, bertepatan dengan namanya ‘wakaf’, sudah pasti tujuan murni Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Kerajaan Terengganu ialah membantu golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan terutama pelajar dan peniaga bagi meringankan beban mereka.

Ini termasuk memberi peluang kepada peniaga untuk  menyewa kedai secara percuma demi membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Manakala pelajar universiti yang miskin boleh tinggal di kawasan perumahan (dalam bandar baharu) untuk meringankan beban kewangan mereka.

Konsepnya baik dan sewajarnya disambut oleh rakyat, bukan sahaja di Seberang Takir dan Kuala Nerus amnya tetapi di Terengganu seluruhnya.

Apa yang penting ditekankan di sini, apabila pelaksanaannya, ia hendaklah mengambil kira matlamat dan niat suci penubuhannya.

Beberapa pertimbangan penting perlu dirangka kerana apabila disebut ‘percuma’  - lot kedai dan kediaman pelajar – akan timbul beberapa persoalan:

Bagaimana proses memilih dilakukan;

1.     Pihak mana yang akan menanggung kos untuk perkhidmatan ‘percuma’   berkenaan;

2.     Apa kesannya kepada perbelanjaan kerajaan juga mungkin Pihak     Berkuasa di bandar berkenaan; dan

3.     Paling mustahak ialah siapa dan bagaimana mahu dikekalkan   pengurusan dan urus tadbir ke atas perkhidmatan percuma berkenaan.

Ahmad Razif yang mengumumkan bandar ini sudah pasti akan menjamin bandar berkenaan dapat diwujud dan berfungsi seperti yang dirancangkan.

Ahmad Razif semalam berkata perincian mengenai konsep wakaf yang akan diamalkan di bandar tersebut akan diuruskan oleh Maidam.

Malah,  kawasan meliputi 8.8 hektar itu akan diperhalusi balik oleh Maidam dan jika perlu akan menambah keluasannya pada masa akan datang.

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Besar Terengganu memaklumkan bahawa bandar itu masih dalam perbincangan namun dicadang untuk membangunkannya di kawasan persekitaran UniSZA dan Padang Nenas.

"Diharap dengan wujudnya Bandar Wakaf ini kelak akan dapat menyelesaikan masalah kepada mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian," katanya.

Beliau berkata terdapat dua buah universiti di sini iaitu UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta beberapa institusi pengajian tinggi seperti Institut Pendidikan Guru, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Imtiaz dan beberapa institusi kemahiran.

Semalam, bercakap  kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Rabu (4 November 2015), Ahmad Razif mengulangi bahawa ia bersifat membantu golongan asnaf agar dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Bandar Wakaf yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu adalah sebahagian daripada komponen yang terdapat dalam Bandar Baru Kuala Nerus.

"Maidam akan memiliki pusat perniagaan yang akan diberi kepada golongan asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui ekonomi serta kawasan perumahan untuk golongan asnaf yang layak.

"Kebetulan juga kawasan Bandar Wakaf nanti berhampiran dengan beberapa pusat pengajian tinggi awam dan mungkin juga perumahan itu boleh diberikan kepada pelajar miskin yang layak sebagai penempatan untuk meringankan beban kewangan mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Idea untuk membangunkan Bandar Wakaf itu adalah hasil perbincangan Maidam bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut mendapat kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu institusi waqaf korporat pertama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Kita amat yakin dengan kahdiran Muhamad Ali dalam projek ini, harapan kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri akan terlaksana seperti dirancangkan.

Bandar Wakaf pertama di Malaysia di kawasan seluas 8.8 hektar dalam Bandar Baharu Kuala Nerus yang juga dikenali sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah,  adalah sebahagian daripada pembangunan bandar baharu yang berkeluasan hampir 4,000 hektar.

Menurut anggaran ketika ini, kerajaan negeri akan peruntukan kira-kira RM600 juta dijangka mengambil masa empat tahun setengah dengan menggunakan konsep pembangunan berpusat sepertimana Pusat Pentadbiran Putrajaya.

Mengulas mengenai pembinaan Bandar Baru Kuala Nerus, Ahmad Razif berkata bandar seluas 3,785.65 hektar itu akan dibina dalam masa terdekat dengan mengambil masa empat tahun setengah untuk dibina.

"Bandar itu yang juga dikenali sebagai Bandar Alwatiqu Billah akan menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan secara berpusat seperti di Putrajaya yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan," katanya.

Idea dan tujuan yang baik ini hendaklah disambut oleh semua pihak, khususnya di Seberang Takir dan Kuala Nerus.

Rakyat dan kumpulan sasar – khususnya asnaf  dan pelajar – tidak sewajarnya hanya menunggu pelaksanaan projek ini.

Sebaliknya berilah cadangan kepada kerajaan agar apabila dilaksanakan, ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menjadi kumpulan sasar!

No comments:

Post a Comment