Thursday, November 5, 2015

JANGAN SUSAH HATI HUSAM…KENAIKAN GAJI SELEPAS SEMUA PERTIMBANGAN


"Gaji MB Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kini RM15,000 tetapi gaji MB Terengganu dan Pahang ialah sebanyak RM30,000 sebulan. ADUN di Kelantan mendapat RM8,000 tetapi di Pahang menerima sebanyak RM14,000 sebulan dan di Terengganu sebanyak RM11,000."

Sudah diketahui umum bahawa pendapatan kebanyakan negeri mulai berkurangan,  khususnya negeri-negeri yang menerima ‘wang ehsan tahunan’ daripada Petronas.

Juga sudah menjadi ‘rahsia umum’ bahawa kehidupan rakyat tertekan dengan kos kehidupan yang meningkat dn pelbagai cabaran ekonomi dan kewangan yang lain.

Namun, apakah keadaan sedemikian boleh dijadikan penghalang kepada keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan gaji dan elaun wakil rakyat?

Jika kerajaan negeri membuat keputusan sedemikian, sudah tentu ia mengambil pelbagai perkiraan, termasuk kesusahan rakyat.
  
Semalam, dalam kenyataannya, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa menyindir “keberanian” kerajaan Kelantan susulan kenaikan elaun wakil rakyatnya kepada RM8,000 sebulan.

Husam berkata beliau tidak bersetuju dengan pengumuman itu kerana kenaikannya dibuat ketika himpitan ekonomi yang dirasai rakyat.

Alahai, bukan Kelantan sahaja gaji wakil rakyat naik. Jiran sebelah, Terengganu dan Pahang pun mengalami kenaikan juga, malah lebih besar!


Pada 29 Mei lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan kenaikan gaji 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kenaikan itu juga membabitkan gaji Speaker DUN daripada RM6,109 kepada RM14,000 sebulan dan Timbalannya (RM2,662 kepada RM7,000 sebulan).

Sementara itu, gaji Menteri Besar pula dinaikkan kira-kira 110 peratus daripada RM14,175 kepada RM30,000 sebulan manakala Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (RM6,109 kepada RM14,000 sebulan) dan gaji Setiausaha Politik Menteri Besar (RM3,993 kepada RM9,000 sebulan).

Gaji Menteri Besar Kelantan yang diluluskan oleh sidang DUN Kelantan itu bukan besar pun berbanding gaji Menteri Besar Pahang  dan Terengganu.

Elaun Menteri Besar Kelantan naik daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan tetapi di Terengganu, enakmen yang diluluskan oleh persidangan DUN Terengganu pada 8 September lalu  di mana Menteri Besar kini menerima gaji RM30,000 sebulan berbanding RM14,000 sebelum itu.

Yang Dipertua Dewan dan Exco Terengganu menerima gaji RM14,000 sebulan berbanding RM6,100 sebelum ini. Kesemua 32 ADUN Terengganu kini menerima gaji RM11,000 sebulan berbanding RM4,112 sebelum ini.

Bagi Ahmad Razif, kelulusan oleh DUN Terengganu  itu adalah munasabah kerana setiap Menteri Besar, Exco dan Yang Dipertua Dewan tidak menerima kenaikan gaji tahunan selain tidak berpeluang mendapat bonus seperti penjawat awam yang lain.

"Kenaikan ini juga akan dinikmati bekas Exco, bekas Menteri Besar dan bekas Yang Dipertua Dewan, (ini kerana) pencen (minimum 72 bulan) akan mengguna pakai gaji hari ini sebab ada sesetengah Exco menerima pencen RM3,000 sahaja, ini tidak munasabah," kata Menteri Besar.

Yang Dipertua Dewan, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri Terengganu akan menerima kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari  tahun ini sama seperti di Pahang.


Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan meminda gaji tersebut tertangguh sejak sekian lama dan dibuat bagi memastikan kesemua ADUN dapat memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan masing-masing.

“Kenaikan ini turut mengambil kira kepentingan rakyat yang sedang berada dalam kesusahan, saya sendiri sangat berat dan susah hati untuk mencadangkan pindaan ini dibuat,” katanya.

Sebaliknya, kenaikan diluluskan itu hanya akan berkuatkuasa 1 Januari 2016 akan datang.

DUN Kelantan pada 2 November lalu (Isnin) meluluskan untuk meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).

Timbalan Menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).

Semakan terakhir melibatkan penyelarasan elaun anggota pentadbiran dan ADUN Kelantan dilakukan pada tahun 2010.

Ketua Pembangkang Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) ketika membahaskan enakmen berkenaan berkata elaun ADUN sepatutnya dinaikkan kepada RM11,000 agar ia selaras dengan negeri-negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang dan Selangor.

"Kenaikan kepada RM11,000 itu adalah wajar memandangkan keadaan ekonomi semasa dan tanggungjawab berat yang dipikul oleh wakil rakyat pada masa kini dan sepatutnya wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

"Elaun khas kepada ketua pembangkang juga sepatutnya diwujudkan," katanya.

Malah, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan utama mereka untuk tidak menaikkan elaun ADUN kepada RM11,000.

"Ini kerana kerajaan Persekutuan sentiasa membantu kerajaan negeri terutama berkaitan belanja mengurus pada setiap tahun," katanya.

Menteri Besar Kelantan (PAS-Pasir Pekan) ketika menggulung perbahasan berkata pihaknya memahami apa yang disampaikan oleh pembangkang berhubung kenaikan elaun berkenaan.

Ahmad berkata bagaimanapun terdapat kekangan kewangan daripada kerajaan negeri pada ketika ini yang digunakan bagi pembangunan negeri.

"Elaun sebanyak RM8,000 adalah sesuai pada ketika ini memandangkan enakmen berkenaan tidak menyebut tempoh masa untuk menyemak kembali elaun berkenaan.

"Kita akan lihat kepada keupayaan dan keselesaan kerajaan negeri (dalam hal ini) dan kerajaan kekal dengan angka yang diberikan dalam dewan," katanya.

Husam sebaliknya mengatakan  ramai juga rakan-rakan ADUN rasa serba salah menerima kenaikan ini. Kos hidup dan tuntutan perkhidmatan yang meningkat kini memerlukan kenaikan elaun ini.

Beliau juga terkejut membaca laporan media bahawa dua ADUN BN menuntut elaun itu dinaikkan lebih tinggi lagi.

“Ketika berdepan pengundi, timbul sedikit perasaan segan di hati. Rakyat kian susah, kita pula naik gaji,” kata bekas exco ekonomi ketika pentadbiran ikon PAS allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Bagi Husam, kenaikan elaun yang diumumkan kelmarin menunjukkan kewangan kerajaan adalah kukuh.

Bagaimanapun Husam berkata sekiranya kewangan kerajaan negeri begitu kukuh tidak mungkin tunggakan yang membelenggu Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak mampu dijelaskan.

“Saya agak, kerajaan Kelantan akan berjaya melakukannya. Jika tidak, imej kerajaan sukar dibaiki,’ katanya.

Beliau turut menafikan laporan Bernama bahawa semua 45 ADUN Kelantan menyokong cadangan kenaikan itu sebagai  tidak tepat.

“Saya tidak ada di Dewan ketika cadangan itu diluluskan,” kata bekas Naib presiden PAS itu.

Walaupun tidak ada di dewan, gaji Husam juga akan naik.

Kita tunggulah, sama ada Husam akan tolak kenaikan itu atau 'enjoy' dengan kenaikan yang tidaklah setara dengan kenaikan ADUN di Terengganu dan Pahang.

No comments:

Post a Comment