Friday, October 9, 2015

Jawapan 1MDB, Jaminan Zahid Elak Kekeliruan, Tohmahan Berterusan....



"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinet menilai baik titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu berkenaan....pada masa ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang 1MDB dan ia disambut baik oleh pelabur dalam serta luar negara."

Dua perkembangan menarik mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

Pertama firma pelaburan kerajaan itu menjawab persoalan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan firma kerajaan itu sarat hutang.

Kata Muhyiddin: “Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita.

Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.”

1MDB kesal walaupun penjelasan berulang, beberapa bekas dan ahli politik semasa tertentu terus mengeluarkan separuh kebenaran mengenai syarikat tersebut.

1MDB menganggap ini adalah sebahagian serangan sengaja dan bermotifkan politik, untuk mensabotaj bukan sahaja IPO tenaga yang dirancang sebelum ini tetapi pelaksanaan berterusan pelan rasionalisasinya.

Bagi 1MDB, 100 peratus pemegang saham utamanya, Kerajaan Malaysia, komited sepenuhnya untuk melaksanakan rancangan itu, seperti yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Perkara kedua ialah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk SeriDr Ahmad Zahid Hamidi memberikan reaksi kepada titah Raja-Raja Melayu dengan mengatakan bahawa kerajaan memberi jaminan, sebarang bentuk siasatan berkaitan isu 1MDB akan dilakukan secara adil dan terbuka.

Kenyataan media itu dikeluarkan selepas Majlis Raja-Raja pada Selasa menitahkan supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

Kedua-dua kenyataan – oleh 1MDB dan Dr Ahmad Zahid -  yang bersifat jaminan, mencerahkan sedikit keraguan, apalagi apabila ada pihak mengaitkan titah berkenaan sebagai isyarat supaya Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak berundur.

Bagi 1MDB, melabelkan sebagai 'syarikat yang dibebani hutang' adalah mengelirukan.

Ini kerana beberapa perniagaan telah berjaya menggunakan hutang untuk membina asas aset mereka.

Dalam kes 1MDB, dari ekuiti RM1 juta, sejumlah RM1.7bilion jumlah ekuiti pemegang saham kumpulan telah dijana pada 31 Mac 2014.

"Walau apa pun kemungkinan cabaran pada masa ini dan yang berikutnya, di mana ia didokumenkan dengan baik dan diakui, 1MDB masih yakin dapat menjana lebih nilai apabila kita meneruskan progres pelan rasionalisasi," kata 1MDB dalam satu kenyataan semalam.

Bagi 1MDB, ia menyedari siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin (Rabu) yang penciriannya 1MDB sebagai 'syarikat yang dibebani hutang' adalah mengelirukan.

Ini kerana  Muhyiddin, sebagai bekas anggota Kabinet, “tahu sepenuhnya bahawa nilai aset 1MDB melebihi hutang.”

"Sebagai anggota Kabinet, apabila 1MDB telah ditubuhkan, Tan Sri Muhyiddin sedar mengenai struktur modal 1MDB. Dengan RM1 juta ekuiti daripada pemegang saham, Kementerian Kewangan, 1MDB meningkatkan modal di pasaran - di mana merupakan hutang pada akaun syarikat .

"Banyak perniagaan, di Malaysia dan luar negara, telah berjaya menggunakan hutang untuk membina asas aset mereka. Dalam kes 1MDB, dari RM 1 juta ekuiti, jumlah ekuiti pemegang saham kumpulan sebanyak RM1.7 bilion telah dijana pada 31 Mac 2014,”
kata 1MDB.

"Fakta ini diperkuatkan lagi dengan nilai ketara ditunjukkan oleh pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap penjualan ekuiti dalam Edra Tenaga dan Bandar Malaysia.

Dr Ahmad Zahid pula memberi jaminan, semua siasatan terhadap mana-mana pihak yang akan dibuat dengan berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak sepatutnya berlaku.

"Kerajaan juga mengambil berat dan menghormati titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai mata wang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangan kos beban rakyat menjadi fokus untuk kerajaan.

"Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat," katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Menurutnya: "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinet menilai baik titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu berkenaan.

Dr Ahmad Zahid turut menjelaskan,  pada masa ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang 1MDB dan ia disambut baik oleh pelabur dalam serta luar negara.

Dalam masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang itu melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut akan dibentangkan.

"Diharapkan tiada pihak yang menangguk di air keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan,” tegasnya.

Selain itu, Pasukan Petugas Khas menyiasat firma pelaburan 1MDB tidak pernah dibubarkan, kata Pejabat Peguam Negara.

"Hakikatnya, siasatan yang dijalankan oleh agensi yang terlibat tidak pernah pada bila-bila masa dihentikan atau disekat. Peguam negara sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi yang berkaitan apabila siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, termasuk arahan untuk mempercepat siasatan.

"Sehingga hari ini, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum melengkapkan siasatan mereka kerana kenyataan beberapa saksi utama masih belum direkodkan," kata kenyataan itu.

Pendirian Pejabat itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Ogos yang menyatakan Pasukan Petugas Khas sudah tidak diperlukan seperti yang dinasihatkan oleh Peguam Negara yang baru Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Ismail Sabri - KKLW Sedia Depoh Utama, Tambah Pangkalan Hadapan Hadapi Banjir

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyediakan depoh utama sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada musim tengkujuh.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata depoh utama berkenaan akan menempatkan barangan keperluan mangsa banjir dan berperanan sebagai Pusat Bilik Gerakan Operasi Banjir KKLW.

"Dari segi infrastruktur, 13 pangkalan hadapan ditambah untuk menempatkan barangan keperluan seperti tikar, selimut dan pelbagai keperluan lain.

"KKLW sedang melihat keperluan dan bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kelak kepada mangsa banjir selain keperluan asas yang sedia ada. Ia akan diteliti dalam mesyuarat Tindakan Simulasi Banjir yang akan diadakan dalam waktu terdekat," katanya kelmarin.

Katanya agensi utama KKLW iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) juga diberi tanggungjawab sebagai penyelaras setiap negeri.

Ismail Sabri berkata ini untuk memastikan bantuan kepada mangsa dapat diselaraskan secara efektif.

Tambah beliau, KKLW juga akan menyediakan sukarelawan banjir dan melancarkan Tabung Bencana Banjir dalam kalangan warga kerja KKLW untuk meringankan lagi beban mangsa yang terlibat.

Ismail Sabri berkata tahun lepas, KKLW menyalurkan RM4,565,650 peruntukan kepada mangsa banjir dan bagi tahun ini KKLW menyiapkan aset dan menambahkan infrastruktur untuk membantu mangsa banjir.

Sementara anggaran nilai kerosakan akibat banjir di bawah KKLW adalah RM345 juta dan melibatkan 128,514 mangsa, katanya lagi.


bernama.com

Wednesday, October 7, 2015

Isu Penagihan Dadah Di Sebalik Kecemerlangan Pelajar Terengganu…


Kita bangga dengan pencapaian pelajar Terengganu dalam peperiksaan dan sukan.

Kita juga bangga kerana kerajaan negeri amat prihatin terhadap pelajar dan sentiasa berusaha membaiki prestasi pelajar dan cara mngajar dan pembelajaran.

Malah pemimpin negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dilihat mampu membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggu dalam pendidikan negeri.
Hasil MakmalPenyediaan Rangka Tindakan Transformasi Pendidikan Terengganu 2016-2020 yang diumumkan semalam dilihat mampu melaksanakan `penemuan baru’ dalam memperkasakan bidang pendidikan negeri, selaras dengan prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).
Selain penemuan baharu itu, antara tujuan makmal berkenaan juga menghasilkan kertas kerja bagi mendapatkan sumber kewangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat bagi menambah peruntukan sedia ada kerajaan negeri untuk bidang pendidikan.

Namun ada cabaran penting di mana sebab utama  anak Terengganu gagal meneruskan kecemerlangan  di peringkat universiti adalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris yang turut dikesan menerusi  peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Kerana itu Menteri Besar berharap perlu ada kesinambungan dan bengkel ini sebagai platform untuk kita mendapat formula serta ramuan untuk meneruskan kecemerlangan anak Terengganu. Biar ada kesinambungan supaya akhirnya anak-anak Terengganu ramai yang mendapat `kelas pertama’ dalam bidang-bidang yang diceburi.
Selain cabaran yang boleh dipantau dan dilakukan penambahbaikan seperti diperkatakan oleh Menteri Besar, isu penting yang juga perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh ialah gejala dadah di kalangan pelajar di Terengganu.

Laporan yang menyebu seramai 600 pelajar sekolah menengah di Terengganu yang mempunyai masalah disiplin seperti ponteng dan merokok dikategorikan sebagai golongan berpotensi terlibat dengan dadah, memerlukan perhatian semua pihak..

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang, Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang ditubuhkan kerajaan negeri telah melakukan ujian air kencing ke atas semua pelajar sekolah negeri itu.

"Melalui ujian itu kita kenal pasti 170 pelajar yang telah terlibat dengan dadah dan melalui kaji selidik serta maklumat sekolah pula, lebih 400 orang dikhuatiri akan terlibat sama jika tiada langkah pencegahan awal diambil.

Menurut A Latiff, jumlah itu masih terkawal dan beberapa langkah proaktif bagi memastikan mereka ini dapat dipulihkan sudah diambil agar tidak lagi mengulangi kesalahan sama.

A Latiff yang juga Pengerusi MTMD berkata langkah awal yang diambil ialah menghantar kesemua 600 pelajar itu ke kem motivasi dan mereka sentiasa dipantau untuk tindakan susulan.

"Ia dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kesihatan.

Kita berharap langkah-langkah yang dijalankan perlu langkah susulan dan berusaha agar mereka tidak kembali kepada tabiat lama.

Benar seperti kata A Latiff : "Pelajar ini tidak boleh dibiarkan kerana kita risau mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai masalah sosial di luar.”

Beliau yakin dengan program yang melibatkan pengisian rohani yang dijalankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu melalui kem-kem yang dijalankan akan mendatangkan faedah.

Kita mengalu-alukan pnganjuran seminar peranan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Agama dan pemimpin masyarakat dalam memerangi dadah selain makmal-makmal untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar Terengganu.

Malah, usaha kerajaan Terengganu ke arah kecemerlangan pendidikan akan 'terjejas' sekiranya isu dadah dan masalah disiplin di sekolah tidak ditangani dengan baik dan berkesan.

Kita berharap usaha mempertingkatkan pencapaian pelajar dilakukan sepanjang masa dan begitu juga dengan usaha mengatasi masalah dadah hendaklah dilakukan tanpa bermusim.

Nota - gambar Teganukita

Sunday, October 4, 2015

PAS Terpaksa Melangkah Sendirian di Terengganu, Kelantan – Itu Jalan Terbaik

Azan di tengah bersama Raja Bahrin dan Ng Chai Heng (kiri).
Hakikatnya, di Terengganu dan Kelantan, PAS tidak perlu bekerjasama pun dengan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) apa lagi DAP.

Untuk apa ada kerjasama sedemikian jika tidak menguntungkan PAS?

Sudah nyata, tiada apa yang boleh disumbangkan oleh wakil PKR di Terengganu (DUN Bandar) dan DUN Guchil di Kelantan.

ADUN Bandar, Azan Ismail di Terengganu bukan sahaja sukar untuk ditemui tetapi banyak masa berada di luar. Beliau hanya akan berada di Kuala Terengganu jika ada majlis berkaitan parti.

Yang pasti ialah tiga sidang Dewan Undangan Negeri atau DUN iaitu April, September dan November setiap tahun. Masa lain sukar mencari Azan. Kalau tidak di Kuala Lumpur, beliau mungkin di Kuantan.

Itu dengan PKR. Bagaimana dengan Amanah?

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah tegaskan dengan jelas bahawa PAS "tidak mungkin" dapat menerima kerjasama dengan Amanah.

Malah, PAS juga tidak jelas sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Di Terengganu, wakil Amanah hanya di Parlimen Kuala Terengganu walaupun ada ura-ura ADUN Batu Burok dan ADUN Ladang akan menyertainya.

Malah, ketika dalam PAS pun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini hanya mencipta isu tetapi tidak berkhidmat untuk rakyat.

Untuk sebarang penyelesaian masalah, mereka terpaksa berjumpa dengan Pengarah DUN dan Parlimen Kuala Terengganu dari UMNO.

Lebih menyakitkan hati PAS, gerakan Amanah kini didakwa giat menarik ahli dan meramPAS bangunan milik parti berkenaan.

Semalam Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mencabar  PAS Terengganu untuk menyatakan pendirian sama ada untuk  bersama Barisan Nasional (BN) atau PH.

Raja Bahrin memberi amaran keengganan PAS menyertai PH menyebabkan parti itu ketinggalan di Terengganu berikutan PKR, DAP dan Amanah sudah bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan PH demi kepentingan rakyat.

Dalam satu kenyataannya semalam  beliau berkata sekiranya PAS mahu menyertai PH pada masa akan datang, permintaan itu akan dipertimbangkan melalui perbincangan parti komponen PH yang mana buat masa ini disertai oleh DAP, Amanah dan DAP.


“Penubuhan PH di Terengganu adalah atas permintaan akar umbi untuk terus maju ke hadapan dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14. Tawaran awal telah pun dibuat pada peringkat Pusat oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun mereka (PAS) enggan menerimanya. Jadi PH perlu mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Raja Bahrin merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat di mana beliau dipetik sebagai berkata, Pilihan Raya Umum akan datang perlu kekal pertandingan dua penjuru – BN dan pakatan pembangkang.

Berikutan itu, kata Raja Bahrin: “Pesuruhjaya PAS perlu menyatakan pendirian sekiranya beliau benar-benar mahukan pertandingan dua penjuru,” katanya.

Dalam kedudukan PAS yang tidak jelas, semalam dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi parti itu diserahkan kepada rakan kerjasama dalam gabungan pembangkang. Turut 'diserahkan' ialah jentera dan petugas parti.

Namun katanya, sekiranya PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna mereka sekali lagi perlu menyerahkan kerusi kepada parti baru dan ia "tidak mungkin berlaku".

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada AMANAH.

Tuan Ibrahim sudah memberikan amaran bahawa: "PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya (sebelum ini) kerana itu adalah hak PAS. Jika komponen parti pembangkang lain khususnya AMANAH juga meletakkan calonnya, ia menjadi penyambung tali hayat kepada UMNO atau BN," kata beliau.

Ini bermakna bahawa apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan di Terengganu tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada PAS termasuk tujuan kerjasama.

Tanpa PAS, perjanjian persefahaman telah ditandatangani semalam  yang disertai oleh tiga pengerusi parti negeri iaitu Azam Ismail dari PKR, Raja Bahrin dari Amanah dan Ng Chai Heng bagi pihak DAP.

Persetujuan PKR, Amanah dan DAP di Terengganu menjadikan ia negeri pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk Pakatan Harapan Terengganu, selari dengan gabungan yang telah pun dibentuk di peringkat Pusat.

MoU itu merupakan inisiatif awal untuk mengelak perlawanan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan ketiga-tiga parti.

Ditanya sejauh mana kerjasama PKR dengan PAS, Azan memberitahu pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak sambil memberitahu bahawa keputusan untuk bersama Pakatan Harapan bukan dibuat bersendirian, tetapi ia merupakan dasar di peringkat pimpinan.


Walaupun Tuan Ibrahim bercakap secara umum, menurut beliau tindakan tergesa-gesa DAP, PKR dan Amanah membentuk PH menonjolkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS berharap tidak akan berlaku perpecahan kerjasama dengan PKR walaupun bibit perpecahan itu mula kelihatan.

Sejak Pakatan Rakyat berkubur, PAS hanya bekerjasama dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan DAP.

Perselisihan itu berlarutan ekoran beberapa isu - terutama apabila membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - dan DAP.

Kata Tuan Ibrahim, ketika ini ada pihak ingin menjadi juara dengan mengawal parti pembangkang lain.

Beliau jelas merujuk kepada DAP.

Dengan adanya DAP dalam pakatan di Terengganu, sedangkan pengaruh parti itu tidak seberapa, amat jelas pada pilihan raya umum akan datang, tidak aka nada pertandingan dua penjuru.

Dengan kedudukan PKR dan DAP yang lemah disamping wakil Amanah yang tidak ke mana, pilihan raya umum akan datang – kerusi DUN dan Parlimen – pastinya akan ditandingi oleh sekurang-kurangnya tiga pihak iaitu BN, PAS dan pakatan pembangkang yang baru.

Dan seperti biasa akan ada pengacau yang meletakkan calon Bebas untuk memeriahkan lagi pilihan raya umum di Terengganu yang dijangka pada 2018.