Monday, June 13, 2016

Sultan Mizan Dan Permaisuri Kurnia Sumbangan Fakir Miskin


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Permaisuri Nur Zahirah hari ini berkenan mengurniakan bantuan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) kepada 460 fakir miskin dan pelajar sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu.

Turut mengiringi pada majlis itu semalam ialah Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dari jumlah itu seramai 200 orang adalah fakir miskin dari seluruh daerah negeri yang menerima wang tunai masing-masing RM300 seorang berserta hamper barangan keperluan harian.

Pada tahun ini, buat julung kalinya 20 pengusaha bot penambang dan 30 penarik beca dipilih untuk menerima bantuan serupa.


Bantuan turut dikurniakan kepada seramai 210 pelajar miskin daripada tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga (Kuala Terengganu); SK Sungai Pergam (Kemaman); SK Sungai Berua (Hulu Terengganu); SK Kampung Shukur (Dungun); SK Pendidikan Khas (Besut) dan SK Rhu Sepuluh (Setiu).

Manakala, tiga madrasah iaitu Ma’ahad Tahfiz Al –Quran Al-Azahar dan Maahad Tahfiz Al-Busyra dari Kuala Terengganu serta Madrasatul Quran Al Hasanah Lil Banaat di Marang turut di­pilih menerima bantuan tersebut dengan setiap pelajar menerima duit raya sebanyak RM200 seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan isteri To’ Puan Aizan Ngah serta Pengerusi Majlis Pengurniaan Bantuan tersebut merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof dan isteri To’ Puan Sabariah Syed Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, sebanyak RM175,000 diperuntukkan bagi majlis berkenaan.

Katanya, usaha YDSM itu mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Sekretariat Pesona Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
“YDSM juga mendapat sokongan dan sumbangan menggalakkan daripada badan-badan korporat dan individu dalam menjayakan bantuan ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment