Kerajaan negeri Terengganu belum mendapat maklumat lengkap larangan
terhadap Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berceramah di negeri itu.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas
Khas, Ghazali Taib , yang bertanggungjawab keatas hal ehwal agama itu menambah, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri.
Ghazali...tiada maklumat lengkap |
“Isu melibatkan agama di bawah Duli Tuanku Sultan Mizan
Zainal Abidin, Datuk Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Omar Musa,
Ahli Pangkuan DiRaja dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu
(Maidam),” katanya.
Larangan itu bermakna, selepas Johor, Terengganu mengambil
langkah serupa mengeluarkan larangan ke atas Mufti Perlis, daripada mengadakan ceramah di negeri ini
berkuatkuasa serta merta 13 Julai lalu.
Sebelum ini, Mohd. Asri tersenarai antara 16 individu
dilarang oleh kerajaan Johor mengadakan ceramah agama di negeri berkenaan
kerana dipercayai bagi mengelak timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Selain Mufti Perlis itu, turut dilarang berceramah di
Johor ialah seorang lagi pendakwah terkenal, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Sebelum ini, Asri ketika belum dilantik semula sebagai
Mufti Perlis ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan
kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman peribadi.
Larangan di Terengganu itu berdasarkan sepucuk surat bertarikh5 Julai lalu yang ditandatangani Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk
Omar Musa.
Surat itu juga memaparkan cap yang menandakan surat
tersebut diterima bagi tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Majlis Agama Islam
dan Adat Melayu (MAIDAM) yang bertarikh 13 Julai lalu.
Dalam surat dua perenggan itu, Omar menyatakan bahawa
beliau telah diarahkan untuk memaklumkan mengenai Mohd. Asri atau lebih
dikenali sebagai Dr. MAZA tidak dibenarkan berceramah di negeri Terengganu.
Katanya, larangan itu selaras dengan Peraturan 21,
Peraturan-Peraturan Tauliah (Terengganu) 2013 dan arahan itu berkuat kuasa
serta merta.
Pada masa sama, larangan turut dikenakan ke atas sesiapa
sahaja agar tidak menjemput Mufti Perlis itu sebagai penceramah dalam sebarang
program di negeri ini.
Bagaimanapun, surat tersebut tidak menyatakan sebab atau
alasan larangan itu dikeluarkan ke atas Mohd. Asri.
Ghazali menjelaskan beliau mengetahui perkara ini melalui
siaran akhbar dan belum mendapat maklumat penuh.
Ketika dihubungi FMT, jurucakap JHEAT enggan memberi
apa-apa komen berhubung larangan tersebut. FMT juga masih dalam usaha untuk
mendapatkan komen Asri tentang perkara ini.
No comments:
Post a Comment