Friday, July 15, 2016

‘Hantu’ Jenis Apa Menganggu Di Mana-Mana Sahaja Sepanjang LPT2?


Bahagian Akhir

Semalam malalui tajuk 'Izin Dalam Paksa' -Ahmad Razif Perlu Tunaikan Janji...’ blog ini membawa soalan,  apakah Menteri Besar sekarang akan memperjuangkan tuntutan RM1.8 bilion daripada Kerajaan Pusat selain kenapa LPT2 dikenakan tol tetapi tidak dengan Lebuhraya Pan Borneo.

Kita bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman bahawa keputusan mengenakan tol di di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula selepas tengah malam ini,  bukan keputusan tergesa-gesa.

Ir Rosli...tidak membebankan
Kadar caj tol yang dikenakan sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 sen bagi sekilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta).

Malah, Ir Rosli berpendapat, pengenalan tol berkenaan masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

Kita juga bersetuju bahawa LPT2 yang beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu memerlukan kos operasi dan penyenggaraan.

Bagaimanapun ia perlu  menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

"Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai.

"...tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang...kosnya juga telah meningkat berkali ganda," katanya pada sidang media di Kemaman semalam.

Pertanyaan ialah, sejauh mana kerajaan negeri boleh menjamin syarikat konsesi mengutip tol itu akan membelanjakan kutipan itu untuk tujuan operasi dan penyelengaraan?

Kita bimbang ia akan berorientasikan keuntungan. Contohnya dalam konteks PLUS sendiri, jika bersandarkan kenyataan kewangannya  berakhir 31 Disember 2014, jumlah hasil kutipan tol PLUS adalah sebanyak RM2.61 bilion dan jumlah keuntungan selepas cukai berjumlah RM8.4 juta.

Tetapi ia hanya membelanjakan hanya 20 peratus sahaja daripada hasil kutipan untuk tujuan operasi dan penyelenggaraan. Kos menaik taraf dan membaik pulih pula hanya 15-20 peratus sahaja.

Kemana baki 50 peratus lagi? PLUS gunakan untuk bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh konsesi tersebut.

Selain itu pada masa yang sama, Kerajaan Negeri bagaikan ‘tiada upaya’ atau ‘mengalah terus’ dengan Putrajaya dalam perkara-perkara asas membabitkan kepentingan hak dan harta rakyat negeri ini.

Kononnya untuk menggantikan jumlah wang kerajaan negeri yang tertangguh, dicadangkan pembinaan LPT3 dari Gemuruh ke Jertih.

Sehingga kini tiada jawapan konkrit. Apakah ia akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Posit? Percuma atau bertol? Apakah ia melebihi RM1.8 bilion?

Menteri Besar sejauh ini tidak dapat menjawab dengan jelas sebaliknya mengatakan ia bergantung ‘kepada kelulusan Kerajaan Pusat yang bergantung pula kepada keupayaan kewangannya.”.

Kerajaan Negeri Terengganu dikatakan bersandar kuat pada jawapan ini. Dengan kedudukan kewangan atau pendapatan kerajaan Pusat sekarang merosot, apa jaminan ia akan dilaksanakan? Tiada janji melalui Rancangan Malaysia ke berapa dan apa buktinya!

Sebagai penjaga amanah negeri, perjuangan Kerajaan Negeri mesti diteruskan. Soal dapat atau tidak dapat lain cerita, namun dengan berdiam diri kerana ‘bimbang terhadap sesuatu’ akan hanya menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Kita bimbang isu tol yang diperkenalkan semalam akan menjadi bahan kempen pembangkang untuk menunjukkan pentadbiran kerajaan negeri yang lemah dan ‘tunduk setunduknya’ kepada Putraja, walaupun melibatkan nkepentingan rakyat Terengganu.

Perbelanjaan wang kerajaan negeri oleh Kerajaan Pusat ini akan menjadi rekod atau sejarah buruk kepada Barisan Nasional (BN) Terengganu dan akan direkodkan sebagai kelemahan pentadbiran Menteri Besar UMNO sejak 2004 hingga kini.

Perlu diingat bahawa projek yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 15 Julai 2004 sepatutnya dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

BN menang melalui janji seperti ini tetapi selepas menang dan memerintah, apakah rakyat yang mengundi BN dibebankan pula dengan masalah ‘duit pendahuluan itu tidak dikembalikan’ dan ditambah dengan dikenakan tol?

Namun kerana ‘baik hati’, Kerajaan BN negeri mendahulukan RM1.8 bilion untuk menjamin ia dilaksanakan sebagai memenuhi janji pilihan raya.

Adilkah kepada rakyat Terengganu yang memberikan kepercayaan sedemikian dan kepercayaan itu dibalas dengan keadaan seperti ini?

Pada 8 Mei 2010, Menteri Besar ketika itu, Datuk Ahmad Said (belum Datuk Seri) mengatakan kerajaan Terengganu kecewa dengan kelewatan serta kemajuan yang perlahan pembinaan LPT2 diakibatkan oleh masalah kontraktor yang turut merugikan kerajaan negeri.

Menururnya, pembatalan beberapa kontraktor dan proses menender semula projek itu pastinya akan memberikan kesan kepada projek berkenaan.

Sebelum itu, pada blog hambali1 dalam analisisnya pada 20 Jun 2009 bertajuk KELEWATAN LPT2 – AKIBAT KERENAH KONTRAKTOR ‘KRONI’? menyebut bahawa Ahmad Said menjelaskan, berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, LPT2  yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Malah, Ahmad Said benar-benar berang apabila masalah LPT2  yang tidak siap-siap menjadi   pertanyaan dan komen sinis pembangkang  pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Isu ini turut menjadi modal kempen PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13  khususnya calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (kini Ahli Dewan Undangan Negeri) yang meletakkan kegagalan kepada Barisan Nasional (BN) kerana gagal menyempurnakan projek berkenaan.

Blog ini dalam laporan 29 Mei 2013 melalui tajuk “LPT2 -Jangan Biarkan Rakyat, Pembangkang Terus Salahkan MB, Kerajaan BN Negeri...”  memetik Ahmad Said sebagai berkata: "Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa. Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya.”

Amat nyata pembangkang sewenang-wenangnya mengaitkan isu isu LPT2 dengan ‘kelemahan kerajaan BN negeri’ dalam kelewatan dan isu pemilihan kontraktor itu.

Yang nyata, sekali, mereka sedikit sebanyak mendapat keuntungan dari segi sokongan dan undi!

Rakyat  mungkin dapat memaafkan kelewatan siapnya projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga ke Kampung Gemuroh, Terengganu yang asalnya dijangkakan siap pada Jun 2012. Ia hanya dibuka sepenuhnya pada 31 Januari 2015.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, isu ini turut dimainkan oleh pembangkang dan kesan kelewatan dan tuduhan mengatakan projek ini hanya ‘mengkayakan kroni’ (kroni siapa?) sedikit sebanyak ‘umpannya di makan’ oleh pengundi.

Apalagi kenyataannya ialah  telah mengakibatkan kos asal berjumlah RM3.7 bilion meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM4.25 bilion. Katanya, ia berikutan berikutan kenaikan harga barang binaan dan kegagalan beberapa kontraktor menyiapkan pakej masing-masing.

Malang juga kerana walaupun siap tetapi keadaan kualiti permukaannya amat tidak menepati standard malah prasarana tidak lengkap. Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengakui pembinaan LPT2 yang diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah tidak memuaskan.

JKR itu jabatan di bawah Kementerian Kerja Raya, dan ia milik siapa? Kerajaan neheri turut menerima tempias.


Untuk beberapa ketika rakyat ‘pejam mata’ kerana ia percuma. Akibatnya? Keadaan tidak selesa untuk pemanduan dan banyak tempat berbahaya menyebabkan berlakunya 849 kemalangan dengan 36 kematian direkodkan bagi tempoh Februari hingga November tahun lalu.

Salah pengguna atau keadaan lebuh raya berkenaan? Berhantu> Macam-macam teori tetapi ia jelas kombinasi banyak faktor.

Tetapi apabila tol dikenakan, rakyat yang tadinya ‘pejam’ kini ‘celik’ dan melihat kepimpinan negeri kini ‘tersangat lemah’ dalam beberapa perkara khususnya dalam isu tuntutan  dikembalikan ‘wang rakyat’ yang dibelanjakan sebanyak RM1.8 bilion serta tiada ‘perkongsian kerajaan negeri dan kerajaan Pusat’ melalui pendapatan kutipan tol.

Amat nyata,  permintaan hak perkongsian konsesi sebanyak 40% kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai imbal balik daripada kos yang telah dibelanjakan itu juga gagal diperolehi.

Sudahlah semua pihak, mungkin termasuk Kerajaan Negeri sendiri meraba-raba mengenai isi kandungan perjanjian konsesi, rakyat juga tidak dapat menilainya dari segi untung dan rugi terhadap mereka.

Apakah rakyat Terengganu hanya layak menerima apa sahaja yang dikenakan terhadap mereka?

Nak pakai duit rakyat RM1.8 bilion, pakailah...nak kenakan tol, kenakanlah, lagipun ia langsung tidak membebankan dan relevan.

Begitu juga dengan kemudahan dan penyelenggaran di LPT2, ada tidak ada, jangan bising-bising...guna atau memandulah di laluan lain.

Jika berlaku kemalangan, itu salah pemandu dan banyak hantu.

Tetapi siapa sebenarnya HANTU sejak 2004 hingga kini, dalam isu-isu membabitkan LPT2 ini?

No comments:

Post a Comment