Bahagian Kedua
Semalam blog ini melalui tajuk "Kerana 'Izin Dalam Paksa', Rakyat Terengganu Berhak Minta Balik Duit Pelaburan" memperkatakan mengenai
isu kos dan rakyat Terengganu leabur dalam LPT2 secara ‘izin dalam paksa’.
Selain itu wujud pertanyaan, apakah tuntutan yang dibuat oleh bekas Menteri
Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyebabkan Perdana Menteri marah.
Dalam Bahagian Kedua hari ini akan diperkatakan
mengenai apakah Menteri Besar sekarang akan memperjuangkan tuntutan RM1.8
bilion daripada Kerajaan Pusat selain kenapa LPT2 dikenakan tol tetapi tidak
dengan Lebuhraya Pan Borneo.
1.
Apakah Razif Akan Tuntut Balik RM1.8 Bilion?
Cabaran adalah di tangan Menteri
Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman – apakah beliau akan menyambung
desakan yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Said dan juga olehnya untuk mendapatkan kembali wang rakyat
Terengganu itu.
Juga ‘ada berani’ Ahmad Razif
mendesak agar syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS
Berhad), untuk melaksanakan operasi,
penyenggaraan dan kutipan tol di LPT2 turut menyediakan bahagian saham anak
syarikat Terengganu untuk sama-sama menikmati faedah kutipan tol ini?
Bukankah cara itu sebagai jalan
membalas budi baik rakyat kerajaan Terengganu (sebenarnya secara paksa) mendahulukan
wang perbelanjaan pembinaan lebuh raya berkenaan?
Dengan memegang saham dalam
konsesi itu, pihak kerajaan negeri juga akan mendapat maklumat terus mengenai
kutipan told an kos penyelenggaraan LPT2.
Persoalan ialah beranikan Ahmad
Razif membuat tuntutan ini yang dilihat amat berpatutan demi membolehkan rakyat
Terengganu mendapatkan kembali yang yang mereka pinjamkan kepada Putrajaya.
Apakah jika menuntut wang
sedemikian Ahmad Razif akan menerima padah yang sama seperti Ahmad Said?
Menteri Besar tidak perlu bimbang kerana Perdana Menteri sayang dan yakin dengan kepimpinannya. Jika tidak, beliau tidak akan kekal di jawatannya walaupun sudah ada pelbagai cabaran terhadapnya. Namun tetap dikekalkan oleh Putrajaya yang menunjukkan keyakinan terhadapnya jauh berbeza dengan keyakinan Perdana Menteri terhadap Ahmad Said.
Pada 9 Mac lalu, Ahmad Razif
dengan lantang mengatakan: “Kepada sekalian rakyat, yakin dan percayalah, saya dan
rakan-rakan dalam kerajaan akan memberikan yang terbaik untuk anda. Itu janji
saya.”
Malah beliau menegaskan dia
tidak pernah menafikan sumbangan sesiapa malah berusaha menyelesaikan dan
menambah nilai projek-projek pembangunan termasuk LPT2 dan berapa perkara lain.
Beliau mengatakannya pada sesi penggulungan perkara itu pada sidang DUN
selepas Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau. (Usul
itu ditolak Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong berdasarkan Perkara
14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu atas alasan Adun Kijal
itu mengemukakan usul tanpa notis).
Disamping itu, pada 27 Dis 2015,
Ahmad Razif berkata Kerajaan Terengganu berharap Kerajaan Persekutuan
menyegerakan bayaran kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak
RM1.85 bilion.
Ini kerana jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang
diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah
tertentu.
“Pada
dasarnya kerajaan pusat telah bersetuju membayar balik wang sebanyak RM1.85
bilion itu kepada Terengganu, cuma kaedahnya perlu diteliti dan perkara ini
perlu dibincangkan. Kita berharap sangat supaya pembayaran itu disegerakan,”
katanya kepada pemberita pada majlis penganugerahan Sarjana Terengganu di bawah
tajaan Yayasan Terengganu (YT) di Kuala Terengganu, pada hari berkenaan.
Namun, sejak itu, tiada lagi
suara Ahmad Razif kedengaran mengenai ‘tuntutan’. Sudah sunyi sepi.
Persoalan kini ialah, dengan ‘kedudukannya
yang dianggap goyah’ selepas pnarikan pingat oleh Sultan Terengganu, apakah
beliau akan terus bersuara?
Dengan kedudukannya itu sekarang
dan ketahui kesan jika menuntut hak daripada Putrajaya, apakah Menteri Besar
Terengganu akan meneruskan usaha untuk menuntut wang sekurang-wang berkenaan
daripada Kerajaan Pusat?
Jika mendapatnya, kerajaan
negeri akan lega dengan hasil minyak
atau dana khas yang kini dikurangkan oleh Petronas akibat kejatuhan harga
minyak dan gas.
Juga apakah kerana ‘membongkok
mencium tangan Najib’, maka Ahmad Razif terpaksa buat-buat lupa bahawa wang
rakyat Terengganu yang tetap ada dalam LPT2 dan wajar dikembalikan, bukan
keutamaanya?
2. Kenapa tol di LPT2
tetapi di Pan Borneo Percuma?
Agak hairan kenapa pemimpin UMNO
dan Barisan Nasional (BN) Terengganu membisu mengenai isu penggunaan wang
rakyat dan isu tol ini dalam kaitannya dengan LPT2.
Apakah bagi mereka kedua-dua isu
ini bukan isu rakyat? Perlu menerima dan menelan bulat-bulat apa sahaja
keputusan kerajaan?
Apakah mereka tidak merasa
apa-apa kesan kerana menggunakan kemudahan pesawat untuk berulangalik ke Kuala
Lumpur melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (Kuala Terengganu)?
Atau apakah mereka juga tidak
berani dan terikat dengan pendirian Menteri Besar yang terikat pula dengan
sikap dan keputusan Perdana Menteri dan Putrajaya?
Hakikatnya belum pernah berlaku sebelum
ini, kerajaan negeri membiayai hampir separuh kos pembinaan lebuhraya di
mana-mana negeri mana pun di Malaysia.
Selain itu, selepas berbelanja,
kerajaan negeri atau rakyat tidak mendapat apa-apa. Ini hanya terjadi di Terengganu.
Amat malang, apabila UMNO
kembali menduduki takhta pentadbiran Terengganu sejak 2004, kejadian ini
berlaku. Rakyat tidak lupa kalaupun pemimpin UMNO di Terengganu sudah lupa megenai
wang rakyat digunaka sementara pemimpin di Putrajaya pula buat-buat lupa.
Di Bintulu, 31 Mac lalu, Perdana
Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo tidak
akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya kedua-dua
negeri Sarawak dan Sabah.
Ini berbeza dengan di
Semenanjung yang lebuh rayanya dikenakan tol, kerana ada laluan alternatif
disediakan, iaitu jalan yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh
digunakan oleh pengguna jalan raya.
Dengan kata di sini, kalau tidak mahu bayar tol
di LPT2, rakyat atau pengguna pakailah jalan lama Kemaman ke Jerteh melalui
Dungun atau pakai jalan ‘dalam hutan’ antara Jabor – Bukit Besi – Kuala Terengganu.
Tidak ada tol!
Projek Lebuhraya Pan Borneo
Sarawak bernilai RM13 bilion berbeza sama sekali kerana di Semenanjung, pengguna jalan raya boleh
memilih untuk menggunakan laluan utama yang dikenakan tol untuk cepat sampai ke
destinasi tertentu, atau memilih jalan alternatif yang mungkin jauh jaraknya.
Dibina dengan kos keseluruhan
RM27 bilion, projek Lebuhraya Pan Borneo akan melibatkan pembinaan dan
penambahbaikan jalan raya sepanjang 1,663km dari Sarawak ke Sabah iaitu 936km
jalan di Sarawak dan 727km untuk Sabah.
(LPT2 hanya sepanjang 184
kilometer bermula dari Jabor di Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu,
merupakan lebuh raya empat lorong dua hala, dilengkapi dengan kemudahan 10
persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian
sebelah.)
Menurut Perdana Menteri, pembinaan
Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti kukuh komitmen kerajaan persekutuan
menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13
yang lalu.
Berbanding dengan LPT2 yang
bernilai hanya RM4 bilion dan menggunakan duit rakyat sebanyak RM1.8 bilion,
rakyat Terengganu turut menanggung beban tol.
Apakah kerana keadaan sebegini,
ada pendapat mengatakan pelaksanaan kutipan tol di LPT2 berkuat kuasa esok (15
Julai) bakal menambahkan beban kewangan kepada rakyat Terengganu?
Contohnya, Pesuruhjaya PAS Terengganu,
Satiful Bahri Mamat mempersoalkan: "Kenapa lebuh raya Sarawak dikecualikan
tol? Tetapi LPT2 nak dikenakan tol? "Kenapa Pantai timur selalu
dianaktirikan?"
Katanya, dengan kadar 12 sen sekilometer bagi setiap
kenderaan yang melalui LPT2 dari Gemuruh ke Cheneh akan meningkatkan kos
perjalanan ke Kuala Lumpur sekitar 70 peratus. Rantaian peningkatan kos
pengangkutan akan meninggalkan kesan beban berganda kepada harga barangan dan
perkhidmatan, katanya pada kenyataan media semalam.
Menurutnya, kegagalan kerajaan
negeri mendapatkan kembali wang tersebut merupakan satu kerugian dan
pengkhianatan kepada amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
Selain itu, katanya, keadaan jalan
yang menjadi sungutan ramai dan kekurangan kemudahan di LPT2 perlu diselesaikan
sebelum kerajaan memikirkan 'keuntungan dan laba' daripada saku
rakyat.
Bilakah pula pemimpin UMNO dan BN serta pertubuhan tertentu seperti pengguna dan NGO lain akan memberikan pendapat mereka kerana isu ini adalah masalah rakyat.
Apakah bagi UMNO kini ‘rakyat sudah
tidak didahulukan’?
Bersambung esok...
No comments:
Post a Comment