Pelari Melaka Khairul Hafiz Jantan (kanan) dan atlet memanah Terengganu, Nur Aqilah Yusof.
|
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII yang
melabuhkan tirainya dalam majlis penuh gilang gemilang di Stadium Sarawak malam
Ahad ini menjadi saksi kehebatan pelari pecut sensasi dari Melaka, Khairul
Hafiz Jantan yang dinobatkan sebagai atlet terbaik lelaki, manakala pemanah daripada
kontinjen Terengganu, Nur Aqilah Yusof pula atlet terbaik wanita.
Perkembangan yang paling mencuri tumpuan ramai pada
temasya kali ini pastinya terarah kepada kejayaan Khairul Hafiz, yang
memperbaharui satu rekod kebangsaan di samping mencipta empat rekod SUKMA.
Beliau berjaya memadam rekod kebangsaan seusia dirinya
dalam acara 100m iaitu 10.30s milik Watson Nyambek dengan catatan 10.18s sekali
gus juga rekod Sukma dalam acara itu, selain mencipta rekod Sukma dalam acara
200m, 4x100m dan 4x400m.
Nur Aqilah yang berjaya meraih tiga pingat emas dan dua
gangsa pada temasya kali ini, memperbaharui rekod kebangsaan 328 mata milik Mon
Redee Sut Txi dalam acara 70m recurve wanita yang dilakukan pada Sukan SEA
Vietnam pada 2003 dengan catatan baharu 331 mata, sekali gus rekod baharu
SUKMA.
Beliau turut mencipta satu lagi rekod SUKMA dalam acara
recurve 60m wanita.
Kontinjen Selangor pula diumumkan sebagai juara
keseluruhan temasya SUKMA kali ini selepas berjaya mengumpul 59 pingat emas, 73
perak dan 63 gangsa.
Ini merupakan kali kesembilan kontinjen Selangor
merangkul gelaran juara SUKMA, kejuaraan sebelum ini dilakar pada 1988,
1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013.
Stadium Sarawak dibuka seawal pukul 5 petang semalam, dengan
orang ramai yang datang berbaris panjang untuk mengambil tiket masuk yang
juga tertera nombor cabutan bertuah, di pintu masuk stadium.
Beberapa artis terkenal tempatan kemudiannya mengambil
giliran menghiburkan penonton dengan persembahan pentas sementara menunggu
ketibaan tetamu kehormat.
Atlet Selangor gembira bersama piala kejohanan setelah muncul juara keseluruhan. |
Anggota kontinjen negeri yang semuanya berjumlah hampir
6,000 atlet dan pegawai, mula memasuki stadium pada pukul 8 malam dengan
diiringi dentuman dan
kilauan cahaya bunga api menyinari ruang angkasa stadium.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mula masuk ke stadium kira-kira sejam kemudian dengan diiringi
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Belia dan Sukan
Khairy Jamaluddin.
Selepas ucapan penutupan oleh timbalan perdana menteri,
majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada atlet terbaik kejohanan,
Khairul Hafiz dan Nur Aqilah.
Selepas bendera SUKMA diturunkan dan diserah kepada wakil
dari Perak selaku tuan rumah SUKMA 2018, majlis diteruskan dengan persembahan
kebudayaan dari Perak, sebagai acara tradisi secara simboliknya mengalu-alukan
ketibaan temasya dwitahunan itu di negeri berkenaan.
Majlis berakhir dengan pertunjukan bunga api selama
beberapa minit sebelum semua tetamu kehormat beredar meninggalkan majlis.
No comments:
Post a Comment