Saturday, May 14, 2016

PRN Terengganu Selepas Hari Raya Puasa – Meroyan Ker Apa?


Pelik bin aneh. Tiada ribu dan tiada hujan, kecuali mendung, tiba-tiba PAS bercakap mengenai pilihan raya negeri Terengganu.

Apa ke benda ni?

 Meroyan atau sudah tidak sabar untuk berkuasa?

Sebelum ini PAS juga yang kata mahu tunggu habis penggal (sehingga pilihan raya umum akan datang) baru PAS mahu tentukan sama ada akan mengambil bahagian untuk menukar kerajaan negeri Terengganu atau sebaliknya.

Namun tup-tup kelmarin, PAS berkata akan ada pilihan raya negeri Terengganu dalam masa terdekat.


Menurut Ketua Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS Pusat DrFadhli Ghani, berdasarkan situasi politik yang berlaku sekarang, Terengganu dijangka mengadakan pilihanraya peringkat negeri selepas hari raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.

Kemungkinan itu adalah berdasarkan keadaan politik negeri yang dilihat tidak menentu.

Beliau menjangka, akan berlaku sekali lagi usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang.

(Untuk rekod, sidang DUN akan datang akan diadakan pada Ogos selama sehari dan pada Disember untuk pembentangan Bajet 2017).

“Terengganu lagi berat………akhir sekali semua kata nasib kerajaan Terengganu ni di tangan PAS . Razif (Haji Ahmad Razif Abdul Rahman) tahu dia jd Menteri Besar tapi tak boleh (teruskan) sidang DUN kali ini,

“kalau (mungkin) sidang kena usul tidak percaya pulak…kalau ikut maklumat Terengganu ni akan bubar DUN lepas raya ataupun Najib cepat-cepat bubar Parlimen sekali,”ujarnya.

Siapa mahu bubarkannya? Menteri Besar akan menghadap Sultan Terengganu untuk dapatkan perkenan. untuk apa?

Dr Fadhli mengemukakan pendapatnya di hadapan lebih 200 orang di program Liqa’ al-Fikri Khas di Batu Rakit, pada Selasa, 10 Mei.

Katanya, suasana politik sekarang lebih tertumpu kepada PAS untuk ‘satu kerjasama’ setelah keputusan PRN Sarawak yang gagal menambat hati rakyat, dengan kehilangan deposit dan kerusi dari DAP dan PKR.

Mengungkap teori Ibnu Khaldun, beliau berkata, sesuatu kerajaan hanya boleh bertahan selama 70 tahun sahaja.

“dan Umno (yang menjadi tulang belakang) Barisan Nasional, sekarang yang menyambut ulang tahunnya (Ke-70) sedang berada di ambang kejatuhan,

“dan janji nabi bahawa islam akan memerintah setelah 100 tahun kejatuhan khalifah Islam sudah semakin dekat,”jelasnya.

Katanya, pada tahun 1919 besamaan 1337 Hijrah, berakhirlah pemerintahan khalifah Islam apabila jawatan khalifah di lucutkan dan di ganti dengan gelaran sultan seterusnya melenyapkan terus Khilafah Othmaniyah pada tahun 1924.

“hari ini kita berada pada tahun 1437 H, ini bermakna kita sudah masuk ke 100 tahun tanpa adanya pemerintahan islam dan kemenangan sudah semakin hampir,”tambahnya.

Apakah PAS kini sedang berkhayal atau meroyan gara-gara kenyataan Presidennya sendiri yang tidak mahu merampas kuasa melalui pintu belakang.

Namun hakikatnya, di kalangan pemimpin biasa PAS, mereka mahukan kuasa segera dan pilihan raya negeri adalah jalan terbaik.

Namun persoalannya, apakah Putrajaya, Istana Terengganu dan pemimpin UMNO  Terengganu bersedia untuk melaksana dan menghadapinya?

Bulan Mencandat Sotong Terengganu 2016 Kini Bermula Hingga Jun


Bulan mencandat sotong Terengganu 2016 kembali lagi dan di lancarkan secara rasmi semalam di D’ Benteng Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee melancarkan promosi mencadat sotong kali ini di jeti TTI pada jam enam petang.

Ia membabitkan penyertaan seramai 30 wartawan dan blogger dari dalam dan luar negeri.

“Program ini memberi makluman kepada orang ramai mengenai musim mencandat di negeri ini iaitu bagi bulan April hingga  Jun setiap tahun.

“Ia sebagai kesinambungan momentum promosi yang telah dibuat pada tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu dengan  merasai sendiri keseronokan mencandat sotong,” katanya.

Mohd Jidin berkata kerajaan turut mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Agensi Kembara dan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) bagi memajukan industri pelancongan Terengganu.

“Dengan kerjasama ini kita mampu menawarkan pakej mencadat yang inovatif, kreatif dan ‘value for money’ kepada pengunjung domestik dan antarabangsa.

“Diharapkan kempen ini dapat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 serta bertepatan dengan salah satu daripada  prinsip iaitu membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penjanaan pendapatan dalam industri pelancongan” ujarnya.

Keunikkan program mencadat sotong yang diperkenalkan kerajaan negeri Terengganu sejak 2014 itu membawa impak positif.


Pengurus Promosi Pelancongan Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata pada 10 Mei lalu, pelancaran itu adalah platform mempromosikan kempen Tahun Melawat Terengganu 2017, bakal memberi makluman kepada orang ramai bermulanya musim mencandat sotong dari April hingga Jun setiap tahun.

“Program ini juga impak atau kesinambungan daripada promosi yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu supaya merasai sendiri keseronokan aktiviti itu di samping berpeluang melawat destinasi lain.

“Aktiviti riadah yang bersesuaian dengan semua peringkat usia serta memartabatkan aktiviti warisan berzaman masyarakat nelayan yang sinonim dengan kegiatan di pesisir pantai, selain memperkenalkan destinasi pesisir air di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fathil berkata, pelancaran itu juga antara lain untuk memperkenalkan satu lagi tarikan pelancongan yang unik dan menarik melibatkan kluster pulau dan pantai yang kaya dengan keindahan pantai, air yang bersih dan jernih serta kepelbagaian hidupan marin dan terumbu karang.

Tambah beliau, ia juga sebagai memartabatkan aktiviti berkenaan sebagai satu ikon pelancongan negeri serta simbolik pemberitahuan bermulanya bulan mencandat sotong selepas redanya musim tengkujuh di Terengganu.


Menurut Ahmad Fathil, pesta candat sotong adalah di kawasan perairan Pulau kapas serta Pulau Gemia, Marang.

Gambar - Teganukita & Terengganu Today

Wednesday, May 11, 2016

Perkuat Iltizam Demi UMNO Kekal Unggul Sebagai Wadah Perjuangan


"...Seluruh ahli UMNO di Terengganu hendaklah menumpahkan sepenuh taat setia kepada parti disamping memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak."
- Ahmad Razif Abdul Rahman

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini menyeru kepada semua rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO agar  memperkukuhkan ikatan perpaduan serta permuafakatan di dalam parti.

Mereka juga diseru supaya dijauhkan sebarang perbuatan yang boleh mengeruhkan suasana serta menimbulkan bibit-bibit sengketa sesama ahli.

“Utamakanlah kepentingan perjuangan parti melebihi segala-galanya. Bak kata pepatah lama, serumpun bak serai, sesusun bak sirih.”

“Jika setiap daripada kita sanggup bekerja sepenuh hati untuk parti, meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi, saya yakin dan percaya jika usaha tersebut boleh diamalkan, UMNO akan terus disegani lawan mahupun rakan,” katanya dalam perutusan Sempena Ulang Tahun Ke-70 UMNO hari ini.

Sempena ulang tahun UMNO ke 70 ini, beliau mengajak seluruh ahli UMNO di Terengganu menumpahkan sepenuh taat setia kepada parti disamping memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Selain itu, ahli UMNO di seru supaya memperkuatkan iltizam untuk terus memperkukuh serta memperkasakan parti supaya UMNO terus kekal unggul sebagai wadah perjuangan kita yang suci demi untuk agama, bangsa dan negara.

Katanya, lahirnya UMNO adalah hasil daripada  percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan pelbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu ketika itu.

Ini khususnya dalam menentang rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Kedua.

“Pertubuhan-pertubuhan terlibat dengan sukarelanya membubarkan diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Begitu besarnya pengorbanan mereka dalam usaha untuk melihat kehidupan anak cucu pada hari ini lebih baik,” tegasnya.

Menurutnya UMNO sebagai parti keramat menaburkan pelbagai jasa dan bakti untuk negara dan bangsa.

Tambahnya, berkat sokongan padu rakyat kepada UMNO, parti ini telah kekal berjaya dan seterusnya membawa pelbagai perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan sejak 70 tahun lalu.

Monday, May 9, 2016

PM Tidak Hormati Istana, Terengganu Tidak Penting Buat Putrajaya?


Tindakan Perdana Menteri Najib yang masih mengekalkan Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Menteri Besar seolah-olah Terengganu tidak penting buat Perdana Menteri,  selain tidak menghormati Istana Terengganu.

Pembangkang menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berminat untuk menyelesaikan kemelut di negeri ini juga tidak menghormati keputusan istana yang jelas memberi isyarat tidak berkenan kepada Menteri Besar sedia ada.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail isu ini jelas berikutan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah menarik balik semula semua pengurniaan pingat dan darjah kebesaran daripada Ahmad Razif.

Azan turut menimbulkan fasal 30(i),(ii) dan (iii), di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu boleh membatalkan pengurniaan darjah atau kebesaran kepada sesiapa jua atas mana-mana satu alasan yang berikut.


“(i) Jika orang itu telah disabitkan atas satu kesalahan yang melibatkan tipuan, kecurangan atau buruk akhlak,

(II) Jika seorang itu dilucutkan kewarganegaraannya,dan

(III) Jika DYMM berpuas hati dengan kelakuan atau watak orang itu bahawa orang ini tidak lagi patut dikurniakan darjah atau kebesaran tersebut atau tidak patut dianugerahkan bintang atau pingat penghormatan atau kebesaran tersebut.

Amat jelas menurutnya tindakan mengekalkan Ahmad Razif mengambarkan Najib seolah-olah tidak menghiraukan perasaan istana dan pemimpin UMNO negeri ini.

“Langkah itu juga memberi gambaran bahawa PM tidak berminat untuk memberi tumpuan menyelesaikan kemelut Negeri Terengganu dan menganggap Terengganu tidak terlalu penting kepada kedudukan beliau di atas sebab-sebab hanya beliau sendiri tahu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu.

Azan yang juga Adun Bandar berkata, pelucutan gelaran dan darjah kebesaran Ahmad Razif telah menyebabkan keadaan tidak harmoni dan menimbulkan pelbagai persepsi antaranya Menteri Besar tidak dilayan dengan adil.

Jelasnya, keadaan ini jika tidak ditangani dengan betul akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk krisis Perlembagaan Negeri Terengganu yang sudah tentu akan mengulangi peristiwa tahun 2008 apabila penyokong Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh ketika itu bertindak biadab kepada sultan.

 “Maka sudah tentu keputusan yang diambil oleh jemaah Dewan Pangkuan Diraja Terengganu adalah berdasarkan garis panduan di atas yang melibatkan perkara besar yang boleh menjejaskan kedudukan Negeri Terengganu,” katanya.

Selain itu, Azan turut memberitahu bahawa menjadi tanggungjawab beliau bersama-sama ADUN Terengganu untuk memperbaiki keadaan dan memastikan keharmonian perjalanan urusan pentadbiran negeri.


Beliau turut berharap seluruh rakyat negeri ini bersama-sama mempertahankan kedaulatan negeri, institusi istana dan sultan serta seluruh wilayah-wilayahnya di samping berusaha memperkasa dan mengembalikan hak-hak negeri yang telah diceroboh serta bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Sunday, May 8, 2016

Siapa Di Belakang ‘Suara Ahmad Said’ Desak Ahmad Razif Letak Jawatan?


"Sultan Mizan sudah memberi satu petunjuk yang jelas bahawa beliau tidak mahu Ahmad Razif terus menjadi Menteri Besar Terengganu, bertepatan dengan Fasal 30 Undang-undang Tubuh Negeri." 
- Datuk Seri Ahmad Said

Kenyataan bekas Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang meminta Menteri Besar Terengganu,  Haji Ahmad Razif Abdul Rahman meletak jawatan Menteri Besar yang diviralkan semalam pastinya akan memanaskan semula suasana politik Terengganu yang sejak sejak dua minggu lalu.

Permintaan (bagi saya desakan) supaya Ahmad Razif dengan cara terhormat berbuat demikian adalah setelah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menarik balik pingat kebesaran yang telah dikurniakan oleh Tuanku pada 22 April 2016.

Menariknya Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal itu membuat permintaan berlandaskan tiga perkara yang dikaitkan dengan tindakan Istana Terengganu menarik darjah kebesaran yang telah diwartakan.

Menurut Ahmad Said, tiga perkara tersebut adalah:


i)        jika orang itu telah disabitkan atas satu kesalahan yang melibatkan tipuan;

ii)       jika orang itu dilucutkan kewargaannya; dan

iii)      jika Duli Yang Maha Mulia berpuashati dengan kelakuan atau watak orang itu bahawa orang itu tidak lagi patut dikurniakan darjah atau kebesaran tersebut atau tidak patut di anugerahkan bintang atau pingat penghormatan atau kebesaran tersebut.

Bagi Ahmad Said melalui kenyataannya:   "Amat jelas kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Razif amat besar dan telah dinilai dengan teliti oleh DYMM Sultan Terengganu sehingga penarikan itu diwawarkan secara umum."

Dengan kata lain, Sultan Mizan sudah memberi satu petunjuk yang jelas bahawa beliau tidak mahu Ahmad Razif terus menjadi Menteri Besar Terengganu, bertepatan dengan Fasal 30 Undang-undang Tubuh Negeri.

Kali ini nampaknya bekas Menteri Besar Terengganu ini menggunakan perkara berkaitan dengan Fasal 30 Undang-Undang Negeri dalam desakannya dan pastinya memerlukan jawapan artau pencerahan daripada Pejabat Menteri Besar atau juga Penasihat Undang-Undang Negeri mentafsirnya.

Selain itu, jika  TIDAK BENAR apa yang dikatakan oleh Ahmad Said ini, sewajarnya Istana Terengganu menjawab atau memberi pencerahan agar suasana yang ditimbulkan oleh Ahmad Said ini tidak terus ‘menganggu-gugat’ Ahmad Razif melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

Malah ADUN Kijal itu turut membidas Perdana  Menteri apabila mengatakan ‘sepatunya (beliau - PM) faham maksud tindakan Tuanku Al-Sultan menarik balik darjah kebesaran daripada Ahmad Razif.


Dengan kata lain, Perdana Menteri sewajarnya mengemukakan nama calon-calon penganti untuk mendapat perkenan DYMM Sultan Terengganu.

 "Saya berpendapat kini sudah tiba masa bagi YAB Perdana Menteri mencadangkan nama calon-calon penganti Ahmad Razif dan terserah kepada DYMM Sultan Terengganu untuk memberi perkenan,"katanya dalam kenyataan itu."

Keputusan ini, katanya, perlu dibuat segera kerana perjalanan pentadbiran negeri Terengganu kini lesu akibat krisis antara pihak Istana dan Menteri Besar dan lebih malang lagi rakyat yang tidak berdosa dan sedang dihimpit kemelesetan ekonomi menjadi mangsa kemelut ini.

Istana Terengganu sebelum ini telah menarik semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Razif.

Ahmad Said pula pada  sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif namun usul itu ditolak oleh Speaker DUN.

Sumber yang rapat dengan politik Terengganu pula memaklumkan, Ahmad Said mempunyai sekurang-kurangnya dua penyokong kepada usul beliau itu, satu angka yang cukup untuk menyebabkan Ahmad Razif adalah ketua kepada kerajaan minoriti.

BN mempunyai 17 Adun dalam DUN Terengganu manakala PAS 14 dan PKR (1). Jika Ahmad ada tiga Adun bermakna, BN tingga 14 Adun sahaja berbanding PAS + PKR + Bebas 18 Adun.


Namun begitu PAS tidak menyokong usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri BN itu.

Kita berharap ada 'pencerahan' segera apa yang dibangkitkan oleh Ahmad Said ini agar ahli UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat Terengganu tidak terus berteka teki dan mencari jawapan dalam keadaan yang meraba.