Monday, February 12, 2018

Baiah - PAS Sedang Berperang Dengan Integritinya Sendiri



Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Baiah dibuat atas kepentingan apa?
Baiah pada zaman Rasulullah dibuat atau diikat agar  orang Islam ada satu sikap patuh dan taat dalam urusan memimpin manusia.

Malah, diberi amaran bahawa Allah telah menyusun laknat kepada mereka yang langgar baiah. Bukan manusia  yang jatuhkan hukuman kepada mereka yang melanggarnya tetapi janji Allah itu pasti.

Malah sering diberi amaran, tidak akan ada yang selamat kerana melanggar baiah.

Mutakhir ini,  ada pemimpin politik  berpendapat, kerana melanggar Baiah, ‘sehari dua ini kita lihat ada individu yang dilucutkan gelaran dan pangkat mereka’.

Di Malaysia, Baiah dikaitkan dengan PAS apabila bimbang wakil rakyat mereka ‘meninggalkan perjuangan’ atau lompat parti, mereka tetap terikat dengan Baiah.
Bagaimanapun dikatakan tidak ada paksaan untuk berbaiah dalam PAS jika individu berkenaan tidak menjadi calon dalam pilihan raya.
Amat nyata, Baiah dalam konteks PAS ini lebih kepada cara untuk menyekat atau cara supaya pemimpin bawahan tunduk kepada apa juga kata dan keputusan pemimpin atasan.

Baiah dalam konteks PAS tidak jauh berbeza dengan sumpah tidak derhaka dalam konteks ‘feudal’  – taat yang tidak boleh dipersoal – atau lari daripada perjuangan asal dan balasannya ialah ‘tulah’ atau ‘hukum karma’.

Cumanya PAS menggunakan sumpah menyebut nama Allah sedangkan yang lain lebih kepada sumpah manusia dengan manusia.


Hairannya Baiah tidak diguna pakai oleh parti Melayu dan Islam lain, khususnya UMNO.
Tidak perlu bagi pemimpin parti lain, selain PAS untuk membuat lafaz  atau sumpah hingga menyebabkan jatuh talak tiga kepada isteri.
Baiah adalah antara pemimpin dengan pemimpin atasan PAS sahaja, bukan antara penyokong dengan penyokong atau  antara penyokong dengan pemimpin parti berkenaan.
Ternyata PAS melakukannya demi kepuasan pemimpinnya.
Namun seperti ditegaskan  Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa wakil rakyat yang melafazkan baiah PAS terutama melibatkan talak isteri, berdepan risiko kerana sumpah itu akan memakan dirinya sendiri apabila tidak lagi bergelar pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, apakah Baiah tidak dilanggar?

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh mengulas kenyataan Phahrolrazi mengingatkan bahawa Rasulullah juga berbaiah dalam perjuangan menegakkan Islam.

Ternyata Baiah yang menggunakan ‘nama Allah’ tetap dilanggar apabila sekumpulan pemimpin PAS meninggalkan parti itu selepas muktamar parti berkenaan pada 2015.


Apakah ini bermakna Baiah tidak berjaya mengekang sebilangan pemimpin PAS untuk tinggalkan parti dan membawa bersama mereka ‘kerusi Dewan Undangan Negeri dan juga kerusi Parlimen’?
Jika demikian apa untungnya Baiah dikekalkan?
Tidak pelik jika PAS bercadang  menghapuskan Baiah talak tiga.

Tetapi alasan kononnya semua pemimpin PAS kini setia kepada parti bukan sesuatu yang cukup kuat.

Juga alasan bahawa keadaan sekarang tidak lagi genting kerana PAS menguasai 38 daripada 45 kerusi DUN Kelantan dalam pilihan raya umum 2013 berbanding majoriti kecil hanya dua kerusi dalam pilihan raya umum 2004.

Sebenarnya PAS kini berdepan dengan pergolakan dalam dirinya sendiri dan kongkongan melalui Baiah disedari tidak mampu mengekang pemimpinnya meninggalkan jemaah PAS.

Adalah silap untuk mengatakan bahawa kerana yakin  dengan kekuatan dan kesetiaan ahlinya, PAS akan menggugurkan sumpah baiah yang melibatkan perceraian talak tiga.

Yang nyata Baiah bukan membabitkan ahli parti.  Mereka tidak perlu beraiah. Yang berbaiah hanya pemimpin mereka.

Yang jelas dan nyata ialah sumpah berkenaan hanya diwajibkan kepada semua wakil rakyat PAS di Kelantan  sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Malah ada mengatakan ia dimulakan lebih awal daripada tarikh itu untuk memastikan mereka tidak melompat parti.
Jika hanya wakil rakyat Kelantan perlu berbaiah, bagaimana dengan yang di negeri lain, khususnya di Terengganu, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang?
Kini ada cadangan agar kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.


Ketua Dewan Ulamaknya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar atas) yang dipetik Berita Harian sebagai berkata tindakan itu diambil kerana PAS tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.

Apa yang dapat diperhatikan PAS tidak perlu pun Baiah jika parti itu mengekalkan falsafah arah perjuangan asalnya.

Ramai yang meninggalkan parti itu, termasuk melanggar Baiah ialah kerana perubahan ketara dalam konteks kepimpinan dan cara PAS berjuang masakini.

Contoh jelas ialah daripada pernah menghukum penyokong UMNO dan bukan pengikut PAS sebagai ‘kafir’, kini pemimpin PAS sendiri yang berdampingan dengan pemimpin UMNO.

Lebih menjadi tanda tanya ialah bagaimana pemimpin PAS kini boleh menerima berbagai amalan rasuah dan berbagai jenis kebobrokan termasuk kleptokrasi yang diamalkan oleh pemimpin UMNO?

Jika terus kekalkan Baiah talak tiga terhadap isteri sekalipun – sekiranya pemimpin PAS terus tidak menolak kebobrokan dan kleptokrasi – pasti akan terus ada mereka yang melanggar Baiah.

Sebab dan puncanya ada kepada mereka yang sudah meninggalkan PAS, bukan semata kerana kalah dalam pemilihan parti di muktamar parti itu.

Mereka mempersoalkan integriti PAS dan sesetengah pemimpin, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap ‘hilang punca’.

Yang nyata, mereka sanggup melanggar Baiah terutamanya apabila PAS bersekongkol dengan pemimpin parti yang megamalkan kleptokrasi! 

No comments:

Post a Comment