Monday, November 5, 2018

Ke Mana MPKK? Menteri, KPLB DiMinta Cari Formula Baharu



"Kita kena fikir kaedah lain yang bersesuaian sebab perkara ini melibatkan urusan pentadbiran di peringkat kampung agar tiada salah guna kuasa mahupun peruntukan," - Kamaruddin Md. Nor

Rakyat Terengganu dan Kelantan yang bukan penyokong dan pengundi PAS pastinya tertunggu-tunggu keputusan muktamad kerajaan  Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai pelantikan ahli Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Mereka pastinya hairan bagaimana kerajaan, khususnya menteri dan Kementerian Pembanguna Luar Bandar (KPLB) boleh ‘menganggap isu ini tidak penting’.

Sedangkan inilah wakil kerajaan di peringkat mukim dan kampung berperanan sebagai perunding dan pemudah cara di peringkat kampung selain diberi peluang mencadangkan pembangunan projek di tempat masing-masing.

Namun paling penting, berasaskan peranan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sebelum ini,  institusi ini menentukan sokongan politik, pelaksanaan perancangan dan pembangunan peringkat bawah serta gerakan menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk.

Di Terengganu ada 1044 kampung dan di Kelantan ada 792 kampung.

Yang menarik untuk dikongsi ialah kedudukan pendirian kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan mengenai isu pelantikan ini. Mereka berbeza.

Pada ketika Kelantan dikatakan belum melantik ahli MPKK secara khusus, walaupun sudah ada lantikan tertentu di peringkat mukim dan kampung, Terengganu dengan ‘rakusnya’ sudah membuat pengumuman mengenainya pada Julai lalu.

Diakibatkan desakan oleh beberapa pihak, Menteri, Datuk Seri Rina Harun dan kementerian menilai semula rancangan asalnya yang mahu memberi kuasa pelantikan sepenuhnya kepada PAS negeri.

Rina Harun
Ia mengakibatkan cadangan baharu iaitu lima (5) anggota dlantik oleh Pusat.

Namun nyata sekali lagi kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berbeza pendapat. Kelantan enggan terima, Terengganu berpendapat sebaliknya.

Menurut Timbalan Pengerusi HARAPAN negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor, cadangan penambahan itu kini sudah ditolak oleh kerajaan PAS Kelantan. Ia atas alasan kerajaan negeri Kelantan sudah mempunyai seramai 11 ahli Majlis Pembangunan Mukim (MKM) termasuk penghulu terdedia ada.

"Saya dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa Kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan yang memerlukan pelantikan daripada kerajaan Pusat itu,” katanya.

Kamaruddin yang juga Ketua Kepimpinan BERSATU Kelantan berpendapat, kerana itu kepimpinan HARAPAN Kelantan perlu memikirkan kaedah lain selepas cadangan menambah bilangan ahli seramai lima orang ditolak oleh Kerajaan Pas Kelantan.

"Jadi, kita kena fikir kaedah lain yang bersesuaian sebab perkara ini melibatkan urusan pentadbiran di peringkat kampung termasuk memastikan hal penyelenggaraan berjalan lancar, tiada birokrasi atau salah guna kuasa mahupun peruntukan.

"Langkah seterusnya akan difikirkan oleh KPLB dan inputnya akan diberikan oleh pimpinan HARAPAN  negeri ini," katanya kelmarin.


Berbanding dengan pendapat Kamaruddin, Pengerusi Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar atas) berkata 31 Oktober lalu, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh Kerajaan Posit,” kata Husam yang menunjukkan beliau menerima cadangan Rina dan  KPLB.

Kerajaan negeri Terengganu berbeza dengan Kelantan, sebaliknya bersetuju untuk menambah bilangan pelantikan lima orang lagi meliputi kesemua 1,044 kampung di negeri ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata baru-baru ini langkah itu seiring dengan hasrat untuk memastikan pengurusan komuniti kampung terus diperkukuhkan agar dapat berperanan dengan berkesan.

Walaupun demikian, pemimpin HARAPAN Terengganu, khususnya dari PKR dan BERSATU enggan menerima cadangan Rina dan KPLB.

Kecuali mungkin Pengerusi HARAPAN Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah  dan kepimpinan AMANAH lain dilihat berlembut dengan cadangan Rina dan KPLB.

Pernyataan penolakan terhadap formula Rina dan KPLB dijangka akan dinyatakan dengan tegas pada mesyuarat pimpinan HARAPAN Terengganu pada 10 Oktober ini.

Sehingga ini amat nyata haluan MPKK di dua negeri berkenaan masih kabur.

Yang penting, menteri dan KPLB perlu mendengar pandangan pemimpin HARAPAN demi kepentingan survival dan perkembangan HARAPAN di kedua-dua negeri berkenaan.

1 comment:

  1. Fast cash offer for you today at just 3% interest rate, both long and short term cash of all amounts and currencies, no collateral required. Apply now for your instant approval financialserviceoffer876@gmail.com WhatsApp +918929509036

    ReplyDelete