Hasrat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan
Getah (RISDA) dan kerajaan negeri Terengganu untuk membenarkan pekebun kecil
menanam ketum, ditolak.
Biarpun mungkin keuntungan daripada jualan ketum boleh mencecah RM22,800
sebulan untuk satu hektar tanaman, penanaman itu dilihat lebih memudaratkan
daripada kebaikannya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata ia diputuskan selepas pihaknya mendengar taklimat
daripada RISDA berkenaan cadangan berkenaan dari segi kebaikan dan keburukan
hasil daripada penanaman pokok itu.
"Kita dapati keburukan atau kesan negatif daripada
penanaman ketum adalah lebih besar daripada faedah dan jika diteruskan ia akan
membawa lebih banyak kesan sosial dan implikasi buruk kepada masyarakat.
"Berikutan itu, kementerian memutuskan untuk tidak
menerima cadangan RISDA walaupun penanamannya dikatakan untuk tujuan eksport,
boleh membawa keutungan dan memberi tambahan pendapatan kepada pekebun
kecil," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada RISDA
berkenaan ketum di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi pula menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok
ketum secara komersial di negara ini.
Beliau berkata, ia turut disokong oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan
buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.
"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan
(pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana
keburukannya lebih banyak.
"Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum
ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika
digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit
tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah
terbuka Aidilfitri Media Prima, hari ini.
Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang
penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.
Dr Ahmad Zahid (kiri)menegaskan kerajaan bertegas akan mengambil
tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum
untuk tujuan komersial.
Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil
tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM.
Kelmarin, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia
(Gagasan) membantah cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan
Getah (Risda) untuk mengkomersialkan ketum memandangkan tanaman itu berisiko
mendatangkan kemudaratan yang sama seperti bahaya dadah.
Setiausaha Agungnya, berkata, semua sedia maklum bahawa penggunaan daun ketum
lebih banyak memberi kesan negatif dan kemudaratan berbanding manfaat yang
diperoleh.
Oleh itu, pihaknya mencadangkan agar pihak berkenaan,
terutama Kementerian Kesihatan mengkaji dengan teliti bagi membolehkannya
diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Pemimpin pembangkang Terengganu turut minta cadangan penanaman ketum di
negeri ini dikaji sebelum pelaksanaan dibuat kerana dikhuatiri ia memberi kesan
khusus kepada penyalahgunaannya di negeri ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana penyalahgunaan ketum di
Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara asing sebagaimana penyalahgunaan
dadah.
Menurutnya, kerajaan perlu teliti dan mengkaji secara
menyeluruh supaya tindakan dibuat mendatangkan manfaat serta tidak memberi
keburukan kepada rakyat sendiri.
Beliau mengulas kenyataan bahawa kerajaan negeri
bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atau agensi kerajaan yang ingin
membantu meningkatkan sektor pertanian di negeri ini, termasuk penanaman pokok
ketum sekiranya ia dibenarkan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan)berkata, sekiranya
penanaman pokok ketum itu dibenarkan dan terbukti memberi manfaat bagi bidang
perubatan dan farmaseutikal, kerajaan negeri juga bersedia untuk bekerjasama.
Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing menegaskan tidak
bersetuju dengan cadangan penanaman tanaman itu di negeri ini turut khuatir ia
menggalakkan lebih banyak penyalahgunaan bahan terlarang dalam masyarakat.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu,
Hishammuddin Abd Karim meminta kerajaan tidak memikirkan soal keuntungan
sebaliknya memikirkan mudarat yang mungkin berlaku.
Jelasnya, penanaman secara meluas turut menjadi sesuatu
yang membimbangkan dan dikhuatiri boleh meningkatkan kepada statistik
penyalahgunaan bahan terlarang di negeri ini.
Sementara itu Ismail Sabri menjelaskan, keputusan
kementeriannya itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan seperti
Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri serta
kerajaan negeri termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan
Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang jelas menolak cadangan itu, katanya.
Isu ketum memuncak apabila Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi
Zainul Abidin dilaporkan berkata, pihaknya akan mendapatkan kebenaran kerajaan
untuk menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana ia
mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.
Beliau berkata, usaha menambah pendapatan pekebun kecil
akan diteruskan dengan memperbanyak tanaman sampingan di kebun seperti cili dan
cendawan selain memperkasakan program-program keusahawanan sedia ada.
"Jadi, saya harap isu ini dihentikan kerana RISDA
tidak akan terlibat dengan program tanaman ketum untuk penambahan pendapatan
pekebun," katanya.
Hadir sama Ketua Pengarah RISDA Mohd Najib A Samad.
No comments:
Post a Comment