Tuesday, September 28, 2010

Kursus Kemahiran Kepada Pelajar Gagal Dalam SPM

Kerajaan negeri Terengganu akan menyediakan kursus kemahiran kepada semua pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri akan menanggung segala perbelanjaan pelajar berkenaan untuk mengikuti kursus kemahiran tersebut.

"Kita mahu semua pelajar yang gagal dalam SPM memiliki kemahiran agar dapat membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan," katanya selepas majlis penutupan Ekspo Pendidikan Terengganu 2010, di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya pelajar lepasan SPM akan diberi peluang mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan di bawah kerajaan negeri dan mereka yang terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi pengecualian.

Menurutnya lebih 25,000 pelajar akan menduduki peperiksaan SPM di negeri itu pada tahun ini dan hampir 4,000 daripada mereka dijangka gagal berdasarkan keputusan percubaan baru-baru ini.

Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu Hampir Jadi Kenyataan

Hasrat menubukan pasukan lumba basikal profesional maju setapak lagi apabila kerajaan negeri menghantar empat pegawai untuk berbincang dengan pelumba Terengganu yang sedang berlatih di Australia.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Rosdi Awang berkata rombongan itu, yang dsertai oleh wakil Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), wakil kerajaan negeri dan MSNT, diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.

Katanya rombongan tersebut bertolak ke Australia pada Isnin dan akan berada di sana sehingga minggu depan untuk berbincang dengan jurulatih yang akan dilantik untuk menerajui Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu.

"Kita dalam proses melantik jurulatih dan juga menandatangi kontrak dengan pelumba-pelumba Terengganu yang ada di negara itu," katanya.

Rosdi berkata sebahagian besar pelumba yang akan diserap ke dalam pasukan profesional itu kini berada di Australia.

Mereka ialah Anuar Manan, Muhamad Adiq Hussainie, Mohd Harris Salleh, Amir Mutaffar Rosli, Ahmad Fallani Ali, Mohd Zami Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Yusrizal Usoff.

Rosdi berkata semua pelumba Terengganu itu sedang berlatih di Australia, kecuali Anuar Manan yang singgah di Australia sebelum menyertai Sukan Komanwel di New Delhi mulai 3 Okt ini.

"Saya harap kepulangan rombongan ini nanti akan menjelaskan lebih banyak maklumat tentang perlantikan jurulatih dan juga menandatani kontrak dengan pelumba,"

Lawatan 'Brain Gain' ke Kanada Perluaskan Kerjasama IPT Malaysia-Kanada

Kunjungan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Kanada dalam rangka Lawatan Tugas Khas 'Brain Gain' selama enam hari yang berakhir 23 September 2010 lalu menjadi pembuka ruang kerjasama yang lebih luas antara institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) dan institusi pengajian tinggi antara kedua negara.

Ia terutamanya dari segi kerjasama pertukaran tenaga pakar, pelajar dan penyelidikan.

Perkenan Seri Paduka Baginda untuk julung kalinya mengetuai delegasi Malaysia dalam Lawatan Tugas Khas juga menambah prestasi dan kepentingan misi itu, yang turut disertai beberapa IPT termasuk Yayasan Diraja Tuanku Mizan (YDSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut serta ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Zulkifli Hassan berkata lawatan 'Brain Gain' itu cukup signifikan kepada perkembangan pengajian tinggi negara kerana melalui lawatan itu, IPT terlibat dapat melihat sendiri pencapaian dan kemampuan institusi pengajian tinggi Kanada, khususnya Universiti McGill di Montreal dan Universiti Guelph di Toronto, untuk dijadikan penanda aras kepada pencapaian mereka sendiri.

"Lawatan ini membuka jalan kepada universiti-universiti tempatan, jalan untuk bekerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di Kanada ini.

Hasil lawatan tidak akan terhenti dengan kepulangan kami hari ini, sebaliknya ia akan menjadi 'starting point' bagi universiti-universiti ini untuk berbincang dan memeterai sebarang perjanjian persefahaman apabila tiba masanya mengikut polisi kerajaan," katanya di Toronto Jumaat lalu.

Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan turut melahirkan rasa puas hati dengan lawatan itu.

Sempena lawatan Tugas Khas 'Brain Gain' itu, Tuanku Mizan berkenan berangkat melawat McGill University Health Center (MUHC) di Montreal General Hospital selain meninjau fasiliti dan wad Kardiologi hospital berkenaan.

Baginda seterusnya berangkat ke Toronto untuk meneruskan lawatan dengan mengunjungi Universiti Guelph di mana baginda diberi taklimat mengenai kajian sains pemakanan dan pertanian termasuk inovasi Gen Biosteel, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System (Salsa).

Sempena lawatan itu juga, lapan perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani di antara empat universiti berkenaan dengan kedua-dua universiti di Kanada itu dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, pemakanan dan industri bioterial.

Turut dibincangkan ialah kemungkinan mendapatkan kepakaran dan kerjasama Universiti McGill bagi pembangunan projek Super Hospital di UiTM dan Unisza, iaitu bertujuan mewujudkan hospital pengajar di IPT berkenaan.

Bagaimanapun Dr Zulkifli berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan memandangkan pembinaan hospital pengajar melibatkan kos yang besar.

Malaysia mempunyai 11 universiti yang mengadakan pengajian perubatan dan setakat ini hanya tiga yang mempunyai hospital pengajar iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala selebihnya termasuk UPM, UiTM dan Unisza belum mempunyai fasiliti berkenaan.

"Pembinaan universiti hospital memang mempunyai banyak manfaat dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi kosnya terlalu tinggi iaitu dari segi operasi sahaja memerlukan RM400 hingga RM500 juta setahun, sebab itu kerajaan perlu kaji dan teliti keperluan sebenar untuk membina hospital pengajar ini," katanya.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata lawatan 'Brain Gain' bagi menerokai peluang kerjasama itu juga dilihat mampu melonjakkan kualiti IPT tempatan kerana perluasan kolaborasi dengan universiti di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan pengetahuan dan ilmu tenaga kerja, pelajar serta kepakaran tempatan melalui program pertukaran dan penempatan di universiti-universiti berkenaan.

UMT Rancang Kaji Dapatkan Tenaga Dari Ombak

Usaha mendapatkan tenaga dari ombak laut semakin menghampiri kenyataan bila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memasukan rancangan tersebut dalam program penyelidikannya.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam, Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata, "Kita juga memberi tumpuan kepada 'green teknologi' yang akan mengkaji untuk mendapatkan sumber tenaga daripada ombak pada masa akan datang".

Beliau bercakap mengenai peruntukan RM3.2 juta disediakan oleh UMT bagi melengkapkan struktur asas Stesen Penyelidikan universiti itu di Pulau Bidong.

Dr Aziz berkata, banyak lagi program pembinaan yang dirancang di pulau itu mulai tahun depan iaitu dengan mengadakan sebuah jeti terapung, membina kincir angin untuk mendapatkan tenaga elektrik.

Mengenai peruntukan itu, beliau berkata, ia bagi melengkapkan struktur yang sedia ada dengan menyediakan tempat penginapan, ruang-ruang makmal serta jeti, bagi membolehkan penyelidik tinggal lebih lama di pulau itu.

"Di pulau berkenaan juga kita menyediakan kemudahan internet supaya penyelidik boleh berhubung dengan dunia luar.

"Dengan adanya segala kemudahan, penyelidik boleh tinggal lebih lama di pulau tinggalan pelarian Vietnam itu," katanya.

Dr Aziz berkata, penyelidik boleh membawa peralatan mereka ke pulau itu dan membawa balik setelah kajian mereka selesai.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menerima zakat perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Hanya 24 Jenis Sukan Dipertandingkan Pada Sukma Mulai 2011

Sukan Malaysia (Sukma) yang menjadi temasya tahunan mulai tahun depan akan hanya mempertandingkan maksimum 24 jenis sukan termasuk lima sukan pilihan, kata Majlis Sukan Negara (MSN)semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong berkata langkah mengehadkan bilangan jenis sukan pada temasya itu bagi mengelak penganjur dibebani dengan masalah kewangan.

"MSN memperuntukkan hanya RM3 juta untuk SUKMA edisi pertama di Kuala Lumpur pada 1986 tetapi tuan rumah Melaka membelanjakan lebih RM34 juta untuk edisi ke-13 pada Julai lalu," katanya di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Zolkples membentangkan kertas kerja bertajuk `Sukan Malaysia Sebagai Pemangkin Kepada Pembangunan Sukan di Malaysia' pada Seminar Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA di Kuala Lumpur, semalam.

Seminar dua hari itu bertujuan melicinkan aturan SUKMA selepas Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada Mei lalu memutuskan bahawa temasya tersebut diadakan setiap tahun, berselang seli di antara MSN di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil dengan negeri-negeri.

SUKMA 2011 akan dikelolakan oleh MSN di Bukit Jalil sementara tahun berikutnya akan diadakan di Pahang.

Sukan wajib pada SUKMA ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin boling, angkat berat, berbasikal, karate, boling padang, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wushu.

Acara pilihan pula ialah besbol, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, ekuestrian, petanque, golf, judo, kabaddi, kenu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping-pong, ragbi, silambam, snuker & biliard, sofbol, tenis, tinju, bola baling, woodball, renang irama dan polo air.

Zolkples berkata bagi acara pilihan, acara yang telah dipertandingkan, tidak boleh dipilih oleh tuan rumah berikutnya.

"Bagaimanapun, acara pilihan yang cemerlang di kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA, Komanwel atau Sukan Asia, akan dinaiktaraf ke acara wajib pada SUKMA," katanya.

Seminar tersebut dihadiri oleh Majlis Sukan Negeri, persatuan sukan dan pentadbir sukan dan hasil daripada seminar tersebut akan diteliti oleh Ahli Lembaga Pengurusan MSN dan Majlis Tertinggi SUKMA sebelum dibentangkan kepada JKPS.

Terengganu Akan Wujud Undang-undang Walit

Semua rumah burung walit di negeri ini akan diwajibkan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) apabila undang-undang berhubung walit diwujudkan di Terengganu tidak lama lagi.

Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharom berkata berikutan itu JPV akan menganjurkan satu bengkel bertujuan mengkaji semula garis panduan walit yang telah diluluskan Kabinet untuk diselaraskan supaya sesuai dengan keadaan di negeri itu.

"Selama ini Terengganu belum ada undang-undang menyebabkan sukar JPV untuk mengumpul data mengenai industri burung walit," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Dr Azizol berkata bengkel selama tiga hari bermula hari ini dihadiri kira-kira 100 peserta daripada Jabatan Kesihatan, Perhilitan, pihak berkuasa tempatan dan wakil persatuan burung walit.

Beliau berkata garis panduan walit yang dikeluarkan Kabinet itu sangat umum dan ia mungkin boleh diubahsuai untuk disesuaikan dengan keadaan setempat.

Dr Azizol berkata perkembangan industri burung walit di Terengganu sejak kebelakangan ini amat menggalakkan dan banyak rumah-rumah walit baru didirikan, terutama di luar bandar.

Sementara itu, Dr Azizol berkata JPV akan memperkenalkan model rumah burung walit yang lebih kecil dan lebih murah berbanding rumah burung yang biasa dibina di sini.

Rumah contoh itu dibina di Pusat Veterinar Jerangau, Dungun dengan kos kira-kira RM28,000, katanya.

15,000 hadiri Majlis Aidilfitri di Kediaman MB di Teluk Kalong

Gambar-gambar oleh Zulkifli Putra

Kira-kira 15,000 ribu orang menghadiri Majlis Aidilfitri di kediaman Menteri Besar di Teluk Kalong Kemaman pada Khamis, 16 September lalu.

Walaupun majlis sepatutnya dimulakan jam 10 pagi dan tamat 4 petang tetapi orang ramai datang lebih awal dan sehingga jam 4.30 petang, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud masih menerima tetamu.

Sebelum ini Menteri Besar sudah mengadakan dua majlis Aidilfitri iaitu di kediamannya di Seri Iman, Kuala Terengganu pada Hari Raya Pertama dan pada Hari Raya Kedua pula bersama perantau di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Pada majlis di Seri Iman, lebih 10,000 orang menghadirinya dan lebih 5,000 warga perantau Terengganu menghadiri majlis di Hotel Primula.

“Penat tetapi gembira kerana ramai yang datang dari jauh, termasuk Pahang. Kuala Lumpur dan Kelantan,” kata Ahmad Said pada akhir majlis di Teluk Kalong.

Beliau berpuas hati dengan sambutan yang mulanya menjangkakan hanya 12,000 tetamu seperti tahun lalu.

Keesokan harinya beliau dan isteri berlepas untuk lawatan ke luar negara - Kanada - dan kembali ke Terengganu semalam.

Beliau dijangka akan menghadiri beberapa majlis Aidilfitri selepas ini sehinggalah 30 Shawal nanti.

Pemenang Pingat Emas Sukma Dari Terengganu Lawat Guangzhou

Lawatan untuk semua atlet Terengganu yang menyumbangkan pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2010 ke Guangzhou, China bulan depan merupakan satu insentif daripada kerajaan negeri selepas Terengganu muncul juara pada sukan dwitahunan itu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Rosdi Awang berkata mereka juga berpeluang menyaksikan temasya Sukan Asia sempena lawatan itu.

Pada Sukma Melaka, Terengganu berjaya merangkul 47 pingat emas untuk muncul juara buat tahun ketiga berturut-turut.

Rosdi berkata kehadiran atlet Terengganu itu juga diharap akan memberi suntikan kepada atlet Terengganu yang bertanding dalam Sukan Asia.

Beliau berkata atlet Terengganu yang mewakili negara dalam sukan itu terdiri daripada sukan lumba basikal, olahraga, silat dan angkat berat.

"Tujuan kita untuk memberi pendedahan kepada atlet-atlet berkenaan untuk menyaksikan sukan Asia di samping menimba pengalaman," katanya ita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri MSNT di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mengenai Sukma 2012 di Kuantan, Rosdi berkata sebagai juara bertahan, Terengganu akan membuat persediaan awal dengan mengenal pasti atlet baru yang akan diketengahkan.

Katanya, MSNT akan menganjurkan satu bengkel selama tiga hari pada bulan depan untuk merangka program dan jadual latihan kejohanan dan lain-lain pada bengkel tersebut.

"Selepas seminar tersebut, persatuan-persatuan akan menghantar senarai nama atlet, senarai nama jurulatih dan juga senarai-senarai kejohanan yang akan disertai sehingga kejohanan itu bermula," katanya.