Friday, June 20, 2014

Kelewatan LPT II - PAC Tolak Dakwaan Pembangkang Kaitkan Penyelewengan, Rasuah

Peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta daripada  kerajaan pusat  bagi membiayai pengambilalihan tanah yang lebih luas, selain pembinaan komponen-komponen lain dalam lebuh raya bertol dan peningkatan mendadak bahan binaan semasa projek itu dilancarkan.

Ada pihak, termasuk pembangkang, cuba menggambarkan bahawa kelewatan siapanya pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT II) diakibatkan berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Malah gembar-gembur pembangkang, khususnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak persidangan tahun 2009, semata-mata mahu mengaitkan kelambatan projek berkenaan dengan kelemahan pentdbiran kerajaan Pusat dan negeri.

Memburukkan keadaan, kelewatan projek ini dikaitkan dengan tuduhan membabitkan salah guna kuasa, peemberian kontrak kepada syarikat yang kurang berkemampuan selain isu berkaitan rasuah.

Sebaliknya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC semalam, menjelaskan projek LPT II yang sepatutnya siap pada 2009 mengalami kelewatan disebabkan perubahan pembinaan daripada lebuh raya persekutuan kepada lebuh raya bertol.

Projek ini juga lewat kerana peruntukan tambahan itu dikeluarkan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), sedangkan pembiayaan asal projek itu dikeluarkan dalam RMK-10.


Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (atas) menjelaskan, berikutan perubahan itu kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan tambahan RM800 juta.

Peruntukan tambahan oleh kerajaan pusat itu juga bagi membiayai pengambilalihan tanah yang lebih luas, selain pembinaan komponen-komponen lain dalam lebuh raya bertol dan peningkatan mendadak bahan binaan semasa projek itu dilancarkan.

Skop projek itu dibahagikan kepada dua badan penyelia iaitu Jabatan Kerja Raya yang menguruskan pembinaan 120 kilometer lebuh raya itu dengan kos RM2.09 bilion dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sepanjang 64 kilometer dengan kos RM1.5 bilion.

Peruntukan tambahan RM800 juta disalurkan kepada skop projek yang diselia JKR yang menjadikan kos asal iaitu RM2.09 bilion itu meningkat kepada RM2.9 bilion.

Bagaimanapun daripada jumlah RM2.9 bilion ini pihak kontraktor berjaya membelanjakan di bawah peruntukan itu iaitu RM2.75 bilion dan skop itu telah siap 95 peratus sementara skop LLM sepanjang 64 kilometer pula telah siap sepenuhnya.

Pada sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya berhubung kelewatan dan pertambahan peruntukan projek LPT II itu, di Kuala Lumpur, kelmarin (18 Jun 2014), beliau menjelaskan, peruntukan tambahan adalah bagi membiayai reka bentuk baharu lebuh raya itu seperti pembinaan plaza tol dan hentian rehat dan rawat.

PAC memanggil Kementerian Kerja Raya bagi menjelaskan perkara itu selepas ia dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu.

Projek LPT II yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer sepatutnya dimulakan pada 2006 dan siap pada 2009.

Bagaimanapun akibat pelbagai masalaah, ia berlaku kelewatan dan sebelum dimulakan pada 2011 dan dijangka siap September tahun ini.

Jelas dan nyata bahawa kelewatan yang berlaku kepada LPT II tidak ada kena mengena dengan rasuah atau penyelewengan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Di pihak kerajaan negeri, selain menjamin projek ini siap, ia melihat pelbagai perkara lain wajar diadakan di LPT II untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman masalah kawasan hentian rehat atau R&R perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Dengan R & R di LPT II masih tidak beroperasi, masalah kekurangan kemudahan khas untuk pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya tersebut perlu mendapat perhatiaan segera. Berikutan itu, syarikat konsesi penyelenggaraan lebuh raya bagi mengatasi masalah tersebut, bakal dilantik akhir tahun ini yang akan ditentukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebaik sahaja terpilih, syarikat konsesi berkenaan akan membuat semua urusan untuk menyelenggara R&R serta tiga plaza tol yang beroperasi iaitut Ajil, Bukit Besi dan Pakadi laluan berkenaan.

LPT II dari Bukit Besi ke Paka sepanjang 34 kilometer bernilai RM514 juta yang mampu mempercepatkan perjalanan, mula dibuka kepada pengguna jalan raya bermula awal tahun ini.

Sementara laluan sepanjang 70 km menghubungkan Bukit Besi menghala Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dibuka kepada pengguna sejak 22 Ogos 2011.

Pada 25 Januari lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, dengan siapnya jajaran baharu pakej 10 hingga ke sebahagian pakej 7 (7C) itu menandakan kira-kira 100 daripada keseluruhan 184 kilometer projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 tersebut telah dibuka kepada orang ramai.

"Kerajaan berharap pembukaan lebuh raya ini memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jajaran itu di Plaza Tol Bukit Besi.

Fadillah turut berkata, buat masa ini, kerajaan belum membuat keputusan dari segi tol dan sebagainya berhubung pembukaan baharu sebahagian jajaran LPT2 itu.

Urusan pembidaan bagi menyelenggara LPT berkenaan sudah ditutup 17 Jun lalu dan kini proses penilaian dan saringan akhir sedang dilakukan untuk memilih beberapa syarikat konsesi yang menyertai bidaan.

Ir. Rosli menegaskan, kerajaan negeri berharap LLM akan memilih syarikat konsesi penyelenggara lebuh raya yang terbaik serta mampu melaksanakan kerja mengikut piawaian, menepati keperluan, cekap dan juga selamat.

Dengan penjelasan PAC berasaskan sumber Jabatan Kerja Raya ini , kita berharap pihak yang cuba menangguk ikan di air keruh dan mahu mengaut keuntungan politik berkaitan LPT II memberhentikan tuduhan liar mereka dengan segera.

Pengajaran daripada LPT II ini ialah semua pihak wajar bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dalam menentukan perancangan awal termasuk keperluan pengguna sesuatu projek perolehan kerajaan.

Ia bagi mengelak berlaku pelbagai masalah seperti yang kerap dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara berkenaan masalah pembinaan projek-projek tertentu, seperti yang berlaku kepada LPT II ini.

Harapan kita ialah, tidak akan timbul lagi persoalan di kalangan rakyat terhadap kemampuan jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab melaksanakan sesuatu pembinaan pada masa hadapan, apa lagi jika ia membabitkan kepentingan rakyat jelata di negeri ini.


Nota - Sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan pada Bicara Terengganukita, Trg FM, Khamis 19 Jun 2014, jam 1,30 tghari.

Terengganu Sedia RM300,000 Untuk Program Jom Bertani

Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM300,000 tahun ini untuk menggerakkan program Jom Bertani bagi menggalakkan penyertaan penduduk kampung dalam pengeluaran makanan bagi kegunaan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut telah dipilih untuk projek perintis program tersebut melibatkan sebanyak 300 peserta.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menanggung sebanyak RM500 bagi setiap peserta program tersebut melalui pemberian bahan yang diperlukan seperti benih, baja dan peralatan sesuai.

"Dua lagi kawasan yang akan terlibat di daerah Besut selepas ini ialah Jertih dan Kuala Besut sebelum diperluaskan ke daerah Dungun dan Setiu," katanya di Besut, semalam.

Nawi, yang juga ADUN Hulu Besut, berkata program Jom Bertani ini melibatkan tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman di sekeliling rumah untuk menangani kos sara hidup.

Beri Projek Kepada Syarikat Tidak Layak, PAC Panggil Kementerian Kewangan


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemberian projek secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang tidak berkelayakan.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC juga akan memanggil pegawai pengawal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan syarikat itu, JAKS Resources Bhd, yang dianugerahkan Projek Pembangunan Empangan Paya Peda, Besut, Terengganu bernilai RM348 juta.

"PAC tidak berpuas hati kerana projek ini lambat siap sehingga memberi banyak masalah kepada penduduk tempatan dan projek ini tidak diuruskan dengan baik dan tidak dipantau.

"PAC akan memanggil kesemua mereka dalam masa terdekat. Walaupun kita ada banyak prosiding lain, namun kita akan beri keutamaan pada kes ini," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan projek itu di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, kelmarin.

Uitm Terengganu Wakafkan 2,700 Buah Buku Kepada 90 Perpustakaan Desa

Sebanyak 2,700 buah buku pelbagai genre akan diwakafkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu kepada 90 Perpustakaan Desa di seluruh negeri itu.

Koordinator Komunikasi Korporat UiTM Terengganu, Mohd Talmizie Amron berkata penyerahan buku berkenaan pada Ahad ini merupakan sebahagian daripada progran tanggungjawab sosial korporat (CSR) UiTM kepada masyarakat tempatan.

Dalam kenyataan Khamis, beliau berkata majlis penyerahan akan dilakukan oleh Pengarah UiTM Press, Professor Datin Dr Hajibah Osman kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, Datuk Nor Akmal Abdul Fatah.

Sasaran Tingkat Pengeluaran Akuakultur Menjelang 2020

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin dapat mencapai sasaran peningkatan pengeluaran akuakultur kepada 50 peratus menjelang tahun 2020.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata industri perikanan di seluruh dunia kini mengalihkan tumpuan kepada aktiviti akuakultur dan tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan laut.

"Setakat ini kita sudah mencapai 20 peratus, jadi baki 30 peratus dijangka mampu dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama dalam usaha memperkasa bidang akuakultur di negara ini.

"Tumpuan diberi kepada aktiviti akuakultur dan bukan lagi kepada hasil laut semata-mata disebabkan oleh beberapa elemen seperti pemanasan global yang memberi impak kepada hidupan laut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Makanan Laut Antarabangsa Malaysia (MISE) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Pas Pulang Ke Malaysia, Masih Dalam Tempoh Berehat

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pulang ke Malaysia petang kelmarin selepas diberi kebenaran oleh doktor yang merawatnya di sebuah pusat perubatan di Turki.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun kesihatan Abdul Hadi bertambah baik dan dibenarkan pulang ke Malaysia, doktor menasihati beliau untuk terus berehat dalam satu tempoh tertentu.

"Sehubungan itu, diharapkan semua pihak memberikan ruang secukupnya kepada Presiden PAS untuk pulih sepenuhnya sebelum beliau dapat bertemu dan memberi komitmen terhadap program parti dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Abdul Hadi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Turki, setelah mengalami sesak nafas semasa menghadiri satu persidangan di Istanbul pada Mei lepas.

UMT Jadikan Tasik Kenyir Geopark Kebangsaan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memilih satu kawasan di Tasik Kenyir untuk dibangunkan sebagai Geopark Kebangsaan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata UMT telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk dibangunkan kawasan itu.

"Sekarang kerajaan negeri telah melihat dan sedang mengkaji kertas cadangan kita. Kalau dipersetujui projek itu akan dimulakan akhir tahun ini," katanya.

Dr Ibrahim berkata, di seluruh negara terdapat 20 kawasan yang berpotensi untuk dijadikan taman geologi.

Penganggur Mengaku Salah 14 Pertuduhan Menipu

Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas 14 pertuduhan menipu dan memperdaya orang awam sebagai pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Syed Ahmad Fadzli Syed Ali, 43, berasal dari Marang, didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada Mac 2013 hingga Februari tahun ini di sekitar Kuala Terengganu.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang menyamar sebagai pegawai Maidam memperdaya mangsa yang berusia antara 22 hingga 60 tahun membabitkan kerugian RM21,100.

Tuesday, June 17, 2014

Ahmad Razif Hadir Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mempengerusikan Mesyuarat Ke-121 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa menteri Kabinet. Ini merupakan mesyuarat kali kedua diadakan pada tahun ini yang bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri dan membincangkan isu-isu berbangkit.

Mesyuarat kali ini menyaksikan muka baharu iaitu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang dilantik pada 12 Mei lalu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletak jawatan.

Seorang lagi muka baharu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mengambil alih jawatan daripada Tun Abdul Taib Mahmud, kini merupakan Yang Dipertua Negeri, pada 28 Feb tahun ini. Mesyuarat bermula pada pukul 10 pagi.