Friday, November 6, 2015

Bandar Wakaf - Babitkan Asnaf Secara Langsung Dalam Pembangunan Mega


"Perincian mengenai konsep wakaf yang akan diamalkan di bandar tersebut akan diuruskan oleh Maidam...kawasan meliputi 8.8 hektar itu akan diperhalusi balik oleh Maidam dan jika perlu akan menambah keluasannya pada masa akan datang."
- Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

Oleh Hambali Abdul Latiff
Bandar Wakaf yang bakal dibangunkan di Kuala Nerus bukan sekadar mercu tanda kebangkitan ekonomi umat Islam di Terengganu tetapi di Malaysia amnya.

Selain itu, yang penting ialah bandar di tapak seluas 22 ekar itu akan meyediakan pusat perniagaan, perumahan dan hotel yang membabitkan secara langsung kumpulan asnaf dalam pembangunan mega.

Ini sesuatu yang mendahului konsep pembangunan bandar di negara ini. Sebelum ini pembangunan bandar sering dikaitkan dengan kumpulan peniaga, elit, kakitangan kerajaan serta yang berkemampuan sama ada memiliki hartanah dan mengusahakan kegiatan perniagaan. Atau dengan kata lain perbandaran lebih kepada kumpulan pertengahan dan yang berada.

Sementara yang kelas bawahan dan berpendapatan rendah hanya sebagai ‘penumpang’ di bandar-bandar berkenaan.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Namun, bertepatan dengan namanya ‘wakaf’, sudah pasti tujuan murni Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Kerajaan Terengganu ialah membantu golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan terutama pelajar dan peniaga bagi meringankan beban mereka.

Ini termasuk memberi peluang kepada peniaga untuk  menyewa kedai secara percuma demi membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Manakala pelajar universiti yang miskin boleh tinggal di kawasan perumahan (dalam bandar baharu) untuk meringankan beban kewangan mereka.

Konsepnya baik dan sewajarnya disambut oleh rakyat, bukan sahaja di Seberang Takir dan Kuala Nerus amnya tetapi di Terengganu seluruhnya.

Apa yang penting ditekankan di sini, apabila pelaksanaannya, ia hendaklah mengambil kira matlamat dan niat suci penubuhannya.

Beberapa pertimbangan penting perlu dirangka kerana apabila disebut ‘percuma’  - lot kedai dan kediaman pelajar – akan timbul beberapa persoalan:

Bagaimana proses memilih dilakukan;

1.     Pihak mana yang akan menanggung kos untuk perkhidmatan ‘percuma’   berkenaan;

2.     Apa kesannya kepada perbelanjaan kerajaan juga mungkin Pihak     Berkuasa di bandar berkenaan; dan

3.     Paling mustahak ialah siapa dan bagaimana mahu dikekalkan   pengurusan dan urus tadbir ke atas perkhidmatan percuma berkenaan.

Ahmad Razif yang mengumumkan bandar ini sudah pasti akan menjamin bandar berkenaan dapat diwujud dan berfungsi seperti yang dirancangkan.

Ahmad Razif semalam berkata perincian mengenai konsep wakaf yang akan diamalkan di bandar tersebut akan diuruskan oleh Maidam.

Malah,  kawasan meliputi 8.8 hektar itu akan diperhalusi balik oleh Maidam dan jika perlu akan menambah keluasannya pada masa akan datang.

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Besar Terengganu memaklumkan bahawa bandar itu masih dalam perbincangan namun dicadang untuk membangunkannya di kawasan persekitaran UniSZA dan Padang Nenas.

"Diharap dengan wujudnya Bandar Wakaf ini kelak akan dapat menyelesaikan masalah kepada mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian," katanya.

Beliau berkata terdapat dua buah universiti di sini iaitu UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta beberapa institusi pengajian tinggi seperti Institut Pendidikan Guru, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Imtiaz dan beberapa institusi kemahiran.

Semalam, bercakap  kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Rabu (4 November 2015), Ahmad Razif mengulangi bahawa ia bersifat membantu golongan asnaf agar dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Bandar Wakaf yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu adalah sebahagian daripada komponen yang terdapat dalam Bandar Baru Kuala Nerus.

"Maidam akan memiliki pusat perniagaan yang akan diberi kepada golongan asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui ekonomi serta kawasan perumahan untuk golongan asnaf yang layak.

"Kebetulan juga kawasan Bandar Wakaf nanti berhampiran dengan beberapa pusat pengajian tinggi awam dan mungkin juga perumahan itu boleh diberikan kepada pelajar miskin yang layak sebagai penempatan untuk meringankan beban kewangan mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Idea untuk membangunkan Bandar Wakaf itu adalah hasil perbincangan Maidam bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut mendapat kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu institusi waqaf korporat pertama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Kita amat yakin dengan kahdiran Muhamad Ali dalam projek ini, harapan kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri akan terlaksana seperti dirancangkan.

Bandar Wakaf pertama di Malaysia di kawasan seluas 8.8 hektar dalam Bandar Baharu Kuala Nerus yang juga dikenali sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah,  adalah sebahagian daripada pembangunan bandar baharu yang berkeluasan hampir 4,000 hektar.

Menurut anggaran ketika ini, kerajaan negeri akan peruntukan kira-kira RM600 juta dijangka mengambil masa empat tahun setengah dengan menggunakan konsep pembangunan berpusat sepertimana Pusat Pentadbiran Putrajaya.

Mengulas mengenai pembinaan Bandar Baru Kuala Nerus, Ahmad Razif berkata bandar seluas 3,785.65 hektar itu akan dibina dalam masa terdekat dengan mengambil masa empat tahun setengah untuk dibina.

"Bandar itu yang juga dikenali sebagai Bandar Alwatiqu Billah akan menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan secara berpusat seperti di Putrajaya yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan," katanya.

Idea dan tujuan yang baik ini hendaklah disambut oleh semua pihak, khususnya di Seberang Takir dan Kuala Nerus.

Rakyat dan kumpulan sasar – khususnya asnaf  dan pelajar – tidak sewajarnya hanya menunggu pelaksanaan projek ini.

Sebaliknya berilah cadangan kepada kerajaan agar apabila dilaksanakan, ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menjadi kumpulan sasar!

Thursday, November 5, 2015

JANGAN SUSAH HATI HUSAM…KENAIKAN GAJI SELEPAS SEMUA PERTIMBANGAN


"Gaji MB Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kini RM15,000 tetapi gaji MB Terengganu dan Pahang ialah sebanyak RM30,000 sebulan. ADUN di Kelantan mendapat RM8,000 tetapi di Pahang menerima sebanyak RM14,000 sebulan dan di Terengganu sebanyak RM11,000."

Sudah diketahui umum bahawa pendapatan kebanyakan negeri mulai berkurangan,  khususnya negeri-negeri yang menerima ‘wang ehsan tahunan’ daripada Petronas.

Juga sudah menjadi ‘rahsia umum’ bahawa kehidupan rakyat tertekan dengan kos kehidupan yang meningkat dn pelbagai cabaran ekonomi dan kewangan yang lain.

Namun, apakah keadaan sedemikian boleh dijadikan penghalang kepada keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan gaji dan elaun wakil rakyat?

Jika kerajaan negeri membuat keputusan sedemikian, sudah tentu ia mengambil pelbagai perkiraan, termasuk kesusahan rakyat.
  
Semalam, dalam kenyataannya, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa menyindir “keberanian” kerajaan Kelantan susulan kenaikan elaun wakil rakyatnya kepada RM8,000 sebulan.

Husam berkata beliau tidak bersetuju dengan pengumuman itu kerana kenaikannya dibuat ketika himpitan ekonomi yang dirasai rakyat.

Alahai, bukan Kelantan sahaja gaji wakil rakyat naik. Jiran sebelah, Terengganu dan Pahang pun mengalami kenaikan juga, malah lebih besar!


Pada 29 Mei lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan kenaikan gaji 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kenaikan itu juga membabitkan gaji Speaker DUN daripada RM6,109 kepada RM14,000 sebulan dan Timbalannya (RM2,662 kepada RM7,000 sebulan).

Sementara itu, gaji Menteri Besar pula dinaikkan kira-kira 110 peratus daripada RM14,175 kepada RM30,000 sebulan manakala Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (RM6,109 kepada RM14,000 sebulan) dan gaji Setiausaha Politik Menteri Besar (RM3,993 kepada RM9,000 sebulan).

Gaji Menteri Besar Kelantan yang diluluskan oleh sidang DUN Kelantan itu bukan besar pun berbanding gaji Menteri Besar Pahang  dan Terengganu.

Elaun Menteri Besar Kelantan naik daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan tetapi di Terengganu, enakmen yang diluluskan oleh persidangan DUN Terengganu pada 8 September lalu  di mana Menteri Besar kini menerima gaji RM30,000 sebulan berbanding RM14,000 sebelum itu.

Yang Dipertua Dewan dan Exco Terengganu menerima gaji RM14,000 sebulan berbanding RM6,100 sebelum ini. Kesemua 32 ADUN Terengganu kini menerima gaji RM11,000 sebulan berbanding RM4,112 sebelum ini.

Bagi Ahmad Razif, kelulusan oleh DUN Terengganu  itu adalah munasabah kerana setiap Menteri Besar, Exco dan Yang Dipertua Dewan tidak menerima kenaikan gaji tahunan selain tidak berpeluang mendapat bonus seperti penjawat awam yang lain.

"Kenaikan ini juga akan dinikmati bekas Exco, bekas Menteri Besar dan bekas Yang Dipertua Dewan, (ini kerana) pencen (minimum 72 bulan) akan mengguna pakai gaji hari ini sebab ada sesetengah Exco menerima pencen RM3,000 sahaja, ini tidak munasabah," kata Menteri Besar.

Yang Dipertua Dewan, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri Terengganu akan menerima kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari  tahun ini sama seperti di Pahang.


Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan meminda gaji tersebut tertangguh sejak sekian lama dan dibuat bagi memastikan kesemua ADUN dapat memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan masing-masing.

“Kenaikan ini turut mengambil kira kepentingan rakyat yang sedang berada dalam kesusahan, saya sendiri sangat berat dan susah hati untuk mencadangkan pindaan ini dibuat,” katanya.

Sebaliknya, kenaikan diluluskan itu hanya akan berkuatkuasa 1 Januari 2016 akan datang.

DUN Kelantan pada 2 November lalu (Isnin) meluluskan untuk meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).

Timbalan Menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).

Semakan terakhir melibatkan penyelarasan elaun anggota pentadbiran dan ADUN Kelantan dilakukan pada tahun 2010.

Ketua Pembangkang Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) ketika membahaskan enakmen berkenaan berkata elaun ADUN sepatutnya dinaikkan kepada RM11,000 agar ia selaras dengan negeri-negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang dan Selangor.

"Kenaikan kepada RM11,000 itu adalah wajar memandangkan keadaan ekonomi semasa dan tanggungjawab berat yang dipikul oleh wakil rakyat pada masa kini dan sepatutnya wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

"Elaun khas kepada ketua pembangkang juga sepatutnya diwujudkan," katanya.

Malah, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan utama mereka untuk tidak menaikkan elaun ADUN kepada RM11,000.

"Ini kerana kerajaan Persekutuan sentiasa membantu kerajaan negeri terutama berkaitan belanja mengurus pada setiap tahun," katanya.

Menteri Besar Kelantan (PAS-Pasir Pekan) ketika menggulung perbahasan berkata pihaknya memahami apa yang disampaikan oleh pembangkang berhubung kenaikan elaun berkenaan.

Ahmad berkata bagaimanapun terdapat kekangan kewangan daripada kerajaan negeri pada ketika ini yang digunakan bagi pembangunan negeri.

"Elaun sebanyak RM8,000 adalah sesuai pada ketika ini memandangkan enakmen berkenaan tidak menyebut tempoh masa untuk menyemak kembali elaun berkenaan.

"Kita akan lihat kepada keupayaan dan keselesaan kerajaan negeri (dalam hal ini) dan kerajaan kekal dengan angka yang diberikan dalam dewan," katanya.

Husam sebaliknya mengatakan  ramai juga rakan-rakan ADUN rasa serba salah menerima kenaikan ini. Kos hidup dan tuntutan perkhidmatan yang meningkat kini memerlukan kenaikan elaun ini.

Beliau juga terkejut membaca laporan media bahawa dua ADUN BN menuntut elaun itu dinaikkan lebih tinggi lagi.

“Ketika berdepan pengundi, timbul sedikit perasaan segan di hati. Rakyat kian susah, kita pula naik gaji,” kata bekas exco ekonomi ketika pentadbiran ikon PAS allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Bagi Husam, kenaikan elaun yang diumumkan kelmarin menunjukkan kewangan kerajaan adalah kukuh.

Bagaimanapun Husam berkata sekiranya kewangan kerajaan negeri begitu kukuh tidak mungkin tunggakan yang membelenggu Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak mampu dijelaskan.

“Saya agak, kerajaan Kelantan akan berjaya melakukannya. Jika tidak, imej kerajaan sukar dibaiki,’ katanya.

Beliau turut menafikan laporan Bernama bahawa semua 45 ADUN Kelantan menyokong cadangan kenaikan itu sebagai  tidak tepat.

“Saya tidak ada di Dewan ketika cadangan itu diluluskan,” kata bekas Naib presiden PAS itu.

Walaupun tidak ada di dewan, gaji Husam juga akan naik.

Kita tunggulah, sama ada Husam akan tolak kenaikan itu atau 'enjoy' dengan kenaikan yang tidaklah setara dengan kenaikan ADUN di Terengganu dan Pahang.

Monday, November 2, 2015

Terengganu Sedia Persiapan Rapi Hadapi Banjir - Ahmad Razif


"Kita berpengalaman dua tiga kali menghadapi banjir besar. Tahun lepas Terengganu telah dinobatkan negeri paling bagus dalam pengurusan banjir, jadi kita kekalkan dan pastikan pengurusan tahun ini akan lebih baik." 
-  Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

Kerajaan negeri Terengganu menyediakan pelbagai persiapan rapi untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir yang boleh melanda negeri itu pada bila-bila masa sahaja bermula sekarang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata simulasi banjir telah diadakan di lokasi-lokasi yang biasa berlaku bencana itu selain manual tindakan dikeluarkan kepada jentera pengurusan banjir di daerah.

"Kita berpengalaman dua tiga kali menghadapi banjir besar. Tahun lepas Terengganu telah dinobatkan negeri paling bagus dalam pengurusan banjir, jadi kita kekalkan dan pastikan pengurusan tahun ini akan lebih baik," katanya.

Ahmad Razif, yang ditemui pemberita di Karnival Pesona Terengganu 2015 di Dataran Dewan Bandrajaya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur semalam,  berkata pelbagai tindakan jangka pendek seperti membina penebat banjir di seluruh negeri telahpun dilaksanakan dengan kos kira-kira RM300 juta.

Menurut Jabatan Meterologi Malaysia angin monsun timur laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh dijangka bermula awal minggu pertama bulan depan dan berakhir pada Mac tahun depan.

Dengan bermula musim tengkujuh, negara dijangka mengalami sekitar empat episod hujan lebat yang menyeluruh selama tiga hingga lima hari yang boleh mengakibatkan banjir.

Negeri Pantai Timur dijangka mengalami banjir pada bulan November ini hingga Januari tahun depan dan di barat Sarawak mulai Januari hingga Februari tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata kelmarin, bagamanapun, risiko beberapa negeri mengalami bencana banjir besar ekstrem dan hujan lebat dijangka akan berkurang dengan kehadiran fenomena El Nino berintensiti kuat ketika ini," katanya kepada Bernama.

Che Gayah berkata fenomena El Nino dijangka akan dapat mengurangkan risiko hujan lebat dan banjir besar ekstrem seperti yang dialami semasa musim tengkujuh tahun lepas.

Setakat hari ini, Jabatan Metrologi telah mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu dan menjangkakan keadaan akan berterusan sehingga Selasa depan.

Amaran hujan lebat peringkat kuning merupakan hujan lebat dalam tempoh satu hingga tiga hari.


Sementara itu, Ahmad Razif berkata, sebanyak 521 pusat pemindahan banjir dan 162 Pangkalan Hadapan Banjir turut disediakan dan dilengkapi bekalan makanan serta kelengkapan lain termasuk bot.

Katanya sebanyak 100,000 anggota sukarelawan juga telah bersiap siaga untuk dikerah pada bila-bila masa bagi membantu mangsa banjir.

"Kita juga telah terima bajet untuk selesaikan isu banjir di Kemaman lebih kurang RM400,000 dan projek ini akan dilaksanakan awal tahun hadapan," katanya.

Sumber – Bernama