Saturday, January 28, 2012

Amaran Ribut Petir Dan Hujan Lebat Di Terengganu, Pahang

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang turun di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata daerah yang terlibat adalah Kemaman, Dungun dan Marang di Terengganu, serta Kuantan di Pahang.

Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua turut dikeluarkan dengan angin timur laut berkelajuan 50-60 km/j dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan, dijangka berterusan sehingga Sabtu, 4 Feb.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat), Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga 4 Feb.

Kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dan keadaan itu dijangka berterusan sehinggan Ahad, 29 Jan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Liga Super - T-Team Mahu Kekalkan Rekod, Selangor Mahu Buang Badi

Pertemuan antara pasukan T-Team dan Selangor dijangka menarik apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam ini.

Jurulatih pasukan T-Team Yunus Alif berkata, sama ada T-Team mahupun Selangor masing-masing tahu teknik antara satu sama lain yang membuatkan perlawanan dijangka seimbang dan menarik.

"Sama-sama kuat dan sama-sama tahu kelebihan dan kelemahan pemain masing-masing," kata Yunus Jumaat, ketika diminta mengulas mengenai pertemuan kedua-dua pasukan malam ini.

Yunus berkata beliau tidak khuatir dan bimbang pasukannya menghadapi gergasi Lembah Klang malam esok kerana T-Team pernah mengalahkan pasukan itu empat kali dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia tahun lepas.

Tambahan pula, dengan kehadiran Fazli Shaari (gambar kiri) bekas pemain Selangor, ia menguatkan lagi kedudukan T-Team untuk memungut mata penuh daripada perlawanan itu nanti, katanya.

Apa yang pasti, bekas penyerang Selangor itu mampu menjadi ‘duri dalam daging’ pasukan pelawat jika tidak dirantai habis-habisan.

Yunus berkata beliau akan membuat pemilihan di antara Alif Alias dan Hassan Basri untuk mengambil tempat Shahril Fazli bagi mengukuhkan bahagian pertahanan kanan.

Shahril telah dilayang kad merah semasa T-Team menentang Terengganu di Kuala Terengganu Sabtu lepas, menyebabkannya digantung dua perlawanan.



Yunus berkata ketua pasukan T-Team Rosdi Talib yang baru pulih dari demam kemungkinan akan diturunkan malam ini jika keadaannya memuaskan.

"Apa yang saya harapkan ialah persembahan terbaik daripada anak buah saya di samping tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelak T-Team menerima padah," katanya.

Yunus berkata kemenangan bagi T-Team malam esok penting untuk menyuntik semangat bagi menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

Bagi Selamgor, ia mengharapkan kreativiti Shafiq Rahim untuk elak badi tewas sebanyak empat kali ke atas T-Team dalam saingan Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada musim lepas pastinya masih menghantui Gergasi Merah, Selangor.

Justeru, pengendali Merah Kuning, Irfan Bakti Abu Salim sudah tentu memiliki ramuan yang cukup istimewa untuk memburu tiga mata berharga ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Biarpun rekod pertembungan kedua- dua pasukan tidak memihak kepada pasukan beliau setakat ini, Irfan pastinya tidak akan duduk diam begitu sahaja selain mengharap ‘tuah’ gelanggang yang pernah menghadirkan 1,001 kenangan terindah pengendali kelahiran Perak itu ketika mengemudi Terengganu sebelum ini.

“Yang lepas itu, lepas. Paling utama, perlawanan kelima ini (bertemu T-Team), misi kami adalah untuk menang.

“Perjalanan liga dengan empat perlawanan sudah berlalu dianggap masih terlalu awal dan saya kekal optimis dengan keupayaan pasukan saya,” tegas Irfan sebelum ini.

Selepas seminggu tirai Liga Super berehat seketika, kredibiliti Safiq Rahim, Amri Yahyah dan Amirulhadi Zainal yang masih gagal menemui sentuhan sebenar setakat ini pastinya ditagih Irfan untuk menjelmakan sesuatu yang indah di Kuala Terengganu setelah kehilangan ‘awang import’, Lelo Mbele yang digugurkan gara-gara ‘indah khabar daripada rupa’.

Gergasi Merah setakat ini sekadar mengutip lima mata hasil kemenangan ke atas Perak, seri dua kali bersama Negeri Sembilan dan Sarawak selain tewas 0-1 kepada Felda United dalam empat perlawanan sebelum ini.

Mereka ketinggalan dua mata di belakang anak-anak buah Yunus Alif yang kini mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu tewas.

Najib Gempur DUN Rhu Rendang, Ladang & Batu Buruk 3 Feb

Selepas menggempur dan memberi tonik semangat kepada jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Manir, pertengahan tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, bakal menggempur pula tiga DUN lain yang dikuasai pembangkang.

Tiga DUN berkenaan ialah Rhu Rendang, Batu Buruk dan Ladang, yang akan digempur sempena Program Turung Padang beliau ke Terengganu pada 3 Februari depan, bagi memastikan semua kawasan DUN yang dimenangi pembangkang ditawan semula BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kunjungan pemimpin nombor satu negara ke tiga DUN berkenaan kini ditunggu-tunggu oleh pekerja parti BN dan seluruh penduduk di kawasan tersebut.

Mereka pastinya tidak sabar-sabar mendengar amanat dan pesanan daripada Perdana Menteri, serta janji-janji BN bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini, khususnya di kawasan DUN berkaitan.

Kunjungan Dato’ Seri Najib ke DUN Manir dan Bukit Tunggal sebelum ini mendapat sambutan luar dugaan dan mendapat pujian daripada mulut Perdana Menteri sendiri.

Pastinya perkara yang sama akan berlaku di tiga DUN berkenaan yang kini dikuasai Pas yang kini semakin ditolak oleh pengundi di kawasan tersebut.

Dengan semangat yang berkobar di kalangan pemimpin Umno selepas program Pemukiman di Janda Baik, baru-baru ini, kunjungan Perdana Menteri akan menambah ‘tonik’ kepada mereka untuk bekerja dengan lebih gigih bagi merampas semula ketiga-tiga DUN tersebut daripada Pas.

Teganukita

Friday, January 27, 2012

PPK Kemaman Sasar Tembusi Pasaran Cendawan Luar Terengganu

Pengeluar cendawan terbesar di Terengganu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kemaman menyasarkan untuk menembusi pasaran cendawan di luar Terengganu tidak lama lagi.

Untuk itu, Pengurus Besarnya, Abdul Hamid Ali berkata pihaknya akan menambah lagi bangunan pusat pemasaran di Kampung Dadong, Kemaman untuk meningkatkan pengeluaran.

"Sekarang ini, kita tidak dapat menembusi pasaran luar kerana pengeluarannya terhad dan permintaan dalam negeri terlalu tinggi," katanya di Kemaman, hari ini.

Bagi projek ini, beliau berkata PPK mempunyai tiga bangsal cendawan, bangsal pemeraman (satu) serta pusat pemprosesan bongkah dan bilik inokulasi (untuk menyejuk dan penyuntikan benih).

Abdul Hamid berkata, pusat pemasaran itu yang mula diwujudkan dan beroperasi tahun lepas berjaya mengeluarkan hasil pertama 24,000 kg cendawan jenis "tiram kelabu" bernilai lebih RM280,000.

Beliau berkata peruntukan utama RM163,268 pembinaan pusat itu datang dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Terengganu dan PPK Kemaman RM41,682.

Projek itu merupakan satu daripada projek korporat PPK sebagai mentor kepada usahawan tanaman cendawan di samping mewujudkan projek hiliran yang berunsurkan cendawan seperti sos cili cendawan, sos lada hitam cendawan dan sebagainya.

Kini, terdapat enam orang pengusaha tanaman cendawan yang bernaung di bawah PPK itu dan jumlah itu dijangka meningkat apabila peserta PPRT di Ketengah digalakkan mengusahakan tanaman cendawan.

Abdul Hamid berkata dengan adanya cendawan pengeluaran peserta PPRT itu, secara tidak langsung kuantiti cendawan meningkat dan hasrat PPK untuk menembusi pasaran luar Terengganu akan berhasil.

Dalam hal ini, beliau berkata pihaknya mempunyai rangkaian dengan usahawan PPK Kuantan Utara untuk mengeksport cendawan ke Singapura dan ke beberapa negara lain pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan Terengganu telah memberi bantuan RM20,000 untuk membina bangsal pemeraman dan juga membeli bongkah.

"Selain mengeluarkan cendawan, kita juga menjual bongkah kepada pengusaha cendawan termasuk pembeli dari Kedah dengan harga antara RM1.30 dan RM1.50 satu bongkah," katanya.

Benih cendawan dibeli PPK itu dari Muar, Johor.

Abdul Hamid berkata perusahaan cendawan berpotensi dan mempunyai masa depan yang cerah memandangkan tanaman itu mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan peminatnya.

Untuk masa depan, katanya PPK merancang mengeluarkan benih cendawan sendiri serta melahirkan lebih ramai lagi mentee supaya dapat menampung permintaan orang ramai.

Pada tahun ini, dianggarkan 60,000 kg cendawan akan dikeluarkan oleh PPK Kemaman, katanya.

MAS Terus Taja Jersi Putih Pada LTdL 2012

Malaysia Airlines Bhd (MAS) sekali lagi akan menaja Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) pada perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, bermula 24 Feb ini.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS (Jualan Malaysia) Azman Ahmad berkata ia merupakan misi perniagaan yang baik untuk menjadi penaja jersi juara Asia itu di kalangan pelumba kejohanan tahunan itu.

"Ia juga menjadi kebanggaan MAS untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama strategik dan rakan perkongsian dengan Kementerian Belia dan Sukan, selaku penganjur LTdL 2012," katanya dalam kenyataan semalam.

Perlumbaan LTdL sejauh 1,414.8km dari 24 Feb hingga 4 Mac ini menampilkan 22 pasukan profesional termasuk dua pasukan Malaysia iaitu skuad kebangsaan dan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG).

Kejohanan 10 hari itu itu bermula dengan perlumbaan peringkat pertama iaitu ujian masa individu sejauh 20.3km di Putrajaya dan peringkat akhir tamat di Kuala Terengganu.

Orang Melayu Diingatkan Jangan Terpedaya Helah DAP:Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Surau Al-Amin ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Rakyat selepas menunaikan sembahyang Jumaat di Putrajaya, hari ini.

Orang Melayu diingatkan jangan sesekali terpedaya dan terperangkap dengan tipu helah DAP yang memang sejak penubuhan parti itu, ia langsung tidak pernah memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Ingatan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menurut beliau, kerana apa jua tindakan parti itu hanyalah helah semata-mata demi untuk menarik sokongan orang Melayu.

"Kenapa baru sekarang dia nak jemput orang Melayu, saya tak tahulah apa tujuan dia, tapi kita dah tahu sejarah DAP ini, jadi orang Melayu kena faham lebih-lebih lagi bila dia menekankan Malaysian-Malaysiannya.

"Dia kata dia bukan parti perkauman, dia kata dia parti multi-racial (pelbagai kaum) tetapi dari segi amalan dan apa yang telah dilakukan oleh DAP sejak ditubuhkan sampai sekarang pun jelas terbukti (ia) parti yang chauvinist," katanya di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa lebih ramai orang Melayu akan menyertai parti itu.

Beliau turut mempersoalkan kenapa sekarang baru sibuk untuk menjemput orang Melayu, sedangkan parti itu agak bersifat perkauman dan nampak jelas langsung tidak mengambil kira kepentingan orang Melayu.

"Jadi sekarang baru sedar, bila dah ada pihak yang mengatakan tiada wakil Melayu, mungkin dia nak merancang setengah negeri itu nak diberikan kepada wakil Melayu yang dijanjikan bakal jadi exco, ketua kerajaan atau pun Menteri Besar baru," katanya.

Muhyiddin berkata bagi orang yang sudah lama dalam parti politik mereka akan faham benar ia cuma helah pilihan raya sahaja dan diharapkan orang Melayu dapat memahami secara mendalam sejarah DAP itu.

"Latar belakang, perjuangan dan suara lantang DAP apakah dia mewakili orang Melayu, jadi jangan mudah terpedaya kerana dekat pilihan raya ini pelbagai tawaran akan dibuat.

"Akan letak calon-calon Melayulah, nak ambil lebih ramai orang Melayulah dan jika ada pihak yang tidak memahami sejarah perjuangan DAP mereka akan mudah terjebak dengan gaya politik DAP," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi beliau DAP langsung tidak mengambil kira soal kepentingan orang Melayu berdasarkan rekod-rekod sejarah yang lalu.

"Apa isu yang disuarakan, soal pendidikan pun dia tidak pernah menyuarakan soal pendidikan kebangsaan, sebaliknya soal pendidikan Cina sahaja, walau pun pendidikan Cina diberi perhatian oleh kerajaan," katanya

Ancam Emak Sendiri Demi Wang Untuk Methamphetamine

Hanya kerana inginkan wang dengan cara mudah, seorang anak sanggup mengancam ibunya sendiri untuk membakar rumah dan pakaian jika kemahuannya gagal dituruti.

Bagaimanapun, tertuduh iaitu Muhamad Abdul Izzat Al-Salam Abd Rashid, 21, menerima balasan setimpal apabila didenda sebanyak RM3,000 atau dikenakan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, kelmarin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah antara tarikh 17 Januari kira-kira jam 7.30 pagi hingga 20 Januari kira-kira jam 5.20 pagi di Kampung Gong Kiat, di Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengancam hendak membakar pakaian dan rumah serta mengugut untuk membunuh dengan niat menyebabkan rasa cemas.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh, Aida Zaina Abd Rahmad, 45, dari Kampung Gong Kiat telah meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik pada 17 Januari lalu kira-kira jam 7.30 pagi kerana ingin pergi ke rumah kawannya di Kuala Ibai.

Bagaimanapun pada keesokannya iaitu kira-kira jam 10.30 malam, tertuduh telah menghantar mesej kepada pengadu berbaur ugutan seperti akan membakar baju kerja dan bakar rumah jika pengadu tidak balik ke rumah dan beri wang kepadanya.

Kira-kira jam tujuh malam pada 19 Januari, pengadu pulang ke rumah dan mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak manakala tertuduh berada dalam keadaan biasa.

Bagaimanapun kira-kira jam 9.30 malam, tertuduh telah mengamuk hendak wang dan ibunya telah memberi RM50 kerana takut terjadi apa-apa yang tidak diingini berlaku kepadanya.

Sepasukan polis dari Balai Chabang Tiga kemudiannya menyerbu kediaman tertuduh pada 20 Januari lalu, kira-kira jam enam pagi dan menahannya.

Hasil saringan awal ujian urin mendapati, tertuduh didapati positif methamphetamine.

Sinar Harian

20,000 Dijangka Sertai Perarakan Maulidur Rasul 5 Februari

Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu pada 5 Februari ini (Ahad) dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan 20,000 peserta bakal menyertai majlis itu.

Pada tahun ini, kira-kira 15,000 pemimpin masyarakat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu turut menyertai perarakan itu, selain kira-kira 5,000 agensi kerajaan, swasta, badan beruniform serta pelajar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata kerajaan negeri berhasrat pada tahun ini sambutan hari kebesaran dalam kalendar Islam itu diraikan dengan penuh meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 5 Februari ini, kita semua akan menyambut Maulidur Rasul. Kerajaan negeri mahu menganjurkan perarakan lebih besar berbanding tahun sebelumnya, di mana kali ini kita akan libatkan ahli dan pemimpin masyarakat iaitu JKKK.

“Penglibatan mereka nanti akan menjadikan peserta pada sambutan kali ini kira-kira 20,000 orang,” katanya ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin(25 Februari).

Perarakan dijangka bermula dari Taman Syah Bandar melalui bulatan Ladang sebelum berakhir di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.

Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke majlis sambutan kali ini.

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan itu juga turut diadakan konsert percuma, Muhammad Al-Ameen yang bakal menggabungkan dua ikon popular industri hiburan tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani di Dataran Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

MBKT Kutip Hasil Letak Kereta RM3.88 Juta Setahun

Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mengutip hasil tempat letak kereta berjumlah RM3.88 juta sepanjang tahun lalu berbanding RM3.71 tahun sebelumnya.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, limpahan kenderaan yang mengunjungi bandar ini memperlihatkan peningkatan kutipan hasil setiap tahun.

Katanya, pada 2009 jabatan berjaya mengutip hasil RM3.32 juta manakala tahun sebelumnya (2008) sebanyak RM2.76.

“Kewujudan banyak premis perniagaan, institusi kewangan dan pusat membeli belah salah satu faktor utama tumpuan orang ramai berkunjung ke bandar terutama pada hujung minggu,” katanya.

Adzlan berkata demikian dalam majlis taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu bersempena keberangkatan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin ke pejabat MBKT semalam.

Sehingga ini katanya,terdapat 5,839 petak tempat letak kereta termasuklah 3,200 petak tempat letak kereta bermeter, 2,407 petak di 24 medan letak kereta sekitar bandar serta 232 lagi tempat letak kereta mekanikal di Batas Baru.

“Kita juga meletakkan syarat semua bangunan baru yang akan dibina di bandar ini perlu menyediakan parkir yang mencukupi tanpa pengecualian,” katanya.

Teganukita

Pemimpin Masyarakat Diminta Beri Penerangan Mengenai Bajet 2012

Pelbagai pihak terutama pemimpin masyarakat diminta memainkan peranan penting dengan mengingati dan menyampaikan secara telus segala maklumat mengenai Bajet 2012 kepada penduduk setempat.

Timbalan Pegawai Kewangan, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Haji A. Rahman Yahya, berkata pendekatan itu wajar supaya semua lapisan masyarakat memahami apa yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Katanya, pemimpin masyarakat wajar memberitahu pelbagai aspek dan strategi utama yang dilakukan kerajaaan dalam mengurus bajet berjumlah RM1.950 bilion seperti apa yang dibentangkan baru-baru ini.

“Bajet 2012 telah dirangka dengan mengambil kira perencanaan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) bagi tahun 2009 sehingga 2013,” katanya ketika memberi taklimat di Majlis Perancangan Bajet 2012 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 500 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu hadir mendengar taklimat itu.

Program seumpama itu akan diadakan secara berperingkat-peringkat mengikut zon yang dijadualkan.

Teganukita

Kerajaan Kekalkan Harga Gula RM2.30 Satu Kilogram

Kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan harga gula pada harga RM2.30 sekg walau pun harga semasa pasaran dunia telah meningkat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata subsidi gula meningkat kepada 54 sen dari pada 20 sen sebelumnya dan jumlah subsidi meningkat kepada RM567 juta tahun ini daripada RM262.41 juta tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pekeliling AmalanTerbaik Perniagaan Terbaik Suruhanjaya Syarikat Malaysia 3/2012 hari ini,katanya langkah itu dilakukan bagi memastikan paras harga kekal pada tahap semasa.

"Kalau harga gula dinaikkan, banyak lagi harga produk lain akan dinaikkan."

"Jadi inisiatif kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat dengan mewujudkanKedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia mungkin akan mendapat kesandaripada kenaikan ini."

"Oleh yang demikian, harga gula dikekalkan supaya rakyat tidak akan terasa sebarang kenaikan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia kini terpaksa mengimport hampir 100 peratus keperluan gulanya berbanding dengan 98 peratus sebelum ini kerana tanah yang dahulunya digunakan untuk menanam tebu di Chuping Perlis, sekarang ditanam dengan kelapa sawit dan getah.

Tuduhan Melulu ANAK Tanpa Sandar Ilmu Ekonomi

Tuduhan melulu Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman bahawa Felda akan mengalami defisit RM1.5 bilion setahun ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia dibuat tanpa bersandarkan ilmu ekonomi matang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan itu sengaja dibuat oleh badan propembangkang tersebut bagi menimbulkan rasa kurang senang peneroka Felda terhadap kerajaan.

Katanya, Felda mempunyai strategi mantap bagi memastikan penyenaraian FGVH memberi pulangan memberangsangkan seperti melalui keuntungan bersama setiap tahun, termasuk nilai pajakan tanah peneroka selama 99 tahun, pengapungan, pelaburan sedia ada dan jumlah pelaburan setiap tahun.

"Jadi ini tuduhan orang yang tak bermaklumat dan berlagak pandai, mereka membuat keterangan tanpa merujuk kepada kita. Kalau tidak tahu, tanyalah saya," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Angkatan Prihatin Terengganu (APT) di Kuala Lumpur malam semalam.

Beliau mengulas dakwaan Mazlan semalam yang menyatakan kononnya penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia akan menyebabkan Felda mengalami defisit tahunan RM1.5 bilion.

Ahmad menambah, penyenaraian FGVH juga tidak menggugat para peneroka Felda kerana syarat penyenaraian itu secara jelas melindungi pemilikan rumah dan tanah walaupun dipajak selama 99 tahun.

Dalam pada itu, katanya, seminar APT yang membabitkan 320 bekas penyokong tegar Pas serta Parti Keadilan Rakyat di sekitar Marang dan Besut akan diberi penerangan terhadap program pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Pusat selama ini.

"Dalam seminar tiga hari ini, mereka dibawa melawat sambil belajar ke Putrajaya supaya setelah selesai seminar nanti, mereka menyebarkan kebaikan dan jasa kerajaan kepada ahli keluarga yang masih menyokong pembangkang," katanya.

Nelayan Bimbang Muara Setiu Semakin Cetek

Seorang nelayan terpaksa menggunakan sebatang kayu bagi menggerakkan botnya yang tersekat akibat keadaan muara Sungai Setiu yang cetek ketika gambar ini dirakamkan, kelmarin.

Meskipun hasil tangkapan agak memuaskan pada awal musim ini berbanding tahun lalu, nelayan di sini tetap mengeluh kerana mereka sukar turun ke laut ekoran muara di sini yang semakin cetek.

Tungkul-tungkul kayu yang banyak ditemui di sekitar kawasan muara turut menghadang laluan dan boleh merosakkan bot jika mereka tidak berhati-hati.

Sehubungan itu, nelayan dari Kampung Fikri, Pengkalan Gelap, Gong Batu, Saujana, Mangkok, Penarik dan Kampung Bahru berharap pihak berkuasa dapat membantu agar masalah itu tidak berlarutan.

Seorang nelayan, Wan Roslan Wan Muda, 41, berkata, walaupun keadaan muara makin menyulitkan, mereka terpaksa juga turun ke laut dengan menunggu ketika air pasang terutama bagi bot beratnya 10 tan metrik ke atas.

“Ia untuk mengelakkan bot terlanggar beting atau tunggul kayu pokok rhu yang tumbang akibat hakisan,” katanya ketika ditemui di muara Setiu, semalam.

Said Othman, 59, pula memberitahu, hasil tangkapan seperti udang dan sotong pada awal tahun ini agak banyak berbanding musim sebelum ini.

“Ada yang dapat RM300 hingga RM500 sehari, namun ia tidak menggembirakan sebahagian nelayan kerana keadaan di muara berkenaan.

“Adakalanya semasa air surut para nelayan terpaksa pulang awal kerana bimbang bot mereka tersangkut,” ujarnya.

Tekong pukat ikan, Omar Ismail, 54, ketika ditemui meminta kerajaan mengambil langkah-langkah yang difikirkan sesuai termasuk membuang tunggul kayu yang terdapat di muara itu.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan kawasan (PNK) Setiu berkata, jika masalah itu dibiarkan ia akan menambahkan lagi kesulitan para nelayan.

Utusan Malaysia

Lans Koperal Disangka Rusa Maut Ditembak

Seorang anggota polis maut akibat tertembak oleh rakannya yang menyangkanya seekor rusa ketika mereka berburu di Kampung Kuala Menjing, dekat Hulu Terengganu, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, ASP Mohd. Rosli Mohd. Amir berkata, rakan itu, seorang petugas di Jabatan Kesihatan di daerah ini tertembak Lans Kpl. Yaseer Janudin, 26, dari ibu pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam.

Katanya, sebaik melepaskan tembakan menggunakan senapang patah, lelaki berkenaan terus memanggil seorang lagi rakannya untuk menyembelih ”rusa yang ditembak” itu namun terkejut apabila mendapati Yaseer terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembakan peluru penabur.

Yaseer yang terkena tembakan di bahagian dada sebelah kiri terus dipangku kedua-dua rakannya itu namun akibat kecederaan parah yang dialaminya, dia meninggal dunia di tempat kejadian.

74 Kakitangan APMT Terima Anugerah Kecemerlangan

Sebahagian penerima Anugerah Cemerlang Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu pada majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Sebanyak lapan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima anugerah APMT Terbaik di Kuala Terengganu malam tadi.

Lapan APMT yang dipilih mewakili setiap kawasan Parlimen itu termasuklah APMT DUN Jertih dari Parlimen Besut, DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Teluk Pasu (Kuala Nerus).
Bagi Parlimen Kuala Terengganu ia dimenangi oleh APMT DUN Bandar, DUN Kuala Berang (Hulu Terengganu), DUN Rhu Rendang (Marang), DUN Bukit Besi (Dungun) dan DUN Cukai (Kemaman).

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada Majlis Makan Malam APMT di Taman Tamadun Islam bagi menghargai para petugasnya.

Pada majlis itu juga, Ketua Penyelia APMT DUN Kota Putera, Ismail Shafie dan Pembantu Penyelia APMT DUN Manir, Gayah Ismail menerima Anugerah Khas Menteri Besar dengan hadiah pakej mengerjakan umrah.

Secara keseluruhannya, seramai 74 pegawai dan kakitangan menerima penghargaan pada majlis itu melalui beberapa anugerah termasuk Anugerah Inovatif dan Anugerah Khas Pengarah.

Pengarah APMT, Roshali Taha berkata, anugerah tersebut berdasarkan prestasi sepanjang tahun lalu yang meliputi khidmat kepada masyarakat, kerja berpasukan serta pencapaian dalam program yang dianjurkan.

"Jumlah penerima anugerah kali ini sekitar tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan dan pegawai seramai 1,056 di 32 DUN dan di ibu pejabat," katanya

Menurut Roshali, pengiktirafan tersebut mungkin akan dijadikan satu kriteria untuk penerima anugerah memegang jawatan dan memikul tanggungjawab yang lebih tinggi pada masa depan.
Utusan Malaysia

Thursday, January 26, 2012

MB Mahu Bangunan Berbentuk Tradisional Dibina Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu menggalakkan pemilik bangunan di negeri itu membina bangunan berunsurkan tradisional bagi memberi persepsi baru kepada reka bentuk bangunan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata reka bentuk bangunan boleh dibina mengikut kreativiti sendiri.

"Kita telah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan pihak berkuasa tempatan membina bangunan berasaskan ukiran tradisional.

"Bagaimanapun kita tidak memaksa pemaju dan pemilik bangunan mengikut cadangan kita kerana masing-masing mempunyai kriteria dan citarasa tersendiri," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melawat bangunan MBKT di Kuala Terengganu, pagi ini.

Ahmad Said berkata bangunan berukiran tradisional bukan sahaja cantik dipandang malahan boleh digunakan untuk jangka masa panjang.

Menteri Besar menjunjung kasih di atas titah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang prihatin dan mengambil berat terhadap perkembangan pembangunan pesat di negeri ini, terutama di Bandar Kuala Terengganu.

“Kerajaan negeri merafak sembah menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku Sultan mendengar taklimat dan memberi teguran serta saranan bagi tujuan penambahbaikan kemudahan dalam kawasan bandaraya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mendengar dan menerima apa juga saranan dan sentiasa mendengar suara rakyat bagi memastikan semua perancangan pembangunan dilaksanakan memberi keuntungan kedua belah pihak iaitu kerajaan dan rakyat.

SKM Batal Penubuhan Lebih 50 Koperasi Bermasalah Tahun Lalu

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan pendaftaran lebih 50 koperasi bermasalah di seluruh negara sepanjang tahun lalu kerana terlibat dengan pelbagai masalah, termasuk penyelewengan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Yusuf Samsudin berkata pada 2010, 83 koperasi dibatalkan pendaftarannya.

Antara sebab tindakan itu diambil ialah kerana pengurusan yang tidak komited dengan tidak mengadakan mesyuarat agung serta tidak mengaudit akaun lebih daripada tiga tahun serta tidak melaksanakan apa-apa aktiviti, katanya.

"Ada juga kes-kes penyelewengan dan salah laku, namun jumlahnya tidak banyak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Hala Tuju Sektor Koperasi Negeri Terengganu di Kuala Terengganu hari ini. Turut hadir Pengarah SKM Terengganu Osman Ismail.

Selain itu, katanya faktor lain termasuklah kelemahan pentadbiran koperasi terutamanya dari segi keupayaan menyimpan rekod.

"Bagaimana pun, kita sentiasa membantu dengan menyediakan bimbingan, nasihat dan latihan," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata terdapat 9,100 koperasi yang terlibat dengan pelbagai bentuk perniagaan di seluruh negara dan pihaknya turut menyasarkan 10,000 buah koperasi ditubuhkan menjelang 2013.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan perolehan terkumpul (sehingga ini) sektor koperasi sebanyak RM24 bilion menjelang akhir tahun ini.

Katanya sasaran itu dijangka dapat dicapai memandangkan sehingga 30 Jun 2011, perolehan yang dijana sektor itu ialah RM21.88 bilion manakala sehingga awal tahun ini, jumlahnya mencecah RM22 bilion.

"SKM percaya ia boleh dicapai berikutan perkembangan koperasi sekarang dan minat masyarakat juga mula meningkat terhadap sektor ini," katanya.

Beliau berkata koperasi perlu berani menceburi bidang baru yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi tanpa mengabaikan aktiviti tradisi bagi memenuhi keperluan anggota seperti menyediakan pinjaman.

"Lima bidang ekonomi yang perlu diberi fokus ialah perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan serta pertanian dan industri asas tani.

"Bidang-bidang ini telah dikenal pasti sebagai bidang yang amat berpotensi untuk menjana pendapatan koperasi," katanya.

Beliau berkata SKM turut menyediakan bantuan berbentuk geran dan pinjaman mudah kepada koperasi, selain latihan dan khidmat nasihat teknikal kepada koperasi yang benar-benar komited.

Guna Khidmat Arkitek Mampu Tonjol Ciri Binaan Menarik - Sultan Mizan

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menintahkan supaya khidmat arkitek yang mampu menonjolkan ciri-ciri binaan lebih menarik digunakan bagi merekabentuk bangunan baru di Bandar Kuala Terengganu.

Baginda bertitah, langkah itu perlu bagi memastikan bangunan yang lebih artistik dan mampu menarik minat pelancong, didirikan sekitar bandar ini, sesuai dengan jolokannya Bandaraya Warisan Pesisir Air.

“Dengan adanya bangunan yang cantik dan unik serta mengekalkan ciri-ciri tradisional, akan menambah daya tarikan pelancong di negeri ini,” titah baginda selepas taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) di pejabat Datuk Bandar MBKT di bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pagi ini.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah; Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd Dagang dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Sultan Mizan turut bertitah agar pihak berkuasa mencari jalan menyelesaikan masalah kesesakan dalam bandar Kuala Terengganu bagi mengurangkan rungutan pengguna.

Baginda turut menyarakan agar pejalan kaki diadakan di kawasan strategik bagi kemudahan orang ramai dan pengindahan kawasan bandaraya.

Taklimat oleh Azlan pula merangkumi keseluruhan pembangunan dalam kawasan pentadbiran MBKT bermula sejarah penubuhannya, bidang kuasa, profil, halatuju, struktur pentadbiran, carta organisasi dan fungsi serta peranan organisasi tersebut ke arah kesejahteraan warga bandar.

Dalam takilmatnya, Datuk Bandar turut menyentuh tentang perkhidmatan MBKT secara menyeluruh, pendapatan, perbelanjaan, pembangunan semasa merangkumi kepesatan di kawasan bandar raya termasuk pertumbuhan pusat-pusat kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Tambahnya, pembangunan bandar raya menjelang 2018 memerlukan satu perancangan yang teliti lagi komprehensif, antaranya projek Jalan Jeram ke Kampung Tok Kong sepanjang 2.2 kilometer (km) (fasa 1) dan 3.6 km (fasa 2) dengan kos keseluruhan RM225.9 juta.

Manakala projek jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati membabitkan jambatan sepanjang 1.15 km serta keseluruhannya 2.5 km dengan kos RM238.5 juta.

Selain itu, MBKT turut merancang membangunkan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) sebagai tranformasi utama projek pusat bandar raya membabitkan pelaburan RM5 bilion.

Teganukita

Terengganu Guna 'Google' Kesan Penerokaan Tanah Haram

Kerajaan Terengganu kini menggunakan 'google' bagi mengesan penerokaan tanah kerajaan secara haram di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata ini adalah satu pendekatan baru kerajaan negeri dalam usaha untuk mengatasi masalah itu.

"Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sentiasa membuat pemantauan melalui google," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata mulai tahun ini, kerajaan negeri Terengganu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerokaan tanah haram bagi menghentikan perbuatan itu di negeri ini.

Beliau juga berharap tidak ada kakitangan kerajaan terbabit dalam penerokaan tanah haram kerana tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang didapati berbuat demikian.

"Setiausaha Kerajaan sudah mengeluarkan surat pekeliling bagi mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak terbabit dengan penerokaan tanah haram ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kerajaan negeri telah memproses dan menyelesaikan 99.82 peratus permohonan bagi tanah haram yang diteroka di Terengganu sehingga tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 9,916 permohonan dalam tempoh tiga tahun dan bakinya dijangka diselesaikan menjelang Februari depan.

Ahmad juga berkata kerajaan pusat akan mengambil balik tanah seluas 27 hektar di Kampung Guntong dan Kampung Tasik Setiu untuk projek membina serta menyiapkan lencongan banjir dan kerja-kerja berkaitan saliran dan pengairan.

Beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM1.8 juta dan 120 lot tanah penduduk di kedua-dua kampung.

"Projek itu boleh mengelak masalah banjir yang berlaku saban tahun membabitkan kedua-dua kampung itu," katanya

LTdL 2012: Terengganu Hos Tiga Peringkat

Terengganu yang kini dianggap sebagai destinasi dan kuasa sukan berbasikal negara, terus mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama tampil sebagai hos Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-17 pada 24 Februari hingga 4 Mac ini.

Buat kali pertama juga, jelajah berstatus 2.HC dalam kalendar perlumbaan UCI ini turut berubah berbanding tradisinya, bukan saja akan berakhir di luar Kuala Lumpur buat kali pertama tetapi juga turut menerima tajaan RM1 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadi tuan rumah pada tiga peringkat terakhir di negeri itu.

Ia sama seperti konsep Tour de France di mana lokasi permulaan jelajah terbesar itu dibuka untuk tawaran setiap tahun dan pernah diadakan di Monaco, London, Dublin, Brussel dan Amsterdam.

Walaupun laluan Tour de France berubah setiap tahun, namun perlumbaan itu akan tetap berakhir di Paris.

Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah pada tiga peringkat terakhir LTdL 2012 bermula di lokasi penamat di Chukai pada laluan Peringkat 8 sejauh 100.8km dari Pekan, Pahang pada 2 Mac; diikuti lokasi permulaan dan penamat Peringkat 9 dari Kemasik ke Kuala Terengganu sejauh 165.7km dan peringkat terakhir acara kriterium dari Tasik Kenyir sejauh 114.8km ke Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Pemilihan Terengganu sebagai penaja tuan rumah buat kali pertama adalah sebagai pengiktirafan terhadap negeri itu atas usahanya melahirkan ramai pelumba berbakat di negara ini termasuk jaguh acara trek Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa selain pelumba lebuh raya seperti Anuar Manan, Adiq Husainie Othman dan Harrif Salleh.

Negeri Terengganu juga menaja satu-satunya pasukan profesional di negara ini iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) yang kini diiktiraf sebagai pasukan bertaraf benua UCI.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam ucapannya telah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi peluang kepada Terengganu menjadi salah satu daripada penaja terbesar dalam jelajah kali ini.

"Penganjur sebenarnya memberikan lebih daripada apa yang kami jangkakan kerana dalam perbincangan yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu, mereka hanya menjanjikan satu peringkat, sama ada di lokasi permulaan atau lokasi penamat.

"Tetapi KBS mengambil langkah lebih besar apabila memberi kami peluang menjadi tuan rumah kepada tiga peringkat perlumbaan, jadi tawaran ini cukup sukar untuk ditolak.

"Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memberi kepercayaan kepada negeri Terengganu," kata Ahmad Said.

Turut hadir pada majlis pengumuman tajaan yang berlangsung di Wisma Darul Iman itu ialah Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab.

LTdL 2012 dianjurkan Majlis Sukan Negara dengan kerjasama PKBM. Jelajah ini kekal dengan status 2.HC (Hors Classe) dan diiktiraf oleh UCI dan UCI Asia Tour.
LTdL 2012 dijangka membariskan 22 pasukan profesional.

Perlumbaan 10 hari itu akan bermula dengan acara Ujian Masa Individu sejauh 20.3 kilometer di Putrajaya; diikuti Peringkat 2 Putrajaya - Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh - Parit Sulong (187.6km); Batu Pahat - Muar (169.4km); Ayer Keroh - Pandan Indah (190km); Proton Shah Alam - Genting Highlands (108km); Bentong - Kuantan (205.8km); Pekan - Chukai (100.8km); Kemasik - Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir - Kuala Terengganu (114.8km).

Kosmo!

Mashitah Mahu Kempen Seks Cara Rasulullah Dihentikan Segera

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berharap kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam" anjuran Kelab Taat Suami dihentikan segera kerana ia jelas menghina Nabi Muhammad SAW.

Mashitah berkata, terdapat banyak aspek ketokohan lain yang terdapat dalam diri Rasulullah yang boleh diketengahkan berbanding melihat baginda sebagai seorang 'tokoh seks'.

"Kita melihat Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan ikutan yang baik. Banyak lagi aspek yang boleh diketengahkan tentang baginda iaitu sebagai tokoh keluarga, tokoh kepimpinan, panglima perang dan banyak lagi yang hebat-hebat.

"Tiba-tiba kenapa sudut ini (seks) yang menjadi fokus mereka?. Ini satu penghinaan dan kempen ini perlu dihentikan segera," katanya di Petaling Jaya semalam.

Mashitah berkata kempen selama 12 hari bermula Rabu (hari ini) itu juga dilihat sebagai menghina sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut pada 5 Februari depan.

Presiden kelab , Fauziah Ariffin (gambar kanan) dalam satu blog menyebut, kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan Rasulullah. Beliau berkata ramai “umat Islam sudah terlalu jauh dengan Rasulullah.”

Mashitah menjelaskan , istilah 'Tokoh Seks Suci Islam' adalah tidak wajar, malah tidak sesuai digunakan kerana ianya hanya mengundang reaksi negatif di kalangan masyarakat.

Menurut Mashitah, hubungan seksual suami isteri merupakan satu naluri yang diberikan secara semula jadi. Justeru ia tidak patut mempunyai ikon atau dipelajari secara khusus melalui tokoh tertentu.

"Setiap manusia ada naluri seks, naluri makan, naluri tidur, dan sebagainya yang mana setiap naluri itu ada adabnya.

"Naluri tak perlu belajar. Bayi kecil yang lapar tak perlu diajar untuk menangis, orang buta bila mereka kahwin pun dapat anak tanpa perlu tokoh seks untuk ajar mereka.

"Kita kena faham antara adab dan tokoh. Seks tak perlukan tokoh, tapi perlukan adab dan sopan santun," jelasnya.

Mashitah berkata, terdapat cara lain untuk mengajar atau membasmi gejala tidak sihat dalam rumah tangga, selain mengadakan kempen.

"Boleh dibuat secara tertutup. Kahwin ini bukan soal hubungan seksual semata-mata. Perkahwinan melibatkan kasih-sayang, kemesraan, cara layanan dan banyak perkara lain yang boleh difokuskan," tegasnya.

Mengulas istilah 'Seks Suci' yang disebut-sebut penganjur kempen, beliau berkata istilah tersebut juga tidak wujud dalam Islam.

"Dalam Islam tak ada seks suci, seks tak suci. Yang ada hanyalah seks halal yang dilakukan bersama pasangan dan cara yang halal," ujarnya.

Tambah beliau, kempen itu juga seolah-olah menyokong kempen-kempen negara Barat yang pernah menuduh Nabi Muhammad mempunyai nafsu seks yang kuat kerana pernah berkahwin sebanyak 11 kali.

"Kempen ini menggalakkan untuk orang melihat perkahwinan itu semata-mata untuk seks sahaja. Ramai orang tua yang kahwin, tapi bukan untuk tapi sebagai teman hidup dan tujuan lain," katanya.

Kelab Taat Suami yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kerana menerbitkan buku panduan seks telah melancarkan Kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam", di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara bermula semalam.

Berdasarkan petikan menerusi laman blog Dewan Pemuda Pas Wangsa Maju, tujuan kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan cara Rasulullah termasuklah dari segi amalan seks.

LTdL Bawa Limpahan Kesan Kepada Terengganu - MB

Terengganu memutuskan untuk menaja perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) sejajar dengan kemasyhuran sukan itu dan limpahan kesannya kepada negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, apatah lagi negeri ini sudah bangkit sebagai kuasa sukan termasuk dalam sukan berbasikal dengan penglibatan para atletnya yang membawa membawa nama negara.

Menurutnya, liputan media antarabangsa dari 70 buah negara bukan sekadar mempamerkan aksi kayuhan 22 pasukan profesional, malah mampu mengetengahkan negeri ke persada dunia dan menjana industri pelancongan serta peluang ekonomi.

"Liputan media asing selama 10 hari sudah tentu memberi promosi meluas kepada Terengganu menerusi penyiaran kepada ratusan juta penonton," katanya selepas majlis penyerahan penajaan LTdL bernilai RM1 juta di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri Terengganu menyerahkan cek tajaan bernilai RM1 juta sebagai tuan rumah kepada tiga peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL).

Cek diserahkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kepada Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ab Jalil Abdullah yang mewakili LTdL.

Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab. Jalil Abdullah menerima tajaan berkenaan daripada Menteri Besar yang mewakili penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad Said berkata ini merupakan kali pertama kerajaan negeri membuat penajaan kejohanan lumba basikal terbesar Asia itu.

"Saya pasti penganjuran ini akan memberi impak yang besar dan membantu ekonomi negeri terutama aspek yang melibatkan sukan," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi peringkat Pekan ke Chukai (100.8 km), Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).

Kejohanan akan berlangsung dari 24 Feb hingga 4 Mac ini.

Beliau juga berharap penganjur LtdL menjemput pasukan yang turut diwakili pelumba Terengganu seperti Champion System dari China yang memiliki Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman serta OCBC Cycling Team Singapura yang mempunyai Ahmad Haidar Anuwar.

Ahmad Said berkata bagi memeriahkan lagi LTdL, kerajaan negeri akan turut mengadakan beberapa acara berbasikal.

LTdL akan bermula pada 24 Febuari dan buat pertama kalinya jelajah berstatus 2.HC pada kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) akan ditamatkan di Kuala Lumpur.

Forum Seks Kelab Taat Suami di Ipoh Kena Serbu

Anggota penguat kuasa JAIP menanggalkan poster yang dipamerkan pada Pelancaran Kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam oleh Kelab Taat Suami (KTS) di Ipoh, semalam.

Kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam oleh Kelab Taat Suami (KTS) yang didakwa dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul dipercayai dilancar di seluruh negara serentak semalam.

Ia dipercayai diadakan di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu juga mahu menghebahkan bahawa seks dalam Islam lebih hebat daripada seks yang dicanangkan oleh masyarakat Barat dan Yahudi.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), tidak membenarkan forum diadakan dan semalam JAIPk menyerbu sebuah banglo di Ipoh yang yang dijadikan lokasi forum itu.

Ketika serbuan, kira-kira 50 ahli KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd, iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh bekas ahli kumpulan haram al-Arqam, tergamam apabila sepasukan anggota penguatkuasa JAIPk menyerbu mereka.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.15 petang di kawasan perumahan mewah di Persiaran Harimau itu, 10 anggota penguatkuasa JAIPk yang menaiki dua van merampas komputer riba dan poster berkaitan kempen berkenaan serta mengambil keterangan daripada peserta.

Pengarah JAIPk, Mohd Yusop Husin, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan serbuan itu dan pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Namun, serbuan dipercayai ada kaitan dengan kempen yang dikatakan merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW, selain mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

Siasatan juga bagi menentukan kegiatan kumpulan itu ada unsur-unsur Aurad Muhammadiyah kerana keseluruhan ahli KTS dan syarikat terbabit adalah bekas ahli al-Arqam, selain ada gambar besar pengasas kumpulan itu, Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia dalam premis berkenaan.

Sementara itu, KTS menjemput wartawan untuk menghadiri persidangan media mengenai program yang pada mulanya dijadualkan pada waktu pagi tetapi ditunda waktu petang.

Namun, sesi berkenaan bertukar kepada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd, Ahmad Bakhtiar Ahmad dan Hamdan serta empat ahli KTS Perak.

Ahmad Bakhtiar berkata, kempen itu bermula semalam sempena 1 Rabiulawal dengan acara kemuncaknya ketika sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari yang bertujuan menampilkan Rasulullah sebagai tokoh hebat yang perlu dicontohi dalam semua aspek, termasuk kemampuannya memuaskan hati semua 11 isterinya.

"Seks suci Islam harus dibezakan dengan seks haram yang dipelopori Barat dan Yahudi.

Nabi (Muhammad) adalah insan yang sangat takut kepada Tuhan, jadi Allah bagi keistimewaan diberi tenaga manusia yang kuat dalam seks dan memberi layanan terbaik kepada isteri sebagai balasan kuat ibadat kepada Allah,” katanya.

"Jadi, kempen ini sebenarnya untuk menaikkan darjat Nabi sehingga ke taraf `superhero' dan menjadi contoh umat manusia, bukannya untuk merendahkan kedudukan baginda," katanya.

17 Pembantu Guru Bahasa Inggeris Dari Amerika Syarikat Ditempatkan Di Terengganu

Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata ini merupakan tahun ketujuh negeri Terengganu mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Menurutnya, untuk program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak tahun 2006 lagi.

"Bezanya pada tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

ETA merupakan program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 orang ETA itu tiba di negara ini pada 4 Jan lalu dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Jan.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA pada tahun ini.

"Kita ada pohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

"Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini," katanya.

FAM Jumpa PDRM Rangka Strategi Perangi Rasuah Bolasepak

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka strategi memerangi rasuah.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, perbincangan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur minggu hadapan.

Ujar Tengku Abdullah lagi, FAM akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada PDRM mengenai cara terbaik dan berkesan dalam mengatasi gejala rasuah di kalangan pemain bola sepak negara.

"FAM akan beri perhatian serius terhadap isu ini kerana ia merosakkan imej sukan bola sepak negara.

"Kita tidak mahu kerana segelintir pemain tidak bertanggungjawab, ia akan merosakkan masa depan pemain lain," tegas baginda di Kuantan semalam.

Baginda berkata demikian ketika mengulas perkembangan isu tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa pemain Perlis yang dikatakan terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan berikutan beberapa siri kekalahan pasukan itu baru-baru ini.

Tengku Abdullah menambah, FAM juga sering mendidik di samping kerap mengingatkan para pemain supaya menjauhi perlakuan rasuah kerana ia memberi kesan buruk terhadap imej bola sepak negara di arena antarabangsa.

"Selain imej tercalar, FIFA akan mengenakan tindakan yang tegas ke atas pemain yang terlibat dengan gejala rasuah," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah mengingatkan pihak-pihak yang mengambil pemain import harus mempunyai satu autoriti khas untuk melantik, menukar atau memecat mereka pada bila-bila masa.

"Kalau pemain import tidak menunjukkan prestasi baik dan tidak mahu menukar corak permainan, maka dia boleh digugurkan.

"Jangan bazir masa dan wang kerana adalah lebih baik kita ambil pemain-pemain muda kita (tempatan) untuk dilatih dengan lebih baik dan tidak perlu tunggu sehingga setahun baru nak gugurkan mereka (pemain import)," titah baginda.

1,244 Penduduk DUN Cukai Terima Bantuan BR1M

Selepas berakhirnya program sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, satu lagi program yang sama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diadakan di Dewan Serbaguna Felcra Sri Bandi, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud sekali lagi meluangkan masa pada petang itu untuk menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima dari 12 kampung seperti Kg. Ibuk, Kg. Padang Kemunting, Kg. Payoh, dan Kg. Padang Kubu.

Dalam ucapan, Menteri Besar berkata kerajaan begitu prihatin dengan masalah rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan bagi yang kurang berkemampuan.

Tambah beliau lagi, pihak kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih kurang stabil.

“Pihak pembangkang selalu mempertikaikan soal keadilan seolah-olah pihak kerajaan terlalu zalim terhadap mereka. Walhal mereka sendiri yang tidak berlaku adil dengan kerajaan.

“Segala kemahuan dan tuntutan mereka sudah dipenuhi, namun mereka masih juga membangkang pihak kerajaan. Jadi di mana keadilan yang selalu mereka pertikaikan selama ini,” katanya.

Beliau juga berharap, masyarakat terutama rakyat Terengganu tidak sesekali melupakan jasa baik kerajaan lebih-lebih lagi apabila tibanya musim pilihan raya nanti.

Kerajaan telah mengagihkan BR1M kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak RM500 dan dibagi secara tunai untuk memudahkan rakyat bermula 15 Januari baru-baru ini di seluruh negara.

Keadaan ini jelas membuktikan kerajaan tidak pernah menabur janji-janji kosong seperti mana dakwaan pihak pembangkang.

Teganukita

Kim Swee Harap Tuah Pemain Ketika Berdepan Bahrain 5 Feb Ini

Penampilan muka lama yang pulih dari kecederaan bersama beberapa pemain baru diharap dapat memberi impak positif kepada pasukan Skuad Olimpik negara menjelang aksi keempat Kumpulan C kelayakan Zon Asia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Manama, 5 Feb ini.

Ketua jurulatih Ong Kim Swee menaruh harapan tinggi kepada beberapa pemain Olimpik negara yang kembali cergas dalam memulakan sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

"Apa yang saya lihat mereka telah tunjukkan tahap kecergasan yang terbaik. Mohd Irfan (Fazail), Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) serta Wan Zack Haikal (Wan Nor) kini telah pulih sepenuhnya bagi memperkuatkan barisan utama.

"Gary (Steven Robbat), yang sebelum ini mengalami kecederaan, telah menunjukkan tanda yang baik untuk pulih dalam masa terdekat, namun Syahrul (Azwari Ibrahim), masih mengalami kecederaan dan dia akan menjalani ujian kecederaan di ISN (Institut Sukan Negara), begitu juga dengan Mohammad Syazwan (Tajuddin)," katanya sebelum sesi latihan bermula.

Dalam sesi latihan itu, Kim Swee memanggil lapan pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Muslim Ahmad, Zubir Azmi (Terengganu), Wan Amirzafran Wan Nadris (Harimau Muda B), Azrif Nasrulhaq Badrul (Selangor PKNS), K. Gurusamy (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (Felda United) dan Ahmad Shakir Md Ali (Negeri Sembilan), yang merupakan antara barisan 25 pelatih, memulakan latihan pusat.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi yang merupakan penjaga gol Kelantan, gagal mendaftarkan diri ke kem latihan pusat skuad Olimpik dan hanya 22 pemain menjalani latihan atas padang kerana dua lagi iaitu Mohammad Syazwan dan Syahrul Azwari dilihat menjalani terapi di pusat gim FAM.

"Kita tidak tahu apa situasi Khairul Fahmi dan perkara ini saya kena tunggu sebab dari pihak KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan).

"Saya harap dia mempunyai alasan yang kukuh mengapa dia tidak melaporkan diri. Bagi saya pemain yang dipilih perlu ada tanggungjawab masing-masing menggalas cabaran untuk negara," katanya.

Kim Swee berkata meskipun peluang skuad bola sepak bawah-23 negara layak ke Sukan Olimpik London 2012 Julai depan kelihatan tipis, beliau tetap menganggap perlawanan menentang Bahrain amat penting kerana ia peluang terbaik pemain muda negara menimba pengalaman.

Selain itu, beliau menunggu pengesahan juara Piala Singapura dan naib juara Liga-S 2011, Home United untuk aksi persahabatan di Kuala Lumpur pada 31 Jan ini, sehari sebelum berlepas ke Manama.

Merah Serahkan Geran Tanah Kepada 600 Penduduk

Ahmad Said (kanan) menyerahkan geran hak milik tanah kepada seorang penerima di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Setelah mengemukakan permohonan dan menunggu bertahun-tahun, seramai 600 penduduk di daerah ini akhirnya memperoleh geran tanah baru-baru ini.

Ia suatu detik yang menggembirakan mereka kerana akhirnya memiliki tanah secara sah dengan hanya perlu membayar 10 hingga 15 peratus daripada nilai sebenar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis penyerahan geran berkenaan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman mengingatkan mereka agar menghargai pemberian itu.

Katanya, mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan menjual tanah yang diberikan hanya untuk mencari keuntungan singkat dan mengabaikan keperluan masa depan keluarga.

Beliau berkata, ini kerana banyak kes seumpama itu telah berlaku seperti di Geliga dan Kuala Kemaman yang telah menjual tanah untuk mendapat keuntungan segera.

Justeru, bagi mengelakkan perkara sama berulang, katanya, syarat ketat diperkenalkan iaitu penerima tidak dibenarkan memindah hak milik tanah dalam tempoh 10 tahun.

“Sebab itu juga kita tutup seketika permohonan tanah kerana dalam kalangan kita ada yang tidak amanah. Isu tanah kita tidak pandang remeh.

“Sesiapa yang tidak memiliki tanah lagi kita akan beri tanah sebab dasar kita sekarang sebuah keluarga satu lot tanah.

“Tetapi jika ketua keluarga datang minta tanah untuk isteri dan anak-anak kita tidak beri,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Kwek Bee Lian, 59, begitu teruja apabila memperoleh geran tanah yang disampaikan oleh Ahmad.

“Kami merasa lega setelah menanti selama tiga tahun akhirnya ‘berbuah’ juga. Terima kasih Datuk Seri dan kerajaan negeri,” katanya.

Kegembiraan itu dikongsi Kembang Daud, 78, yang cukup terharu apabila kerajaan mengotakan janji untuk memberi tapak lain kepadanya bagi menggantikan tanahnya di tapak Casa Limbong yang diambil untuk dijadikan pusat beli belah.

Manakala Ibrahim Komee, 67, yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sebanyak RM200 sebulan bersyukur kerana akhirnya dapat menetap di tanah sendiri.

“Alhamdulillah, setelah empat tahun menunggu, hari ini saya dapat hak milik tanah yang sah,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Exxonmobil Mahu Taja ETP Ketiga Di Terengganu

Syarikat ExxonMobil berhasrat menaja penubuhan Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) ketiga di Terengganu bagi memenuhi tanggungjawab sosial sekaligus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan, Subsidiari ExxonMobil Farid Jaafar berkata ETP di Kuala Berang, Hulu Terengganu itu adalah yang ketiga di Terengganu selepas ETP Kemasik dan ETP Tok Jiring.

"Kemudahan taman ini bertujuan menggalakkan pengunaan dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di kawasan itu, selain menyediakan pelbagai bahan rujukan serta alat bantu pembelajaran yang mampu mewujudkan suasana belajar menyeronokkan, sekaligus mampu menarik perhatian mereka," katanya semalam.

Beliau berkata setakat ini, sambutan pelajar terhadap kedua-dua ETP sedia ada sangat baik.

"Saya pasti usaha ini dapat membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang juga bahasa antarabangsa," katanya

Beasley Tidak Letak Sasaran Pada ACC

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan berharap orang ramai akan sedar situasi semasa pelumba harapan negara itu.

Katanya, Azizul menempuh musim yang penuh berliku terutama tahun lalu dan bukan mudah buat pelumba itu kembali ke prestasi terbaiknya apabila terpaksa berehat lama.

Justeru menjelang saingan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada 8 hingga 12 Februari ini di Velodrom Cheras Kuala Lumpur (KL), Beasley tidak mahu meletakkan sebarang sasaran sebaliknya yakin skuad negara mampu mempamerkan aksi lebih baik.

“Saya mahu semua pelumba beraksi pada tahap terbaik dan itu sebabnya saya tidak menghantar skuad negara ke Siri Piala Dunia ketiga di Beijing begitupun saya tidak meletakkan berapakah sasaran pingat yang akan diperoleh tapi yakin pelumba negara berada dalam keadaan terbaik.

“Kedudukan Azizul amat getir berbanding pelumba lain apabila terbabit dengan kemalangan tahun lalu dan sekali lagi mengalami episod sama ketika di Cali, Colombia.

“Program Azizul tidak sama dengan yang lain kerana tidak mahu dia terlalu tergesa-gesa supaya dia dapat bertenang dan kembali ke prestasinya dengan cara terbaik.

“Namun saya yakin Azizul boleh mempamerkan persembahan terbaik di ACC kerana sudah bersedia bertanding,” katanya yang meletakkan jangkaan Azizul kembali ke prestasinya pada Kejohanan Dunia di Melbourne, Australia, April ini.

Begitupun Azizul bakal menerima tentangan dalam acara pecut dan keirin apabila berdepan jaguh daripada China iaitu pelumba adik beradik, Zhang Li dan Zhang Miao ACC menawarkan mata kelayakan untuk Olimpik sebelum senarai akhir pelumba beraksi di London diketahui April ini.

ementara itu, Beasley menganggap ACC penting buat skuad trek negara terutama sekali pelumba wanita, Fatehah kerana dia perlu mengumpul mata dalam acara pecut selepas selesa dalam acara keirin.

Tiga Bulan Cukup Semak SBPA - Ismail Adam

Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di Putrajaya, semalam.

Pasukan semakan itu yang bermesyuarat selama kira-kira dua jam turut dianggotai Cuepacs, pegawai kanan JPA, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.

Ismail berkata buat masa ini terlalu awal untuk pasukan itu membincangkan mengenai cadangan atau penambahbaikan SBPA kerana pihaknya masih menunggu maklum balas daripada penjawat awam sehingga 15 Feb depan untuk membuat sebarang cadangan.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas itu diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA dan mestilah memuaskan semua pihak sebelum dilaksanakan.

Ibu Bimbang Keselamatan Anak Gadis Lari Ikut Tomboy

Ibu kepada seorang gadis sunti berusia 15 tahun yang didakwa melarikan diri dari rumah mengikut kekasihnya yang merupakan seorang ‘tomboy’ berusia 19 tahun mula bimbang dengan keselamatan anak keduanya itu.

Anita Othman, 44, dari Bandar Chukai berkata, sejak meninggalkan rumah pada 9 Januari lalu, Wan Suhana Wan Rohin (gambar kecil) yang bersekolah di tingkatan tiga langsung tidak dapat dihubungi malah usahanya untuk menjejakinya sehingga ke Kuantan dan Pekan di Pahang tidak berhasil.

“Saya sudah bertanya kepada beberapa orang dan bomoh, mereka kata anak saya masih hidup tetapi tidak tahu di mana dia berada ketika ini.

“Apa yang saya bimbangkan adalah keselamatannya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana keadaannya dan di mana dia tinggal,” jelasnya ketika dihubungi kelmarin.

Kosmo!