Friday, December 30, 2016

Penipuan Umrah Guru - Polis Bakal Panggil Pegawai Kanan JPNT


Polis Terengganu menyarankan mangsa yang terlibat dengan penipuan pakej umrah guru di negeri itu supaya membuat laporan polis.

Sehingga kini  48 laporan telah diterima oleh polis selain merakam percakapan 28 mangsa kes di negeri itu.

Polis juga akan memanggil seorang pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata selain itu beberapa ketua sektor dan pegawai JPNT juga akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

Blog ini pada 27 Disember lalu, melaporkan dua lelaki termasuk seorang pengarah direman selama empat hari bagi membantu kes penipuan umrah membabitkan kira-kira 3,000 mangsa dengan nilai jutaan.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi di Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Akhbar sebelum ini melaporkan  sebuah pertubuhan bukan kerajaan,(NGO), Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT)  mengesahkan kenyataan berkaitan kegagalannya menguruskan kira-kira 2,000 jemaah menyertai pakej umrah disediakannya.

Isu membabitkan YBNT diperkatakan sebelum ini oleh sebuah blog, teganukini pada 11 Disember lalu bertajuk Pakej Umrah JPNT/YBNT Tidak Menjadi, Apakah Wujud Unsur Penipuan?membimbangkan banyak pihak selepas kegagalan peserta menunaikan umrah seperti dijanjikan.

Laporan teganukini menyebut, laporan yang diviralkan sejak awal November itu menyebut ‘program ini dianggap penipuan kerana walaupun mulanya dikatakan ia akan membabitkan seramai yang mungkin, iaitu mececah 2,000 orang, namun akhirnya tidak sampai 300 orang sahaja yang terpilih.’ untuk menunaikan umrah.

Pakej ini dimaklumkan kepada guru-guru apabila pada Ramadan lalu, satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

Diberitakan bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000. Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT.

Bagaimanapun, semua yang diuar-uarkan tidak menjadi. YBNT mengakui segala kelemahan dan kesilapan yang berlaku.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu itu  memaklumkan, siasatan itu menjurus berhubung surat tawaran yang dikeluarkan oleh JPNT tersebut.

"Beberapa individu lagi akan dipanggil bagi merekodkan percakapan selain Pengarah JPNT sama ada berlaku kecuaian atau sebaliknya berhubung kes ini," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Polis Terengganu  berjaya mengesan penipuan yang dijalankan sebuah yayasan di negeri itu melibatkan kerugian kira-kira RM14.2 juta dan membabitkan 4,800 mangsa.

Wednesday, December 28, 2016

Penipuan Umrah - Pengarah YPNT DiReman Empat Hari Bantu Siasatan

Kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu kes penipuan umrah.
Semalam, Sinar Online melaporkan dua lelaki termasuk seorang pengarah direman selama empat hari bagi membantu kes penipuan umrah membabitkan kira-kira 3,000 mangsa dengan nilai jutaan.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi di Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sebelum ini, dua suspek dilaporkan menyerah diri di balai polis Besut,semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan  Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT)  mengesahkan kenyataan berkaitan kegagalannya menguruskan kira-kira 2,000 jemaah menyertai pakej umrah disediakannya.

Isu membabitkan YBNT diperkatakan sebelum ini oleh sebuah blog, teganukini pada 11 Disember lalu bertajukPakej Umrah JPNT/YBNT Tidak Menjadi, Apakah Wujud Unsur Penipuan?membimbangkan banyak pihak selepas kegagalan peserta menunaikan umrah seperti dijanjikan.

Laporan teganukini menyebut, laporan yang diviralkan sejak awal November itu menyebut ‘program ini dianggap penipuan kerana walaupun mulanya dikatakan ia akan membabitkan seramai yang mungkin, iaitu mececah 2,000 orang, namun akhirnya tidak sampai 300 orang sahaja yang terpilih.’ untuk menunaikan umrah.

Pakej ini dimaklumkan kepada guru-guru apabila pada Ramadan lalu, satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

Diberitakan bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000. Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT.

Bagaimanapun, semua yang diuar-uarkan tidak menjadi.

Pada 11 November juga Bernama melaporkan, YBNT yang terlibat dalam program menaja guru menunaikan umrah, tampil memohon maaf ekoran berlaku pindaan tarikh dan tundaan pemergian mereka ke Makkah.

Pengarah YBNT, Mohd Adam Ghazali berkata keadaan itu berlaku ekoran pihaknya masih belum menerima bajet korporat.

Pada sidang media, beliau berkata selepas mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak sehari sebelum itu, pihaknya memutuskan untuk meminda semua tarikh umrah 2016 ke Mac dan Mei tahun depan.

Pada masa sama, katanya, mana-mana peserta yang ingin menuntut kembali deposit boleh berhubung terus dengan YBNT bermula minggu ketiga Januari depan.


Sebelum itu dilaporkan beberapa guru yang telah mendaftar menunaikan umrah menerusi YBNT tersadai di lapangan terbang kerana YBNT tidak memberi kata putus dan ada yang ditunda tarikh penerbangan sehingga tiga kali.

YBNT turut mengakui segala kelemahan dan kesilapan yang berlaku.

Program ini bukan kali pertama diadakan, malah pihaknya telah menaja 23 kali, selain mengeluarkan belanja hampir RM10 juta untuk program pendidikan pada sesi persekolahan 2016.

YBNT beberapa kali menafikan pihaknya menipu 2,418 peserta yang sebahagian membabitkan ramai guru untuk mengikuti  Program Umrah anjuran yayasan itu.

Monday, December 12, 2016

Mat Sabu: AMANAH Boleh Menang Kelantan, Terengganu


Pasti ada yang kesipuan. tertanya-tanya atau mencemik bibir apabila membaca atau mendengar hasrat atau nafsu besar AMANAH yang kononnya boleh menawan Kelantan dan Terenganu.

Ia berikutan kenyataan Presiden AMANAH Mohamad Sabu bahawa AMANAH berkeyakinan tinggi memiliki peluang yang baik untuk memenangi Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Namun inilah sebenarnya keyakinan ditunjukkan oleh AMANAH dan keupayaannya menggerakkan jentera parti dibuktikan melalui kejayaan penganjuran konvensyennya sendiri semalam.

Mohamad memberitahu perwakilan bahawa pengundi di Kelantan mempunyai minda bebas dan apabila mereka menukar undi, ia dilakukan secara beramai-ramai.

"Kalau AMANAH tak bertanding, biar UMNO  lawan parti lama, BN ada harapan cerah menang Kelantan. Tapi bila AMANAH bertanding, maka AMANAH la pilihan rakyat.

"Tambah pula Datuk Husam (Musa) dok rodak tiap-tiap malam out you go la mereka yang gelar kita dengan berbagai (nama)," kata Mohamad kepada perwakilan di konvensyen AMANAH kebangsaan pertama di Shah Alam semalam.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata pengundi Terengganu juga akan meninggalkan PAS kerana parti itu terlalu rapat dengan BN.

"Maka Terengganu la paling subur untuk AMANAH," katanya.

Mohamad juga berkata bersama-sama dengan Pakatan Harapan, parti itu akan menetapkan tempat mereka di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.


Sementara itu Mohamad dalam ucapan penutup beliau, juga berkata PAS tidak harus cuba untuk meletakkan dirinya sebagai 'kingmaker' dalam pilihan raya.

"Kingmaker ni target dia menang 20 kerusi.

"Kalau mereka bersama dengan Pakatan Harapan, HARAPAN yang memerintah, kalau bersama BN, BN memerintah. Orang yang jual diri macam ni biasanya orang panggil apa, ha, dot dot dot dot.

"Saya bukan Donald Trump nak sebut perkataan begitu," katanya merujuk presiden Amerika Syarikat yang gemar mengeluarkan perkataan kesat.

Malah menurutnya,  AMANAH tidak bimbang diketepikan berikutan rancangan PAS untuk mengadakan acara ceramah bersama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

“Apa sahaja yang berlaku malam esok, kami akan dimaklumkan,” katanya.

Walaupun PAS bukan sebahagian daripada PAKATAN yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH, tetapi ia masih mengekalkan hubungan dengan PKR.

Parti itu juga belum menyatakan sama ada ia akan bekerjasama dengan PPBM, walaupun menerima sindiran daripada pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata pemimpin PAS berada dalam keadaan keliru kerana masih teragak-agak untuk menyertai pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

PAS Selangor dikatakan menjemput presiden PKR dan PPBM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk berucap di majlis ceramahnya di Paya Jaras.

Langkah itu dilihat oleh pemerhati sebagai satu usaha oleh PAS untuk membentuk blok ke-3 di negeri ini bagi memastikan ia masih boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sekiranya Pakatan kembali berkuasa pada pilihan raya umum akan datang. 

Thursday, December 8, 2016

Jentera Penerangan PAS Siap Sedia Gempur UMNO Terengganu...


Siap kamu pemimpin dan penyokong UMNO.

Tidak ada tolak ansur dan belas kasihan lagi buat kamu!

Jangan mimpi dan harapkan kerjasama kerana PAS akan menyerang UMNO habis-habisan.

PAS semalam memberi amaran akan mengerakkan kempen penerangan besar-besaran bagi mendedahkan kepincangan dan salah urus tadbir kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Ketua Penerangannya,   Mohd Nor Hamzah berkata, sebuah buku isu berkaitan perkara tersebut sedang disiapkan dan akan dilancarkan pada Januari 2017.

“In sha Allah, kita sedang menyiapkan penulisan buku tersebut pada peringkat akhir dan akan dilancarkan pada bulan Januari depan.

“Selepas itu kita akan gerakkan jentera penerangan kita, untuk menyampaikan kepada seluruh masyarakat agar mereka mendapat maklumat yang jelas tentang salah urus tadbir kerajaan Umno dan BN,”ujarnya.

Berikutan itu,  satu Jawatakuasa Khas telah dibentuk bagi menggerakkan ‘Gelombang Penerangan Pilihan Raya Umum Kali Ke-14’ (Gelombang PRU14).

Raja Rizal, Ketua 'Task Force' PAS Terengganu.
Menurutnya, ‘Task Force’ itu akan diketuai oleh Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu, Raja Rizal Raja Arif.

Raja Rizal memberitahu Jawatankuasa Khas itu itu digerakkan segera selepas mesyuaratnya yang akan diadakan secepat mungkin.

Antara program yang dirangka adalah adalah mengadakan taklimat dan dialog serta ceramah ‘Jelajah Pusing Pusing Keliling’ ke seluruh negeri bermula Januari depan.

“Sasarannya ialah menyuburkan minat khalayak terutamanya pengundi kali pertama untuk hadir program penerangan,

“Sama ada taklimat, dialog atau ceramah anjuran PAS dengan menjenamakan semula format penganjuran,”jelasnya.

Beliau berkata, Pemuda PAS Terengganu telah berjaya menganjurkan program ‘Chit Chat’ bersemuka di premis terbuka, berkaitan isu RUU355 ke seluruh negeri Terengganu.

Katanya, konsep ‘PAS Mencari Pelanggan’ yang diadakan dengan mengadakan program bersama anak-anak muda di titik tumpuan (Focus Point), di mana mereka sering berkumpul amat berkesan.


Walaupun PAS dinafikan untuk muncul dalam siaran radio dan televisyen yang dikawal sepenuhnya oleh BN, beliau yakin akses kepada golongan muda dapat dicapai melalui media baru dan aplikasi telefon pintar.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakasa Penerangan dan Hubungan Media di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu semalam.

Wednesday, November 23, 2016

Gong Kedak - Syarikat Tiada Pengalaman Dapat Kontrak RM71.49 Juta


Soalan mudah - siapa luluskan projek ini?

Yang lain terserah. Integriti kerajaan tercabar.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 menyebut, syarikat diluluskan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebagai kontraktor pembinaan Pusat Servis Teknikal (STC) Penyelenggaraan dan Pembaikan Pesawat Sukhoi (SU-30MKM) di Pangkalan TUDM Gong Kedak, Terengganu dengan nilai kontrak RM71.49 juta secara reka bina, tidak mempunyai pengalaman kerja.

Tan Sri Ambrin Buang berkata, Syarikat Pembenaan Setia Jaya Sdn Bhd (SPSJ) tidak mempunyai pengalaman kerja berkaitan projek pembinaan insfrastruktur bagi penyelenggaraan pesawat.

“Semakan audit terhadap profil syarikat SPSJ melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini menunjukkan kerugian selepas cukai bagi penyata kewangan syarikat bagi tahun berakhir Jun 2014.

“Pemilihan kontraktor yang tidak berkelayakan menyebabkan projek pembinaan STC mengalami kelewatan dan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ambrin berkata semakan audit mendapati, Jawatankuasa Penilaian Tender mengesyorkan 7 petender daripada 9 sebagai petender yang berjaya dengan alasan ia menawarkan harga terendah, tidak mempunyai kerja semasa, menawarkan tempoh siap kerja (78 minggu) dalam tempoh maksimum ditetapkan dan mempunyai modal mencukupi.

“Mesyuarat Lembaga Perolehan A, JKR pada November 2013 tidak sebulat suara dengan pengesyoran ini dan memutuskan ia dikemukakan kepada MOF untuk memuktamadkan keputusan pelantikan kontraktor.

“Pada Disember 2013, MOF tidak bersetuju dengan pemilihan SPSJ sebagai kontraktor dan mengarahkan projek pembinaan STC ditender semula secara tender terbuka pra kelayakan.

“Pada tarikh yang sama JKR juga memohon kelulusan MOF untuk menyelesaikan pelaksanaan projek ini dengan memperakukan kontraktor yang disyorkan Jawatankuasa Penilaian Tender. Ia dipersetujui MOF,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, menambah, pada pendapat Jabatan Audit, projek berkenaan sepatutnya ditender semula selepas semua syarikat gagal dalam penilaian tender terhadap projek STC.

“Alasan kesegeraan projek tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melantik syarikat tidak berkeupayaan menjalankan projek yang akhirnya menyebabkan projek gagal diteruskan.

Menurut laporan, objektif pemilihan kontraktor secara tender adalah bagi memastikan hanya kontraktor berkelayakan dan berpengalaman sahaja terlibat. Tiada syarikat tanpa kelayakan dipelawa menyertai tender dan seterusnya dipilih melaksanakan projek.


Friday, October 28, 2016

Penyelewengan Karpet Masjid di Terengganu, SPRM Buka 35 Kertas Siasatan

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu membuka 35 kertas siasatan berhubung penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah SPRM Terengganu P Ganason berkata kertas siasatan itu kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

“Kira-kira 30 saksi terdiri daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), orang awam dan kontraktor telah dipanggil bagi membantu siasatan sejak kita mendapat maklumat mengenai kes itu awal tahun ini,” katanya.

SPRM  menerima aduan ini pada April lalu yang mana ia membabitkan pemasangan karpet di 35 masjid dan surau pada tahun lalu.

"Ketika ini, kertas siasatan sudah sudah siap dan kita di peringkat akhir untuk merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Mengenai jumlah penyelewangan itu, ia masih dalam siasatan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pejabat SPRM Negeri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad di Mukim Kubang Parit, dekat Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan Datuk Seri Amer Hamzah Mohd Yunus, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu Ab Hamid Md Daud dan Penasihat Korporat Serada Realty Sdn Bhd Tan Sri Abdullah Taib.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata Kerajaan Terengganu tidak akan melindungi mana-mana penjawat awam di negeri ini yang terlibat dalam kes penyelewengan projek pembekalan pemasangan permaidani di masjid-masjid dan surau di beberapa daerah negeri ini.

Beikutan itu beliau mahu rakyat negeri ini memberi sepenuh kepercayaan kepada SPRM  untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung penyelewengan itu.

"Kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka demi kebaikan kepada semua pihak khususnya rakyat negeri ini.

Tiada apa yang nak disembunyikan (dalam siasatan itu), kita bagi kerjasama kepada SPRM... tak ada istilah kita lindungi sesiapa dalam hal ini.

Bagaimanapun, janganlah pula kita sewenang-wenangnya membuat sebarang tanggapan negatif terhadap kakitangan yang sedang disiasat SPRM itu...ia tidak adil untuk mereka, biar SPRM yang membuat siasatan terhadap kes tersebut, " katanya.

Ditanya tindakan yang bakal dikenakan kepada kakitangan terbabit, Ghazali berkata, ia akan ditentukan oleh ketua jabatan agar perkara itu tidak akan berulang lagi di masa depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama pegawai-pegawai JHEAT pagi esok untuk membincangkan pelbagai perkara serta penambahbaikan dalam prosedur operasi standard (SOP) di jabatan itu.

Beliau  difahamkan isu ini berpunca dari segi teknikal, tiada pemantauan yang betul dan sempurna terhadap projek pemasangan permaidani di masjid dan surau yang terlibat.
Diharap apa sahaja urusan selepas ini akan dilakukan dengan lebih teliti dan telus dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim sebagai berkata, antara kesalahan dilakukan membabitkan penyelewengan tuntutan keseluruhan bernilai lebih RM1 juta.

Sehubungan itu, kakitangan jabatan itu akan disiasat SPRM kerana tidak membuat semakan dan pemeriksaan sama ada pemasangan permaidani memenuhi kriteria atau sebaliknya.


Mengenai pembinaan kompleks SPRM baharu itu, Ganason berkata ia akan meningkatkan lagi integriti dan imej SPRM sebagai badan yang bertanggungjawab memerangi jenayah rasuah dalam kalangan rakyat.

Bangunan baharu itu merangkumi dua blok bangunan setinggi empat tingkat melibatkan kos sebanyak RM39.1 juta dan dijangka siap pada 3 April 2019.

"Kompleks baharu ini mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk siap dibina berkonsepkan pejabat bestari dan dilengkapi kemudahan pejabat terkini yang sesuai dengan fungsinya sebagai jabatan penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah," katanya.

Ganeson berkata reka bentuk kompleks baharu itu beridentitikan Terengganu dan diselitkan dengan gabungan identiti moden selain menempatkan keperluan bersesuaian termasuk ruang untuk bersukan dan beribadah.

Sunday, October 23, 2016

Liga Super 2017 – Selamat Berjuang T-Team, Selamat Tinggal Terengganu

Perlawanan T-Team- Kedah di Kuala Terengganu semalam.
Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bermain dalam Liga Perdana musim depan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan ter­akhir Liga Super 2016 malam tadi.

Selepas mengharungi 22 perlawanan, Terengganu berada di tangga tercorot liga dengan mengumpul 19 mata, manakala PDRM menutup kempen musim ini dengan 21 mata.

Terengganu membuat penampilan pertama di Liga Super pada tahun 2007 dan pencapaian terbaik pasukan dari Pantai Timur itu ialah muncul naib juara pada musim 2011.

Pahang antara pasukan yang dilihat bakal turun pangkat pada musim depan terselamat gara-gara ‘bantuan’ Kedah selepas mendapat tiga mata percuma ekoran Kedah menurunkan pemain yang masih digantung dalam perlawanan liga pada 3 Ogos lalu.

Pulau Pinang dan Sarawak diselamatkan oleh ja­ringan pada penghujung perlawanan.

Pasukan berstatus kelab T-Team semalam gagal menamatkan saingan Liga Super dengan meraih kemenangan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Penyokong Pulau Pinang bergembira selepas tewaskan Terengganu 1-0.
Pulau Pinang, yang berada di tempat kedua terakhir sebelum perlawanan semalam  me­mintas ke kedudukan ke-10 untuk terselamat daripada ter­singkir ke divisyen dua tahun depan apabila menewaskan pa­sukan tercorot Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya.

Ia dibuat  menerusi jaringan Mohd. Faizat Ghazli pada minit ke-88.

Sarawak, yang sebelum ini turut berada dalam kalangan empat pasukan di zon penying­kiran, turut selamat apabila menundukkan PDRM 2-1 di Stadium Negeri.

Gol Sarawak diperoleh menerusi Gilmar da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-86.

Jaringan tunggal PDRM dihasilkan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-26.

Sementara itu, masa dua tahun yang ditetapkan untuk kembali ke kancah Liga Super berjaya dicapai oleh pasukan PKNS FC yang mengesahkan status mereka untuk mengekori jejak Melaka United selepas muncul naib juara Liga Premier pada musim ini.

Pemain pertahanan import Sarawak, Teah Baysah Dennis (tengah) menghalang pemain PDRM pada aksi terakhir Liga Super di Kuching malam tadi.
Sebagai rekod, pasukan berpangkalan di Selangor itu telah tersingkir daripada pentas Liga Super pada musim 2014 dan hanya mampu menduduki tempat keempat Liga Premier musim lepas.

Pada pertemuan T-Team dan Pahang di Kuala Terengganu, kem pelawat terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan awal, Dinesh Rajasingam, namun berjaya dinafikan penjaga gol T-Team, Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit keempat.

Pahang mendapat gol pada minit ke 26 melalui  penyerang import,  Faysal Shayesteh yang berjaya apabila meledakan gol pembukaan hasil percubaannya dari luar kotak penalti untuk memastikan Tok Gajah selesa di depan.

Tuan rumah yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan Pahang sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Kerja keras skuad kendalian Rahmad Darmawan itu akhirnya tertunai apabila Patrick Dos Santos berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 sekaligus menceriakan 509 penyokong skuad The Titans yang hadir menyuntik semangat kem T-Team.

T-Team yang terus semangat untuk mencari jaringan penyamaan akhirnya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri dalam menutup tirai saingan Liga Super sehingga tamat permainan.

Kelantan pula seri 2-2 dengan Perak yang bermain dengan 10 orang di Stadium Sultan Muhammad IV dan menepati sasaran meraih tempat keempat carta Liga Super.

Anak buah Velizar Popov meraih tempat keempat dalam kedudukan carta Liga Super dengan mengumpul 29 mata.

Pemain Kelantan, Blazhe Ilijoski (kiri) dihalang pemain Perak, Mohd Raffi Nagoorgani semalam.
Sementara itu, hasrat Sela­ngor untuk meraih motivasi awal menjelang final Piala Malaysia hujung bulan ini tidak kesampaian selepas tewas di Stadium Shah Alam kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), yang sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super menerusi perlawanan ke-20, awal September lalu.


Harimau Selatan terus me­ngaum dengan rekod tanpa kalah musim ini menerusi ja­ringan penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Amri Yahyah, masing-masing pada minit ke-65 serta 77, manakala gol tunggal Red Giants disumbangkan oleh Hazwan Bakri pada minit ke-71.

Melaka United yang sudah pun bergelar juara Liga Perdana musim ini sekadar melengkapkan jadual terakhir saingan divisyen kedua itu de­ngan mengikat pasukan tercorot Sime Darby FC 1-1 di Stadium Hang Jebat.

Apapun pencapaian semalam, kedua-dua pasukan bola sepak Terengganu semalam, mereka akan dikekalkan dan diberi sentuhan baharu bagi menghadapi perlawanan musim depan.

Baru-baru ini Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keputusan itu diambil setelah berpuas hati dengan pencapaian pasukan The Titans yang berjaya melangkah ke separuh akhir saingan Liga Malaysia musim ini.

Ahmad Razif berkata pasukan T-Team perlu dikekalkan dan pastikan pasukan ini diberi peluang untuk diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga dan Piala Malaysia tahun hadapan.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah baru-baru ini  menyaksikan pasukan Selangor meleburkan impian T-Team untuk melangkah ke peringkat akhir selepas menang 3-0 ke atas pasukan tuan rumah.

Ahmad Razif yang kini memangku jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam pada itu berkata rombakan dan penstrukturan semula pasukan Terengganu FA akan dilakukan bagi memantapkan lagi pasukan itu yang prestasinya merudum musim ini.


PBSNT kini dalam rundingan terakhir bersama pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim bagi jawatan jurulatih baharu skuad Penyu musim depan dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam waktu terdekat.

Thursday, October 20, 2016

Polis Tahan Suspek Bunuh Bakal Abang Ipar Di Manir

Noriah Lah, 34...balu mangsa.
Suspek utama berusia 29 tahun dalam kes bunuh bakal abang ipar yang diburu sejak empat hari lalu berjaya ditahan polis  kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Suspek kes bunuh  di pekarangan tempat letak kereta, Kompleks Seri Iman, di Kuala Terengganu Ahad lalu itu ditahan ketika berjalan di Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir, di sini , tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek yang ketika itu dilihat dalam keadaan keletihan dan kelaparan, hanya mampu menyerah diri semasa ditahan.

Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34, yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan maut dipercayai ditikam sebanyak enam kali oleh suspek menggunakan pisau di dada dan di leher.

Insiden tersebut dikatakan bermula apabila mangsa hadir ke pejabat di situ bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.
  
Wan Abdul Aziz menunjukkan pisau yang dirampas, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit. - Foto Sinar Harian
Setelah tembelang suspek yang sudah berkahwin diketahui, dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan tersebut.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya, semalam Wan Abdul Aziz berkata hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia akan dibawa untuk mendapat perintah tahanan reman di mahkamah untuk siasatan selanjutnya.

Selain kereta jenis Honda Ferio yang disorokkan di kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir, polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit.

Pisau tersebut diserahkan ke Balai Polis Kuala Terengganu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai rakan suspek pada Selasa lalu, kira-kira jam 1.40 petang iaitu selepas dua hari kejadian terbabit.

“Lelaki yang tinggal di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di Kuala Terengganu, memberitahu yang suspek telah berjumpa dengannya pada jam 12.30 tengah hari (hari kejadian) dan memberitahu dia telah tikam orang sebelum meminta lelaki itu simpan pisau tersebut,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, lelaki berkenaan memberitahu yang dia cuma mengetahui suspek membunuh menggunakan senjata itu selepas terbaca dalam akhbar mengenai kejadian pembunuhan tersebut.

“Sejurus mengetahui kejadian sebenar, lelaki itu merasa takut, lalu mengambil keputusan untuk datang ke balai dan serahkan pisau sepanjang 35 sentimeter yang disimpan kepada pihak polis.

Sementara itu, balu mangsa yang maut ditikam berharap suspek akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejamnya.

Noriah Lah, 34, yang sarat mengandung anak sulung dan dijangka bersalin bulan depan, berkata kematian suaminya Mohd Shukri Husin, 34, yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan begitu dirasai.

Namun beliau perlu menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Lega dengan penangkapan suspek utama kes itu semalam, Noriah berkata, sejak insiden Ahad lepas, beliau tidak lena tidur kerana bimbangkan suspek yang masih belum ditangkap.

"Alhamdulillah, kak (Noriah) rasa lega (dengan penangkapan suspek), harap dia (suspek) dapat balasan yang setimpal untuk arwah ni. Cuma kena kuatkan semangat, kita yang hidup kena teruskan hidup," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Kok Keli.


Sinar Harian & Bernama

Monday, October 17, 2016

Tak Sangka Bakal Suami Sanggup Tikam Abang - Adik Mangsa


Polis Terengganu meminta orang ramai agar tidak melindungi suspek yang sedang diburu berhubung kes pembunuhan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu yang berbuat demikian.

Beliau berkata polis sedang memburu suspek berusia 29 tahun itu, yang berasal dari Manir, kerana dipercayai menikam Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali sehingga maut.

Kejadian bermula apabila mangsa dari Kelantan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Apabila tembelang sebenar suspek diketahui, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan mangsa.


Wan Abd Aziz berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang sering dikunjungi mangsa termasuk di rumah anggota keluarganya.

Beliau berkata Ops Tutup turut dilancarkan bagi mengesan suspek dan seorang lagi rakannya.


Adik mangsa, Azlina Husin, 27 berkata dia tidak sangka bakalnya yang selama ini berperwatakan lembut sanggup bertindak agresif dan menikam abangnya.

Beliau bersama enam anggota keluarganya termasuk abangnya bertolak dari Kelantan kira-kira pukul 10 pagi Sabtu dan tiba di Pejabat Maidam pada pukul 10.30 pagi semalam  bagi mengesahkan status bakal suaminya itu.

Azlina berkata, beliau terkejut apabila diberitahu pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu bahawa suspek yang berumur 29 tahun itu pernah berkahwin, sedangkan dia sebelum ini mempertahankan bahawa dia masih bujang.

"Selepas dimaklumkan dia telah berkahwin, saya terus berkata cukup setakat ini sahaja, kerana saya telah berjanji dengan keluarga saya untuk tidak bersamanya jika dia suami orang.

Dia dengan tenang menerimanya (keputusan).

"Sejurus itu abang saya mengajak dia pergi minum. Namun tiba-tiba kami terkejut, bila diberitahu abang saya telah ditikam," katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Azlina berkata, dia mula mengenali lelaki tersebut enam tahun lalu menerusi telefon, namun hubungan mereka terputus seketika ekoran kekangan kerja dan kembali berhubung rapat dua tahun lepas.

Beliau berkata, hasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan dibuat tahun ini selepas beberapa kali lelaki itu menangguh perkara tersebut apabila diajak berkahwin sejak tahun lepas.

"Abang saya sebelum ini ada memaklumkan bahawa bakal suami itu telah berkahwin, namun saya enggan mempercayainya lantas saya membuat keputusan untuk menyemak statusnya," katanya.

Anak keenam daripada sembilan adik beradik ini berkata bakal suaminya itu adalah seorang yang berperwatakan lembut dan sentiasa prihatin, namun tidak menyangka dia bersikap seperti itu.

"Saya harap dia ditangkap segera sebab jika dia boleh lakukan perkara itu pada abang saya, mungkin juga dia boleh lakukan benda yang sama pada saya dan ahli keluarga saya yang lain.

"Sebelum ini abang saya selalu menasihatinya dan meminta saya agar membuat keputusan yang tepat. Abang juga seorang yang sangat bertanggungjawab. Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa," katanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa ditikam sebanyak enam kali dengan pisau.

Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang rakannya dengan kereta.

Suspek dipercayai telah bersedia dengan pisau yang dibalut dengan kertas surat khabar dan disimpan di dalam poketnya.




Saturday, October 15, 2016

Piala Malaysia 2016 - T-Team 'Hanelang' Mampu Pulihkan Maruah Bolasepak Terengganu

Saingan separuh akhir pertama di Shah Alam
T-Team pada perlawanan sebelum musim 2015-2016 hanya disaksikan kira-kira 200 hingga 300 orang sahaja.

Malah pasukan yang dianggap bergelar ‘feeder’ ini kini membuktikan ia mampu membuat kejutan dan bukan lagi pasukan belasahan, termasuk oleh pasukan negeri – Skuad Penyu – yang mendapat peruntukan lebih besar.

Kebangkitan  T-Team dilihat mulai musim 2014-2015 melalui sistem kejurulatihan dan disiplin pemainnya yang mantap.

Walaupun dilakukan pertukaran jurulatih dan beberapa pemain, namun pengurusan T-Team tetap mengekalkan budaya pentadbiran dan permainan yang membangakan sejak musim lalu.

Menang suku akhir dengan Felda 17 September lalu.
Kini T-Team akan turun padang malam ini dengan megahnya untuk bertemu Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua bagi menjamin untuk layak ke perlawanan akhir.

Kejayaan ke suku akhir dan separuh akhir sebenarnya sudah pencapaian memberangsangkan bagi pasukan yang tidak diberikan harapan langsung. Malah ia sering dilihat sebagai 'pasukan anak tirit'.

Sebelum ini ada suara mahu membubarkan pasukan ini untuk diberikan perhatian kepada hanya satu pasukan – Sang Penyu.

Namun ternyata ramalan dan cakap-cakap itu silap apabila tanpa diduga, T-Team lebih baik daripada Sang Penyu, bukan sahaja dalam Piala Malaysia 2016 tetapi juga Liga Malaysia 2015/2106.

Malah, dijangkakan untuk kali pertamanya penonton dan penyokong T-Team akan memenuhi Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) malam ini untuk memberikan sokongan agar ia layak ke akhir.

Apa tidaknya, berbekal dengan kelebihan gol di tempat lawan dengan kekalahan 2-1, Teregganu perlu menang 1-0 sudah memadai.

Tewas 2-1 tetapi ada kelebihan gol di tempat lawan.
Dengan adanya berita bahawa sehari sebelum saingan kedua separuh akhir Piala Malaysia berlangsung melibatkan T-Team dan Selangor di Kuala Terengganu, timbul isu penjualan tiket yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat,  membuktikan betapa sambutan penduduk negeri ini kepada pasukan T-Team kini semakin nyata.

Penyokong resah apabila dikatakan tiket sudah mula dijual sejak semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, ini berikutan  isu penjualan tiket separuh akhir kedua Piala Malaysia  itu sudah tersebar di laman sosial apabila ada individu tidak bertanggungjawab memuat naik status di akaun Facebok.

Mereka  menawarkan tiket perlawanan terbabit dengan harga RM15 berbanding RM10 sekeping untuk tempat duduk terbuka.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat membuat penafian bahawa bahawa tiket aksi separuh akhir Piala Malaysia itu sudah dijual.


Beliau turut terkejut dengan  penyebaran penjualan tiket tersebut  sedangkan pihak pengurusan T-Team akan membuka kaunter tiket pagi ini.

Yang nyata 10,000 tiket yang disediakan untuk perlawanan malam ini dijangka habis dijual dan Rozi mengakui penjualan tiket perlawanan itu nanti berkemungkinan tidak akan mencukupi.

Ini kerana  kapasiti SSINS hanya boleh memuatkan 10,000 hingga 12,000 penyokong sahaja.

Tiket  perlawanan berharga RM10 untuk tempat duduk terbuka, RM20 berbumbung dan RM5 bagi kanak-kanak di dan boleh didapati di aunter tiket SSINS pagi ini.

Rozi akui sememangnya terdapat tempahan awal bagi mendapatkan tiket dibuat menerusi kelab penyokong. Namun penyerahannya tetap akan dilakukan hari ini.

Beliau  difahamkan sebanyak 10,000 keping tiket sahaja diperuntukkan untuk perlawanan ini.

Untuk membolehkan peminat dan penyokong yang tidak dapat memasuki stadium pengurusan menyediakan kemudahan skrin layar di perkarangan stadium untuk mereka..


“Kita tidak bercadang untuk menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak memandangkan  SSINS adalah gelanggang tuan rumah T-Team dan pemain juga sudah serasi dengan keadaan padang di gelanggang sendiri.

Yang diharapkan di mana juga penimat dan penyokong T-Team berada, mereka akan menyokong pasukan mereka, biarpun tidak di dalam atau sekitar stadium.

Bangkitkan semangat ‘Teganu Hanelan’ dan dengan menyokong T-Team, ia memulihkan kembali maruah bolasepak Terengganu yang gagal dilaksanakan oleh Sang Penyu walaupun mendapat perhatian khusus sesetengah pihak dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Buktikan ‘anak tiri’ juga boleh menyumbang dan menaikkan mutu dan maruah bolasepak Terengganu selepas malap beberapa tahun ke belakangan ini.

Monday, October 10, 2016

Polis Terengganu - Pesalah Trafik Pelajar, Belia Membimbangkan


Jumlah pesalah trafik belia di Terengganu sangat membimbangkan.

Apakah pelbagai program kesedaran, pameran dan sebagainya yang dilaksanakan tidak berkesan?

Atau apakah mereka tidak menyedari kesan dan akibat apabila memandu tanpa lesen dan sebagainya?

Lebih 20,000 saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia di Terengganu membabitkan pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan belia.

Berikutan itu, Polis Terengganu mencadangkan hukuman yang lebih tegas dikenakan bukan sahaja penunggang dan pemandu tetapi juga pemilik yang membenarkan kenderaan mereka digunakan.

Pemilik wajar diheret sekali sekiranya penunggang remaja melakukan kesalahan. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman (kanan) mendedahkan, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 20,585 keping saman di keluarkan kepada belia di bawah umur 30 tahun.

Daripada jumlah itu sebanyak 18,516 keping saman dikeluarkan ke atas pengguna motosikal melibatkan pelbagai kesalahan trafik yang berulang.

"Walaupun pelbagai program kesedaran, pameran dan sebagainya telah dilakukan namun masih ramai yang tidak menyedari kesan dan akibat apabila memandu tanpa lesan dan sebagainya," katanya.

Selain itu katanya, bagi tempoh yang sama tahun ini sebanyak 8,049 kes kemalangan dicatatkan melibatkan golongan remaja yang mana daripada jumlah itu sebanyak 270 kes kemalangan maut direkodkan yang melibatkan golongan belia berumur bawah 20 tahun hingga 30 tahun.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi jalan raya termasuk kawasan perumahan di sekitar bandar raya ini mendapati kanak-kanak seawal usia 10 tahun dilihat menunggang motosikal tanpa kawalan ibu bapa mahupun teguran daripada kaum keluarga sendiri.

Rosli ketika mengulas mengenai situasi berkenaan berkata, sebelum ini terdapat banyak kes remaja dan pelajar sekolah yang ditahan akibat merempit serta motosikal yang digunakan untuk berlumba haram itu dibelikan oleh ibu bapa sendiri.

"Memanglah tujuan dibelikan kenderaan itu adalah untuk memudahkan anak-anak ke sekolah bukan untuk merempit, pokok pangkalnya kenapa dibiarkan anak-anak 'bawah umur' menunggang atau memandu kenderaan tersebut walaupun mengetahui perbuatan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Justeru tidak hairanlah polis mahu mencadangkan hukuman yang lebih tegas dikenakan bukan sahaja penunggang dan pemandu sahaja yang akan didakwa, pemilik yang membenarkan kenderaan mereka digunakan pun terheret sekali," katanya.

Rosli berkata, ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak atau remaja terlibat juga perlu didakwa kerana cuai membenarkan anak masing-masing menunggang tanpa lesen.

Beliau berkata, pendidikan dan kesedaran awal mengenai perkara ini sepatutnya bermula dari rumah lagi dan ibu bapa perlu peka kepada keselamatan anak-anak masing-masing.


"Tindakan undang-undang sahaja tidak mampu menangani masalah ini malahan semua pihak khususnya para ibu bapa perlu menerapkan dan mendedahkan nilai-nilai murni kepada anak-anak bermula daripada rumah," katanya.