Friday, July 15, 2016

‘Hantu’ Jenis Apa Menganggu Di Mana-Mana Sahaja Sepanjang LPT2?


Bahagian Akhir

Semalam malalui tajuk 'Izin Dalam Paksa' -Ahmad Razif Perlu Tunaikan Janji...’ blog ini membawa soalan,  apakah Menteri Besar sekarang akan memperjuangkan tuntutan RM1.8 bilion daripada Kerajaan Pusat selain kenapa LPT2 dikenakan tol tetapi tidak dengan Lebuhraya Pan Borneo.

Kita bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman bahawa keputusan mengenakan tol di di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula selepas tengah malam ini,  bukan keputusan tergesa-gesa.

Ir Rosli...tidak membebankan
Kadar caj tol yang dikenakan sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 sen bagi sekilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta).

Malah, Ir Rosli berpendapat, pengenalan tol berkenaan masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

Kita juga bersetuju bahawa LPT2 yang beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu memerlukan kos operasi dan penyenggaraan.

Bagaimanapun ia perlu  menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

"Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai.

"...tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang...kosnya juga telah meningkat berkali ganda," katanya pada sidang media di Kemaman semalam.

Pertanyaan ialah, sejauh mana kerajaan negeri boleh menjamin syarikat konsesi mengutip tol itu akan membelanjakan kutipan itu untuk tujuan operasi dan penyelengaraan?

Kita bimbang ia akan berorientasikan keuntungan. Contohnya dalam konteks PLUS sendiri, jika bersandarkan kenyataan kewangannya  berakhir 31 Disember 2014, jumlah hasil kutipan tol PLUS adalah sebanyak RM2.61 bilion dan jumlah keuntungan selepas cukai berjumlah RM8.4 juta.

Tetapi ia hanya membelanjakan hanya 20 peratus sahaja daripada hasil kutipan untuk tujuan operasi dan penyelenggaraan. Kos menaik taraf dan membaik pulih pula hanya 15-20 peratus sahaja.

Kemana baki 50 peratus lagi? PLUS gunakan untuk bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh konsesi tersebut.

Selain itu pada masa yang sama, Kerajaan Negeri bagaikan ‘tiada upaya’ atau ‘mengalah terus’ dengan Putrajaya dalam perkara-perkara asas membabitkan kepentingan hak dan harta rakyat negeri ini.

Kononnya untuk menggantikan jumlah wang kerajaan negeri yang tertangguh, dicadangkan pembinaan LPT3 dari Gemuruh ke Jertih.

Sehingga kini tiada jawapan konkrit. Apakah ia akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Posit? Percuma atau bertol? Apakah ia melebihi RM1.8 bilion?

Menteri Besar sejauh ini tidak dapat menjawab dengan jelas sebaliknya mengatakan ia bergantung ‘kepada kelulusan Kerajaan Pusat yang bergantung pula kepada keupayaan kewangannya.”.

Kerajaan Negeri Terengganu dikatakan bersandar kuat pada jawapan ini. Dengan kedudukan kewangan atau pendapatan kerajaan Pusat sekarang merosot, apa jaminan ia akan dilaksanakan? Tiada janji melalui Rancangan Malaysia ke berapa dan apa buktinya!

Sebagai penjaga amanah negeri, perjuangan Kerajaan Negeri mesti diteruskan. Soal dapat atau tidak dapat lain cerita, namun dengan berdiam diri kerana ‘bimbang terhadap sesuatu’ akan hanya menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Kita bimbang isu tol yang diperkenalkan semalam akan menjadi bahan kempen pembangkang untuk menunjukkan pentadbiran kerajaan negeri yang lemah dan ‘tunduk setunduknya’ kepada Putraja, walaupun melibatkan nkepentingan rakyat Terengganu.

Perbelanjaan wang kerajaan negeri oleh Kerajaan Pusat ini akan menjadi rekod atau sejarah buruk kepada Barisan Nasional (BN) Terengganu dan akan direkodkan sebagai kelemahan pentadbiran Menteri Besar UMNO sejak 2004 hingga kini.

Perlu diingat bahawa projek yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 15 Julai 2004 sepatutnya dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

BN menang melalui janji seperti ini tetapi selepas menang dan memerintah, apakah rakyat yang mengundi BN dibebankan pula dengan masalah ‘duit pendahuluan itu tidak dikembalikan’ dan ditambah dengan dikenakan tol?

Namun kerana ‘baik hati’, Kerajaan BN negeri mendahulukan RM1.8 bilion untuk menjamin ia dilaksanakan sebagai memenuhi janji pilihan raya.

Adilkah kepada rakyat Terengganu yang memberikan kepercayaan sedemikian dan kepercayaan itu dibalas dengan keadaan seperti ini?

Pada 8 Mei 2010, Menteri Besar ketika itu, Datuk Ahmad Said (belum Datuk Seri) mengatakan kerajaan Terengganu kecewa dengan kelewatan serta kemajuan yang perlahan pembinaan LPT2 diakibatkan oleh masalah kontraktor yang turut merugikan kerajaan negeri.

Menururnya, pembatalan beberapa kontraktor dan proses menender semula projek itu pastinya akan memberikan kesan kepada projek berkenaan.

Sebelum itu, pada blog hambali1 dalam analisisnya pada 20 Jun 2009 bertajuk KELEWATAN LPT2 – AKIBAT KERENAH KONTRAKTOR ‘KRONI’? menyebut bahawa Ahmad Said menjelaskan, berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, LPT2  yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Malah, Ahmad Said benar-benar berang apabila masalah LPT2  yang tidak siap-siap menjadi   pertanyaan dan komen sinis pembangkang  pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Isu ini turut menjadi modal kempen PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13  khususnya calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (kini Ahli Dewan Undangan Negeri) yang meletakkan kegagalan kepada Barisan Nasional (BN) kerana gagal menyempurnakan projek berkenaan.

Blog ini dalam laporan 29 Mei 2013 melalui tajuk “LPT2 -Jangan Biarkan Rakyat, Pembangkang Terus Salahkan MB, Kerajaan BN Negeri...”  memetik Ahmad Said sebagai berkata: "Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa. Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya.”

Amat nyata pembangkang sewenang-wenangnya mengaitkan isu isu LPT2 dengan ‘kelemahan kerajaan BN negeri’ dalam kelewatan dan isu pemilihan kontraktor itu.

Yang nyata, sekali, mereka sedikit sebanyak mendapat keuntungan dari segi sokongan dan undi!

Rakyat  mungkin dapat memaafkan kelewatan siapnya projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga ke Kampung Gemuroh, Terengganu yang asalnya dijangkakan siap pada Jun 2012. Ia hanya dibuka sepenuhnya pada 31 Januari 2015.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, isu ini turut dimainkan oleh pembangkang dan kesan kelewatan dan tuduhan mengatakan projek ini hanya ‘mengkayakan kroni’ (kroni siapa?) sedikit sebanyak ‘umpannya di makan’ oleh pengundi.

Apalagi kenyataannya ialah  telah mengakibatkan kos asal berjumlah RM3.7 bilion meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM4.25 bilion. Katanya, ia berikutan berikutan kenaikan harga barang binaan dan kegagalan beberapa kontraktor menyiapkan pakej masing-masing.

Malang juga kerana walaupun siap tetapi keadaan kualiti permukaannya amat tidak menepati standard malah prasarana tidak lengkap. Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengakui pembinaan LPT2 yang diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah tidak memuaskan.

JKR itu jabatan di bawah Kementerian Kerja Raya, dan ia milik siapa? Kerajaan neheri turut menerima tempias.


Untuk beberapa ketika rakyat ‘pejam mata’ kerana ia percuma. Akibatnya? Keadaan tidak selesa untuk pemanduan dan banyak tempat berbahaya menyebabkan berlakunya 849 kemalangan dengan 36 kematian direkodkan bagi tempoh Februari hingga November tahun lalu.

Salah pengguna atau keadaan lebuh raya berkenaan? Berhantu> Macam-macam teori tetapi ia jelas kombinasi banyak faktor.

Tetapi apabila tol dikenakan, rakyat yang tadinya ‘pejam’ kini ‘celik’ dan melihat kepimpinan negeri kini ‘tersangat lemah’ dalam beberapa perkara khususnya dalam isu tuntutan  dikembalikan ‘wang rakyat’ yang dibelanjakan sebanyak RM1.8 bilion serta tiada ‘perkongsian kerajaan negeri dan kerajaan Pusat’ melalui pendapatan kutipan tol.

Amat nyata,  permintaan hak perkongsian konsesi sebanyak 40% kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai imbal balik daripada kos yang telah dibelanjakan itu juga gagal diperolehi.

Sudahlah semua pihak, mungkin termasuk Kerajaan Negeri sendiri meraba-raba mengenai isi kandungan perjanjian konsesi, rakyat juga tidak dapat menilainya dari segi untung dan rugi terhadap mereka.

Apakah rakyat Terengganu hanya layak menerima apa sahaja yang dikenakan terhadap mereka?

Nak pakai duit rakyat RM1.8 bilion, pakailah...nak kenakan tol, kenakanlah, lagipun ia langsung tidak membebankan dan relevan.

Begitu juga dengan kemudahan dan penyelenggaran di LPT2, ada tidak ada, jangan bising-bising...guna atau memandulah di laluan lain.

Jika berlaku kemalangan, itu salah pemandu dan banyak hantu.

Tetapi siapa sebenarnya HANTU sejak 2004 hingga kini, dalam isu-isu membabitkan LPT2 ini?

Thursday, July 14, 2016

'Izin Dalam Paksa' - Ahmad Razif Perlu Tunaikan Janji...


Bahagian Kedua

Semalam blog ini melalui tajuk "Kerana 'Izin Dalam Paksa', Rakyat Terengganu Berhak Minta Balik Duit Pelaburanmemperkatakan mengenai isu kos dan rakyat Terengganu leabur dalam LPT2 secara ‘izin dalam paksa’. Selain itu wujud pertanyaan, apakah tuntutan yang dibuat oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyebabkan Perdana Menteri marah.

Dalam Bahagian Kedua hari ini akan diperkatakan mengenai apakah Menteri Besar sekarang akan memperjuangkan tuntutan RM1.8 bilion daripada Kerajaan Pusat selain kenapa LPT2 dikenakan tol tetapi tidak dengan Lebuhraya Pan Borneo.


1.      Apakah Razif Akan Tuntut Balik RM1.8 Bilion?

Cabaran adalah di tangan Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman – apakah beliau akan menyambung desakan yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Said dan juga olehnya untuk mendapatkan kembali wang rakyat Terengganu itu.

Juga ‘ada berani’ Ahmad Razif mendesak agar syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad),  untuk melaksanakan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di LPT2 turut menyediakan bahagian saham anak syarikat Terengganu untuk sama-sama menikmati faedah kutipan tol ini?

Bukankah cara itu sebagai jalan membalas budi baik rakyat kerajaan Terengganu (sebenarnya secara paksa) mendahulukan wang perbelanjaan pembinaan lebuh raya berkenaan?

Dengan memegang saham dalam konsesi itu, pihak kerajaan negeri juga akan mendapat maklumat terus mengenai kutipan told an kos penyelenggaraan LPT2.

Persoalan ialah beranikan Ahmad Razif membuat tuntutan ini yang dilihat amat berpatutan demi membolehkan rakyat Terengganu mendapatkan kembali yang yang mereka pinjamkan kepada Putrajaya.

Apakah jika menuntut wang sedemikian Ahmad Razif akan menerima padah yang sama seperti Ahmad Said?

Menteri Besar tidak perlu bimbang kerana Perdana Menteri sayang dan yakin dengan kepimpinannya. Jika tidak, beliau tidak akan kekal di jawatannya walaupun sudah ada pelbagai cabaran terhadapnya. Namun tetap dikekalkan oleh Putrajaya yang menunjukkan keyakinan terhadapnya jauh berbeza dengan keyakinan Perdana Menteri terhadap Ahmad Said.

Pada 9 Mac lalu, Ahmad Razif dengan lantang mengatakan: “Kepada sekalian rakyat, yakin dan percayalah, saya dan rakan-rakan dalam kerajaan akan memberikan yang terbaik untuk anda. Itu janji saya.”

Malah beliau menegaskan dia tidak pernah menafikan sumbangan sesiapa malah berusaha menyelesaikan dan menambah nilai projek-projek pembangunan termasuk LPT2 dan berapa perkara lain.

Beliau mengatakannya pada sesi penggulungan perkara itu pada sidang DUN selepas Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau. (Usul itu ditolak Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong berdasarkan Perkara 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu atas alasan Adun Kijal itu mengemukakan usul tanpa notis).

Disamping itu, pada 27 Dis 2015, Ahmad Razif berkata Kerajaan Terengganu berharap Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak RM1.85 bilion.


Ini kerana  jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah tertentu.

Pada dasarnya kerajaan pusat telah bersetuju membayar balik wang sebanyak RM1.85 bilion itu kepada Terengganu, cuma kaedahnya perlu diteliti dan perkara ini perlu dibincangkan. Kita berharap sangat supaya pembayaran itu disegerakan,” katanya kepada pemberita pada majlis penganugerahan Sarjana Terengganu di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) di Kuala Terengganu, pada hari berkenaan.

Namun, sejak itu, tiada lagi suara Ahmad Razif kedengaran mengenai ‘tuntutan’. Sudah sunyi sepi.

Persoalan kini ialah, dengan ‘kedudukannya yang dianggap goyah’ selepas pnarikan pingat oleh Sultan Terengganu, apakah beliau akan terus bersuara?

Dengan kedudukannya itu sekarang dan ketahui kesan jika menuntut hak daripada Putrajaya, apakah Menteri Besar Terengganu akan meneruskan usaha untuk menuntut wang sekurang-wang berkenaan daripada Kerajaan Pusat?

Jika mendapatnya, kerajaan negeri akan  lega dengan hasil minyak atau dana khas yang kini dikurangkan oleh Petronas akibat kejatuhan harga minyak dan gas.

Juga apakah kerana ‘membongkok mencium tangan Najib’, maka Ahmad Razif terpaksa buat-buat lupa bahawa wang rakyat Terengganu yang tetap ada dalam LPT2 dan wajar dikembalikan, bukan keutamaanya?

2.      Kenapa tol di LPT2 tetapi di Pan Borneo Percuma?

Agak hairan kenapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu membisu mengenai isu penggunaan wang rakyat dan isu tol ini dalam kaitannya dengan LPT2.

Apakah bagi mereka kedua-dua isu ini bukan isu rakyat? Perlu menerima dan menelan bulat-bulat apa sahaja keputusan kerajaan?

Apakah mereka tidak merasa apa-apa kesan kerana menggunakan kemudahan pesawat untuk berulangalik ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (Kuala Terengganu)?

Atau apakah mereka juga tidak berani dan terikat dengan pendirian Menteri Besar yang terikat pula dengan sikap dan keputusan Perdana Menteri dan Putrajaya?

Hakikatnya belum pernah berlaku sebelum ini, kerajaan negeri membiayai hampir separuh kos pembinaan lebuhraya di mana-mana negeri mana pun di Malaysia.

Selain itu, selepas berbelanja, kerajaan negeri atau rakyat tidak mendapat apa-apa. Ini hanya terjadi di Terengganu.

Amat malang, apabila UMNO kembali menduduki takhta pentadbiran Terengganu sejak 2004, kejadian ini berlaku. Rakyat tidak lupa kalaupun pemimpin UMNO di Terengganu sudah lupa megenai wang rakyat digunaka sementara pemimpin di Putrajaya pula buat-buat lupa.


Di Bintulu, 31 Mac lalu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah.

Ini berbeza dengan di Semenanjung yang lebuh rayanya dikenakan tol, kerana ada laluan alternatif disediakan, iaitu jalan yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.

Dengan kata di sini, kalau tidak mahu bayar tol di LPT2, rakyat atau pengguna pakailah jalan lama Kemaman ke Jerteh melalui Dungun atau pakai jalan ‘dalam hutan’ antara Jabor – Bukit Besi – Kuala Terengganu. Tidak ada tol!

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bernilai RM13 bilion berbeza sama sekali kerana  di Semenanjung, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan laluan utama yang dikenakan tol untuk cepat sampai ke destinasi tertentu, atau memilih jalan alternatif yang mungkin jauh jaraknya.

Dibina dengan kos keseluruhan RM27 bilion, projek Lebuhraya Pan Borneo akan melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang 1,663km dari Sarawak ke Sabah iaitu 936km jalan di Sarawak dan 727km untuk Sabah.

(LPT2 hanya sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor di Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu, merupakan lebuh raya empat lorong dua hala, dilengkapi dengan kemudahan 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah.)

Menurut Perdana Menteri, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti kukuh komitmen kerajaan persekutuan menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Berbanding dengan LPT2 yang bernilai hanya RM4 bilion dan menggunakan duit rakyat sebanyak RM1.8 bilion, rakyat Terengganu turut menanggung beban tol.

Apakah kerana keadaan sebegini, ada pendapat mengatakan pelaksanaan kutipan tol di LPT2 berkuat kuasa esok (15 Julai) bakal menambahkan beban kewangan kepada rakyat Terengganu?

Contohnya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat mempersoalkan: "Kenapa lebuh raya Sarawak dikecualikan tol? Tetapi LPT2 nak dikenakan tol? "Kenapa Pantai timur selalu dianaktirikan?"

Katanya,  dengan kadar 12 sen sekilometer bagi setiap kenderaan yang melalui LPT2 dari Gemuruh ke Cheneh akan meningkatkan kos perjalanan ke Kuala Lumpur sekitar 70 peratus. Rantaian peningkatan kos pengangkutan akan meninggalkan kesan beban berganda kepada harga barangan dan perkhidmatan, katanya pada kenyataan media semalam.

Menurutnya, kegagalan kerajaan negeri mendapatkan kembali wang tersebut merupakan satu kerugian dan pengkhianatan kepada amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Selain itu, katanya, keadaan jalan yang menjadi sungutan ramai dan kekurangan kemudahan di LPT2 perlu diselesaikan sebelum kerajaan memikirkan 'keuntungan dan laba' daripada saku rakyat.

Bilakah pula pemimpin UMNO dan BN serta pertubuhan tertentu seperti pengguna dan NGO lain akan memberikan pendapat mereka kerana isu ini adalah masalah rakyat.


Apakah bagi UMNO kini ‘rakyat sudah tidak didahulukan’?

Bersambung esok...

Wednesday, July 13, 2016

Kerana 'Izin Dalam Paksa', Rakyat Terengganu Berhak Minta Balik Duit Pelaburan


(Teganuku mulai hari ini mengupas isu Lebuh Raya Pantai Timur 2 atau LPT2, khususnya kesan dikenakan tol mulai tengah malam 15 Julai ini. Banyak isu sebelum dan selepas tol ini diperkenalkan kerana rakyat Terengganu turut 'melabur secara izin dalam paksa ' dalam pembinaan LPT2 ini)

Bahagian Pertama

Kita faham mana-mana lebuh raya memerlukan kos membiayai penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

Selain keselesaan, diharapkan usaha ini akan mengurangkan kes kemalangan kerana berlakunya kira-kira  2,000 kes kemalangan serta telah mengorbankan kira-kira 100 orang mangsa itu pada tahun 2015 sahaja.

Kos itu sama ada dibiayai oleh kerajaan atau melalui kutipan tol bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan lebuh raya berkenaan.

Dan begitulah juga dengan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dibuka kepada trafik sepenuhnya mulai 31 Jan 2015.

Kerajaan melantik Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2 Sdn Bhd), sebuah syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad),  untuk melaksanakan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuh raya tersebut.

Kelmarin (11 Julai 2016), Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh mengumumkan bahawa cara mendapatkan peruntukan menyelenggarakan LPT2 ialah melalui tol di lebuh saya berkenaan berkuat kuasa bermula 15 Julai 2016, 12.01 tengah malam.

Keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat.

LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor di Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu, merupakan lebuh raya empat lorong dua hala, dilengkapi dengan kemudahan 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah.

Ada empat atau lima  perkara yang masih diperkatakan mengenai LPT2, selain pengenalan tol selepas digunakan secara percuma sebelum ini.

Ia membabitkan kos awal dan kos tambahan, desakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, ‘keberanian’ Menteri Besar,Ahmad Razif berdepan Perdana Menteri untuk menuntut hak, apa untungnya kepada rakyat Terengganu serta apa terjadi kepada dakwaan penyelewengan?

1.      Isu kos pembinaan LPT2.

Ada mengatakan LPT2 bernilai RM3 bilion dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh.

Sehingga ini, kos sebenar LPT2 masih menjadi perbahasan apabila bekas Menteri Besar Terengganu mengatakan beliau sendiri tidak mengetahui berapakah kos sebenar pembinaan LPT2 itu kerana beliau dimaklumkan LPT2 bernilai RM4 billion.


Perkara ini timbulkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan di kedai kopi di Kijal atau di Kuala Terengganu.

Pada Mac 2012, ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang mendedahkan di Parlimen bahawa kerugian terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dalam pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT Fasa Ke 2) yang menelan kos RM3.7 billion.

“Ia masih tidak dapat digunakan sepenuhnya akibat berlakunya kelewatan yang ketara dari tarikh jangka siap iaitu pada akhir tahun 2010. Kerugian tersebut berlaku disebabkan terdapat beberapa kontraktor yang sepatutnya disenarai hitamkan dari mendapat tender telah di’anugerahkan’ tender semula oleh kerajaan.”

Menurut Ahmad Said, Jumlah keseluruhan kos pembinaan pada asalnya ialah sebanyak RM1.8 billion dan 50 peratus daripada jumlah itu, diambil daripada dana khas kerajaan negeri Terengganu.

Jumlah ini bertentangan dengan apa yang disebut oleh Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman yang mengatakan ‘wang rakyat Terengganu’ yang digunakan bagi pembinaan itu kini sebenarnya RM1.85 bilion.

Ini adalah pertambahan sekali ganda daripada yang disebut oleh Ahmad Said.

Berikutan itu Ahmad Razif berharap Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran kos pembinaan LPT2 itu  sebanyak RM1.85 bilion. Jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah tertentu.

2.      Antara punca Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ‘marah’ Ahmad Said?

Walaupun dikatakan separuh daripada perbelanjaan asal RM1.8 bilion digunakan,  pertanyaan tetap wujud, berapa jumlah sebenar Dana Khas kerajaan negeri  yang telah digunakan dalam pembinaan LPT2.

Ini kerana menurut Ahmad Said, ketika beliau mula menduduki kerusi Menteri Besar, beliau tidak mengizinkan wang tambahan tersebut diambil bagi pembinaan LPT2 itu, hanya sekadar apa yang telah dibelanjakan sahaja.

Ini kerana permintaan menambah perbelanjaan bagi pembinaan LPT2 dan menggunakan duit Dana Khas Terengganu itu adalah tidak adil kerana di negeri-negeri lain, kosnya ditanggung oleh kerajaan pusat atau swasta.


Ahmad Said beberapa kali menimbulkan isu ini dan Putrajaya tetap membisu.

Apakah ini antara faktor kenapa Perdana Menteri berang dengan Ahmad Said sedangkan pada era Menteri Besar sebelumnya, Perdana Menteri ketika itu senang-senang sahaja membuat keputusan membelanjakan duit rakyat Terengganu untuk pelaburan dalam LPT2?

3.      Rakyat Terengganu Tanggung 50 Peratus Kos.

Ini Bermakna setidak-tidaknya ada pelaburan rakyat Terengganu sebanyak kira-kira RM900 juta di lebuh raya itu!

Bagaimana dengan pelaburan itu? Apakah ia menguntungkan atau merugikan?

Bagaimana wang pelaburan rakyat Terengganu akan dapat kembali? Isu ini diperkatakan acap kali oleh Ahmad Said, sama ada ketika beliau masih menjadi Menteri Besar atau juga selepas.

Walaupun didesak supaya Putrajaya memberikan 'jawapan hitam putih’ mengenai perkara ini, nampaknya jawapan yang dinantikan tidak juga tiba. Sedangkan jelas wang rakyat Terengganu digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kita faham ia untuk kemudahan rakyat tetapi apabila mengenakan tol nanti, apakah ada bahgian untuk rakyat Terengganu yang sudah melabur dalam lebuh raya berkenaan? Atau LLM akan menggunakan alasan, kutipan tol untuk urusan penyelenggaran dan pengurusan LPT2 semata-mata?

Seperti disebut Ahmad Said pada persidangan DUN lalu, oleh kerana dilaporkan tol akan diperkenalkan pada September ini (perlaksaan pada Julai adalah lebih awal daripada jangkaan bekas Menteri Besar itu) PLUS akan mula mengutip tol di LPT2, beliau mahu mengetahui berapakah pulangan yang akan dikembalikan kepada kerajaan negeri atas penggunaan Dana Khas itu.

Persoalannya kini selepas turut menanggung kos pembinaan, apakah wajar rakyat Terengganu turut dikenakan pula tol? Berapa lama mereka akan tanggung beban itu?

(Pengurusan LPT2 akan melaksanakan kutipan tol secara sistem tol tertutup di mana akan ada 10 plaza tol dan  kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen/km bagi kenderaan Kelas 1 (kereta). Sebagai contoh, pengguna yang membuat perjalanan dari Plaza Tol Kuala Terengganu ke Plaza Tol Cheneh dan sebaliknya, akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM19.70).

Bersambung esok...

Monday, July 11, 2016

Rakyat Marah Bekalan Air Terputus Ketika Sambutan Aidilfitri...

Pengurus Wilayah Tengah Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Ir Atemin Sulong (dua, kiri) memberikan penerangan mengenai operasi loji rawatan air Kepong 2 Kuala Terengganu Datuk Seri Mahdzir Khalid (paling kiri), ketika itu Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,  pada 30 September 2014. 
Ini ulasan Datuk Wan Ahmad Farid, Pesuruhjaya Kehakiman Shah Alam, bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu mengenai masalah bekalan air di musim perayaan Aidilfitri ini di Kuala Terengganu dan ‘kawasan yang senasib dengannya’.


Tidak perlu ulas, yang merasai atau menanggung beban ketiadaan air akan lebih merasakannya ibarat kata pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Isu bekalan air yang terputus pada hari perayaan Aidilfitri kali ini untuk penduduk Terengganu yang terbabit ‘menyedih’ dan ‘mengguris hati pengguna’.

Sesiapa pun, pada suasana hari sepatutnya begitu gembira, berubah menjadi suatu keadaan yang tidak dapat dibayang, pastinya akan merasa kecewa.

Lebih-lebih lagi apabila sanak-saudara dan kaum keluarga  datang bertandan untuk sama-sama ‘berhari raya’, terpaksa tuan rumah meminta maaf ‘rumah tiada air’.

Laporan Bernama semalam menyebut, lebih 500,000 pengguna di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mengalami gangguan bekalan air bermula malam semalam berikutan masalah teknikal.

Setengah juta rakyat tu...hampir 40 peratus penduduk dan yang berada di Terengganu pada musim Aidilfitri kali ini..

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Ir Atemin Sulong berkata hampir 80 peratus penduduk terutamanya di bandar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan mengalami gangguan ini manakala 30 peratus lagi di daerah Marang.

Katanya gangguan itu dipercayai berpunca selepas suis utama loji Air Kepong meletup dan terbakar akibat dipanah petir, petang Jumaat lalu.

Tiada air bermakna apa? Tidak boleh memasak semata-mata? Bagaimana dengan untuk tujuan lain seperti mandi-manda, membasuh dan mengambil wuduk?

Itu belum lagi yang asyik terkucil...

Sangat terkesan dengan satu pesanan melalui WhatsApp daripada seseorang yang memang penyokong Barisan Nasional (BN) ‘totok’ yang berbunyi, “Kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ahmad Razif semakin bercelaru..belum pernah berlaku dlm sejarah bekalan air terputus di musim perayaan...alasan ramai rakyat cuti dan banyak guna air...”

Kemarahan pengguna dilepaskan melalui Facebook SATU antaranya menyebut:


Pada 3 Julai lalu, Ir Atemin Sulong sudah memaklumkan (melalui teganukita) sebanyak 58,000 rumah di Kuala Terengganu dan Marang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air pada musim Aidilfitri ini.

Alasan ialah gangguan itu berikutan penggunaan air yang melebihi dari tahap kebiasaan disebabkan jumlah pengguna  yang pulang berhari raya di kampung  yang meningkat.

Menurut kenyataan itu, kawasan akan mengalami tekanan rendah di waktu puncak iaitu pada jam 5 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam.

“Malah sebahagian kawasan akan tiada bekaan air di waktu berkenan. Selain itu, kualiti air juga akan terjejas menjadi keruh dan kekuningan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Sebanyak 47 kampung terlibat di Kuala Terengganu seperti  Kampung  Paloh, Durian Burung, Pulau Rusa, Kuala Bekah, Wakaf Che Kapor, Pulau Musang, Sungai Rengas, Kubang Tangga, Kubang Parit, Simpang Empat Pulau Musang, keseluruhan Losong, Kubang Buyung, Pulau Kambing, Jalan Hiliran, Hiliran Jejawi, Chabang Tiga, Seberang Baruh, Seri Nilam, Bukit Kecil, Gong Kapas, Pasir Panjang, Bukit Besar, Pengadang Baru, Seberang Baruh dan Pasaraya Giant.

Kampung lain terbabit ialah  Wakaf Beruas, Wakaf Mempelam, Tok Jamal, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Ketam, Bukit Tunggal, Bukit Datu, Serdang, Pengkalan Arang, Pak Katak, Bukit Tumbuh, Taman Semarak, Gong Kijang, Jalan Semarak, Banggol Pauh, Bukit Tok Beng, Duyong, Hulu Takir, Permint Perdana Seberang Takir, Telaga Daing dan Teluk Ketapang.

Di Marang, empat kampung yang terlibat masing-masing Tetambak Baru dan Jalan Tanggol di Wakaf Tapai, Tanah Lot SPKSA (Belakang Bomba Wakaf Tapai) dan Pengkalan Berangan.

SATU dikatakan akan melakukan penghantaran air menggunakan lori tangki ke kawasan kritikal.

Beliau menasihatkan pengguna supaya  berjimat cermat dalam penggunaan air dan segera membuat laporan jika menemui sebarang kebocoran  serta menyimpan air secukupnya bagi menampung penggunaan di waktu puncak dan dalam tempoh catuan serta untuk persiapan hari raya nanti.

Turut diumumkan ialah  Careline SATU 1-300-882-1111.

Ini bermakna SATU sudah menjangka dan mengetahui akan berlaku masalah bekalan air kerana sebab-sebab penggunaan melebihi tahap kebiasaan.

Kemudian semalam, menambah lagi puncanya iaitu masalah teknikal akibat suis utama loji Air Kepong meletup dan terbakar akibat dipanah petir, petang Jumaat lalu.

Apakah ini bermakna bahawa SATU seperti 'tangan yang diikat' tidak mampu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan?

Cuma yang menghairankan ialah pemimpin UMNO, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan serta pemimpin PAS hanya mendiamkan diri, seolah-olah ini suatu takdir, bukan kerana faktor manusia.

Harapkan pemimpin PAS Terengganu? Mereka agaknya mereka masih ‘mabuk dengan isu RUU 335’.

Seperti dilaporkan oleh teganukini, kalau di Kedah, keadaan yang berlaku di Terengganu ini mungkin mengundang memorandum dan petisen akibat krisis air sebegini. Tetapi amat nyata, orang Terengganu  memang baik-baik belaka.

Semalam, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid (kiri) dilaporkan melancarkan mobilisasi petisyen online dalam usaha mengumpul sokongan rakyat selain menyuarakan hasrat rakyat berhubung krisis air di Kedah yang dikatakan meruncing sepanjang musim perayaan.  

Ia berjaya  mendapatkan 314 tandatangan setakat 3.40 petang hari ini.  Pemuda PAS Kedah turut melancarkan memorandum tuntutan rakyat berkaitan isu bekalan dan kualiti air yang berulang saban tahun sehingga menyukarkan penduduk.  
       
“Reaksi kerajaan negeri setiap kali masalah ini berlaku ibarat melepas batuk di tangga, pelbagai alasan diberikan selain menuding jari kepada agensi berkaitan untuk meredakan kemarahan rakyat, namun gagal menambah baik pengurusan dan sistem bekalan air,” katanya.    
   
Menurutnya, kekecewaan rakyat Kedah tidak dapat dibendung lagi terutama ketika sambutan Aidilfitri yang diraikan dengan penuh kesulitan berdepan masalah itu.         

“Satu memorandum menuntut lima perkara yang turut disertakan pada petisyen itu meminta, kerajaan negeri bertanggung jawab atas kesusahan rakyat ketika Aidilfitri selain menggesa elaun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (Sada) dipotong sehingga masalah perkhidmatan bekalan air diselesaikan,” katanya. 


Selain itu, beliau mengatakan memorandum itu menggesa Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim meletakkan jawatan serta-merta kerana didakwa gagal menangani isu berkenaan.