Saturday, August 6, 2016

Ahmad Said, Ahmad Razif – Siapa Suami, Siapa Isteri?


Ahmad Razif Abdul Rahan berkata beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai perkembangan terbaru di Terengganu.

"Saya telah memberitahu beliau bahawa semuanya di bawah kawalan di Terengganu, tegasnya hari ini.

Ahmad Razif  turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menyatakan bahawa parti itu tidak berminat untuk membentuk kerajaan dengan menerima seseorang yang mahu melompat dari pihak lain.

Ahmad Razif menegaskan sepatutnya Ahmad Said hanya perlu menerima tanggungjawab dan bukannya cuba untuk menyalahkan orang lain.

Sehingga semalam, perbalahan antara Menteri Besar Terengganu itu  dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Ahmad Said bertambah  rancak menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditunggu-tunggu pada Isnin ini.


Ahmad Razif semalam  menafikan dakwaan sabotaj dan "rampasan kuasa" semasa pilihan raya umum lepas untuk melemahkan Ahmad yang ketika itu adalah menteri besar.

"Adalah tidak masuk akal untuk menuduh saya sabotaj atau mengadakan rampasan kuasa bagi menggulingkan menteri besar dengan kuasa saya yang terhad pada ketika itu. Mengapa saya akan berbuat demikian?

"Saya hanya seorang calon pilihan raya pada masa itu dan memberi tumpuan untuk memenangi kerusi saya sendiri di Seberang Takir," katanya.


Ahmad Razif berkata beliau tidak mempunyai niat untuk meletakkan jawatan. Sebaliknya beliau berkata, Ahmad yang mengugut untuk keluar parti dan menyertai pembangkang boleh melakukan apa sahaja yang beliau mahu.

"Jika tindakan beliau menyebabkan pilihan raya negeri, kami yakin dapat memperoleh kemenangan yang lebih besar. Membubarkan DUN adalah pilihan terakhir dan saya berharap kita tidak perlu berbuat demikian," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan Ahmad Said mengenai sumpah kesetiaan kepada UMNO dan BN serta ikrar semua wakil rakyat negeri itu semasa mesyuarat di Putrajaya.

Ahmad Said disifatkan  menjadi duri dalam daging bagi pentadbiran Ahmad Razif telah menyalahkan menteri besar itu berikutan prestasi buruk Terengganu pada pilihan raya umum 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional memenangi hanya 17 kerusi berbanding 14 oleh PAS dan satu lagi oleh PKR.

Pada 2008 BN menang 28 daripada 32 kerusi.


Perbalahan lisan antara kedua-dua Ahmad itu telah menambah kepada spekulasi kemungkinan pilihan raya tergempar akan diadakan di Terengganu.

Ahmad Said mendakwa Ahmad Razif tahu mengenai rampasan kuasa untuk menggulingkannya sebagai menteri besar.

Ahmad Said juga mendakwa bahawa Ahmad Razif telah bertemu beliau untuk memberitahu mengenai rampasan kuasa selepas pilihan raya umum dan mengulangi permintaan agar menteri besar itu perlu meletak jawatan.


Sementara itu di pihak Ahmad Razif, beliau telah mencetuskan kemarahan di kalangan pemimpin terdahulu apabila mengeluarkan kenyataan menunjukkan bahawa Ahmad adalah penyebab atau "ibu segala masalah" yang menyebabkan BN hampir kalah di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Di Putrajaya hari ini,  Ahmad Razif memberi jaminan bahawa persengketaan dalaman Umno negeri itu telah diselesaikan dan tidak ada sebarang perkara luar biasa yang akan berlaku semasa persidangan DUN pada Isnin ini.

Beliau berkata keadaan telah reda dan beliau menyifatkan krisis di Terengganu sebagai "pergaduhan di antara adik-beradik."

"InsyaAllah semuanya telah diselesaikan.... tiada apa yang luar biasa akan berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri nanti. Tetapi yang paling penting kita mesti bergerak ke hadapan bersama-sama suntuk menggerakkan agenda pembangunan di negeri ini," katanya kepada pemberita semasa majlis Hari Raya untuk Anak Terengganu.


Ahmad Razif berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan yang berlaku antara beliau ADUN Kijal, Ahmad Said.

"Ia adalah perkara biasa (berhadapan masalah) seperti suami dan isteri mempunyai sedikit ketegangan.

"Kami percaya bahawa ia adalah perkara biasa dan hanya akan membantu mengukuhkan perpaduan di antara kami," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh Adun Ajil, Ghazali Taib, Ahmad Razif berkata, walaupun beliau mungkin telah melampaui batas, "kita mesti bersedia untuk memaafkan satu sama lain."

"Kita mesti mengambil sikap yang positif dan melihat ke hadapan dan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat," kata Ahmad Razif.


Sumber - mStar

Friday, August 5, 2016

Tidak Bubar, Bubar, Tidak Bubar...Yang Mana Satu Agaknya???


Kelmarin Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan tidak akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN)  diadakan di terengganu sebagaimana dakwaan yang tersebar beberapa hari lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia sekadar khabar angin yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu termasuk desakan untuk menjatuhkannya bagi memanaskan suasana menjelang Sidang Dun yang akan diadakan pada 8 Ogos ini.

Semalam pula, Ahmad Razif berkata, Kerajaan Negeri Terengganu sedapat mungkin mahu mengelak berlaku PRN.

Namun UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri tetap bersedia sekiranya ia jalan terakhir.

Jika berlaku, sudah pasti Terengganu akan berdepan dua kali pilihan raya dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Isunya kini bukan kos sahaja tetapi apakah ia penyelesaian terbaik kepada kemelut yang sedang melanda?

Jika diadakan pilihan raya, siapa akan mengetuainya?

Apakah Ahmad Razif berkemampuan melaksanakan tugas itu dalam keadaan beliau sendiri menghadapi penentangan dari dalam partinya sendiri?

Apakah UMNO yakin memang boleh menang?

Apakah hasil kajian UMNO atau agensi kerajaan Terengganu terhadap sikap rakyat ketika ini?

Kalaupun tidak menang besar, apakah BN Terengganu yakin akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah?

Dalam kedudukan banyak kerusi yang BN menang dengan perbezaan undi yang sedikit atau dengan majoriti kecil, keyakinan yang ‘melampau’ akan memakan diri.

Siapa yang akan menentukan calon? Menteri Besar secara mutlak atau mengambil pandangan Ketua-Ketua Bahagian?

Menurut sumber, kajian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Terengganu, pada ketika ini hanya 10 kerusi sahaja yang boleh dimenangi oleh BN. Sementara lapan kerusi, masih diperingkat ‘samar-samar’ atau kelabu sementara yang selebihnya ‘seperti warna air kopi’.

Memanglah kajian yang dibuat oleh pemimpin UMNO, mereka berkeyakinan akan menang sekurang-kurangnya 18 kerusi.

Menteri Besar boleh mengatakan suasana politik di Terengganu stabil dan terkawal, dan cuma desas-desus yang cuba ditimbulkan menjelang sidang DUN, Isnin depan.

“Bagi saya tiada apa-apa. Kalaupun ditimbulkan undi tidak percaya, kita ada peraturan kita yang perlu diikuti terlebih dahulu seperti 14 hari notis. Jadi, tiada kemungkinan pembubaran Dun, khabar angin ini mungkin cuba dicetuskan oleh pihak tertentu," katanya.


Itu kelmarin  ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama Serikandi 2016, di Hotel Permai, di Kuala Terengganu.

Kenyataan Ahmad Razif mengenai usul termasuk undi tidak percaya itu pun bertentangan dengan apa yang disebut oleh Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zuber Embong.

Kata Zuber, walaupun tiada notis usul dikemukakan, ahli Dewan dibolehkan mengemukakan usul atau cadangan mengikut peruntukan serta Undang-Undang Peraturan Tetap Dewan ketika persidangan.

Katanya, persidangan DUN negeri dijadualkan pada 8 Ogos ini dan ahli Dewan yang bercadang mengemukakan usul atau cadangan tidak perlu mengemukakan notis awal, sebaliknya pada hari persidangan dengan mematuhi undang-undang dan peraturan tetap DUN.

"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang notis usul terutama membabitkan undi tidak percaya kepada Ahmad Razif daripada ahli Dewan seperti yang disebarkan melalui laman sosial," katanya.

Semalam Ahmad Razif menyifatkan kemelut politik sekarang  ibarat ‘ribut dalam cawan’ tetapi di kalangan rakyat, ia bukan sahaja ribut tetapi sudah bunyi petir bendentum.

Dengan penuh yakin, Ahmad Razif berkata UMNO Terengganu bukan sahaja bersedia menghadapi kemungkinan berlaku PRN malah berkeyakinan penuh kemelut politik yang sedang melanda negeri itu tidak akan mempengaruhi kemenangan mereka dalam pilihan raya tersebut.

"Kita akan meneruskan kemenangan UMNO dan BN sebagaimana yang dicapai dalam dua pilihan raya iaitu PRN Sarawak dan PRK Kuala Kangsar sebelum ini. Inshaa-ALLAH, UMNO Terengganu akan bertahan, begitu juga dalam PRU14 akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 Perinkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, semalam.


Walaupun demikian, seboleh-bolehnya diharap agar satu pilihan raya sahaja diadakan kerana akan menelan perbelanjaan yang banyak dan akan merugikan kerajaan serta rakyat.

"Bayangkan, kita terpaksa adakan dua pilihan raya iaitu satu di peringkat negeri dan satu di peringkat parlimen, ia bukan menelan belanja yang sedikit, bila PRU nanti kena buat sekali lagi, kos akan meningkat, ia akan merugikan rakyat dan kerajaan.

"Tetapi, kalaulah keadaan terpaksa, kerajaan negeri telah bersiap sedia, Umno Terengganu bersiap sedia. Namun, demi untuk rakyat, kita minta perkara ini dipertahankan sehingga berlaku PRU yang akan diumumkan oleh perdana menteri," katanya.

Menurutnya sebaik-baiknya,   "biarlah Terengganu bersama-sama dalam pilihan raya umum akan datang".

Thursday, August 4, 2016

1MDB - Mana Mufti Dan Ulama Ketika Rakyat Perlu Suara Mereka?


"Jikalau kebanyakan mufti golongan ulama kerajaan hanya ambil jalan mudah seperti terkandung dalam peringatan slogan surat menyurat kerajaan: "Saya yang menurut perintah", siapa pula yang akan menjunjung perintah Allah?"

Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Ustaz Ahmad Awang, Penasihat Umum AMANAH, telah menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian tentang isu 1MDB dan juga tindakan saman kerajaan Amerika baru baru ini ke atas 1MDB.

Malahan Majlis Raja-Raja Melayu sejak Oktober 2015 lagi telah meminta isu 1MDB diselesaikan oleh kerajaan tanpa tindakan yang sepatutnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saya juga pernah menyoal fenomena membisu kebanyakan ulama tentang isu 1MDB. Setakat ini hanya seorang mufti Negeri yang ke hadapan bersuara tentang kemungkaran pemerintah.

Berkatalah pula Mufti Perak Tan Sri Harussani yang "Peguam Negara sudah putuskan, buat apa bincang 1MDB!"

Perlu diingat selepas Tan Sri Abdul Gani Patail “dipencenkan" secara mengejut sebagai peguam negara atas alasan kesihatan, walaupun beliau mengakui sihat dan segar, penggantinya secepat kilat mengisytiharkan Najib bebas dari segala kesalahan dalam isu 1MDB!

Begitu hebatnya peguam negara sekarang. Pada masa yang sama laporan Ketua Audit Negara dirahsiakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sangat mudah Harussani membuat kesimpulan dalam isu yang penting untuk negara ini.
Bukankah Islam melarang dari membuat keputusan tergesa gesa tanpa kajian mendalam. Apakan lagi dalam isu sepenting ini untuk negara.


Penghias majlis

Jika ulama kerajaan dan mufti membuat kenyataan seolah-olah hanya untuk mengiakan pihak kerajaan sahaja, tidak boleh disalahkan rakyat menyoal peranan mereka menegakkan kebenaran menurut Islam sebenarnya.

Sekarang pun ramai yang memandang golongan ini lebih sebagai penghias dan penyeri majlis rasmi kerajaan sahaja.

Lebih menghairankan lagi kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Shukor Husin yang menyatakan: "Kita juga tidak punya maklumat tentang soal ekonomi yang teknikal dan di tahap global."

Majlis Fatwa tidak merancang bersidang tentang isu 1MDB?

Ini menimbulkan soal tanda tanya adakah Majlis Fatwa berhasrat untuk terus relevan dan memainkan peranan menyeluruh dan bermakna isu semasa untuk masyarakat Islam hari ini dalam suasana ekonomi global?

Mereka mesti mengubah sikap untuk menjadi terus relevan. Di mana usaha dan kesungguhan mereka untuk memahami isu semasa?

Para mufti dan ulama kerajaaan janganlah kelihatan hanya untuk menentukan tarikh puasa dan raya sahaja tetapi peranan mereka sepatutnya lebih luas.

Majlis Raja-Raja Melayu membuat pendirian dengan inisiatif mereka meminta pandangan pakar sebelum menasihati kerajaan menyelesaikan isu 1MDB tahun lepas lagi.

Di mana kesungguhan Majlis Fatwa?

Tidakkah boleh Majlis Fatwa juga mencari pakar luar atau jabatan kerajaan untuk memberi pandangan jika mereka betul-betul bersungguh-sungguh menangani isu ini?

Ulama bijaksana

Bukankah Majlis Fatwa sepatutnya juga menasihati Majlis Raja-Raja? Bagaimana hendak menasihati Raja-Raja kalau Raja-Raja lagi jauh ke hadapan dalam kesungguhan serta inisiatif menangani isu semasa sementara Majlis Fatwa memberi berbagai alasan.

Perpatah Melayu berbunyi "kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih!"

Ilmu agama sahaja tanpa kebijaksanaan dan inisiatif rujukan kepakaran bidang-bidang lain tidak cukup untuk menangani isu kompleks dunia hari ini.

Bukan tidak pernah ada ulama Malaysia yang bijaksana di era moden hari ini.


Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah contoh cemerlang ulama bertaraf dunia! Beliau mengelilingi dirinya dengan pakar serta bijak pandai termasuk profesional dan dengan penuh bijaksana menangani isu semasa dengan baik.

Nik Aziz disegani ramai dari kalangan kawan dan lawan. Kenapa para ulama serta mufti kita hari ini tidak bolih mengambil sikap yang sama tetapi memilih untuk duduk dibawah telunjuk pemimpin negara.
Rakyat sangat kecewa!

Junjung perintah Allah

Jikalau kebanyakan mufti golongan ulama kerajaan hanya ambil jalan mudah seperti terkandung dalam peringatan slogan surat menyurat kerajaan: "Saya yang menurut perintah", siapa pula yang akan menjunjung perintah Allah?

Almarhum Nik Aziz telah menujuk contoh kepimpinan ulama yang tegas dan berani untuk memimpin Kelantan secara Islam untuk lebih dari 20 tahun.

Apabila ulama hari ini memilih untuk membisu apabila berhadapan dengan kerajaan zalim, ini akan menyebabkan kemusnahan masyarakat Islam.

Mufti kerajaan kita hari ini hanya berani melontar kenyataan terhadap golongan minoriti sahaja seperti yang dilakukan olih mufti Pahang yang mengistihar golongan tertentu di Malaysia sebagai kafir harbi!

Berhadapan dengan pemimpin berkuasa negara yang zalim, mereka tidak berani mengangkat muka pun dan terus diam membisu seribu bahasa.

Pada saat umat Islam Malaysia mengharapkan kepimpinan dan ketegasan dari ulama dalam menghadapi kemelut masalah negara, kenapakah ulama dan mufti kita hari ini kebanyakannya berdiam diri?

Berapa lama lagikah harus kita menunggu untuk golongan-golongan ini yang akan menunjukkan kepimpinan seperti Almarhum Nik Aziz muncul?

Hanya ulama dan mufti-mufti sahajalah yang bolih memberi jawapannya.

Saranan ini juga ditujukan kepada ulama-ulama dari parti pembangkang yang ingin memperjuangkan hak rakyat dan menentang kemungkaran.

Nasihatilah kerajaan seperti yang di janjikan. Itu pun kalau mereka masih mahu bangkit sedar dan peka rintihan serta derita rakyat hari ini.

Hanya pada Allah kita berdoa dan berserah.

Komersilkan Ketum – Hasrat RISDA, Kerajaan Terengganu DiTolak KDN


Hasrat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan kerajaan negeri Terengganu untuk membenarkan pekebun kecil menanam ketum,  ditolak.

Biarpun mungkin keuntungan  daripada jualan ketum boleh mencecah RM22,800 sebulan untuk satu hektar tanaman, penanaman itu dilihat lebih memudaratkan daripada kebaikannya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia diputuskan selepas pihaknya mendengar taklimat daripada RISDA berkenaan cadangan berkenaan dari segi kebaikan dan keburukan hasil daripada penanaman pokok itu.

"Kita dapati keburukan atau kesan negatif daripada penanaman ketum adalah lebih besar daripada faedah dan jika diteruskan ia akan membawa lebih banyak kesan sosial dan implikasi buruk kepada masyarakat.


"Berikutan itu, kementerian memutuskan untuk tidak menerima cadangan RISDA walaupun penanamannya dikatakan untuk tujuan eksport, boleh membawa keutungan dan memberi tambahan pendapatan kepada pekebun kecil," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada RISDA berkenaan ketum di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini.
   
Beliau berkata, ia turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan. 
       
"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak.

"Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima, hari ini.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.
    
Dr Ahmad Zahid (kiri)menegaskan kerajaan bertegas akan mengambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum untuk tujuan komersial.  
   
Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM.

Kelmarin, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) membantah cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk mengkomersialkan ketum memandangkan tanaman itu berisiko mendatangkan kemudaratan yang sama seperti bahaya dadah.
  
Setiausaha Agungnya,  berkata, semua sedia maklum bahawa penggunaan daun ketum lebih banyak memberi kesan negatif dan kemudaratan berbanding manfaat yang diperoleh.

Oleh itu, pihaknya mencadangkan agar pihak berkenaan, terutama Kementerian Kesihatan mengkaji dengan teliti bagi membolehkannya diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Pemimpin pembangkang Terengganu turut minta cadangan penanaman ketum di negeri ini dikaji sebelum pelaksanaan dibuat kerana dikhuatiri ia memberi kesan khusus kepada penyalahgunaannya di negeri ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana penyalahgunaan ketum di Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara asing sebagaimana penyalahgunaan dadah.
  
Menurutnya, kerajaan perlu teliti dan mengkaji secara menyeluruh supaya tindakan dibuat mendatangkan manfaat serta tidak memberi keburukan kepada rakyat sendiri.

Beliau mengulas kenyataan bahawa kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atau agensi kerajaan yang ingin membantu meningkatkan sektor pertanian di negeri ini, termasuk penanaman pokok ketum sekiranya ia dibenarkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan)berkata, sekiranya penanaman pokok ketum itu dibenarkan dan terbukti memberi manfaat bagi bidang perubatan dan farmaseutikal, kerajaan negeri juga bersedia untuk bekerjasama.

Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan penanaman tanaman itu di negeri ini turut khuatir ia menggalakkan lebih banyak penyalahgunaan bahan terlarang dalam masyarakat.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Hishammuddin Abd Karim meminta kerajaan tidak memikirkan soal keuntungan sebaliknya memikirkan mudarat yang mungkin berlaku.

Jelasnya, penanaman secara meluas turut menjadi sesuatu yang membimbangkan dan dikhuatiri boleh meningkatkan kepada statistik penyalahgunaan bahan terlarang di negeri ini.

Sementara itu Ismail Sabri menjelaskan, keputusan kementeriannya itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan negeri termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang jelas menolak cadangan itu, katanya.

Isu ketum memuncak apabila Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan berkata, pihaknya akan mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.

Beliau berkata, usaha menambah pendapatan pekebun kecil akan diteruskan dengan memperbanyak tanaman sampingan di kebun seperti cili dan cendawan selain memperkasakan program-program keusahawanan sedia ada.

"Jadi, saya harap isu ini dihentikan kerana RISDA tidak akan terlibat dengan program tanaman ketum untuk penambahan pendapatan pekebun," katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah RISDA Mohd Najib A Samad.

Wednesday, August 3, 2016

ADUN Tidak Gembira, Bimbang - Ahmad Rasif Persoal Alasan Ghazali


"Tidak timbul berpihak ... kita UMNO... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan UMNO kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu."
- ADUN Ajil, Ghazali Taib 

Atas alasan apa  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil,  Ghazali Taib membuat kenyataan majoriti wakil rakyat tidak gembira?

Juga apa alasannya majoriti ADUN Terengganu bimbang dengan suasana politik ketika ini?

Sedangkan Ahmad Razif Abdul Rahman tidak melihat ada apa-apa masalah dalam konteks suasana politik politik Terengganu ketika ini. Senario politik baik sahaja!

Kerana itu beliau tegas dengan pendiriannya sebagai Menteri Besar dan tidak memandang serius tentang kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut di Terengganu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata beliau tidak pasti alasan di sebalik kenyataan  Ghazali bahawa majoriti wakil rakyat di negeri ini tidak gembira dan bimbang dengan kebimbangan politik yang mereka hadapi.

Ghazali, yang tidak mahu tindakan disiplin dikenakan terhadap ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, telah menyatakan bahawa kebimbangan itu telah mewujudkan kekeliruan dan senario politik yang tidak stabil.


Semalam, Ahmad Razif berkata Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap Ahmad Said yang didapati lantang menkritik kepimpinan UMNO negeri sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang kini Pengerusi badan berkenaan berkata, ia bagi memastikan setiap anggota parti yang didapati melanggar disiplin dikenakan tindakan tanpa mengira status dan jawatan beliau di dalam parti.

"Kita akan ambil tindakan berasaskan disiplin parti, kalau sesiapa bersalah kita akan ambil tindakan kalau kata saya sendiri bersalah perlu diambil tindakan. Kalau dipecat, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin UMNO, kalau dia bersalah, bersalahlah. Kita di peringkat Badan Perhubungan (UMNO Negeri) akan menghantar laporan ke peringkat tertinggi untuk diambil tindakan.

"Ini adalah asas yang perlu didokong oleh parti yang mempunyai prinsip (seperti Umno)," katanya.

Ahmad Razif mengulas mengenai desakan beliau kepada Majlis Tertinggi UMNO supaya memecat Ahmad berikutan tindakannya itu.

Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, hari ini,  Ahmad Razif memberitahu pemberita bahawa senario politik di negeri ini adalah baik.

"Sebarang isu atau keputusan masa depan akan dibawa dalam mesyuarat kami," katanya selepas mesyuarat EXCO di Kuala Terengganu, hari ini.

Mesyuarat exco hari ini  telah dihadiri oleh Ahmad Razif dan semua sembilan anggota EXCO.

Ghazali pula, ditanya mengenai kenyataannya dalam laporan akhbar hari ini yang menegur pentadbiran negeri pimpinan Ahmad Razif, , berkata ia bertujuan memastikan rakyat merasa keberkesanan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

"Sebagai wakil rakyat yang mendengar suara rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan hasrat rakyat supaya negeri Terengganu, kerajaan negeri Terengganu disegani dan dihormati.

"Teguran dan nasihat kerana ini kerajaan rakyat, jadi rakyat memerlukan yang sempurna bagi perkhidmatan yang terbaik. Kalau saya tak sampaikan bermakna saya telahpun tidak melakukan amanah rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermaksud beliau tidak percaya kepada kepimpinan sedia ada, Ghazali berkata: "Tidak! Sekarang ini setiap manusia ada kesilapan ada kelemahan bukan kita sempurna, ada masa kita melihat sesuatu itu secara positif, jika ada yang tak betul maka kita perbetulkan, yang tak elok kita elokkan, yang penting rakyat merasa nikmat perkhidmatan yang terbaik yang kita bagi".

Diminta mengulas sama ada tindakannya itu seolah-olah memihak kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, beliau berkata isu itu tidak timbul kerana teguran dilakukan untuk kebaikan UMNO.

"Tidak timbul berpihak ... kita UMNO... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan UMNO kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu dan kita tak mahu ada rakyat yang rasa kesal mengundi kita kerana kita tak bagi perkhidmatan," katanya.

Apabila ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil ke atas Ghazali, Ahmad Razif berkata, UMNO negeri juga akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti yang lebih tinggi untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

Sebelum ini Badan Perhubungan Umno pernah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti terhadap beberapa individu yang didapati berpaling tadah pada pilihan raya sebelum ini dan juga pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negeri ini.

"Ini tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Jika kita tidak berani ambil tindakan ia akan jadi berat sebelah dan ini akan menyebabkan kepercayaan anggota Umno yang lain akan tergugat, yang ini kita perlu perkasakan," kata Ahmad Razif.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menggugat sokongan anggota parti terhadap beliau, Ahmad Razif berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan situasi itu kerana apa yang penting adalah memastikan disiplin dan peraturan parti dilaksanakan dengan sebaiknya.


"Kalau kita (parti) berani ambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti, itu bagi saya adalah satu kekuatan dan ini menunjukkan UMNO kini semakin kuat sebenarnya," tegas Ahmad Razif.

Mengenai pendiriannya, Ghazali menafikan desas-desus yang tersebar kononnya beliau akan keluar UMNO.

Baginya beliau akan setia menjunjung amanat parti itu dan mempertahankan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada, saya orang Umno... takkan saya nak keluar parti. UUMN akan saya junjung, presiden akan saya pertahankan," katanya hari ini.

Tuesday, August 2, 2016

Gagasan Bantah Komersialkan Ketum, Banyak Kesan Negatif


“Cadangan pelik, kita bimbang jika dapat kelulusan kerajaan nanti, penggunaan daun ketum secara tidak terkawal akan memberi lebih banyak kesan negatif, sekali gus merosakkan masa depan para pelajar dan golongan muda di negara ini" 
– Syed Anuar Syed Mohamad

Syed Annuar...pelik
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) membantah cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk mengkomersialkan ketum memandangkan tanaman itu berisiko mendatangkan kemudaratan yang sama seperti bahaya dadah.
  
Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, semua sedia maklum bahawa penggunaan daun ketum lebih banyak memberi kesan negatif dan kemudaratan berbanding manfaat yang diperoleh.

Oleh itu, pihaknya mencadangkan agar pihak berkenaan, terutama Kementerian Kesihatan mengkaji dengan teliti bagi membolehkannya diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

"Kita (Gagasan) tetap tidak bersetuju dengan pandangan pihak RISDA mengenai perkara ini kerana ketum tidak beri banyak manfaat dan kebaikan pun.

"Malah kita juga tahu ketum diletakkan di bawah Akta Racun 52 iaitu sebagai bahan kawalan. Jadi, adalah satu kesalahan apabila menggunakannya, banyak sangat negatifnya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Risda agar pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum untuk dieksport ke luar negara bagi membantu meningkatkan pendapatan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap getah.

Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan kerajaan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

30 Julai lalu di Kuala Terengganu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RISDA akan membentangkan laporan berhubung cadangan mengkomersialkan tanaman ketum oleh pekebun kecil bagi tujuan eksport ke luar negara esok.

Laporan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet oleh Ketua Pengarah Risda, Mohd. Najib A Samad.

Menurutnya,setakat ini pihaknya tiada perancangan bagi mengkomersialkan tanaman itu, bagaimanapun laporan Risda akan diteliti terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat perbincangan.

"Memang kita tiada agenda untuk menjadikan tanaman ini sebagai tanaman komersial, namun, untuk berlaku adil kepada RISDA, maka, saya akan teliti laporan dan kemudian bincangkan.

"Di pihak kementerian saya sudah beritahu apa pun yang kita nak buat tidak boleh melanggar undang-undang, kalau ketum diharamkan di bawah akta maka kita tidak boleh menjadikannya sebagai tanaman untuk menambahkan pendapatan kerana akan menggalakkan lebih ramai lagi orang melanggar undang-undang, nanti ada orang tanam popi dan macam-macam lagi susah," katanya.

Kelmarin, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut berharap kerajaan tidak meluluskan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang ingin melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar untuk dieksport ke luar negara.

Pemangku Ketua Pengarahnya Datuk Azizan Ariffin berkata cadangan itu dilihat boleh membantutkan usaha memastikan Malaysia bebas dadah menjelang tahun 2020.

Beliau berkata AADK sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan RISDA itu kerana ia mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada keuntungan yang bakal diperoleh kelak.

"Kos untuk pemulihan penagih sangat tinggi...sebagai contoh, setiap hari sejumlah RM33,200 diperlukan bagi menampung kos makanan bagi 4,000 penagih yang ada di pusat pemulihan seluruh negara.

"Kalau sebulan, sejumlah RM996,000 diperlukan dan kos itu dilihat akan meningkat dengan lebih mendadak sekiranya lebih ramai yang terlibat dalam penagihan ketum," katanya Kubang Pasu,  Ahad.

Bagi Syed Anuar Kementerian Kesihatan perlu membuat kajian terperinci sebelum bersetuju dengan pandangan untuk mengkomersialkan daun ketum tersebut.

"Cadangan itu pelik, kita bimbang jika dapat kelulusan kerajaan nanti, penggunaan daun ketum secara tidak terkawal akan memberi lebih banyak kesan negatif, sekali gus merosakkan masa depan para pelajar dan golongan muda di negara ini," katanya.

Kementerian Kesihatan pada 29 Julai menyatakan pendiriannya bahawa ia tidak bersetuju dengan cadangan RISDA itu  supaya kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan mereka. 

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu berpandangan ketum mempunyai ciri-ciri seperti ganja dan heroin yang boleh mendatangkan kesan negatif. 

"Kita tidak sokong apa yang dicadangkan oleh RISDA agar ketum ditanam untuk tujuan perubatan walaupun mendapat permintaan tinggi dari beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah," katanya. 

Monday, August 1, 2016

Olahragawan Melaka, Olahragawati Terengganu Terbaik SUKMA Ke-18


Pelari Melaka Khairul Hafiz Jantan (kanan) dan atlet memanah Terengganu, Nur Aqilah Yusof.
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII yang melabuhkan tirainya dalam majlis penuh gilang gemilang di Stadium Sarawak malam Ahad ini menjadi saksi kehebatan pelari pecut sensasi dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan yang dinobatkan sebagai atlet terbaik lelaki, manakala pemanah daripada kontinjen Terengganu, Nur Aqilah Yusof pula atlet terbaik wanita. 

Perkembangan yang paling mencuri tumpuan ramai pada temasya kali ini pastinya terarah kepada kejayaan Khairul Hafiz, yang memperbaharui satu rekod kebangsaan di samping mencipta empat rekod SUKMA.

Beliau berjaya memadam rekod kebangsaan seusia dirinya dalam acara 100m iaitu 10.30s milik Watson Nyambek dengan catatan 10.18s sekali gus juga rekod Sukma dalam acara itu, selain mencipta rekod Sukma dalam acara 200m, 4x100m dan 4x400m.

Nur Aqilah yang berjaya meraih tiga pingat emas dan dua gangsa pada temasya kali ini, memperbaharui rekod kebangsaan 328 mata milik Mon Redee Sut Txi dalam acara 70m recurve wanita yang dilakukan pada Sukan SEA Vietnam pada 2003 dengan catatan baharu 331 mata, sekali gus rekod baharu SUKMA.

Beliau turut mencipta satu lagi rekod SUKMA  dalam acara recurve 60m wanita. 

Dr Ahmad Zahid  (dua, kiri) menyaksikan penyerahan bendera Sukan Malaysia (Sukma) oleh Adenan Satem (kiri) kepada Dr. Zambry (dua, kanan) pada majlis penutup Sukma ke-18 di Stadium Sarawak malam Ahad. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan).
Kontinjen Selangor pula diumumkan sebagai juara keseluruhan temasya SUKMA kali ini selepas berjaya mengumpul 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Ini merupakan kali kesembilan kontinjen Selangor merangkul gelaran juara SUKMA, kejuaraan sebelum ini dilakar pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013.

Stadium Sarawak dibuka seawal pukul 5 petang semalam,  dengan orang ramai yang datang berbaris panjang untuk mengambil tiket masuk yang juga tertera nombor cabutan bertuah, di pintu masuk stadium.

Beberapa artis terkenal tempatan kemudiannya mengambil giliran menghiburkan penonton dengan persembahan pentas sementara menunggu ketibaan tetamu kehormat.

Atlet Selangor gembira bersama piala kejohanan setelah muncul juara keseluruhan.
 
Anggota kontinjen negeri yang semuanya berjumlah hampir 6,000 atlet dan pegawai, mula memasuki stadium pada pukul 8 malam dengan diiringi dentuman dan 
kilauan cahaya bunga api menyinari ruang angkasa stadium.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mula masuk ke stadium kira-kira sejam kemudian dengan diiringi Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Selepas ucapan penutupan oleh timbalan perdana menteri, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada atlet terbaik kejohanan, Khairul Hafiz dan Nur Aqilah.

Selepas bendera SUKMA diturunkan dan diserah kepada wakil dari Perak selaku tuan rumah SUKMA 2018, majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan dari Perak, sebagai acara tradisi secara simboliknya mengalu-alukan ketibaan temasya dwitahunan itu di negeri berkenaan.


Majlis berakhir dengan pertunjukan bunga api selama beberapa minit sebelum semua tetamu kehormat beredar meninggalkan majlis. 

Sunday, July 31, 2016

UMNO Mahu Pecat Saya? Saya Pasrah, Kata Mad Said


Kepimpinan tertinggi UMNO enggan atau tidak berani memecat Mad Said  daripada parti  itu?

Mereka bimbang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi 16-16 atau kemungkinannya lebih teruk?

Jangan lupa, ada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Datuk Seri Ahmad Said (Mad Said). Jika beliau dipecat UMNO mungkin tergugat.

Apa akan jadi jika sedemikian?

Itulah hakikat yang dibimbangi oleh Majlis Tertinggi UMNO. Mahu tidak mahu mereka terpaksa ‘bersabar dengan kerenah Mad Said’.

Tetapi bagaimana dengan pemimpi UMNO Terengganu, mereka boleh sabar?

Cerita Mad Said 'buat kerenah' di Terengganu sudah berbulan-bulan. Tetapi Majlis Tertinggi bagaikan tutup mata sebelah.

Semalam bekas menteri besar Terengganu itu mengatakan beliau  pasrah jika dipecat daripada  UMNO ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan negeri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Ujar Mad Said, beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk memutuskan kedudukan keanggotaannya dalam parti itu selepas wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat.

Beliau yang merupakan ketua UMNO Kemaman berkata, sekiranya Majlis Tertinggi ingin memecatnya dari parti, beliau akan akur dengan apa juga keputusan yang akan dimuktamadkan nanti, memetik laporan SinarHarian.

Bagaimanapun, pemecatannya, jika berlaku akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi parti berkenaan dalam DUN Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.

“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan dalam DUN,

“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah pihak,” jelasnya yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kijal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah projek 30 unit rumah kedai UMNO Bahagian Kemaman yang bernilai RM45 juta yang dibangunkan dengan kerjasama Rayhar Properties Sdn Bhd (Rayhar) di Kampung Dusun Nyior, semalam.

Dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin, ada segelintir pihak yang juga ahli UMNO menggesa pucuk pimpinan UMNO memecat segera Mad Said ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan membuat usul undi tidak percaya pada sidang DUN yang lalu.

Baru-baru ini, Mad Said menolak pelantikan jawatan sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diumumkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Rombakan dan penstrukturan semula yang diumumkan Ahmad Razif selepas mesyuarat exco negeri semalam melibatkan pertambahan dan pertukaran tugas dalam usaha memantapkan pentadbiran negeri.

"Saya rasa sekarang ini saya lebih berminat bekerja secara sukarela daripada dibayar gaji sebab saya dah berpencen," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) di Kuala Terengganu.

Apakah Mad Said akan melakukan 'sesuatu yang mengejutkan' dalam sehari dua ini selepas beliau kini kukuh dengan jawatan barunya itu?

Terengganu, JDT Tumbang, Kelantan, T-Team, Pahang, Felda, NS, PDRM Ceria

Pemain Terengganu, Bogdan Milic (kiri) berjaya menanduk bola menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syed Adney Syed Hussein untuk gol pertama pasukannya.
Terengganu kalah lagi di tempat sendiri 1-2 kepada Negeri Sembilan malam tadi, sementara pada Jumaat malam, T-Team menewaskan Sarawak di Kuching dengan jaringan 2-0.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pasukan tuan rumah, Terengganu dikecewakan di laman sendiri dengan dua jaringan Negeri Sembilan oleh Goran Jerkovic menerusi sepakan penalti pada minit 72 dan tujuh minit kemudian Muhd Afiq Azmi mengesahkan kemenangan pasukan.

Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit 23 oleh pemain import mereka Bogdan Milic dan kekalahan itu menyaksikan Terengganu jatuh di kedudukan terakhir kumpulan dengan tiga mata.

Negeri Sembilan menduduki tempat kedua kumpulan D berkongsi enam mata dengan pendahulu carta, FELDA United melalui perbezaan jaringan.

Blazhe Ilijoski meraikan jaringan gol penalti bersama rakan pasukan. 
Di Kota Bharu, jaringan tunggal pasukan Kelantan menerusi sepakan penalti pemain import, Blazhe Ilijoski meletakkan pasukan itu mendahului kumpulan B saingan Piala Malaysia 2016 pada perlawanan malam tadi.

Ilijoski menjaringkan gol sepakan penalti itu pada minit ke-50 selepas rakan sepasukannya, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria dikasari oleh pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam kawasan kotak penalti di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Kota Bharu.

Kelantan mendahului carta kumpulan dengan tujuh mata manakala Selangor di tangga kedua dengan empat mata selepas tewas kepada Pahang 0-1 hasil jaringan Matthew Thomas Davies pada minit 31 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah akhirnya berjaya meraih tiga mata berharga selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor dalam saingan Kumpulan B.

Skuad kendalian Razip Ismail itu melakar gol pembukaan menerusi kapten pasukan Matthew Davies selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan R.Dinesh pada m-31.
Pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri (tengah) diasak pemain Pahang, Faysal Shayesteh (dua, dari kanan). 
Kedudukan kekal dengan Pahang mendahului lawan satu gol tanpa balas hingga tamat separuh babak pertama permainan.

Bersambung babak kedua tuan rumah memiliki banyak peluang keemasan hasil cubaan R Kogileswaran pada m-68 tetapi tepat ke dakapan ke penjaga gol lawan Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Empat minit kemudian rembatan pemain import tuan rumah Faysal Shayesteh berjaya ditepis Khairul Azhan dan tertampan kembali ke arah Faysal tetapi tinggi melepasi gawang.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil Mohd Zohri Tajuddin dan kemenangan pertama dalam saingan kumpulan  memberikan sedikit kelegaan selepas mengalami dua kekalahan sebelum ini.

Pemain  PKNS FC, Juan Manuel Cobelli (dua dari kanan) cuba melepasi asakan pemain PDRM, Muhammad Safuwan Baharuddin (kanan) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. 
Kumpulan C pula menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal mendahului carta dengan tujuh mata selepas menang 2-1 menewaskan PKNS FC yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

Dalam perlawanan itu, PKNS FC terlebih dulu menjaringkan gol seawal minit ke-10 menerusi Matias Nicolas Hadwa dan PDRM menyamakan kedudukan menerusi jaringan Guilherme De Paula Lucrecio pada minit 26 kemudian Guilherme bertindak cemerlang mengesahkan kemenangan PDRM pada minit 68.

Mengekori rapat dalam kumpulan C adalah pasukan Perak yang  terus cemerlang dalam kempen TM Piala Malaysia 2016 apabila membenam JDT, 3-0 di Ipoh.

‎Kedua-dua pasukan bermula garang dalam usaha membuka jaringan, namun seawal minit pertama, JDT hampir mengejutkan tuan rumah apabila pemain lincah, S.Chanturu berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak, namun rembatannya tinggi melewati palang gol.

Tersentak dengan asakan berkenaan, kesebelasan Perak bangkit mengatur serangan ke gawang pelawat.

Minit ke-11, sekali lagi Perak  berpeluang membuka jaringan, namun sepakan percuma penyerang import, Xhevahir Sukaj berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Sukaj ahkirnya berjaya memecah kebuntuan apabila meledak jaringan pembukaan pada minit ke-15 apabila berjaya memanfaatkan lorongan cantik rakan sepasukan dengan merembat deras menewaskan Farizal.

Minit ke-24, JDT pula berpeluang menyamakan kedudukan, namun rembatan Chanturu berjaua diselamatkan penjaga gol skuad Seladang itu, Muhammad Hafizul Hakim.
Stadium Perak sekali lagi gamat apabila pemain lincah Mohd Fazli Kadri meledak gol kedua  pada minit ke-42.

Jaringan berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Perak bagi menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Perak semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemainnya, S Chanturu dilayangkan kad merah pada minit ke-60.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya kesebelasan Perak dan hasilnya, Mohd Fazrul Hazli meledak gol ketiga skuad The Bos Gaurus itu pada minit ke-65 setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT.

Gol ketiga berkenaan semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk terus mengasak ke gawang lawan bagi menambah jaringan.

S Chanthuru dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Perak, Thiago Junior Aquido (kanan). 
Pada Jumaat  malam,  skuad Bujang Senang tidak menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri apabila tewas kepada pasukan T-Team 0-2 di Stadium Negeri, Kuching. 

Selepas terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, skuad bimbingan Rahmad Darmawan melalui pemain import dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz akhirnya menjaringkan kedua-dua gol bermakna itu pada minit ke-69 dan masa tambahan. 

T-Team yang pada awalnya berada pada kedudukan terakhir Kumpulan A, naik ke tangga kedua dengan pungutan empat mata selepas tiga berlawanan, diikuti JDT II (tiga mata) dan Sarawak (satu mata).

Pemain Sarawak, Mohd Sharol Saperi terduduk selepas diasak.
Felda United pula kekal di kedudukan teratas Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia selepas menang tipis 1-0 ke atas Melaka United.


Pada perlawanan sengit di Stadium Hang Jebat, Melaka, Felda United dilihat lebih banyak menguasai permainan dan melancarkan serangan bertali arus sehingga memaksa Melaka United bertahan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.

Pasukan The Fighters melalui kapten pasukannya, Shukor Adan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-87.

Melaka United berada di kedudukan tercorot selepas tiga perlawanan malam ini dengan berkongsi tiga mata dengan pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan.

Naib juara, Kedah masih kekal di tangga teratas carta Kumpulan A dengan pungutan tujuh mata terkumpul selepas seri tanpa sebarang jaringan dengan Johor Darul Ta'azim II di Stadium Darul Aman, Kedah.