Saturday, September 24, 2011

Terengganu, T'Team Mampu ke Separuh Akhir Piala Malaysia

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yakin pasukan Terengganu dan T-Team mampu melangkah ke separuh akhir dalam saingan Piala Malaysia musim ini berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan kedua-dua pasukan ketika ini.

Menurutnya, walaupun kedua-dua pasukan mungkin akan bertembung sesama sendiri sekiranya layak ke peringkat itu, namun ia tidak menjadi soal kerana pencapaian tersebut masih boleh dianggap sebagai yang terbaik untuk Terengganu dalam arena bola sepak negara.

Malam ini Terengganu berdepan Selangor PKNS di Kelana Jaya dan T-Team menunggu Kuala Lumpur di Kuala Terengganu.

Berikutan itu, beliau mahu jurulatih pasukan Terengganu dan T-Team bertindak lebih tegas terutamanya terhadap pemain yang dikenakan kad merah akibat disengajakan.

“Jurulatih seharusnya lebih serius dan tidak mengambil sikap `lepas tangan’ apabila anak buah mereka bermain di bawah tahap permainan sebenar.

“Kadang-kadang saya tengok, ada jurulatih boleh senyum seolah-olah tak ada apa berlaku apabila pemain mereka buat kesalahan yang tidak sepatutnya.

“Kita boleh terima sekiranya pemain bermain berhabis-habisan tetapi kalah, jika begitu keadaannya kita berpuas hati dan mungkin kita kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata, jurulatih tempatan sememangnya bernasib baik kerana kebanyakan penguru-san bola sepak di negara ini masih boleh berkompromi walaupun prestasi mereka kadang-kadang mengecewakan, jika mereka jadi jurulatih di negara luar, mesti sudah lama dipecat.

Sebelum ini, Menteri Besar mahu persatuan bola sepak di negeri ini mengambil tindakan tegas terhadap pemain bola sepak yang dilayangkan kad merah dalam satu-satu perlawanan.

Katanya, hukuman tegas seperti memotong gaji dan bonus mereka bertujuan memastikan setiap pemain memberi komitmen tinggi kepada pasukan dan tidak menjejaskan semangat juang rakan sepasukan lain.

Bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi meneliti serta menjalankan siasa-tan ke atas pemain yang `dihadiahkan’ kad merah dalam setiap perlawanan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut gusar dengan prestasi tidak menentu dan luar jangkaan yang ditunjukkan pemain Terengganu dan T-Team dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Saya nampak kadang-kadang kedua-dua pasukan ini seolah-olah bermain sambil lewa dan tidak bersunguh-sungguh.

“Dulu pun saya pernah bagi amaran supaya mereka ini (pemain) lebih serius tetapi perkara sama masih berlaku dan saya masih tidak tahu apa puncanya,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kuala Terengganu, Rabu (21 Sept 2011).

Terengganu Incorprated Dijangka Melakar Lebih Banyak Kejayaan

Terengganu Incorporated (TI) kini mempunyai bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Chendering dan dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini.

Bangunan asal milik Syarikat Ladang Rakyat ini dibeli dengan harga RM9.5 juta untuk dijadikan pusat pentadbiran dan operasi yang menempatkan 26 kakitangan pelbagai jawatan.

“Sebelum ini TI menumpang di bangunan SEDC kemudian berpindah ke kuanters kerajaan Batu Buruk dan sekarang baru dapat bangunan sendiri yang selesa,” kata Menteri Besar pada sidang media di Chendering Khamis (22 Sep 2011).

Katanya, selaku syarikat induk kepada 32 syarikat anak kerajaan negeri , TI perlu ada bangunan sendiri yang selesa sebagai pusat pentadbirannya.

Sehubungan itu, Datuk Seri Ahmad berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan pelaburan dan tumpuan diberi kepada projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat.

“Setakat ini dua syarikat iaitu Permint Sutera Semai dan Hubungan Raya telah ditutup dan yang terbaru GP Door yang mengalami kerugian berterusan walaupun setelah pemulihan dibuat,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak sanggup menanggung beban berpanjangan dan terpaksa menutup mana-mana syarikat tidak boleh membuat keuntungan.

"Kajian menyeluruh akan dibuat bagi mengesan pemasalahan yang dihadapi dan mencari punca kenapa sesebuah syarikat itu tidak boleh membuat untung sedangkan projek berjalan seperti biasa,” katanya.

Program Pemuliharan Terumbu Karang Dapat Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Program AkuJanji iaitu program memulihara pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di Pulau Bidong, Terengganu Khamis mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata program anjuran Malaysian Coral Reef Conservation Society (Coral Malaysia) itu mendapat kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) itu adalah sempena kempen "1Malaysia Green, 1Malaysia Clean" di bawah program 'Hari Pemulihan Alam Sedunia 2011', kata Abdul Rahin kepada pemberita selepas menandatangani Akujanji pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di dasar laut di Pulau Bidong dekat Kuala Terengganu.

Turut hadir ialah wakil Malaysia Book of Records Zulhairi Md Zin.

Akujanji itu ditandatangani oleh empat orang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Naib Canselor UMT, Datuk Dr Aziz Deraman, Duta Coral Malaysia, Fauziah Latiff dan Presiden Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar (gambar kiri).

Abdul Rahin berkata Akujanji itu dibuat bagi memastikan tumbuhan di darat dan di dalam air Pulau Bidong dijaga dengan baik.

"Peruntukan UMT terhadap program ini merupakan satu usaha murni untuk menjaga kawasan ini dengan baik dan memastikan pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di dasar laut," katanya.

Sementara itu, Aziz berkata UMT bersedia untuk memberi kerjasama dalam menjaga pulau itu kerana ia boleh dijadikan lokasi untuk melatih pelajarnya membuat penyelidikan laut.

"Pulau Bidong ini kerapkali digunakan oleh UMT untuk membuat penyelidikan seperti pemuliharaan terumbu karang, haiwan laut, pasang surut ombak, tenaga solar dan tenaga angin," katanya.

Beliau berkata kewujudan kapal RV Discovery milik UMT tidak lama lagi juga akan memudahkan operasi penyelidikan dilakukan dalam kapal atau di pulau itu, katanya.

UMNO Tidak Tolak Hudud Kerana Ia Hukum Syarak

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan UMNO tidak pernah menolak hudud kerana ia sebahagian daripada hukum syarak, tetapi berpendapat pelaksanaannya masih belum sesuai.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, penjelasan dan pemahaman mendalam mengenai hukum Hudud perlu diperluaskan kepada masyarakat Malaysia terlebih dulu sebelum ia dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

"Ini adalah pendirian kita sejak dulu. Sebagai seorang Islam, kita tidak menolak hukum Hudud kerana ia jelas adalah hukum syarak tetapi dari segi pelaksanaannya, saya percaya ia belum sampai masanya untuk dilaksanakan.

"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, jadi pemahaman (mengenai hukum Hudud) perlu diperluaskan sebelum sampai ke peringkat untuk kita memikirkan untuk melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Bekalan dan Harga kali ketiga di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan bertegas meneruskan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu walaupun Kelantan dikatakan berada dalam keadaan tidak kondusif bagi melaksanakan undang-undang berkenaan.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini juga menyatakan Kelantan tidak boleh melaksanakan hukum hudud kerana keadaan negeri itu tidak kondusif.

Mengenai mesyuarat itu, Muhyiddin berkata, kajian yang mendalam perlu sebelum melaksanakan Jaringan Keselamatan Sosial baru termasuk program Setem Makanan dalam usaha mengurangkan beban golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah.

"Program Setem Makanan adalah antara perkara yang kita sedang fikirkan dalam usaha meringankan beban rakyat kerana kita sedar harga barang agak meningkat. Kita perlu melihat pelbagai aspek seperti sistem pelaksanaannya, implikasi, tanggungan kepada kerajaan dan sebagainya.

"Kita belum putuskan kerana kita juga masih meneliti mekanisma lain supaya beban pengguna dapat dikurangkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan pengeluaran padi negara daripada empat metrik tan sehektar kepada 5.2 metrik tan sehektar menjelang 2015.

Hadi, Zubir Sandaran Irfan Untuk Menang Malam Ini

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti bakal menurunkan penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang PKNS Selangor malam ini selepas pemain itu hanya dimasukkan sebagai pemain simpanan minggu lalu.

"Semua pemain kini berada pada prestasi terbaik dan saya jangkakan perlawanan malam esok (malam ini) pasti sukar memandangkan pasukan lawan juga begitu perlukan kemenangan.

"Saya harap pemain tidak hilang fokus dan mengikut rentak permainan seperti yang dirancang," ujarnya.

Irfan turut menerimna khabar gembira menjelang aksi menentang PKNS Selangor malam ini.

Beliau lega kerana kembali mendapat sentuhan pertahanan berbakat, Zubir Azmi yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan skuad Penyu itu menjulang Piala FA dua bulan lalu.

Pemain tersebut akan disenaraikan dalam skuad utama pada pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

Justeru katanya, kehadiran pemain itu diharap dapat memberi kekuatan seimbang terutamanya di posisi pertahanan kiri dalam misi Terengganu memburu tiga mata berharga, sekali gus mara ke pusingan suku akhir.

"Kami perlu menang perlawanan malam ini kerana hanya dengan mengutip tiga mata dapat menjamin tempat kami ke suku akhir.

"Sesuatu yang menggembirakan apabila kami kembali mendapat khidmat Zubir selepas dia tidak beraksi dalam empat perlawanan awal disebabkan komitmen kepada skuad Olimpik," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Zubir yang beraksi di pertahanan kiri merupakan anggota sku- ad Olimpik yang menjalani latihan di Slovakia di bawah kenda- lian Ong Kim Swee.

Dia yang kini berusia 20 tahun baru menyarung jersi skuad Olimpik yang tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi kelayakan Sukan Olimpik 2012, Rabu lalu.

"Saya mungkin menurunkan Zubir dalam skuad utama bagi menggantikan tempat Ronny (Harun) dan saya berharap dia akan menggunakan segala pengalaman yang dia ada untuk membantu pasukan mencatat kemenangan," tambahnya.

Ketika ini, Terengganu sekadar menduduki tangga kedua Kumpulan B selepas berkongsi sembilan mata dengan Negeri Sembilan. PKNS pula yang beraksi selaku juara Liga Perdana mengekori di tempat ketiga dengan enam mata.

Tubuh Negara Islam: Karpal Terus Bidas Nik Aziz

Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh berkata beliau terkejut dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyatakan DAP boleh memilih untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya membantah rancangan PAS menubuhkan sebuah negara Islam.

"Ia adalah sukar untuk memahami kenapa Nik Aziz memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Saya berpendapat isu berhubung negara Islam telah pun diketepikan dengan resolusi yang diterima pakai pada muktamar PAS yang diadakan tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Karpal menyebut resolusi PAS bahawa parti itu tidak akan meneruskan matlamatnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam di Malaysia sebaliknya berusaha ke arah penubuhan negara kebajikan.

"Adalah sukar untuk memahami kenapa Nik Aziz dalam tempoh yang singkat telah lupa berhubung resolusi itu," katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat tidak bersetuju hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud dan hasrat parti itu menubuhkan negara Islam.

MCA Ugut Akan Keluar BN Jika UMNO Laksana Hudud

MCA akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) jika Umno mahu melaksanakan hukum hudud.
“Pendirian MCA sangat jelas.

Kami akan menentang dengan keras hukum hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, kami akan menarik keluar dari Barisan Nasional... sangat mudah,” kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kepada pemberita semalam.

“Pendirian kami sangat jelas. Umno mahu melaksanakan hudud, MCA bukan pihak dalam hal itu (pelaksanaan). Kami akan keluar,” kata beliau lagi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berhasrat untuk terus melaksanakan hukum Hudud di Kelantan biarpun ditentang rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Dr Chua berkata: “Itu boleh difahami sebab semua Muslim menyokong ajaran al-Quran. Tetapi anda kena lihat kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak bersedia untuk melaksanakan hudud. Dan, itu sangat jelas.”

“PAS mahu melaksanakan hukum hudud, itu adalah dunia yang berbeza,” katanya.

Dr Chua juga berkata beliau mahu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana bertegas mahu melaksanakan hukum hudud.

“Saya mahu mengucapkan beliau terima kasih sebab beliau akan menyedarkan semua rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh ada konsensus dan pendirian yang sama, bahawa itu adalah penting, yang akan memberi kesan ke atas rakyat Malaysia,” katanya lagi.

“Belumpun berkuasa lagi, mereka tidak boleh mencapai agenda yang sangat penting, yang mana PAS berhasrat mahu melaksanakan iaitu hudud,” katanya.

Seramai 13 Anak Terengganu Terima Anugerah Tokoh Kemerdekaan

Seramai 13 anak kelahiran Besut yang berjaya dalam kerjaya masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa telah terpilih menerima Anugerah Tokoh berlangsung hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh berkata mereka dipilih oleh jawatankuasa pemilih khas berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing hingga mengharumkan nama negara dan Terengganu.

Beliau yang juga Penaung Program Semarak Merdeka berkata antara penerima anugerah itu ialah Penasihat Khas (Felda) kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, bekas Ketua Hakim negara, Tun Salleh Abas, bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Rodzali Daud (gambar kanan).

Selain itu, lain-lain penerima termasuklah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Alias Daud, Pengarah Urusan Maswing Holding Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang, Timbalan Pengerusi Paremba, Datuk Hassan Abas dan Ahli Politik Veteran Datuk Abu Bakar Ahmad, katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Turut terpilih ialah Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Mohd Nasir Hamzah, Pengarah bukan Eksekutif Amcorp Properties Berhad Datuk Che Md Nawawi Ismail, pejuang kemerdekaan yang juga seorang bekas polis Jannah Hassan, pemenang tempat ketiga Tilawah Al-Quran Antarabangsa Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi dan penggiat seni Md Saupi Isa yang popular dengan watak Wok Yoh wayang kulit.

Idris berkata mereka akan menerima anugerah tersebut pada perhimpunan Semarak Merdeka di hadapan 15,000 peserta perarakan di Dataran Jerteh Souq bandar Jerteh pada 9 pagi.

Sebagai tanda pengiktirafan, seramai 77 bekas anggota polis yang bertugas semasa zaman darurat yang bertugas sebagai anggota Home Guard (HG) akan turut menerima hadiah pada majlis itu nanti, katanya.

Tingkat Purata Pendapatan Isi Rumah Daripada RM1,500 kepada RM4,000

Kerajaan sedang menimbangkan langkah untuk meningkatan purata pendapatan isu rumah daripada RM1,500 kepada RM4,000 sebulan.

Menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), langkah tersebut perlu segera dilaksanakan bagi mengatasi peningkatan kadar inflasi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah NKRA/NKEA Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan JPM (Pemandu), D. Ravindran dalam sesi perbincangan meja bulat bertemakan “Pertahankan Poket Anda” di Menara Star malam Selasa lalu.

Beliau berkata pendekatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif yang digariskan di Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi mengatasi masalah agihan pendapatan yang tidak sekata dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun.

Perbincangan meja bulat ini adalah anjuran akhbar The Star sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memberi peluang kepada para pembaca bersama-sama memperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka seperti kenaikan kos kehidupan pada masa ini dan sebagainya.

Ahli-ahli panel lain yang turut mengambil bahagian dalam perbincangan ini terdiri daripada Setiausaha Agung Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Valerie Choo, , Pengarah Komunikasi Pemasaran Carrefour (Singapura dan Malaysia) Low Ngai Yuen, Pengarah NKRA/NKEA Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan JPM (Pemandu), D. Ravindran, Pengurus Kanan Pemandu, Phillip See dan Pengarang Eksekutif The Star, Datuk Wong Sai Wan.

Sementara itu, Sai Wan berkata golongan muda lebih gemar bekerja di luar negara kerana gaji yang ditawarkan tidak mencukupi.

“Sektor swasta yang mempunyai tenaga kerja yang ramai perlu mengambil insiatif untuk meningkatkan gaji pekerja mereka,” katanya ketika mengulas mengenai isu penghijrahan golongan profesional di Malaysia.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan usaha untuk mengambil golongan warga tua yang berkebolehan lebih daripada penggantungan terhadap tenaga asing profesional.

Dalam pada itu, Ngai Yuen berkata pasar raya Carrefour mempunyai piawaian struktur gaji yang berbeza antara pekerja asing dan tempatan dalam menangani masalah jurang pendatan pekerja di negara ini.

“Berita baiknya adalah rakyat Malaysia akan mendapat peningkatan gaji berdasarkan kelayakan dan kemahiran mereka.

“Kita tidak mahu melihat perbezaan gaji yang besar antara seorang pengurus kanan dan pekerja yang berpangkat rendah,” katanya.

mStar

Dewan Pemuda PAS Pusat Sokong Penuh Nik Aziz Laksana Hudud

Pada ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beria-ia benar dengan negara kebajikan, Dewan Pemuda PAS pusat semalam menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada keputusan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, apa yang disuarakan oleh Nik Aziz itu memperlihatkan sikap yang konsisten dalam isu pelaksanaan hukum hudud.

"Saya kagum dan menyokong kenyataan Nik Aziz yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokongnya.

"Sebetulnya ini adalah satu istiqamah (ketaatan) yang dituntut keatas semua pemimpin Islam. Maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihanraya telah tiba (bagi mereka yang membesar-besarkan isu ini)," katanya.

Apakah kenyataan ini membayangkan bahawa Hadi tidak konsisten dalam isu hudud ini?

Narudin menyeru supaya perbahasan mengenai pelaksanaan hukum hudud di media massa segera dihentikan.

"Perbahasan mengenai hudud tidak selayaknya di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan.

"Ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan fekah yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun," katanya.

Jelas beliau lagi, perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, mahupun dialog yang dilakukan secara berterusan.

Namun begitu beliau turut mengaitkan kontroversi yang dibangkitkan mengenai pelaksanaan hudud ini ada kena mengena dengan pilihan raya umum.

"Tidak ada petir, tidak ada guruh, tiba - tiba isu pelaksanaan hukum hudud timbul kembali. Pada pandangan saya, apabila timbul isu pelaksanaan hukum hudud maka ia menandakan musim pilihanraya semakin hampir," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.

Lelaki Parah Diseksa Kumpulan Penculik di Besut

Mohd Azufaizal menunjukkan kecederaannya selepas didera sekumpulan lelaki tidak dikenali di Kampung Bukit Mata Gergaji, Besut.

Seorang lelaki diseksa hingga parah selama sejam selepas diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Batang Gergaji, Besut, Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Azufaizal Ab Manah, 28, dari Kampung Buluh, Setiu, putus jari manis kanan, hampir putus telinga kiri, patah tangan kanan dan cedera di muka, tengkuk serta belakang badannya, dipercayai ditetak dan dikelar menggunakan senjata tajam.

Bapa mangsa, Ab Manah Muhammad, 52, berkata kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika anaknya berehat di rumah neneknya di Kampung Buluh, Setiu.

Beliau mendakwa, ketika menonton televisyen, sekumpulan lelaki tidak dikenali datang menculik Mohd Azufaizal dan dibawa ke satu tempat di Kampung Batang Gergaji.

“Anak saya dipukul termasuk ditetak dan dikelar badannya dengan senjata tajam termasuk di muka dan tengkuk serta diugut tidak melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum dihantar orang tidak dikenali ke rumah rakannya di Kampung Tasik, Setiu.

“Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Setiu (HS) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan,” katanya di pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd, di Kuala Terengganu, semalam.

Ab Manah berkata, dia tidak tahu motif kejadian itu tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan rasa tidak puas hati pihak terbabit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Syeksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Katanya, polis menahan tiga lelaki berumur 28, 36, dan 45 tahun untuk membantu siasatan dengan seorang daripada mereka adalah rakan mangsa.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu seorang lagi lelaki berusia 34 tahun yang disyaki suspek utama kejadian itu.

“Siasatan awal polis juga mendapati semua suspek terbabit positif dadah,” katanya.

Kerajaan Negeri Sedia Bincang Bina Bangunan Baru IPK, IPD

Kerajaan Negeri bersedia berbincang dan bekerjasama bagi membina bangunan baru Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekiranya mendapat persetu-juan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tapak baru yang sesuai untuk membina bangunan terbabit sudah dikenal pasti iaitu melibatkan kawasan padang bola dan tempat letak kereta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang berada berhampiran bangunan IPK sedia ada kini.

Menurutnya, bangunan yang beroperasi sejak tahun 1960-an itu perlu dinaik taraf secepat mungkin berdasarkan keperluan mendesak berikutan kepesatan daerah ini serta mahu mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

“Dulu, pihak Kerajaan negeri pernah berbincang dengan Polis Terengganu berhubung perkara ini. Kerajaan negeri bersetuju menyediakan tapak baru pembinaan kompleks itu di tepi kompleks lama dengan keluasan yang hampir sama.

“Selepas siap pembinaan, bangunan lama akan dirobohkan dan tapak asal akan diberi kepada Kerajaan negeri bagi membolehkan pelbagai projek komersil dilakukan di kawasan itu,” katanya.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami tidak mempunyai masalah untuk duduk semeja dan berbincang serta memberi kerjasama bagi memastikan pembinaan bangunan baru itu dapat berjalan dengan lancar.

“Kami akan sentiasa membantu dan memberi sokongan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatan yang bersesuaian dengan perkembangan semasa dunia hari ini,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya PDRM Kontinjen Terengganu di IPK, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa dan timbalannya, Datuk Hamzah Md Jamil.

Kata Dato’ Seri Ahmad, pembangunan berkenaan meliputi pembinaan prasarana baru bertingkat yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota yang akan dikemaskini mengikut kapasiti penduduk.

Tambah beliau, sekiranya perancangan itu dipersetujui oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, kawasan projek komersil itu turut melibatkan pembangunan tapak Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dirancang untuk dirobohkan.

Persidangan ECO Terengganu 23 - 24 November

Kerajaan negeri mengalu-alukan kesediaan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) iaitu T.Best dan EcoKnights mengadakan Persidangan Eco Terengganu 2011 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort &Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 23 hingga 24 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw berkata, pihak penganjur tertarik dengan potensi yang terdapat di negeri ini dalam industri hijau serta keindahan alam semula jadi yang dijaga rapi.

“Seminar yang julung kali diadakan ini dibuka kepada 100 penyertaan terdiri dari ketua-ketua jabatan serta syarikat-syarikat multinasional, bersempena dengan penganjuran kejohanan Piala Monsun tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman petang kelmarin.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang pelabur luar membabitkan diri dalam membangunkan industri hijau serta melatih masyarakat mencintai alam semula jadi dengan mengadakan pelagai aktiviti.

Sementara itu, Presiden EcoKnights, Puan Yasmin Rashid berkata, projek pertama di Pantai Timur ini diharap mendapat sambutan dan mengalu-alukan penyertai daripada semua pihak untuk mengupas lebih dalam mengenai penjagaan alam sekitar.

Terdapat empat kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh ilmuan sepanjang dua hari seminar berlangsung antaranya dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Digi Telecommunications.

Teganukita

Kempen Penyakit Tidak Berjangkit Dipergiat Kepada Pengendali Makanan

Kementerian Kesihatan mempergiatkan kempen kesedaran pada kalangan pengendali makanan mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi bagi menggalakan penyediaan makanan sihat.

Program yang dijalankan di empat zon ini memfokuskan kepada amalan berjalan 10,000 langkah sehari dan mengurangkan pengambilan lemak.

Langkah itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya penuntut universiti agar menjalani kehidupan yang sihat.

Program itu diadakan semalam dan hari ini di UUM bagi Zon Utara. Bagi Zon Tengah di Universiti Kebangsaan pada 8 hingga 9 Okt, Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah pada 14 dan 15 Okt manakala Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu pada 23 dan 24 Okt.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana pengendali makanan memainkan peranan penting dalam memberikan pemakanan yang sihat kepada masyarakat.

"Kita adakan kempen kepada pengendali gerai seperti pengusaha teh tarik, kita mahu mereka kurangkan susu dan gula dalam minuman mereka. Kempen akan dilakukan secara lebih besar untuk mewujudkan kesedaran supaya kadar penyakit tidak berjangkit dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita di Sintok, semalam.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Program Siswa Sihat 1Malaysia di Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata program itu sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit yang dijalankan sejak Disember lepas.

"Elemen makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal merupakan fokus utama dalam pelan itu. Kesedaran tentang perkara ini memang sudah ada cuma amalan saja tidak begitu dibudayakan," katanya.

Katanya Malaysia kini di kedudukan pertama di Asia Tenggara daripada segi obesiti dan keenam di Asia.

"Dari segi penyakit kardiovaskular (jantung dan strok) pada 2010, ia menjadi penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan. Sebanyak 25.4 peratus atau 11,812 kematian disumbangkan oleh penyakit kardiovaskular," katanya.

Rosnah berkata penyakit kardiovaskular juga penyebab utama kematian pramatang di hospital kerajaan.

"Sebanyak 35 peratus kematian akibat penyakit kardiovaskular adalah di kalangan mereka yang berusia kurang daripada 60 tahun," katanya.

SATU - Urusan Terima Aduan Air Didendalikan Swasta

Terengganu menjadi negeri pertama menyerahkan urusan menerima aduan pengguna berhubung masalah bekalan air kepada syarikat swasta bagi memendekkan tempoh yang diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

Melalui kerjasama yang dimeterai, pusat panggilan Talian Aduan Syarikat Air Terengganu (SATU) kini dikendalikan Syarikat VADS Bhd., rakan penyumberan luar pusat panggilan pelanggan terkemuka di negara ini.

Selain menerima panggilan masuk, VADS akan menyalurkan maklumat, pertanyaan atau aduan yang diterima kepada pejabat-pejabat SATU daerah, melakukan panggilan susulan kepada pelanggan serta memaklumkan perkembangan masalah mereka.

Setiap masalah yang dikemukakan berhubung bekalan air di negeri ini dijangka dapat diatasi dalam tempoh sehari atau paling lama tiga hari jika masalah tersebut lebih serius.

Majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran Talian Aduan SATU, antara SATU yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri dan Syarikat VADS Bhd disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu, kelmarin.

SATU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husain Embong (gambar kanan) manakala VADS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ghazali Omar.

Serentak dengan itu juga, Ahmad menyempurnakan pelancaran Talian Aduan Satu 1-300-88-2111 sebagai salah satu lagi usaha memastikan pengguna air di negeri itu mendapat perkhidmatan terbaik.

Bagi mengelakkan masalah kesukaran komunikasi di antara pelanggan, seramai sembilan kakitangan disediakan di pusat panggilan Talian Aduan SATU yang terdiri daripada anak-anak negeri yang lebih memahami loghat, budaya dan kehendak pelanggan di negeri itu.

Husain berkata, walaupun secara fizikalnya pusat pengendalian itu berada di Kuala Lumpur, namun para pelanggan SATU tidak akan menghadapi masalah komunikasi.

"Dalam tempoh enam bulan percubaan menggunakan talian itu mulai November tahun lalu, kami menerima lebih 22,000 aduan melibatkan paip bocor, gangguan bekalan dan akaun bil air dan daripada jumlah itu 95 peratus dapat diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berharap rakyat negeri itu dapat memanfaatkan penggunaan talian aduan dengan bersikap lebih sensitif untuk membantu SATU dengan melaporkan kesulitan mahupun masalah yang dihadapi berkaitan bekalan.

Saya tidak sabar untuk kembali berlumba - Azizu

Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang kini bersedia untuk kembali beraksi dalam acara kegemarannya selepas berehat panjang akibat kecederaan betis kiri.

"Saya sebenarnya memang sudah tidak sabar untuk berlumba sebab sudah lama saya rehat. Bagaimanapun, sekarang ini saya perlu beri tumpuan kepada latihan terlebih dahulu.

"Saya kena tunggu Siri Piala Dunia yang pertama (selepas pulih dari kecederaan) untuk lihat sejauhmana prestasi saya setakat ini," katanya ketika ditemui pada perjumpaan Hari Raya Kayuhan Amal Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, kelmarin.

Mohd Azizulhasni, 23, sebelum ini menjalani rawatan pemulihan selama lima bulan di Institut Sukan Negara (ISN) ekoran kecederaan betis kirinya akibat tertusuk serpihan kayu sepanjang 20cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England pada 19 Feb tahun ini.

Julai lepas, beliau kembali menyambung latihan dengan ketua jurulatih berbasikal kebangsaan John Beasley di Melbourne, Australia.

"Hasil daripada sesi latihan yang konsisten itu, saya rasa prestasi saya bertambah meningkat walaupun tidak secergas dulu. Saya perlu menjalani 'base training' yang agak panjang juga kerana saya memulakan latihan agak lewat daripada rakan-rakan yang lain akibat kecederaan.

"Masa di Australia, saya banyak buat conditioning di gimnasium, buat kayuhan jarak jauh dan kini baru memulakan latihan di trek," kata Olahragawan Kebangsaan 2010 itu.

Sebagai usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012, beliau akan menyertai empat Siri Berbasikal Trek Piala Dunia UCI dan Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2012 di Melbourne, Australia pada 4 hingga 8 April depan.

Keupayaan Mohd Azizulhasni akan mula diuji pada Siri Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Astana, Kazakhstan pada 4 hingga 6 Nov ini diikuti dengan siri yang sama di Cali, Colombia (1-3 Dis), Beijing, China (20-22 Jan) dan London, England (17-19 Feb).

Katanya penyertaan pertama di Astana itu akan digunakan untuk mengenalpasti kekurangan dari segi prestasi dan mutu persembahan.

"Saya tidak letak apa-apa sasaran pada Kejohanan Piala Dunia di Astana. Dari situ, kami (Azizulhasni dan jurulatih) akan perbaiki kekurangan untuk siri Kejohanan Piala Dunia yang berikutnya dan juga Kejohanan Berbasikal Dunia," kata pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu.

Mohd Azizulhasni dan beberapa pelumba elit yang lain kini berada di ibu negara untuk menyertai Kayuhan Amal Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby yang akan berlangsung Sabtu ini di Dataran Putrajaya.

Selain pelumba elit trek dan lebuh raya, kayuhan amal itu turut disertai pelumba pelapis, kelab berbasikal, badan kerajaan, korporat dan individu.

Mereka yang berminat menyertai kayuhan amal itu boleh melayari www.yayasansimedarby.com untuk memuat turun borang penyertaan dan setiap penyertaan dikenakan yuran RM50, yang akan disalurkan kepada Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Peserta boleh memilih jarak kayuhan yang mereka ingin sertai iaitu 3.3km, 7.7km, 38.5km atau 100.5km yang melibatkan laluan di beberapa pekan kecil dalam daerah Sepang, Nilai dan Putrajaya.

Murid Tahun 4 Cuba Redah Api, Selamatkan Buku

Mangsa, Muhammad Zamani Mansor ditenangkan oleh anggota bomba dan penduduk kampung setelah gagal menyelamatkan buku dan pakaian sekolah selepas rumahnya hangus dijilat api.

Ketika api marak membakar sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng di sini semalam, seorang kanak-kanak sanggup membahayakan nyawanya untuk meredah api semata-mata ingin menyelamatkan buku dan pakaian sekolahnya.

Namun tindakan Muhammad Zamani Mansor, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Komplek Gong Badak itu dihalang anggota bomba dan jirannya.

Dia yang kelihatan tidak bermaya ditenangkan anggota bomba wanita yang bertugas ketika itu dan penduduk kampung.

Rumah dua tingkatnya yang dihuni tiga keluarga seramai 11 orang termasuk keluarga Muhammad Zamani musnah dalam dalam kebakaran kira-kira pukul 5 petang dan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri melawat keluarga itu dan menghulurkan sumbangan.

“Api kuat sangat masa hendak ambil buku sekolah. Macam mana hendak pergi sekolah esok sebab buku, baju sudah tiada. Saya takut cikgu marah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut, bapa saudara Muhammad Zamani, yang turut tinggal di rumah sama, Mat Su Ibrahim, 57, memberitahu api bermula dari sebuah bilik di tingkat atas yang disedarinya ketika naik untuk solat Asar.

“Saya terkejut apabila melihat api telah marak di sebuah bilik milik anak saudara yang jarang-jarang digunakan itu. Ketika kejadian, tujuh orang ada di dalam rumah itu namun hanya saya yang berada di tingkat atas.

“Saya segera turun ke tingkat bawah dan minta semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim memberitahu, pihaknya menerima panggilan kebakaran di lokasi kejadian pada pukul 5.08 minit dan tiga buah jentera dengan 18 orang anggota diarahkan ke tempat kejadian.

“Ketika tiba 80 peratus rumah terbabit telah hangus terbakar dan sehingga k

Utusan Malaysia

Kastam Sita Barangan Seludup Bernilai RM591 Ribu

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri menyita pelbagai barang seludup bernilai RM591,000 melibatkan pengelakan cukai hampir RM1.5 juta sejak Januari lalu.
Pengarahnya, Abdullah Zawawi Abd. Latif berkata, hasil rampasan itu juga, 83 kertas siasatan dibuka dan 81 daripadanya telah dikenakan kompaun, manakala dua lagi didakwa di mahkamah.

Katanya, sebahagian besar daripada barangan seludup adalah rokok (55 kes), minuman keras (11) di samping mercun, bunga api, beras, kenderaan dan pakaian.

"Kes-kes yang dikendalikan sememangnya tidak banyak pendakwaan tapi kita akan pastikan bahawa setelah kertas siasatan dibuka, mana-mana kes yang tidak didakwa pasti dikenakan kompaun yang sewajarnya," katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Abdullah memberitahu, daerah Kuala Terengganu dan Dungun merupakan daerah yang paling banyak kes penyeludupan rokok berbanding daerah lain.

"Bagaimanapun, kita tetap memberi perhatian terhadap daerah-daerah lain dalam usaha membanteras apa jua kegiatan penyeludupan," ujar beliau.

Beliau menegaskan, pihaknya akan sentiasa melakukan intipan, pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat ditangani.

Abdullah turut meminta kerjasama daripada orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dan saguhati disediakan jika berjaya menghasilkan kes.

"Orang ramai boleh menghubungi JKDM Terengganu di talian 09-6204257 atau talian bebas tol 1-800-88-8855," katanya.

Thursday, September 22, 2011

"Saya Bukan Perdana Menteri Dah, Pasai Apa Tak Laksanakan Hudud?"

"Negeri lain tidak ada hukum hudud pun, macam mana kita kawal (rakyat). Ini dia tidak kawal, dia tidak ajar agama betul. Kalau kawal betul orang akan tolak perbuatan yang membawa kepada penyakit Aids...ini dia tidak ajar agama, dia ajar politik, tapi dia hendak salahkan saya," - Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri melaksanakannya.

"Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) kot dia nak bagi...ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud," katanya.

Beliau menyatakannya diminta mengulas hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di negeri itu biarpun ditentang oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim semalam.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, dilaporkan pernah berkata individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Dr Mahathir dan bukan pengerusi DAP Karpal Singh.

PAS dan DAP adalah rakan pakatan pembangkang bersama Parti Keadilan Rakyat.

Dr Mahathir turut menempelak kerajaan Kelantan yang disifatkannya sebagai beriya-iya untuk mengamalkan undang-undang Islam tetapi pada masa yang sama gagal mengawal penduduk Kelantan sehingga menjadi negeri paling tinggi mencatat kadar jangkitan HIV untuk tempoh dua tahun sejak 2008.

"Negeri lain tidak ada hukum hudud pun, macam mana kita kawal (rakyat). Ini dia tidak kawal, dia tidak ajar agama betul.

"Kalau kawal betul orang akan tolak perbuatan yang membawa kepada penyakit Aids...ini dia tidak ajar agama, dia ajar politik, tapi dia hendak salahkan saya," kata Dr Mahathir.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata kadar jangkitan HIV bagi tempoh 2008-2009 di Kelantan adalah hampir empat kali ganda berbanding kadar di seluruh negara.

Lagi Anak Terengganu Layak Ke Pertandingan Peringkat Dunia

Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Mohd Aiman Yusof, 22, yang terpilih mewakili negara ke pertandingan Worldskill ke London, United Kingdom pada 5 hingga 8 Oktober depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sumbangan ini adalah untuk menampung perbelanjaan Mohd Aiman sepanjang berada di sana yang sebahagian besarnya telah dibiayai Jawatankuasa Pembangunan, Kementerian Sumber Manusia.

Mohd Aiman yang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu adalah pelajar Diploma Seni Kulinari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dan akan bersaing dengan 1,000 peserta seluruh dunia di pertandingan itu nanti.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Mohd Aiman yang berjaya menewaskan peserta lain dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara dan melayakkan diri ke pertandingan berprestasi tinggi itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Homestay Teluk Ketapang wakili Zon Timur ke Anugerah Ilham Desa


Homestay Teluk Ketapang dipilih untuk mewakili Zon Timur bagi Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung akhir bulan ini.

Pengerusinya, Md. Azmi Abd. Aziz berkata, Homestay Teluk Ketapang adalah antara lima inap desa di seluruh negara yang dinilai bagi anugerah itu.

Ia termasuk sebuah kampung dari Sarawak (projek manik), Sabah (projek ikan bubu laut), Kedah (projek ladang getah) dan Negeri Sembilan (projek baja organik).

Program Homestay Teluk Ketapang dijayakan oleh 31 penduduk di perkampungan yang berhampiran dengan pantai, muara dan pulau-pulau kecil sekitarnya.

Anugerah Ilham Desa diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menghargai kampung-kampung yang mengetengahkan projek melibatkan penduduk secara berkelompok untuk menjana kegiatan ekonomi setempat.

1,268 Tidak Tuntut Wang Zakat Maidam

Seramai 1,268 daripada 32,000 orang yang disenaraikan sebagai penerima zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun ini tidak tampil mengambil wang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman memberitahu, seramai 21 orang pula mengembalikan wang yang diterima dengan kesedaran bahawa mereka tidak lagi berhak menerimanya.

''Perubahan taraf hidup mereka yang semakin baik dan kesedaran masyarakat mungkin menggambarkan keadaan ini.

''Pada tahun lalu kira-kira 3,000 orang menolak pemberian itu kerana merasakan mereka tidak lagi layak dan telah keluar daripada kelompok asnaf," ujarnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu baru-baru ini, beliau memberitahu, Maidam memperuntukkan RM12.7 juta bagi pemberian zakat kepada 32,000 penerima tahun ini.

Menyentuh mengenai pungutan pelbagai jenis zakat, beliau berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah RM80 juta boleh dikumpul sepanjang tahun ini.

''Sepanjang Ramadan lalu, kita menerima RM22.36 juta, pertambahan sebanyak RM3 juta berbanding Ramadan 2010," ujarnya.

Katanya, hasil pungutan zakat digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan kehidupan umat Islam termasuk dalam aspek peningkatan kesejahteraan hidup, menjana ekonomi dan meningkatkan tahap pendidikan.

Beliau menarik perhatian, pihaknya terus berusaha mempelbagaikan kegiatan seiring dengan keperluan dan tuntutan keadaan semasa.

''Segala apa yang kita rancang dan laksanakan akan diumumkan kepada masyarakat untuk membolehkan mereka mengetahui bahawa ke manfaat wang itu," ujarnya.

MAS Guna Dua Pesawat Boeing 747-400 Terbangkan 14,000 Jemaah Haji

Malaysia Airlines (MAS) akan menggunakan dua pesawat Boeing 747-400 dengan kapasiti 447 penumpang untuk menerbangkan 14,000 bakal jemaah haji Malaysia musim ini.

Pengurus Kanan Jabatan Haji dan Penerbangan Sewa Khas MAS Hisham Haron berkata baki 14,000 lagi bakal jemaah akan diterbangkan dengan pesawat Saudi Airlines.

"Penerbangan dari Malaysia ke Mekah iaitu fasa pertama akan bermula dari 29 Sept hingga 30 Okt manakala penerbangan balik ke Malaysia iaitu fasa kedua akan bermula dari 12 Nov hingga 10 Dis," katanya semalam.

Hisham berkata MAS akan melakukan 11 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), lapan dari Pulau Pinang, tujuh dari Kuala Terengganu, enam dari Johor Baharu dan tiga masing-masing dari Kota Kinabalu dan Kuching.

Katanya sepanjang penerbangan ke Tanah Suci, bakal jemaah boleh mengikuti panduan berkaitan ibadah haji seperti panduan ibadat Haji Tamattu', Haji Ifrad, Haji Qiran serta Haji Umrah dan Ziarah.

Hisham berkata tempoh 10 hari sebelum dan selepas musim haji paling mencabar bagi syarikat tersebut memandangkan keadaan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah ketika itu amat sesak.

"Pada waktu itu akan terdapat beberapa kesulitan seperti penangguhan penerbangan, dan kita harap para jemaah akan bersabar dan kita pasti pihak Lembaga Tabung Haji telah memaklumkan perkara ini kepada jemaah," katanya.

Semua penerbangan dari KLIA akan bermula dari Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya yang diurus oleh Lembaga Tabung Haji.

Kerjasama MAS dan Tabung Haji dalam urusan jemaah haji Malaysia bermula dari 1974 sehingga 1997 sebelum terhenti seketika sehingga 2002 apabila Tabung Haji memilih bekerjasama dengan pihak lain.

Bagaimana kerjasama MAS-Tabung Haji disambung semula pada 2003 sehingga sekarang.

TM Terengganu Catat Kerugian Kira-kira RM2 Juta Akibat Kecurian Kabel

Telekom Malaysia Bhd (TM) mengalami kerugian kira-kira RM2 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini akibat kegiatan mencuri kabel yang berleluasa di Terengganu.

Pengurus Besar TM Terengganu Badrul Hisham Bahari berkata terdapat 200 kes kecurian kabel dilaporkan kepada TM Terengganu dan ia mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada kira-kira 10,500 pelanggan TM di negeri ini.

"Tindakan mencuri oleh individu yang tidak bertanggunjawab ini telah menyebabkan TM Terengganu menanggung kerugian yang tinggi terutama dalam membabitkan kos pemasangan semula kabel dan pada masa yang sama ia menjejaskan perkhidmatan kepada pelanggan TM," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan hari raya anjuran TM Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata bagi mengelakkan kejadian kecurian itu berulang pihaknya mengambil inisiatif memasang alat penggera (alarm) dan membuat rondaan dari masa ke semasa sebagai langkah pencegahan.

Pihak TM juga telah mengenalpasti beberapa kawasan 'panas' yang kerap berlaku kecurian dan tindakan penambahbaikan dari segi keselamatan telah menghasilkan kesan yang positif setakat ini, katanya.

Kes Liwat Anwar: Najib, Rosmah Akan Buat Permohonan Tolak Sepina Jadi Saksi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan memohon untuk mengetepikan sapina yang menghendeaki mereka menjadi saksi pembelaan dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh.

Peguam mereka, Hisyam Teh Poh Teik, berkata beliau akan mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam

Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang sedang mendengar kes itu, membenarkan permohonan Anwar untuk menyoal 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah, untuk dijadikan saksi pembelaan.

Anwar, 64, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Apa Lagi Yang Kerajaan BN Tidak Buat?

Semuanya sudah dilaksanakan, beri dana raya, dana remaja, agih pakaian sekolah, beri atap rumah malah keluarga miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas dapat elaun bulanan.

“Saya nak tanya orang PAS, apa lagi yang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak buat untuk bantu rakyat?” demikian tanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menyatakannya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 pemimpin masyarakat, peniaga dan orang ramai yang hadir di majlis Perasmian Pasar Baru Kedai Buloh petang kelmarin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin melakukan perasmian pasar berkenaan yang berharga lebih RM9 juta dan mempunyai 206 lot perniagaan serta memulakan operasi sejak sebulan lalu.

Katanya, bila BN kalah di beberapa kawasan, Pegawai Pembangunan DUN ditempatkan di kawasan berkenaan untuk jaga kebajikan rakyat.

“Kawasan menang dan kalah kita beri sama rata, tidak ada pilih kasih dan inilah yang diamalkan oleh kerajaan BN sejak dulu,” katanya.

Ahmad Said kemudiannya meminta rakyat mengambil iktibar daripada semua yang terjadi dan berlaku serta melihat keperihatinan kerajaan BN yang sentiasa membela nasib rakyat.

Teganukita

Ramalan Cuaca Negara Punyai Ketepatan Hampir 90 Peratus, Kata Dr Ongkili

Dr Ongkili (paling kanan) bertanyakan sesuatu pada majlis di Gong Kedak, kelmarin.

Langkah kerajaan yang sentiasa meningkatkan kelengkapan di pusat dan stesen meteorologi dengan peralatan-peralatan moden membolehkan ramalan kaji cuaca negara dibuat dengan lebih tepat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata kini setiap ramalan berhubung cuaca mencapai ketepatan bacaan 86.7 peratus secara keseluruhan.

"Kejayaan negara dalam aspek ini turut dapat dikongsi dengan pejabat-pejabat meteorologi negara jiran, dan perkhidmatan jabatan ini turut dilanggani syarikat-syarikat petroleum bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Meteorologi Gong Kedak yang bernilai RM4.7 juta berhampiran dengan Pangkalan Udara Gong Kedak dekat Besut, kelmarin.

Beliau berkata pihaknya turut menubuhkan Sistem Pemantauan Gempa Bumi dan Tsunami di Pantai Timur dengan pemasangan tolok pasang surut di Pulau Perhentian, siren, stesen seismologi dan sistem CCTV di Kuala Terengganu.

Katanya kementerian juga sedang berusaha memastikan penyampaian maklumat berkenaan cuaca sampai kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi dengan cepat dan tepat sekiranya berlaku bencana yang tidak diduga.

Dr Ongkili berkata pelbagai saluran maklumat diwujudkan melalui hebahan media elektronik, twitter dan facebook bagi tujuan itu, di samping hubungan terus yang pantas dengan pihak Jawatankuasa Keselamatan di peringkat negeri sekiranya berlakukan kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu Teganukita melaporkan Ongkili sebagai berkata. pembinaan Pejabat Meteorologi di kawasan pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, dekat Jertih, adalah satu lagi usaha kerajaan untuk menyampaikan maklumat tepat mengenai ramalan cuaca bukan sahaja kepada penduduk Terengganu malah seluruh negeri di Pantai Timur.

Pejabat berharga RM4.7 juta yang dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke 9 oleh Kementerian Sains,Teknologi dan Inonovasi dirasmikan oleh Menteri menteri berkenaan kelmarin.

Dengan adanya pejabat berkenaan ia memudahkan agensi keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca di seluruh Negara.

Selain itu, ia juga turut memberi khidmat nasihat ramalan cuaca kepada Bilik Gerakan Operasi Negeri Kelantan dan Terengganu terutama ketika musim monsun timur laut dan menyalurkan amaran awal berkenaan aktiviti seismik kepada pihak berkuasa.

Dr Maximus ketika merasmikan pejabat baru berkenaan berkata Terengganu juga kini mempunyai Sistem Pemantauan Gempa Bumi dan Tsunami apabila kementerian terbabit memasang alat pngesan di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian.

Katanya, usaha menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengesan bencana alam itu akan ditingkatkan lagi apabila sebuah lagi pejabat akan dibina di Hulu Terengganu dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke 10.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur memerlukan stesyen dan pejabat Meteorologi yang canggih dan moden untuk mengesan sebarang bentuk bencana alam yang bakal berlaku di kawasan ini.

Berikutan pembukaan pejabat terbabit, orang ramai termasuk pelajar dan pemimpin masyarakat boleh memohon untuk melakukan lawatan sambil belajar ke pejabat berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung keadaan cuaca semasa selain melihat sendiri tugas yang dilakukan oleh kakitangan pejabat itu.

20 Sekolah Agama Terengganu Dapat Peruntukan RM3.16 juta

Kementerian Pelajaran menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.16 juta kepada 20 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Terengganu.

Peruntukan kepada 14 buah SMA dan 6 buah SMKA itu antara lain mahu meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar di sekolah berkenaan melalui program pembangunan akademik serta menaik taraf kemudahan sokongan pembelajaran.


Agihan RM140,000 untuk setiap SMA dan RM200,000 untuk SMKA itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada majlis perjumpaan dengan guru agama, imam dan bilal, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ghafar Abdullah.

Sekolah berkenaan termasuk SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Mahmudiah, SMA Sultan Ismail, SMA Marang, SMKA Tok Jiring, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMKA Kuala Abang dan SMKA Durian Guling.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sedia membantu dan berkongsi kepakaran dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran sekolah-sekolah agama seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian sedia mengaturkan latihan kepada guru-guru termasuk bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (jQAF).

Katanya, kerajaan pusat tidak akan meminggirkan mana-mana negeri yang tidak berkeupayaan untuk mengadakan program-program berbentuk latihan dalam usaha mengukuhkan Pendidikan Islam.

"Dalam soal Pendidikan Islam, kita tidak mengira batasan untuk memberi dan berkongsi apa yang kita ada. Contohnya, ketika saya berjumpa dengan guru-guru jQAF di Pulau Pinang baru-baru ini yang memaklumkan bahawa mereka kekurangan program latihan perguruan.

"Jadi, kita akan bantu dan sediakan kemudahan program latihan tersebut agar mereka setaraf dengan guru-guru di sekolah agama di negeri lain dan tidak akan berkompromi soal berkenaan sama ada siapa pemerintah negeri itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pelajaran akan berusaha menyelaraskan standard pengajaran 13,000 guru jQAF di seluruh negara.

Ia juga bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem pengajaran selain dapat memperkukuhkan subjek agama.

Muhyiddin turut meluangkan masa mengadakan sesi dialog bersama guru-guru agama, bilal dan imam yang hadir pada majlis berkenaan.

Wednesday, September 21, 2011

Dasar Kerajaan BN Bantu Atasi Masalah Rakyat - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin menyeru rakyat agar terus menyokong kerajaan sedia ada kerana segala dasar yang diperkenalkan menumpukan kepada penyelesaian berhubung permasalahan masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata dasar kerajaan pimpinan BN adalah jelas iaitu segala apa yang difikirkan penting dan perlu dibuat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat akan dilaksanakan sepenuhnya.

"Sebab itu dengan dasar yang jelas dan tegas kita mahu supaya dokongan rakyat kepada pimpinan BN semakin bertambah kukuh, lebih-lebih lagi kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sekarang ini telah merancang dan melaksanakan pelbagai program transformasi besar yang kesemuanya menumpukan kepada permasalahan rakyat.

"Menjurus kepada isu-isu yang ada kaitan dengan rakyat jelata, sebutkan apa sahaja daripada program pembangunan ekonomi kita telah laksanakan, usaha mengatasi masalah kemiskinan, membantu rakyat luar bandar tingkatkan pendapatan, tingkatkan infrastruktur, semua telah kita laksanakan," katanya ketika berucap pada program beliau turun padang sempena majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Marang dan perasmian pasar baru Kedai Buloh, Marang dekat Kuala Terengganu, semalam.

Muhyiddin memberitahu lebih 10,000 hadirin bahawa gagasan '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' bukan satu slogan yang tidak diisi dengan erti sebenarnya sebaliknya melaluinya lahir pelbagai rancangan pembangunan dan transformasi negara, hasil kesinambungan daripada Rancangan Malaysia terdahulu hingga ke RMK-10.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk faedah rakyat terus hidup dalam keadaan lebih baik.

Muhyiddin turut menafikan sesuatu perancangan kerajaan dibuat hanya semata-mata sebagai gimik dan gula-gula politik atau pilihan raya umum semakin hampir seperti didakwa sesetengah pihak.

"... tetapi sebenarnya kita telah laksanakan hampir semua perkara yang difikirkan penting untuk rakyat sepanjang masa.

"Kita tak tengok tempoh jangka masa pendek tetapi yang lebih penting ialah untuk jangka masa panjang rakyat mesti kita bela," katanya.

Beliau berkata Malaysia kini sudah menjadi contoh sebuah negara Islam yang maju apabila pemimpin dunia yang berkunjung ke negara ini melahirkan rasa kagum dan berminat mencontohi projek pembangunan yang dilaksanakan.

Bagi mengekalkannya, katanya, rakyat seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang khususnya kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal mengeluarkan negeri itu dari senarai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.

"Kalau kita lihat negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS seperti Kelantan, negeri jiran kita, sudah lebih 20 tahun ditadbir oleh PAS tetapi ia menduduki tempat tertinggi dalam kadar kemiskinan negara...apa yang Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan) dah buat?.

"Apa yang berlaku di Kedah, orang mula mengatakan mereka tersilap 'pangkah' dalam pilihan raya lepas dengan pangkah yang di sebelah sana tetapi hari ini mula menyesal panjang, apatah lagi Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) pun dilihat tidak berupaya untuk mengisi kehendak dan kemahuan rakyat.

"Sebahagian besar pembangunan di Kedah adalah projek yang telah pun dilaksanakan kerajaan BN terdahulu dan kerajaan pusat untuk menentukan negeri itu tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negara," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat perlu sedar dan berfikir bahawa kedudukan negara yang menjadi 'imam' dalam soal pembangunan, mempelopori dasar-dasar utama sehingga diiktiraf di peringkat dunia adalah sumbangan kerajaan BN hari ini yang diketuai Umno.

Mengenai Pasar Kedai Buloh, Muhyiddin berkata kewujudan pasar baru bernilai RM9.3 juta yang mula beroperasi bulan lepas bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar lebih-lebih lagi kepada para peniaga dan pengusaha yang terlibat dalam perniagaan di situ. Beliau berkata pembukaan pasar baru itu merupakan satu menifestasi kejayaan menteri besar dan kesungguhan kerajaan BN.

Pasar Kedai Buloh dibina pada awal 2007 di atas kawasan seluas 1.5 hektar, mengandungi 16 unit kedai makan, 128 unit gerai kering, buah-buahan dan sayuran, 44 unit gerai basah dan 18 unit lot kedai pelbagai barangan.

Kekalahan Kepada T’Team Punca K Devan Letak Jawatan?

Pemain T-Team, Mohd. Norfarhan Muhammad (dua dari kiri) diasak dengan tiga pemain Selangor dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

K. Devan meletak jawatan sebagai jurulatih bola sepak Selangor berkuat kuasa semalam, berikutan aksi hambar Gergasi Merah Kuning itu sepanjang kempen tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Amin yang dihubungi semalam mengesahkan peletakan jawatan Devan itu.

Semalam, Hamidin berkata tindakan drastik atau rombakan menanti Selangor selewat-lewatnya menjelang menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu ini gara-gara kekalahan 1-2 kepada T-Team dalam Kumpulan D Piala Malaysia 2011, kelmarin.

Perkara itu bakal diputuskan dalam mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan tumpuan juga terarah kepada kedudukan jurulatih Merah Kuning, K. Devan. Selangor kini pada tangga ketiga kumpulan dan hanya mengumpul empat mata dan semakin cemas dalam memburu tempat ke suku akhir.

Pengumuman ini bagi sesetengah pihak tidak mengejutkan tetapi bagi yang lain tertanya-tanya apakah K Devan sahaja yang menyebabkan masalah kepada Selangor?

Kekalahan dua kali kepada T’Team, iaitu di Kuala Terengganu dan di Stadium Shah Alam Sabtu lalu bagi saingan Piala Malaysia mungkin turut mempengaruhi keputusan K Devan.

Pada perlawanan Liga Super sebelum ini di antara pasukan T’Team di Shah Alam pada 19 Mei 2011 menyaksikan Selangor tewas 2-0 dan ketika itu Selangor sebagai pendahulu liga. Perlawanan di Stadium Ismail Nashiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 9 Spril 2011 bagi piala yang sama Selangor tumpas 2-0.

Bagi Piala Malaysia pula, perlawanan pada 17 September 2011 di Shah Alam menyaksikan Selangor tumpas 1-2 dan sebelum itu pada 8 September 2011 di Kuala Terengganu, T’Team mengatasi Selangor dengan 1-0.

Pada awal musim, jurulatih T’Team, Yunus Alif diberikan amaran dan dikatakan akan digugurkan daripada melatih T’Team selepas kalah mengejut kepada beberapa pasukan kerdil pada Piala Liga Malaysia.

Malah, kes Yunus ini mendapat liputan meluas media dan beliau turut ‘digantung’ satu perlwanan sebelum dikembalikan tugas beliau.

Lebih teruk ketika itu pengurusan T’Team diminta digantikan.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut memberikan amaran kepada T’Team memperbaiki mutu permainan atau menghadapi rombakan kepada pasukan.

Semalam, permohonan Devan untuk meletak jawatan sebagai jurulatih itu diterima sebulat suara anggota jawatankuasa FAS yang mengadakan mesyuarat khas semalam, katanya.

Beliau berkata, teraju utama pasukan itu kini diambil alih penolong jurulatih P. Maniam.

Selangor gagal memenangi sebarang piala sepanjang tahun ini, selain berdepan kemungkinan tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Devan menjadi jurulatih bola sepak Selangor dari Oktober 2008