Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Baiah
dibuat atas kepentingan apa?
Baiah
pada zaman Rasulullah dibuat atau diikat agar
orang Islam ada satu sikap patuh dan taat dalam urusan memimpin manusia.
Malah,
diberi amaran bahawa Allah telah menyusun laknat kepada mereka yang langgar
baiah. Bukan manusia yang jatuhkan
hukuman kepada mereka yang melanggarnya tetapi janji Allah itu pasti.
Malah
sering diberi amaran, tidak akan ada yang selamat kerana melanggar baiah.
Mutakhir
ini, ada pemimpin politik berpendapat, kerana melanggar Baiah, ‘sehari
dua ini kita lihat ada individu yang dilucutkan gelaran dan pangkat mereka’.
Di
Malaysia, Baiah dikaitkan dengan PAS apabila bimbang wakil rakyat mereka ‘meninggalkan perjuangan’ atau lompat
parti, mereka tetap terikat dengan Baiah.
Bagaimanapun
dikatakan tidak ada paksaan untuk berbaiah dalam PAS jika individu berkenaan
tidak menjadi calon dalam pilihan raya.
Amat nyata, Baiah dalam
konteks PAS ini lebih kepada cara untuk menyekat atau cara supaya pemimpin
bawahan tunduk kepada apa juga kata dan keputusan pemimpin atasan.
Baiah dalam konteks PAS
tidak jauh berbeza dengan sumpah tidak derhaka dalam konteks ‘feudal’ – taat yang tidak boleh dipersoal – atau lari
daripada perjuangan asal dan balasannya ialah ‘tulah’ atau ‘hukum
karma’.
Cumanya PAS menggunakan
sumpah menyebut nama Allah sedangkan yang lain lebih kepada sumpah manusia
dengan manusia.
Hairannya Baiah tidak diguna pakai oleh parti
Melayu dan Islam lain, khususnya UMNO.
Tidak perlu bagi pemimpin parti lain, selain PAS
untuk membuat lafaz atau sumpah hingga
menyebabkan jatuh talak tiga kepada isteri.
Baiah adalah antara pemimpin dengan pemimpin
atasan PAS sahaja, bukan antara penyokong dengan penyokong atau antara penyokong dengan pemimpin parti
berkenaan.
Ternyata PAS melakukannya demi kepuasan
pemimpinnya.
Namun
seperti ditegaskan Timbalan Pengerusi
Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa wakil
rakyat yang melafazkan baiah PAS terutama melibatkan talak isteri, berdepan
risiko kerana sumpah itu akan memakan dirinya sendiri apabila tidak lagi
bergelar pemimpin parti itu.
Bagaimanapun,
apakah Baiah tidak dilanggar?
Setiausaha
Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh mengulas kenyataan Phahrolrazi
mengingatkan bahawa Rasulullah juga berbaiah dalam perjuangan menegakkan Islam.
Ternyata Baiah yang
menggunakan ‘nama Allah’ tetap dilanggar apabila sekumpulan pemimpin PAS
meninggalkan parti itu selepas muktamar parti berkenaan pada 2015.
Apakah ini bermakna Baiah tidak berjaya
mengekang sebilangan pemimpin PAS untuk tinggalkan parti dan membawa bersama
mereka ‘kerusi Dewan Undangan Negeri dan juga kerusi Parlimen’?
Jika demikian apa untungnya Baiah dikekalkan?
Tidak
pelik jika PAS bercadang menghapuskan
Baiah talak tiga.
Tetapi
alasan kononnya semua pemimpin PAS kini setia kepada parti bukan sesuatu yang
cukup kuat.
Juga alasan bahawa keadaan sekarang tidak lagi genting kerana
PAS menguasai 38 daripada 45 kerusi DUN Kelantan dalam pilihan raya umum 2013
berbanding majoriti kecil hanya dua kerusi dalam pilihan raya umum 2004.
Sebenarnya
PAS kini berdepan dengan pergolakan dalam dirinya sendiri dan kongkongan
melalui Baiah disedari tidak mampu mengekang pemimpinnya meninggalkan jemaah
PAS.
Adalah
silap untuk mengatakan bahawa kerana yakin
dengan kekuatan dan kesetiaan ahlinya, PAS akan menggugurkan sumpah
baiah yang melibatkan perceraian talak tiga.
Yang
nyata Baiah bukan membabitkan ahli parti. Mereka tidak perlu beraiah. Yang berbaiah hanya
pemimpin mereka.
Yang
jelas dan nyata ialah sumpah berkenaan hanya diwajibkan kepada semua wakil
rakyat PAS di Kelantan sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
Malah
ada mengatakan ia dimulakan lebih awal daripada tarikh itu untuk memastikan mereka
tidak melompat parti.
Jika hanya wakil rakyat Kelantan perlu
berbaiah, bagaimana dengan yang di negeri lain, khususnya di Terengganu, Kedah,
Perak, Selangor dan Pahang?
Kini
ada cadangan agar kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri
dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.
Ketua
Dewan Ulamaknya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar atas) yang dipetik Berita
Harian sebagai berkata tindakan itu diambil kerana PAS tidak lagi berdepan
keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.
Apa
yang dapat diperhatikan PAS tidak perlu pun Baiah jika parti itu mengekalkan
falsafah arah perjuangan asalnya.
Ramai
yang meninggalkan parti itu, termasuk melanggar Baiah ialah kerana perubahan
ketara dalam konteks kepimpinan dan cara PAS berjuang masakini.
Contoh
jelas ialah daripada pernah menghukum penyokong UMNO dan bukan pengikut PAS
sebagai ‘kafir’, kini pemimpin PAS sendiri yang berdampingan dengan pemimpin
UMNO.
Lebih
menjadi tanda tanya ialah bagaimana pemimpin PAS kini boleh menerima berbagai
amalan rasuah dan berbagai jenis kebobrokan termasuk kleptokrasi yang diamalkan
oleh pemimpin UMNO?
Jika
terus kekalkan Baiah talak tiga terhadap isteri sekalipun – sekiranya pemimpin
PAS terus tidak menolak kebobrokan dan kleptokrasi – pasti akan terus ada
mereka yang melanggar Baiah.
Sebab
dan puncanya ada kepada mereka yang sudah meninggalkan PAS, bukan semata kerana
kalah dalam pemilihan parti di muktamar parti itu.
Mereka
mempersoalkan integriti PAS dan sesetengah pemimpin, termasuk Presidennya,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap ‘hilang punca’.
Yang
nyata, mereka sanggup melanggar Baiah terutamanya apabila PAS bersekongkol
dengan pemimpin parti yang megamalkan kleptokrasi!