Thursday, January 14, 2010

Kerajaan Terengganu Akan Dedah Jika Terima Laporan Bumbung Stadium Runtuh

Kerajaan negeri Terengganu akan mendedahkan laporan kertas siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada Jun lepas, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Said.

"Kita tidak mahu sembunyikan sampah di bawah permaidani. Jika kita terima kertas siasatan berkenaan, kita akan dedahkan. Kita mahu tahu puncanya dan kita tidak akan sembunyikan segala fakta.

"Ini kerana kelemahan-kelemahan itu perlu didedahkan untuk kebaikan masa depan, supaya semua pihak ambil iktibar ke atas apa yang berlaku," katanya.
Beliau menyatakannya selepas mendengar taklimat di Pejabat Tanah dan Galian sempena Pelancaran Program Pendaftaran Urusniaga dan Bukan urusniaga Dalam Masa Satu Hari di sini Rabu.

Ahmad Said berkata, pendedahan itu dilakukan perlu bagi menjaga imej kerajaan negeri dan masa depan negara.

Bagaimanapun, sehingga ini kerajaan negeri masih belum menerima sebarang laporan rasmi kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, ini kerana banyak lagi projek-projek yang berskala besar dan kecil yang akan dilaksanakan pada masa depan di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggugjawab agar segala perancangan yang dibuat tidak menimbulkan masalah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan gesaan arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Seni Bahri Arkitek Raja Datuk Kamrul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang mahukan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung kejadian bumbung stadium itu runtuh.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lepas setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 31 Mei 2008.

Blog Hambali media alternatif penyelamat MB

Daripada www.teganukini.blogspot.com

(BAHAGIAN PERTAMA)
Tuesday, 5 January 2010

Gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Said oleh kumpulan penyokong Idris sampai kepada klimaksnya apabila ‘SMS Ugut bunuh’ terjadi pada 14 April, 2009. Mengakibatkan Presiden UMNO menggunakan kuasanya mengurangkan kuasa politik Ahmad Said dan dengan menggunakan peristiwa tersebut sebagai alasan, Hishamudin dilantik menggantikan Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.


Perdana Menteri menafikan pembabitan SUSK MB dengan SMS ini sebagaiman Laporan Berita Harian Online (15 April 2009): – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, ugutan bunuh yang diedarkan kepada tiga daripada ADUN terbabit melalui sms adalah tidak sahih. “Mereka dapat SMS tetapi SMS tak berpunca daripada pejabat Menteri Besar, maka tidak ada kesahihan.” Dan juga laporan yang sama telah siarkan dilain-lain media masa.

Walaubagaimanapun ketua kumpulan ini dalam ceramahnya di Jertih pada 18 April 2009 mengatakan beliau telah maklumkan kepada PM bahawa SMS ini datang nya dari hand phone SUSK MB, rakaman ceramah ini dapat di download melalui blog jaranganakmelayu1.blogspot.com.

Sebahagian besar media khususnya media arus perdana tidak menyembelahi Ahmad Said dalam menangani isu ini., Kumpulan penentang berusaha keras menjatuhkan Ahmad Said dari kerusi Menteri Besar.

Seperti yang diakui oleh Tinta Merah dalam blognya … kehebatan Mat Said ini orang tidak sedar yang beliau dibantu oleh seorang wartawan profesional yang luas pengalaman.

Saya yakin apa yang diterima oleh Mat Said ini kerana kegigihan dan nasihat Hambali Abd Latiff salah seorang pegawai khasnya di pejabat MB.

Selalunya tuan akan jadi baik kalau kuli turut memberi pedoman secara berhemah dan fatanah.

Dalam blognya entri Mei 2009 bertajuk SMS UGUTAN BUNUH – SATU KONSPIRASI, beliau meninggalkan 13 soalan untuk masyarat menilai akan kebenaran Menteri Besar dan Setiausaha Sulit Kanan nya dalam menangani pelbagai tekanan yang timbul ekoran isu sms ugut bunuh.

Dengan menjawab segala persoalan yang disediakan oleh hambali ini, kita dapat menilai isu yang dibangkitkan dalam media massa secara rasional.

Soalan 1
Siapa suspek utama kes ini kepada kumpulan 10 ADUN berkenaan. Siapa pula suspek utama bagi pihak polis?

Jawapannya : Kepada kumpulan penentang mereka mengatakan SUSK MB, Budak Tingkat 16 atau Wan Ahamad bin Wan Muda, seorang Pegawai Tadbir yang bukannya orang politik. Bagi pihak Polis, suspek utama telah ditahan Polis.

Inilah kelemahan kumpulan ini apabila pegawai awam dijadikan mangsa. Jika ingin jadi jagoan politik, bertempurlah sesama orang politik, jangan pula pentadbiran dipolitikan.

Soalan 2
Apakah suspek utama bagi 10 ADUN ialah ‘penghantar’ sms berkenaan ialah orang yang bernombor telefon 019-9158369 atau lebih tepat Wan Ahamad Wan Muda?

Jawapannya : Berasaskan kedada siasatan polis dan bukti yang ada pada pihak Polis, Wan Ahamad tidak terlibat.

Mengikut dakwaan yang dikenakan, suspek menghantar sms berkenaan melalui internet yang dikenali sebagai bulk sms.

Bulk sms ini banyak digunakan dalam kempen politik seperti pemilihan umno peringkat bahagian dan majlis tertinggi. Melalui bulk sms ini, kita membuka satu akaun (rujuk : smsugutan.blogspot.com), seperti penggunaan hand phone biasa, pengguna menyimpan semua semua data no handphone yang berkaitan.

Semasa menghantar sms kepada bakal penerima melalui internet, penghantar bebas meletakan nama penghantar, samada nama sendiri, nombor hand phone sendiri, nombor telefon rumah, nombor hand phone milik orang lain, nombor telefon rumah orang lain, nama orang lain dan kerektor seperti ‘GANU’, ‘UBI GADONG’ , CELCOM, MAXIS, DIGI dan sebagainya.

Dalam hubungan, suka penulis cadangkan kepada pihakberkuasa dapat mengambil langkah mengawal Provider Bulk SMS bagi tidak membenarkan pelanggan bulk sms mencatatkan nombor telefon bukan milik mereka semasa menghantar sms melalui internet, juga tidak menggunakan nama orang lain dan lain-lain simbul yang boleh memfitnah.

Pemilik syarikat telekomunikasi hasus mengikut langkah MAXIS yang menggunakan “spam filter’ yang menghalang pemaparan no hand phone yang dicatat oleh penghantar SMS melalui internet.

Soalan 3

Persoalannya, kenapa pula Wan Ahamad tidak ‘ditahan polis’ dan seorang kerani syarikat swasta yang dicekup polis untuk siasatan dan kini dibebaskan?

Jawapannya sila rujuk kepda kenyataan YAB. Perdana Menteri dan Ketua Polis dalam laporan yang ditelah disediakan Sdr. Hambali dalam blognya sebagaimana di bawah;

1. Laporan Berita Harian Online (15 April 2009): – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, ugutan bunuh yang diedarkan kepada tiga daripada ADUN terbabit melalui sms adalah tidak sahih. “Mereka dapat SMS tetapi SMS tak berpunca daripada pejabat Menteri Besar, maka tidak ada kesahihan.”

2. Laporan Sinar Harian (23 April 2009): Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

3 . Laporan Utusan Malaysia (23 April 2009): ): Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan bahawa lelaki berusia 31 tahun itu tiada kaitan dengan Pejabat Menteri Besar seperti yang didakwa sebelum ini; dan

4. Laporan Berita Harian Online (24 April 2009) bertajuk “Ramai lagi ditahan” melaporkan “Sumber memberitahu, kerani berkenaan ada kaitan dengan 10 ADUN yang memulaukan hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri pada 14 April lalu.”

Laporan di atas disediakan oleh Sdr. Hambali dalam blognya adalah rujukan fakta yang sahih untuk pihak-pihak berkenaan berfikir secara rasional bagi memberhentikan segala bentuk provokasi.Sekiranya laporan dan perkembangan dalam blog Hambali diikuti dan dihayati, tiadalah berlaku polimik dalam isu ini.

Soalan 4

Persoalan juga, kenapa polis mencari suspek lain dan suspek berkenaan kini ‘menghilangkan diri?”

Jawapannya : Polis Malaysia antara yang tercekap di dunia.

Soalan 5

Lebih menghairankan kenapa blog berkenaan menimbulkan pertanyaan: “..saya hairan kenapa orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan...Apakah ini satu konspirasi.”

Apa yang dimaksudkan dengan ‘orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan?”
Jawapannya : Mengikut laporan yang Disediakan oleh YB Alias b. Abdullah Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu Bertarikh pada:14 April 2009.yang dimuatkan dalam blog abdul mubin ismail berbunyi ;

3. a) Pada 13hb April 2009 lebih kurang pukul 11.25 mlm YB Dato Rosol bin Wahid ADUN Ajil telah menerima sms ugutan bunuh dari telefon bernombor +31234567890 yang berbunyi “baik jgn teruskn niat YB, YB tak sayang nyawa?” (Laporan Polis K. Berang 647/09).

b) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21 malam, YB Abd Halim bin Jusoh ADUN Permaisuri telah menerima sms ugutan yang sama kandungan daripada telefon bimbit bernombor 0199158369 yang dipercayai milik Wan Ahmad bin Wan Muda, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu. (Laporan Polis K.Terengganu No.003286/09).

c) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21malam, YB Zakaria @ Ariffin bin Abdullah ADUN Paka juga telah menerima sms yang sama kandungannya daripada telefon bimbit bernombor 0199158369. (Laporan Polis K.Terengganu 003285/09).

4. Akibat daripada SMS ugutan bunuh tersebut, telah menimbulkan ketakutan bukan sahaja kepada ADUN-ADUN yang menerima ugutan tersebut sahaja malah ia menimbulkan ketakutan kepada ADUN-ADUN BN yang lain terutama ADUN penyokong Kerajaan tentang ancaman keselamatan nyawa mereka. Apatah lagi pada sebelah petang hari tersebut 13hb April 2009, difahamkan bahawa pejabat MB telah menghantar sms kerahan kepada orang-orang Kemaman supaya hadir ke Dewan Undangan Negeri pada 14 dan 15 April 2009 untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Said.

5. Hasil penemuan awal yang dibuat, terhadap carian nombor telefon bimbit 0199158369 didapati didaftarkan atas nama Hj W Ahmad SUSK MB, manakala nombor +31234567890 masih belum dapat dikenal pasti

Dari laporan di atas ternyata YB Dato Rosol bin Wahid ADUN Ajil telah menerima sms dari telefon bernombor +31234567890 , bukanya nombor telefon SUSK MB 0199158369, oleh itu tidak wajarlah beliau takut nak datang ke Sidang DUN kerana penghantarnya tiada kaitan dengan SUSK MB.

Penyataan pemilik blog berkenaan mendakwa orang yang disyakki berkeliaran di dewan adalah bercanggah dari nombor yang diterimanya dengan nombor orang yang di tuduhnya, ini membayangkan betapa tidak konsisten nya beliau.

(Bersambung di siri kedua)

Amah Bakar Rumah Dihadap Ke Mahkamah Atas Tuduhan Mencuri

Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang sebelum ini dipercayai terlibat dengan kejadian membakar rumah majikannya pada 6 Jan lalu Rabu mengaku bersalah di Mahkamah Juvana di sini atas pertuduhan mencuri beberapa barangan milik majikannya.

Tertuduh yang berumur 14 tahun dari Bandung, Indonesia dituduh mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan sebuah beg milik majikannya Mazli Mohamad di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 10 hingga 10.30 pagi pada 6 Jan lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh kemudian menetapkan 27 Jan ini sebagai tarikh untuk mendengar keputusan kes dan mengarahkan pihak pendakwa mendapatkan laporan akhlak tertuduh sebelum hukuman diputuskan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sebelum tarikh keputusan kes walaupun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, tertuduh gagal untuk membayar wang jaminan tersebut dan dia kemudian dibawa ke Sekolah Tunas Bakti Perempuan, Marang.

Bumbung Garaj Kereta Runtuh, 10 Buah Kereta Rosak

Sepuluh buah kereta yang diletakkan di bawah garaj milik sebuah syarikat pembinaan di kawasan perindustrian Chendering dekat sini rosak setelah bumbung garaj itu runtuh akibat dilanggar oleh sebuah jengkaut semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Terengganu ASP Mohd Faudzi Muhamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, pemandu jengkaut berkenaan Jamali Harun, 40, dipercayai secara tidak sengaja telah terlanggar hujung bumbung garaj itu.

"Semasa hendak menjalankan kerja-kerja mengangkut barang bagi tujuan pembinaan pagar di syarikat tersebut, timba jengkaut itu telah terlanggar hujung bumbung garaj berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu jengkaut tersebut panik dan mengundurkan jentera berat itu menyebabkan timba jengkaut tersangkut pada bumbung asbestos sebelum kesemua tiang garaj itu runtuh.

"Ia mengakibatkan bumbung garaj yang mempunyai keluasan 12 meter lebar, lima meter panjang dan lapan meter tinggi itu runtuh dan menghempap 10 buah kereta yang diletakkan di bawahnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, 10 buah kereta berkenaan mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dua daripada kenderaan tersebut pecah cermin hadapan.

Menurut Mohd Faudzi, kereta terlibat ialah empat buah kereta Perodua Kancil, dua buah kereta Perodua Myvi dan masing-masing sebuah Proton Wira, Proton Iswara, Proton Pesona dan Honda Civic yang kesemuanya dimiliki oleh kakitangan syarikat itu iaitu Q-Bena Resources Sdn Bhd.

Kesemua pemilik kenderaaan yang terlibat bersama pemandu jengkaut kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, pemandu dan kenderaan tersebut mempunyai lesen dan cukai jalan yang sah.

Sementara itu, Jamali berkata semasa kejadian beliau bersama dua lagi rakannya sedang menjalankan kerja-kerja mengangkut barang di kawasan itu sebelum jengkautnya tersangkut pada bumbung garaj kereta itu.

"Sepanjang 10 tahun saya memandu jengkaut, ini kali pertama kejadian seumpanya berlaku," katanya yang kesal dengan kejadian.

Nelayan Asing Dikesan Guna Modus Operandi Baru

Penahanan dua buah bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu semalam berjaya membongkar taktik terbaru nelayan asing yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan untuk mengelakkan mereka daripada ditahan pihak berkuasa.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuala Terengganu, Komander (M) Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata mereka dikesan mewarnakan bot dengan warna bot nelayan tempatan selain turut mengibarkan bendera negeri tertentu dan bendera Malaysia.

"Dalam tangkapan pertama pada pukul 2.10 petang berhampiran Pelantar Minyak Lawit di kedudukan 75 batu nautika dari Kuala Terengganu, kapal KM Jarak yang diketuai Leftenan Aidil Adzhar Saleh bersama 23 anggota mengesan sebuah bot nelayan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Bot tersebut cuba mengaburi penguatkuasa dengan mengibarkan bendera Kelantan dan bendera Malaysia selain mengecat bot mereka dengan warna merah, iaitu warna yang digunakan oleh nelayan Kelantan," katanya kepada pemberita semalam.
Ketika pemeriksaan hendak dilakukan, bot itu cuba melarikan diri menyebabkan tiga das tembakan amaran dilepaskan sebelum mereka menyerah diri.

Syed Mohd Fuzi berkata hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui sembilan awak-awak dan seorang tekong dipercayai warga Vietnam berumur antara 14 dan 45 tahun di atas bot dan kesemuanya tiada dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata APMM merampas 20 kilogram hasil tangkapan laut.

Syed Mohd Fuzi berkata dalam perjalanan pulang membawa bot itu, pihaknya menerima satu lagi laporan menyatakan terdapat sebuah bot nelayan asing menggunakan modus operandi serupa sedang menangkap ikan di kawasan berhampiran.

Laporan itu membawa kepada penahanan sebuah lagi bot nelayan Vietnam yang membawa 12 awak-awak kira-kira pukul 4.40 petang pada kedudukan 70 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Kali ini bot nelayan Vietnam ini menyamar dengan mengecat bot mereka berwarna kuning, iaitu warna bot bagi nelayan Pahang," kata beliau.

Syed Mohd Fuzi berkata kesemua nelayan itu ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, seorang tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta manakala seorang awak-awak boleh dikenakan denda RM100,000.

Ekoran penahanan berkenaan, APPM akan memantau bot-bot nelayan tempatan bagi memastikan kegiatan penyamaran oleh bot nelayan asing itu dikekang, katanya.

Wednesday, January 13, 2010

Enam Lagi Projek ECER Dilaksana Di Terengganu Tahun Ini

Sebanyak enam lagi projek baharu yang dirancang menerusi program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilaksanakan di Terengganu tahun ini.

Menurut Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, sebanyak 38 projek telah diluluskan untuk dilaksanakan di Terengganu, termasuk 14 projek merentasi sempadan melibatkan negeri-negeri ECER lain (Kelantan dan Pahang).

"Daripada jumlah tersebut, 17 projek telah dilaksanakan pada 2008, 15 projek pada tahun lepas, manakala enam lagi projek akan dilaksanakan tahun ini.

"Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan dan perkembangan kesemua projek tersebut yang kini giat dilakukan oleh Majlis Pembangunan ECER," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelarasan (ICC) Majlis Pembangunan ECER negeri dan majlis pelancaran Kerjaya Program Pembangunan Modal Insan ECER, di sini pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong.

Katanya enam projek terbabit ialah program pelancongan di Teluk Bidara, Dungun dan Pulau Besar, Setiu, melibatkan projek pembangunan hotel dan chalet berkualiti tinggi serta program inap desa di kawasan kampung nelayan tradisonal yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf rumah yang terlibat.

Selain itu, katanya projek kelompok kambing dan daging kambing juga akan dilaksanakan dalam usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat pengeluaran kambing dan daging terbesar di negeri ini di kawasan seluas 160 hektar di Ulu Tersat, Kuala Berang.

"Projek pembangunan Taman Industri Berat yang melibatkan zon bebas di pelabuhan Kemaman juga akan dilaksanakan tahun ini bagi membolehkan Terengganu mengambil peluang daripada aktiviti utama dalam perdagangan, logistik, perikanan, industri minyak, gas dan petrokimia," katanya.

Menurutnya pada pertengahan tahun ini pula projek Agropolitan Besut-Setiu yang melibatkan penamaman ladang jagung cili, kenaf dan penternakan ikan keli dilaksanakan, dalam usaha untuk membantu 3,000 rakyat miskin di kawasan itu.

"Projek ini dijangka akan mewujudkan 452 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, dan tahun ini juga kita akan melakukan program pemulihan Pantai Teluk Lipat Dungun," katanya.

Ahmad berkata yang lebih mengembirakan ialah apabila program pembangunan yang dirancang itu turut disokong oleh Program Pembangunan Modal Insan dengan melibatkan tiga program utama iaitu Program Penempatan Graduan, Program Penempatan Pekerja dan Program Latihan Kemahiran.

"Saya percaya pelaksanaan program pembangunan modal insan ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, malah menyediakan sumber tenaga kerja yang mahir dan separa mahir mencukupi bagi keperluan industri tempatan," katanya.

Katanya ECER menyasarkan menempatkan 1,350 pekerja dalam program ini, dan sejak Program Penempatan Graduan bermula Oktober lepas, seramai 304 peserta telah mendaftar untuk mengikuti program itu di 18 syarikat terpilih.

Graduan yang terpilih katanya, akan diambil bekerja selama sekurang-kurangnya dua tahun, dan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, mereka akan diberikan pendedahan latihan di tempat kerja serta dibayar gaji minimum bulanan sebanyak RM1,200 sumbangan ECERDC dan syarikat terlibat.

"Bagi Program Penempatan Pekerja pula, ECERDC membantu syarikat di Terengganu untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini dan setakat ini seramai 448 sudahpun mendaftar untuk program tersebut," katanya.

"Selain itu, ECERDC juga telah mengendalikan Program Latihan Kemahiran sejak September lepas untuk graduan serta lepasan sekolah di 13 pusat latihan kemahiran dengan menyediakan 74 kursus bersesuaian mengikut keperluan semasa.

Menurut beliau setakat ini, seramai 909 orang telah mendaftar untuk mengikuti pelbagai program kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik dan komputer, pramusaji dan pelancongan, serta kursus berteknologi tinggi seperti robotik.

Kumpulan Kencana Lebarkan Operasi Ke Terengganu

Gambar oleh Zulkifli Putra (UKOM)

Kumpulan Kencana Petroleum Berhad, sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas, berhasrat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Terengganu.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Kencana, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir berkata sebagai permulaan, kumpulan itu akan menggunakan khidmat Kapal KPV Kapas berharga RM46 juta untuk memulakan operasi dalam industri berkenaan di kawasan perairan Laut China Selatan.

"Kumpulan Kencana melihat kawasan perairan Laut China Selatan terutamanya perairan Terengganu yang sudah mempunyai industri minyak dan gas sejak sekian lama, mampu berkembang lagi pada masa depan.

"Dengan kerjasama rakan kongsi di sini, kita akan cuba melabur di Terengganu serta di kawasan sempadan negara dengan Thailand dalam industri ini. Pada masa ini juga kita sedang mencari tempat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Kemaman," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perasmian Kapal KPV Kapas yang disempurnakan oleh Tengku Ampuan Besar Terengganu, Tengku Ampuan Bariah.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud.

Kapal KPV Kapas sepanjang 60 meter memiliki enjin berkuasa 5,220 kuasa kuda merupakan kapal pertama milik Kumpulan Kencana yang boleh digunakan sebagai kapal sokongan untuk pelbagai operasi minyak dan gas.

Antara operasi kapal KPV Kapas yang berdaftar di Pelabuhan Kelang yang siap dibina pada 28 Okt lepas ialah untuk kerja-kerja pemasangan pelantar minyak dan struktur-struktur lain selain menyediakan tempat kerja terapung, kerja-kerja menunda dan membawa bekalan.

Mokhzani berkata kumpulan itu juga yang sebelum ini aktif di Pantai Barat Semenanjung juga mensasarkan untuk membeli beberapa buah kapal lagi bagi kerja-kerja dalam industri minyak dan gas di perairan Laut China Selatan pada masa depan.

Katanya, pihaknya akan melihat industri pembuatan bot dan kapal di Terengganu sebelum membuat tempahan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu Ahmad ketika ditanya penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam bidang petroleum dan gas, beliau berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri mengambil peluang menceburinya.

"Kita melihat industri minyak dan gas di Terengganu mempunyai masa depan yang sangat cerah dan kita berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri juga turut mengambil peluang menceburi industri ini," katanya.


Pesisir pantai Terengganu tumpuan penyeludup

Pesisir pantai Terengganu dikenal pasti menjadi tumpuan utama penyeludup untuk membawa masuk barang haram ke negeri ini melalui laut tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu, Datuk Azis Yacub berkata, hasil risikan yang dilakukan, pihaknya berjaya mengesan lapan lokasi dijadikan laluan rahsia penyeludup keluar masuk negeri ini.

Menurutnya, ‘jeti pendaratan haram’ tersebut dikesan wujud di beberapa kawasan pantai Kemaman, Dungun, Setiu dan Besut dan ia sentiasa menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan rokok, mercun dan lain-lain.

“Bagi mengelak aktiviti haram itu dikesan oleh pihak berkuasa, kebanyakan barang berkenaan dibawa masuk dari negara jiran menggunakan bot laju berkuasa tinggi dan bot itu terus rapat ke jeti haram itu,” katanya.

Azis berkata, meskipun Terengganu kini menjadi tumpuan penyeludup namun pihaknya berazam untuk membanteras aktiviti haram tersebut habis-habisan terutamanya dengan cara memantau laluan rahsia tersebut.

Melawat rakan politik

Oleh : Kamaruddin bin Mat Akib / Zulkipli bin CW. Putera (UKOM)

Tolak tepi politik. Sebagai rakan jika ada yang sakit, biarpun perbezaan politik begitu ketara, mereka tetap mesra.

Lihatlah gambar ini bagaimana Datuk Harun Taib, Ketua pembangkang di DUN Terengganu tetap berjenaka dengan Menteri Besar walaupun uzur dan sedang dirawat.














Datuk Ahmad Said, beberapa hari lalu meluangkan masa menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir itu yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, baru-baru ini.
Beliau meluangkan masa hampir setengah jam di wad kenamaan hospital tersebut, bagi bertanyakan khabar ADUN PAS berkenaan.

Menteri Besar meminta ADUN berkenaan supaya berehat dan menjaga kesihatan agar cepat sembuh.

Harun dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 Januari lalu kerana menghidap penyakit darah tinggi dan keadaannya semakin stabil selepas mendapat rawatan.

Menteri Besar kemudiannya turut mengambil kesempatan melawat dua kakitangan hospital berkenaan yang turut dirawat di wad yang sama.

Peruntukan RM10 Juta Untuk Pertanian Di Terengganu Tahun Ini

Jabatan Pertanian Terengganu memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan 11 projek utama pertanian di negeri ini tahun ini.

Pengarah Pertanian negeri Md Yusof Maidin berkata peruntukan yang diterima daripada kerajaan pusat itu, antara lain akan disalurkan untuk program pemulihan dan penamaman beberapa jenis buah-buahan dan tanaman termasuk kelapa dan durian.

"Projek pertama yang akan dilaksanakan tahun ini ialah penamanan semula dan pemulihan kawasan penanaman kelapa seluas 460 hektar di Marang, Kemaman dan Setiu.

"Ia akan diikuti dengan projek pemulihan tanaman durian melibatkan kawasan seluas 36 hektar di Besut, Setiu dan Marang untuk menggantikan klon-klon lama dengan klon-klon baru," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, Md Yusof berkata di bawah program pembangunan industri buah-buahan, tumpuan diberi kepada lima jenis tanaman iaitu nanas, limau, pisang, betik dan rambutan dalam usaha untuk mengelakkan kebergantungan buah-buahan dari luar.

Beliau berkata seluas 156 hektar kawasan terbiar di negeri ini juga akan ditanam dengan tanaman padi, jagung, pisang dan tembikai untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini selain mengukuhkan lagi ekonomi negeri.

Sate Jabi jadi tumpuan

Jika di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan peminat sate boleh ke Kajang untuk menikmati sajian itu, di Terengganu lokasi tumpuan untuk orang ramai menikmati sate ialah di Jabi.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar daerah Besut, Jabi bukanlah lokasi baru bagi mereka untuk menikmati sate.

Keenakan sate Jabi menjadi tumpuan penduduk dari negeri ini setiap kali mahu menikmati sajian tersebut.

Lokasinya di Kampung Bakap, Jabi di mana terdapat tiga buah gerai yang menjual makanan itu.
Pengunjung boleh memilih untuk ke gerai yang disukai memandangkan rasa dan keenakan setiap gerai berbeza.

Terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, pengunjung hanya perlu mengambil masa selama satu jam untuk ke kawasan tersebut.

Tidak perlu risau tersesat atau tidak menemui gerai sate berkenaan kerana apabila sampai sahaja di perkampungan tersebut, sebut sahaja sate Jabi pasti ramai yang ringan mulut untuk menunjukkan arah.

Jika tidak, lihat sahaja deretan kenderaan yang diletak di bahu jalan sejauh lebih kurang 500 meter pasti di situlah lokasinya.

Menurut isteri kepada salah seorang pemilik gerai sate itu, Nurida Yunus, 42, pada mulanya suami dan ibu mertuanya berniaga secara kecil-kecilan sahaja.

Katanya, bermula dengan seekor ayam akhirnya gerai sate milik mereka iaitu Gerai Sate Lanang semakin popular dan kini menerima lebih 200 pelanggan sehari dengan 70 ekor ayam diperlukan untuk membuat sate.

"Saya mula membantu suami sejak 16 tahun lalu, namun ketika itu gerai ini hanya sebuah gerai kecil dan tidak ramai pelanggan seperti hari ini.

"Dari hari ke hari, gerai ini semakin popular sehingga setiap hari sebanyak 5,000 cucuk sate dijual dan sebanyak 45 kilogram nasi himpit ditanak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Ketika ditanya apa rahsia keenakan sate buatannya, Nurida berkata, ia merupakan resipi yang diperoleh oleh ibu saudara mertuanya sejak zaman-berzaman dan yang paling penting daging lembu mesti diperoleh daripada lembu yang baru disembelih.

Menurutnya, semua bahan dan cara memproses dibuat secara tradisional menyebabkan rasa enak dan manis pada daging masih segar.

"Seawal pukul 8 pagi, setelah bekalan ayam diperoleh, ia akan diproses sebelum diperap dengan rempah seketika dan kemudian mula dicucuk oleh beberapa orang pekerja.

"Sekitar pukul 3 petang gerai mula dibuka dengan pelanggan sedia menunggu di hadapan gerai dan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari," jelasnya.

Tambah ibu kepada empat anak itu, dengan hanya mempunyai lapan orang pekerja di kalangan ahli keluarga, Nurida mengakui tidak mampu untuk menguruskan perniagaannya.

Jelasnya, disebabkan itu dia dan suami tidak menerima sebarang tempahan ketika bulan puasa mahupun hari raya bagi meluangkan masa bersama keluarga dan beribadat.

Menurutnya, setiap kali cuti sekolah atau cuti umum, gerainya akan dipenuhi pelanggan tidak kira penduduk tempatan mahupun dari luar.

"Kebanyakan mereka merupakan pelanggan tetap kami yang sering singgah ke kawasan ini setiap kali melaluinya.

"Walaupun ramai yang meminta kami membuka cawangan, namun buat masa ini kami belum memikirkannya memandangkan masih tidak cukup pekerja," jelasnya.

Di Gerai Sate Lanang, pelbagai pilihan sate ditawarkan seperti ayam, lembu, hati dan limpa dengan harga 40 sen secucuk.

Jadi, jika anda ke Besut, jangan lupa singgah Jabi untuk menikmati keenakan sate di kawasan itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Suksis bantu banteras jenayah

Anggota Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mampu memainkan peranan membantu tugas polis dalam memerangi jenayah yang semakin mencabar ketika ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya dengan kemampuan Suksis membantu menangani trend jenayah masa kini berdasarkan pengalaman mereka menyertai pasukan seragam di universiti masing-masing.

Beliau memberitahu, pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan dengan trend jenayah yang membimbangkan terutama jenayah juvana membabitkan remaja, belia termasuk pelajar sekolah dan IPT yang terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah.

Selain itu, menurut Mohd. Shukri, PDRM turut mendepani persepsi masyarakat terhadap kecekapan polis dalam menangani jenayah di samping masalah keselamatan lain yang membabitkan kepentingan masyarakat.

"Pendekatan dan sikap yang dipamerkan ahli masyarakat kini terhasil daripada peningkatan taraf hidup dan pendidikan rakyat," katanya pada majlis Pelantikan Pangkat Pegawai Kehormat dan Pelancaran Kor Suksis Universiti Darul Iman (UDM) kelmarin.

JPJ Terengganu Lelong 28 Buah Kenderaan Yang Disita

Sebanyak 28 buah kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan RM69,250 dalam tempoh hanya sejam Selasa.

Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata lelongan tertinggi melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic berusia 17 tahun dengan harga RM12,600.

"Lelongan yang dibuat hari ini mendapat sambutan hangat apabila 63 orang awam menyerbu perkarangan JPJ sejak awal pagi lagi. Bagaimanapun jumlah kenderaan yang dilelong hari ini tidak banyak berbanding tahun lalu iaitu 83 buah," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya jabatan itu mengadakan lelongan kenderaan sebanyak dua kali lagi untuk tahun ini dan mereka yang ingin mengambil bahagian hanya akan dikenakan bayaran pendahuluan RM50 berbanding RM500 pada tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa JPJ tidak melantik mana-mana ejen untuk menjadi orang tengah bagi lelongan kenderaan itu.

"Pengguna seharusnya lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

JPV Terengganu Cadang Bangun Industri Burung Walit Mampu Milik

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan membangunkan industri burung walit mampu milik terutamanya di kalangan orang Melayu sebagai satu alternatif baru menambah pendapatan.

Pengarah JPV Negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata ini kerana penglibatan orang Melayu dalam bidang berkenaan di negeri ini, setakat ini masih rendah berbanding kaum lain.
"Peratusan orang Melayu yang terlibat dalam industri burung walit di Terengganu setakat ini hanya sekitar 21 peratus sahaja, berbanding bangsa lain.

"Sebab itu, kalau boleh kita hendak seramai mungkin orang Melayu di negeri ini terlibat dalam industri untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain," katanya kelmarin.

Dr Azizol berkata dalam mambangunkan industri burung walit ini, pihaknya tidak akan melupakan golongan miskin supaya turut sama terlibat dalam projek-projek yang akan dijalankan nanti.

Beliau berkata pihak jabatan sedang menimbang kemungkinan menyediakan prasarana termasuk rumah burung-burung berkenaan yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM100,000 sebuah, dan ia dijangka mampu memberi pendapatan antara RM400 dan RM500 sebulan sekurang-kurangnya pada peringkat awal.

"Kita masih mengkaji sama ada akan menjalankan projek ini secara berkelompok atau individu. Butir-butir mengenai projek ini masih di peringkat awal perbincangan," katanya.

Dr Azizol berkata beberapa projek burung walit tradisional yang dibangunkan di negeri ini akan dijadikan contoh untuk projek burung walit mampu milik itu.

Beliau berkata JPV akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri sekurang-kurangnya RM300,000 untuk membangunkan industri burung walit di Terengganu tahun ini.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri burung walit untuk menambahkan pendapatan ekonomi negara dan individu terlibat, katanya.

Amaran Angin Kencang Ditingkat Kepada Kategori Kedua

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di Perairan Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Bunguran, Reef South, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan, dan Sulu dijangka ditingkatkan kepada kategori kedua.

Keadaan angin kencang Timur/Timur Laut dengan kelajuan 40-50 km sejam dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka bermula pada Khamis hingga Ahad ini.

Selain itu, kawasan pantai di timur semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut yang dijangka bermula pada 13 hingga 18 Jan ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, amaran ribut petir di perairan Sarawak (Kuching, Bintulu, Miri), Sabah, Sulu dan Sulawesi dijangka berterusan sehingga malam ini.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Program Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Diteruskan

Program English Teaching Assistant (ETA) yang menggunakan khidmat pelajar cemerlang Fulbright Scholars dari Amerika Syarikat akan diteruskan dalam usaha membantu pelajar Terengganu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berkata seramai 14 pelajar berkenaan akan dibawa ke Terengganu menerusi pertukaran pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) yang akan diuruskan kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan berkenaan.

"Program kali ini merupakan kali kelima diadakan yang sehingga kini telah membabitkan lebih 50 pembantu pengajar Bahasa Inggeris diambil dan ditempatkan di sekolah-sekolah kawasan bandar dan pedalaman," katanya kepada kelmarin.

Menurutnya, kesemua pelajar berkenaan yang akan tiba di Terengganu mulai Khamis ini, terdiri daripada pelajar pelbagai kolej dan universiti di Amerika Syarikat termasuk dari Universiti Havard.

Beliau berkata kumpulan berkenaan akan diletakkan di setiap daerah setelah mereka mengikuti program orientasi selama dua minggu di sini.

Sunday, January 10, 2010

Polis Tahan Tiga Suspek Rompak Kedai Emas Di Kuala Terengganu

Polis percaya dapat menyelesaikan kes rompakan di sebuah kedai emas berhampiran Pasar Payang di sini yang melibatkan kerugian RM900,000 bulan lalu berikutan tertangkap tiga suspek dua hari lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua yang ditangkap merupakan warga negara asing iaitu seorang wanita dari Guatemala dan dua lelaki masing-masing dari Perancis dan Mexico.

"Kami percaya masih ada lagi suspek terlibat dan kami sedang siasat berapa ramai anggota dalam kumpulan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Perlantikan Pangkat Kehormat dan Pelancaran Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor-SUKSIS) Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang 9 Disember tahun lepas, beberapa lelaki dan seorang wanita melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Payang.

Mohd Shukri berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di satu lokasi di sini hasil maklumat orang awam, namun barang-barang kemas yang dilarikan itu masih belum ditemui.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari mulai Jumaat untuk membantu siasatan kes.

JKJR: Operasi tayar toreh bulan ini

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu akan memulakan operasi penguatkuasaan terhadap penggunaan tayar toreh atau turut dikenali sebagai tayar korek di negeri ini, dalam masa terdekat.

Penolong Pengarah JKJR Terengganu, Rosmini Sulong berkata, operasi tersebut dilancarkan bagi membendung penggunaan tayar tersebut yang dikenal pasti boleh membahayakan nyawa pemilik kenderaan dan orang lain.

Katanya, kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang ingkar kepada peraturan berkenaan.

"Langkah larangan penggunaan tayar toreh adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya kerana hampir 10 hingga 15 peratus kemalangan berpunca daripada tayar rosak dan meletup gara-gara penggunaan tayar jenis itu.

"Sehubungan itu, kita meminta pemilik kenderaan persendirian agar menukar tayar toreh kepada tayar yang diluluskan oleh Institut Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta mempunyai tanda MS, DOT atau E," katanya semalam.

Sementara itu, katanya, bagi mengatasi masalah pengunaan tayar toreh, pihaknya telah membuat beberapa tinjauan ke kedai tayar di seluruh negeri termasuk di Dungun, Besut dan Jerteh bermula pada September lalu.

Katanya, dalam lawatan tersebut, pihaknya turut mengedarkan poster dan risalah Panduan dan Tips Penjagaan Tayar serta amaran tentang penjualan tayar toreh.

"Dalam lawatan tersebut, pihaknya turut memberi nasihat kepada para pengedar agar tidak menjual tayar toreh kerana berisiko tinggi dan boleh mengundang bahaya.

"Selain pengedar, kita juga memberi nasihat kepada pemandu-pemandu teksi agar tidak menggunakan tayar toreh bagi mengelakkan kemalangan,'' jelasnya.

TESDEC kolej swasta pertama tawar kursus pembantu rumah

Kolej Pusat Pembangunan dan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) yang terletak di Marang bakal menjadi kolej swasta pertama di negara ini yang memperkenalkan kursus Pembantu Rumahtangga.

Ketua Eksekutif Kolej Tesdec, Che Razali Adis berkata, langkah tersebut diambil bagi mewujudkan perkhidmatan pembantu rumah yang terlatih khususnya di negeri Terengganu.

Kata beliau, bagi tujuan itu, dua tenaga pengajar Tesdec akan dihantar ke Indonesia bagi mengikuti latihan selama tiga bulan di sana berikutan negara tersebut adalah pembekal pembantu rumah terlatih yang paling ramai.

''Modul yang digunakan di Indonesia kemudiannya akan dipraktikkan kepada pelajar yang meliputi penjagaan kanak-kanak, warga tua, penyediaan makanan dan mengemas rumah.

''Dijangkakan dengan adanya kursus secara terlatih dan professional itu lebih ramai golongan muda akan tertarik untuk menceburi bidang itu kerana mereka hanya akan bekerja pada waktu siang hari sahaja,'' katanya selepas Konvokesyen Mini Kolej Tesdec di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Seramai 145 pelajar menerima sijil masing-masing yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Tesdec, Mustafar Khalid yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mereka terdiri daripada lulusan kursus kimpalan, elektrik, pembuat pakaian wanita serta pemasangan gas.

Che Razali berkata, pengambilan pertama kursus selama setahun itu dijangka dimulakan pada Jun depan melibatkan seramai 50 pelajar dengan kelayakan minimum ialah pendidikan sehingga darjah enam.

Katanya, kursus ini dilihat lebih kepada praktikal dalam usaha memberikan latihan secara professional dan apabila tamat nanti mereka akan ditempatkan di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Beliau berkata, kursus Pembantu Rumahtangga merupakan salah satu daripada empat kursus kemahiran baru yang akan diperkenalkan untuk sesi pengambilan pertengahan tahun depan.