Friday, November 4, 2011

Nelayan Impikan Rumah Selesa Hasil Kewujudan Tabung Khas

Tabung Khas Perumahan Nelayan yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 merupakan hadiah istimewa kerajaan buat nelayan di negara ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU) Tuan Kechik Tuan Husain pula berkata tabung khas perumahan itu memberi manfaat besar kepada kehidupan nelayan, malah lebih pentingnya kepada proses pembesaran anak-anak nelayan yang diharap akan mengubah nasib keluarga mereka kelak.

"Kita menyokong penuh usaha kerajaan ini dan berharap biarlah agihannya telus dan semua nelayan mendapat manfaatnya sebab rata-rata nelayan kita daif dan rumah pun ala kadar sahaja," katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PENERPA) Zulkiflee Md Yusof pula berkata penubuhan tabung khas perumahan nelayan itu membuktikan bahawa masyarakat nelayan tidak pernah dipinggirkan kerajaan.

"Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kerana mengumumkan satu berita gembira kepada masyarakat nelayan. Sebelum ini kami selalu dengar peneroka Felda sahaja yang dapat rumah, tanah, tapi dalam bajet kali ini, Alhamdullillah, ada rezeki dan hadiah istimewa untuk nelayan juga," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan mengekalkan pemberian subsidi minyak dan elaun sara hidup kepada golongan nelayan dan membuka lebih banyak peluang bagi keluarga nelayan berusaha dalam bidang lain seperti perniagaan untuk turut meraih pendapatan tinggi menjelang 2020.

Tabung Khas Perumahan Nelayan yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu menyediakan peruntukan RM300 juta untuk membina dan membaik pulih rumah nelayan agar lebih selesa dengan prasarana asas.

Penubuhan tabung itu berikutan kesukaran nelayan yang tiada pendapatan tetap dan bergantung kepada hasil tangkapan selain kebanyakan mereka memiliki rumah yang daif dan kurang selesa.

Che Ghazaib, 47, nelayan pantai dari Beserah, Pahang, dan bapa kepada enam orang anak, berkata dengan peruntukan daripada tabung itu, beliau kini sudah berani mengimpikan sebuah rumah milik sendiri untuk menyediakan tempat tinggal lebih baik bagi anak-anaknya.

"Terima kasihlah (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak) tolong tengokkan nasib nelayan. Kalau tidak kami ini terpaksalah menyewa terus menerus sebab tanah sendiri pun tak ada, nak buat sendiri rumah serupa orang lain pun tak mampu," katanya.

Che Ghazaib berharap projek perumahan nelayan itu dilaksanakan secepatnya dan dibina tidak jauh dari laut untuk memudahkan mereka mencari rezeki dan dekat pula dengan sekolah demi pembelajaran anak-anak.

Harapan beliau itu dikongsi ribuan lagi nelayan di segenap pelosok negara, yang tentunya mahu membesarkan anak-anak dalam suasana lebih kondusif dan lengkap prasarananya.

"Kalau bantuan itu berupa pinjaman, saya harap bayaran balik tidaklah mahal, kalau boleh sekitar RM50 hingga RM100 sahaja, sebab kita nelayan ni tak menentu pendapatan, apatah lagi di musim tengkujuh," kata Che Ghazaib.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Mohamad Dolmat, reaksi pertama yang diterimanya daripada nelayan di seluruh negara semasa mendengar pengumuman itu ialah mereka sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang berterusan mahu membela nasib mereka.

"Ini adalah satu berita baik, yang memberi sinar harapan kepada masyarakat nelayan yang kita semua tahu kebanyakannya hidup serba daif dan mempunyai pendapatan rendah.

"Bila pendapatan rendah, sebuah rumah yang sempurna untuk membesarkan anak-anak, tidak mampu mereka miliki. Dengan adanya tabung ini, syukur Alhamdulillah, mudah-mudahan nelayan kita mampu hidup dalam keadaan lebih baik," katanya.

Mohamad berkata peruntukan RM300 juta dalam tabung khas itu amat besar nilainya dan ia akan dapat memberi manfaat kepada lebih 80,000 ahli persatuan di seluruh negara.

Beliau berkata keprihatian kerajaan bukan sahaja sekadar mewujudkan tabung khas berkenaan, malah masyarakat nelayan telah banyak dibantu termasuk pemberian subsidi bagi petrol dan diesel serta bantuan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

Masyarakat nelayan turut mendapat bantuan daripada skim bantuan bencana yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam bencana alam.

Mohamad berkata tabung khas perumahan nelayan itu akan dikelolakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beliau difahamkan LKIM sedang mengenal pasti tanah sesuai untuk dibangunkan perumahan nelayan berkelompok.

Kafetaria Jabatan Kerajaan, Universiti Disaran Sertai Program Menu Rakyat 1Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyarankan kafetaria di jabatan kerajaan serta universiti agar menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia bagi menarik lebih ramai pelanggan untuk jangka panjang.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata Program Menu Rakyat 1Malaysia menguntungkan pengusaha premis berikutan tawaran harga berpatutan selain makanan berkualiti.

Tan berkata sehingga 25 Okt lepas, sebanyak 1,039 kedai makan dan restoran menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia di seluruh negara.

Setakat ini, Perak mencatat jumlah terbanyak iaitu 147 diikuti Selangor (142), Terengganu (123), Kedah (110), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (60), Johor (53), Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (44), Melaka (40), Negeri Sembilan (36), Perlis (14), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

"Keuntungan yang kita lihat di sini bukanlah melalui kenaikan harga, namun keuntungan yang lebih boleh didapati daripada jumlah pengunjung ramai yang datang ke restoran yang menawarkan menu 1Malaysia ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Restoran Do Re Mi Chicken Rice di Selayang Baru, yang menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia, semalam.

Pada lawatan itu, beliau turut menikmati kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

Tan berkata makanan yang ditawarkan restoran menu 1Malaysia juga seimbang merangkumi sayuran, protein (daging atau ayam), karbohidrat (nasi) serta minuman.

"Berikutan sambutan menggalakkan, kerajaan meletakkan sasaran pada 2012 untuk mencapai sebanyak 3,000 buah restoran dan kedai makan yang akan menawarkan menu 1Malaysia.

"Kerajaan juga telah meletakkan sasaran baru sebanyak 1,200 buah kedai makan dan restoran menu 1Malaysia sehingga akhir tahun berbanding 1,000 sasaran sebelum ini," katanya.

Jawatankuasa Bencana Alam Terengganu Nasihat Petani Segera Tuai Tanaman

Jawatankuasa Bencana Alam negeri Terengganu semalam menasihatkan petani di kawasan mudah ditenggelami air supaya menuai hasil tanaman mereka sebelum berlaku banjir.

Ketika memberi nasihat itu, pengerusinya yang juga Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) Datuk Mazlan Ngah berkata langkah itu bagi mengelak hasil tanaman rosak dan petani tidak mengalami kerugian.

"Biasanya banjir datang akhir bulan November setiap tahun," katanya.

Mazlan berkata kawasan peladangan yang sering dinaiki air setiap kali berlaku banjir di negeri ini ialah Maras-Batu Rakit, Tembila, sepanjang sungai Kuala Berang dan kawasan Setiu.

Beliau berkata tahun lepas, petani di kawasan itu mengalami kerugian lebih RM400,000.

Koperasi Di Sekolah Digalak Jual Barangan Coop 1Malaysia

Semua koperasi sekolah di Malaysia digalak menjual barangan 'Coop 1Malaysia' (Coop1M) dalam usaha membantu kerajaan memerangi kenaikan harga barang di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan Coop1M yang dilancarkan 27 Okt lepas menawarkan 25 jenis barangan harian antaranya sos cili, mi segera dan kicap dijual pada harga yang kompetetif iaitu antara 30 dan 40 peratus lebih rendah daripada keluaran berjenama.

"Usaha ini akan membantu menambah pendapatan koperasi sekolah selain memberikan pasaran lebih luas iaitu menjual barangan keperluan harian. Para pelajar boleh membeli barangan berkenaan dengan harga yang lebih murah dari pasaran," katanya selepas merasmikan sambutan dan penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah 2011 di Shah Alam, semalam.

Pada majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kinta Bhd, Perak melalui projek makanan mi kering dipilih sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin Bhd, Terengganu dipilih pemenang Anugerah Juri menerusi projek bam organik.

Ismail berkata usaha itu juga sejajar dengan beberapa kedai koperasi sekolah yang berkelayakan dan disenaraikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk dinaik taraf di bawah program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) pada tahun depan.

Beliau berkata semua pengetua sekolah juga disaran memberi kontrak kepada koperasi sekolah masing-masing bagi membekalkan barangan seperti alat tulis kepada pihak sekolah seperti yang dipersetujui Kementerian Kewangan baru-baru ini.

"Sebelum ini koperasi sekolah dibenarkan mendapat kontrak bagi nilai tidak lebih RM10,000 bagi satu barangan, namun sekarang kementerian berkenaan telah bersetuju supaya sekolah boleh memberikan kontrak tanpa nilai terhad kepada koperasi sekolah masing-masing," katanya.

Ismail berkata langkah itu sangat dialu-alukan kerana ia membantu menghidupkan peranan koperasi sekolah ke tahap yang lebih baik dan meluas.

Peserta Dalam Dan Luar Negara Sertai Terengganu Starhill Challenge

Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai kejohanan tahunan 4X4 Terengganu Starhill Challenge Antarabangsa Tahunan kali ke-8.

Pengarah kejohanan Ayob Jusoh berkata antara peserta luar negara yang disasar menyertai acara berprestij anjuran bersama kerajaan negeri Terengganu dan Kelab Pengembaraan Geddut 4x4M itu, ialah dari Jerman, China dan Thailand.

Kejohanan yang akan diadakan di Bukit Keluang, Besut dari 11 hingga 13 Nov itu menawarkan hadiah berjumlah RM25,000.

"Kejohanan ini juga diadakan sebagai persiapan untuk peserta menghadapi Kejohanan Rainforest Antarabangsa Challenge yang akan diadakan di Terengganu pada pertengahan Disember ini," katanya kepada pemberita di Besut, semalam.

Penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau melalui talian 012-9652889 atau setiausaha kejohanan Wan Abdul Rahim di talian 019-6075628 sebelum 10 Nov.

Kes Demam Denggi Meningkat Ke 407 Kes Pada Minggu Ke-43

Sebanyak 407 kes demam denggi dilaporkan pada minggu ke-43 tahun ini untuk tempoh 23 hingga 29 Okt lepas tanpa kematian direkodkan, namun meningkat berbanding 369 kes sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami peningkatan kes sejak lima minggu berturut-turut, manakala Sarawak, Kedah, Perak, Terengganu, Melaka, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

"Kolej ke-12 Universiti Malaya (UM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras adalah lokaliti hot spots pada minggu ke-43 dengan 21 kes dilaporkan di UM dan 16 lagi di PPR itu," katanya dalam kenyataan di Putrajaya semalam.

Dr Hassan berkata sempena cuti sekolah yang akan bermula tidak lama lagi, pihak sekolah juga diminta mengambil langkah-langkah mencegah dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di kolam hiasan, pasu bunga dan lanskap yang boleh menakung air.

"Ubat pembunuh jentik-jentik perlu dimasukkan ke dalam tangki pam tandas dan semua mangkuk tandas yang mungkin tidak digunakan semasa cuti persekolahan," kata beliau.

Katanya program bebas denggi di sekolah perlu lebih giat dilaksanakan supaya tidak berlaku sebarang pembiakan jentik-jentik Aedes di kawasan sekolah.

2 Cucu Natrah Teruja Dibawa ke Terengganu

“Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet,” kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.

Isu Natrah, wanita berketurunan Belanda menjadi anak angkat kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu, pernah menjadi kontroversi apabila mahkamah memutuskan gadis itu dipulangkan kepada bapanya, sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada 1950.

Sasha, cucu sulung Natrah, bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dibawa dari Belanda untuk bertemu Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat Che Aminah, di Kampung Mak Chili Paya di Chukai, semalam, atas inisiatif Tourism Malaysia Terengganu dan Tourism Malaysia The Hague, sempena program ‘Building Bridges, iaitu program menggalakkan pelajar luar melancong ke negara ini.

Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt.

Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.

Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama.

Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.

Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.

“Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.

“Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.

Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.

Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.

Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.

Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda.

Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera.

Berita Harian

711 Murid DUN Kijal Terima e-Book Daripada Ahmad Said

Dengan misi mahu membuat lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (ICT), langkah demi langkah digerakkan bagi mengubah lanskap pendidikan negeri anjung ilmu, Terengganu.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi II, sebentar tadi wajah gembira murid, guru dan ibu bapa dirakamkan apabila seramai 711 murid dari Dewan Undangan Negeri(DUN) Kijal menerima agihan e-Book percuma.

Lebih bermakna, penyampaian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said itu ditunggu-tunggu murid tahun empat dari sepuluh buah sekolah itu, semalam.

Daripada jumlah itu, 179 penerima daripada SK Kijal, SK Bukit Kuang (189), SK Meraga Beris (54), SK Bukit Anak Dara (20), SK Payoh (34) dan SK Padang Kubu(30).

Tidak ketinggalan SK Ibok seramai 52 orang, SK Seri Bandi (83), SK Seri Bandi II (70) dan selebihnya dari SK Telok Kalong telah disampaikan pada majlis berasingan sebelum ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Untuk rekod, seramai 3,665 murid tahun empat telah menerima agihan e-Book di seluruh Parlimen Kemaman pada tahun ini termasuk DUN Kemasik seramai 662 murid, DUN Chukai (1,154) dan DUN Air Putih (1,138).

Menarik perhatian, tiga pasangan kembar iaitu M. Azrim Mohd dan M. Azuan Mohd.; Mohd. Ashraf Amsyar Ali dan Mohd. Ashraf Amin Ali serta Zafatul Hafizi Zahari dan Zafatul Azizi Zakari.

Teganukita

Bekalan Kambing Untuk Aidiladha Mencukupi - LPP

Bekalan kambing untuk pasaran dalam negara terutama bagi ibadah korban mencukupi walaupun pengeluaran domestik untuk haiwan itu hanya meliputi 10 peratus dalam pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kamarul Badri Mat Ali berkata, walaupun pembekal utama kambing, Thailand kini menghadapi banjir besar, bekalan haiwan itu boleh diperoleh dari negara lain termasuk Myanmar.

"Bekalan bukanlah masalah utama bagi kita. Masalahnya ketika ini cuma dari segi pengagihan kerana sesetengah kawasan mungkin ada lebihan dan tempat lain mungkin kurang," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Inovasi LPP peringkat negeri, di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran tempatan, LPP menggalakkan individu atau pertubuhan mengusahakan ternakan kambing.

"Individu boleh memohon melalui Program Pertubuhan Peladang dengan bantuan sebanyak RM30,000, manakala bagi pertubuhan pula, ia dibuat menerusi Program Pengeluaran Ladang dengan bantuan sebanyak RM500,000," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Shamsuddin pula mengingatkan pertubuhan dan petani membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir dengan memastikan pengeluaran dapat dilakukan lebih awal dan ternakan dipindahkan.

Sementara itu, pada majlis tersebut, pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai membolot empat anugerah utama inovasi iaitu Laporan Audit Bersih Tahun Kewangan 2010; Laporan Audit Bersih Tiga Tahun Berturut-turut; Laporan Audit Bersih Program Pemasaran Pertubuhan Peladang Jaya dan Pengurusan Kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan Terbaik.

Sementara itu, johan Kumpulan Inovatif dan Kreatif pula disandang oleh Kumpulan Ino-Q daripada Pertubuhan Peladang negeri (PPN) Terengganu yang memenangi Anugerah Perdana, manakala Kumpulan D-Mai dari PPK Kuala Berang pula memenangi Anugerah Emas dan Kumpulan Padi dari PPK Kerandang dan O-dit cawangan audit pertubuhan (Anugerah Perak).

Dua kakitangan LPP iaitu Azha Ngah dan Zakry Ismail pula diumumkan sebagai Tokoh Inovasi 2011.

Muay Thai Iringi Cabaran Piala Monsun di Pulau Duyong

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang dijadualkan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, Terengganu pada 22-27 November ini bakal dihangatkan lagi dengan aksi peninju Muay Thai tempatan dan antarabangsa.

Antara nama besar yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan Muay Thai Gred 3 yang akan berlangsung 23 hingga 25 November ini sempena kejohanan berprestij itu adalah Amy Semerah Padi, Johan Super Aid Malaysia, Mohd Ali Yaakob dan Idie Selendang Kuning selaku peninju tempatan.

Setiausaha Persatuan Tomoi Daerah Besut, Mustafha Mazri berkata, dia sangat berbesar hati sukan tradisional Thailand itu dapat digandingkan bersama Piala Monsun memandangkan kedua-dua sukan itu amat memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi mencapai kecemerlangan.

“Mohd Ali bermula dengan Persatuan Tomoi Besut dan kini sudah meningkat ke tahap antarabangsa serta menjadi antara 10 terbaik di dunia dalam kategori 45kg selepas memenangi pertandingan di Bangkok dan Iran. Dia dijangka menentang juara Thailand, Wan Chai,” kata Mustafha dalam satu kenyataan semalam.

Mengenai persiapan mengharungi pertarungan nanti, dia berkata setiap peninju kini dalam keadaan bersedia dan percaya peminat yang hadir pasti terhibur dengan aksi peninju yang bertanding selain menyaksikan Piala Monsun.

“Kami juga sudah membawa dua jurulatih pakar dari Pulau Samui Kelantan bagi melatih peninju kami untuk pertandingan akan datang di Terengganu. Latihan intensif selama dua minggu sudah pasti akan meningkatkan mutu dan prestasi peninju. Orang ramai pasti akan terhibur.”

Antara aktiviti lain yang bakal menceriakan lagi Piala Monsun adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional dan pertandingan karaoke ‘Monsun Idol 2011' selain beberapa aktiviti baru seperti aktiviti belayar dan berkayak.

Berita Harian

Program Mentor Menti Mampu Bimbing Anggota Baru

Pejawat awam di negeri ini diminta cekap membina,membentuk sikap prihatin, berketrampilan, berwibawa serta profesional dalam melaksanakan tugas supaya setiap amanah yang dipertanggungjawabkan mampu dilaksanakan dengan sempurna dan lebih berkesan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata kepada mereka yang lemah perlu diberikan bimbingan sewajarnya oleh kakitangan berpengalaman atau dikenali juga sebagai mentor.

”Kakitangan berkaitan pula hendaklah bersedia untuk berubah dan belajar meningkatkan ilmu pengetahuan supaya jabatan masing-masing terus cemerlang dan berdaya saing.

”Seorang mentor perlu memiliki ciri-ciri pembimbing, mahir dan bijak membina persefahaman agar tidak wujud kelompok-kelompok di antara pegawai senior dan anggota baru,” katannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang peringkat Terengganu di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, beliau berpandangan program mentor menti nyata dapat membantu anggota baru dilantik untuk memahami masalah dan keperluan dalam pembangunan diri serta kerjaya.

”Diharapkan program ini akan dapat menanamkan sifat amanah, ikhlas, jujur, dedikasi, rajin dan bertanggungjawab dalam diri anggota yang baru dilantik serta menghasilkan produktiviti kerja yang tinggi dan berkualiti.

”Mereka yang berpengalaman di dalam skim masing-masing dilantik untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada para menti,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan satu program yang sangat berkesan bagi anggota baru supaya mampu mendalami selok belok pekerjaan dan seterusnya melahirkan rasa keakraban serta persefahaman di dalam melaksanakan tugasan.

”Setiap organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa supaya terus berdaya maju dan dapat bersaing dengan organisasi yang lain,” katanya.

Senarai Nama Pelatih PLKN Siri ke-9 Diketahui Hujung Bulan Ini

Abdul Hadi (duduk, empat dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada seorang pelatih PLKN cara-cara menembak di Lapang Sasar Bukit Merbau, Kem Desa Pahlawan, Pasir Puteh semalam.

Senarai nama 140,000 bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi siri kesembilan akan diketahui akhir bulan ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

“Para bakal pelatih yang kebanyakannya mungkin sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu tidak perlu risau, nama mereka yang tersenarai boleh disemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel,” katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Bukit Merbau, Kem Desa Pahlawan di Pasir Puteh, Kelantan semalam.

Pelatih siri tersebut akan ditempatkan di 81 kem latihan di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Mengenai PLKN siri kelapan, Abdul Hadi berkata, seramai 18,000 peserta akan menamatkan latihan dalam tempoh sebulan lagi dan pada ketika ini mereka sedang menghabiskan modul latihan menggunakan senjata api dan khidmat masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, mereka juga diberi cuti untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga selama tiga hari mulai hari ini.

Kosmo!

Thursday, November 3, 2011

BN Terengganu Dalam Keadaan Terbaik Hadapi Pilihanraya Umum Ke 13

Orang boleh berjanji tetapi belum tentu dapat menunaikan janji. Seperti orang bercinta, berkasih tetapi dusta….Kelantan 20 tahun lebih Pas memerintah, tetapi masalah air tidak dapat diselesaikan,” - Ahmad Said


Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu telah berjaya menyelesaikan masalah sesama sendiri dan kini memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13, kata pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata dalam keadaan sekarang pihak BN negeri tidak menghadapi sebarang masalah.

“Kita lihat sekarang masalah hampir selesai. Maksudnya semua anggota parti dapat bersama kepimpinan dengan memperlihatkan sokongan yang padu. Saya begitu yakin dengan isyarat diberikan rakyat menerusi program yang telah dibuat oleh kerajaan.

“Wartawan boleh membuat perbandingan apa yang kerajaan Terengganu buat untuk rakyat berbanding negeri lain,” katanya ketika mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lalu yang meminta negeri menyelesaikan masalah parti secara berhemah.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri telah dengan sebaiknya menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di bawah program merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Beliau berkata Terengganu dapat melakukan ini semua kerana kerajaan pusat dan negeri tidak ada percanggahan.

“Orang boleh berjanji tetapi belum tentu dapat menunaikan janji. Seperti orang bercinta, berkasih tetapi dusta….Kelantan 20 tahun lebih Pas memerintah, tetapi masalah air tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, rentak jentera BN sekarang dirasakan cukup bersedia menghadapi pilihan raya walaupun Pas mendakwa mereka boleh menawan dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Air Puteh dan Cukai di Kemaman.

“Saya yakin kita dapat tambahan kerusi yang lebih banyak pada PRU-13 nanti,” katanya.

99 Nama Boleh Digunakan Untuk Bin, Binti Anak Luar Nikah

Pasangan terlanjur yang malu meletakkan bin atau binti Abdullah pada nama anak mereka boleh memilih 99 nama Allah atau Asmaul Husna untuk menggantikan nama berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata ramai yang tidak tahu perkara itu menyebabkan mereka malu menggunakan bin Abdullah dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf, bagi mengelak anak itu dikesan tidak sah taraf.

"Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Anak tidak sah taraf bukan saja perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah, tetapi boleh menggunakan 99 nama Allah antaranya Abdul Rahim, Abdul Razak, Abdul Malik, Abdul Aziz dan Abdul Latif.

"Jika mereka membuat pilihan ini, bukan saja makna nama itu lebih indah dan mulia, tetapi dapat mengelak daripada keturunan tidak sah apabila sewenang-wenangnya meletakkan nama individu lain sebagai bapa kepada anak luar nikah," katanya semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian kelmarin mengenai ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf.

Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina.

Mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tahun lalu sejumlah 623 pendaftaran anak tidak sah taraf dicatatkan di seluruh negeri ini, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata tindakan pasangan terlanjur menipu tarikh pernikahan adalah tidak beretika, kerana kesan daripada tindakan itu sangat dahsyat dan merosakkan keturunan.

"Sekiranya bapa yang tidak sah mewalikan pernikahan anak tidak sah taraf, kesannya amat dahsyat dan berpanjangan. Jika pernikahan anak (tidak sah taraf) itu tidak sah, maka sepanjang keturunannya sehingga ke anak cucu tidak sah dan berada dalam zina. Malah, dalam pembahagian harta pusaka, anak tidak sah taraf juga tidak layak menerimanya,’’ katanya.

"Jangan hanya kerana malu dan mahu menutup kesilapan sendiri yang berzina hingga melahirkan anak, soal keturunan anak ini diambil mudah. Sudahlah kita melakukan dosa zina, ditambah pula dengan penipuan yang memusnahkan keturunan ini, ingatlah balasan Allah," katanya ketika dihubungi.

T-Team Lepas Indera Putera, Nor Farhan, Haris Safwan

Pemain tunggak pasukan T-Team Indera Putera Mahyuddin, Nor Farhan Mohamad dan Haris Safwan Kamal tidak akan menyarung jersi pasukan itu tahun depan, kata Pengurus pasukan Rozi Mamat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata pemain berkenaan telah berjumpa dengan beliau dan meminta mereka dilepaskan.

"Kita tidak ada masalah dan kita tunaikan permintaan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan T-Team di Majlis Sukan (MSN) Negeri di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Pengarah MSN negeri Zainal Abidin Hussin.

Beliau berkata kedudukan seorang lagi pemain tunggak iaitu Azizi Mat Rose tidak dapat disahkan kerana tidak hadir pada majlis menandatangani kontrak pemain hari ini.

Katanya enam pemain digugurkan iaitu Rosli Muda, Ismail A Rahman, Subri Sulong, Amzar Junaidi, Kamar Rodiajat Mat Ali dan Shazlan Alias.

Mengenai penjaga gol Shamsuri Mustapa, Rozi berkata pemain itu yang telah sembuh daripada kecederaan masih bersama T-Team.

Beliau berkata T-Team juga berhajat mengambil beberapa pemain daripada pasukan Harimau Muda dan perkara itu masih dalam perbincangan.

Mengenai pemain import pula, beliau berkata T-Team bercadang mengambil dua pemain import untuk memperkemaskan pasukan tahun depan dengan keutamaan diberikan kepada pemain dari Uzbekistan, Afrika dan Amerika Latin.

"Mungkin kita sendiri akan pergi ke negara-negara berkenaan untuk mencari pemain yang kita perlukan," katanya.

Sambil menyatakan sasaran pasukan untuk memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia tahun depan, beliau berkata khidmat Yunus Alif sebagai jurulatih pasukan masih kekal.

Pencapaian Terengganu sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia tahun ini adalah satu kejayaan yang amat memberangsangkan, katanya.

Mengenai bajet pula, Rozi berkata bajet T-Team tahun depan daripada kerajaan negeri sama seperti tahun ini iaitu lebih RM2 juta.

Pemuda UMNO Desak Kuota 20 Peratus Untuk Oranng Muda

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan negeri menetapkan kuota 20 peratus kepada golongan muda untuk membeli rumah di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin berkata, soal itu perlu dipertimbangkan sebagai satu inisiatif kerajaan kepada golongan berkenaan di negeri ini yang kebanyakannya masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Menurut beliau, kajian pihaknya mendapati ketiadaan kuota berkenaan akan menyulitkan mereka memiliki rumah kerana terikat dengan pertimbangan lain ketika proses permohonan dikemukakan.

"Selalunya, orang yang mempunyai keluarga besar atau seumpamanya diberikan keutamaan sedangkan masih ramai anak muda kita yang belum mempunyai rumah dan nasib mereka wajar dibela.

"Oleh sebab itu, saya cadangkan agar kuota 20 peratus ini dipertimbangkan kerajaan negeri bagi membolehkan golongan berkenaan lebih mudah memiliki rumah," katanya kepada di Kuala Terengganu semalam.

Untuk rekod, sebanyak 6,737 unit rumah RMM sedang dibina di seluruh Terengganu, melibatkan 23 projek pembinaan.

Kerajaan negeri merancang untuk membina 12,639 unit rumah RMM di seluruh negeri dengan ketua isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan layak memohon.

Saiful menjelaskan, beliau telah menerima banyak aduan daripada golongan muda yang menyatakan bahawa mereka terlalu sukar untuk mendapat kemudahan membeli rumah berkenaan.

"Masalahnya, mereka terpaksa bersaing dan sebab itulah saya katakan bahawa perlunya kuota bagi mereka," katanya.

Serentak dengan itu juga katanya, kerajaan negeri harus mempertimbangkan untuk menaikkan syarat layak memohon daripada pendapatan ketua keluarga bawah RM2,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan kerajaan negeri melobi Kerajaan Pusat agar membangunkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana di negeri ini.

"Terengganu masih mempunyai tanah yang strategik untuk dimajukan dengan projek PRIMA dan berikutan ramai rakyat yang belum memiliki rumah sendiri, maka ia wajar juga diperluaskan ke negeri ini,'' ujarnya.

Utusan Malaysia

PBSNT Lepaskan Irfan Bakti Tanpa Dendam

“Tiada perbalahan ataupun pertikaman lidah antara kami...Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara ini (pengunduran Irfan Bakti) kerana beliau telah memutuskan untuk tidak bersama skuad penyu lagi. Apa yang boleh saya katakan adalah semoga beliau terus berjaya dengan pasukan baru yang bakal dilatih nanti," - Datuk Che Mat Jusoh

Che Mat Jusoh (kiri) dan penolong pengurus, Sheikh Ahmad Tajuddin ketika mengumumkan pengunduran Irfan Bakti Abu Salim (gambar kecil) daripada melatih skuad penyu musim depan dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melepaskan Irfan Bakti Abu Salim tanpa rasa dendam atau tidak berpuas hati.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh secara peribadi menganggap kontroversi pengunduran Irfan Bakti selesai selepas jurulatih kelahiran Kelantan itu memutuskan untuk bersama Selangor musim depan setelah bersama skuad penyu selama dua tahun.

Kelmarin, Irfan dilaporkan naik berang dengan gelagat penyokong Terengganu menggunakan laman sosial menghentam kepimpinan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu gara-gara tidak menyambung kontrak ketua jurulatih itu.

“Tolong jangan cetuskan kontroversi sehingga menimbulkan perbalahan antara saya dengan presiden,” rayu pengendali itu yang menolak tawaran skuad Peteh, kelmarin kerana cenderung untuk membimbing Selangor, musim depan.

“Saya tidak mahu disebabkan tindakan seperti ini, hubungan saya dan pengurusan PBSNT menjadi retak.”

Irfan kesal kerana tindakannya tidak menyambung kontrak bersama Terengganu, musim depan dimanipulasikan penyokong fanatik pasukan Terengganu melalui laman sosial.

“Tiada perbalahan atau pun pertikaman lidah berlaku antara saya dan Che Mat atau penolong pengurus, Sheikh Ahmad Tajuddin pada perbincangan kelmarin. Saya dengan rela hati memaklumkan hasrat saya dan mereka bersetuju,” katanya yang turut akur akan mengendalikan pasukan Selangor, musim depan.

Irfan, 60, mengakui sepanjang mengendalikan skuad penyu bermula tahun lalu, dia mendapat layanan kelas pertama kerana semua permintaannya dipenuhi, termasuk pembayaran gaji, pemberian bonus dan pelbagai kemudahan lain.

“Che Mat meminta saya menyambung kontrak untuk mengendalikan skuad penyu dua musim lagi selepas pasukan Terengganu berjaya menewaskan Selangor pada pusingan pertama, tetapi saya hanya mendiamkan diri kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya sebagai persiapan menghadapi perlawanan pusingan kedua.

“Saya dengan rela hati membuat keputusan untuk tidak bersama skuad penyu musim depan biarpun pengurusan PBSNT bersetuju menaikkan gaji dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kereta baru dan kediaman,” katanya.

Dia juga berpendapat pelantikan Mat Zan Mat Aris menggantikan posisinya itu amat bersesuaian kerana jurulatih itu pernah membantu pasukan Peteh muncul juara Piala Malaysia 2001.

Che Mat mengakui walaupun sedih melepaskan Irfan selepas membantu pasukan Terengganu menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia, tetapi itu adalah kehendak dan permintaannya.

“Tiada perbalahan ataupun pertikaman lidah antara kami. Jadi kami juga berpendapat penyokong fanatik pasukan Terengganu jangan melaga-lagakan kami melalui laman sosial,” katanya.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara ini (pengunduran Irfan Bakti) kerana beliau telah memutuskan untuk tidak bersama skuad penyu lagi.

"Apa yang boleh saya katakan adalah semoga beliau terus berjaya dengan pasukan baru yang bakal dilatih nanti," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika diminta mengulas berhubung kritikan pelbagai pihak yang mengaitkan dirinya dengan pengunduran jurulatih berusia 60 tahun itu, beliau enggan mengulas lanjut dan menegaskan tidak sebarang pergeseran di antara mereka berdua.

Pada Isnin lalu Ketua Jurulatih Terengganu itu mengumumkan akan meninggalkan pasukan naib juara Piala Malaysia itu apabila kontraknya berakhir 31 Nov ini.

Keputusan mengejut itu dibuat kurang dua hari selepas Terengganu gagal menjuarai Piala Malaysia setelah tewas 1-2 kepada negeri sembilan Sabtu lalu.

Bagaimanapun sebelum ini jurulatih itu menegaskan keputusan untuk meninggalkan bumi penyu ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Di bawah kendalian selama dua musim, Terengganu berjaya menjuarai Piala FA, menjadi naib juara Liga Super dan terbaru naib juara Piala Malaysia setelah kalah kepada Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir Sabtu lalu.

Pengunduran jurulatih yang berpengalaman lebih 15 tahun ini bakal digantikan dengan jurulatih kelab Liga Perdana, Mat Zan Mat Aris.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Peteh Wan Mohd Azmi Ngah ketika ditanya mengenai penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak peminat bola sepak Terengganu menyertai demontrasi bagi mendesak Che Mat meletak jawatan, berkata peminat perlu berfikran terbuka dengan hormati keputusan Irfan Bakti.

Demonstrasi itu didakwa dirancang diadakan Jumaat ini oleh kelab penyokong dan pemain yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan PBSNT dalam menjaga kebajikan pemain serta jurulatih.

Wan Mohd Azmi berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan PBSNT malah hubungan baik sudah terjalin sejak dulu lagi termasuk dalam hal berkaitan sokongan kepada pemain.

"Saya berharap kemunculan pasukan Terengganu bersama pengemudi baru, Mat Zan Mat Aris pada musim depan mampu membawa skuad penyu meraih lebih banyak kejayaan berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GanuSoccer.Net (GSN), Ummi Munira Mohd Zawawi melahirkan rasa terkejut dan menegaskan pihaknya tidak mengetahui langsung berkaitan penyebaran SMS tersebut.

Beliau berharap individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan SMS itu dapat menghentikan tindakan tidak profesional itu, sebaliknya turut sama membantu memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi perlawanan pada musim depan.

Suspek Kes Bunuh Ditahan Selepas 23 Tahun

Seorang lelaki yang merupakan suspek kes pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan di Kampung Gong Badang di Besut pada tahun 1988, berjaya ditahan polis semalam.

Lelaki yang kini berumur 48 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 pagi dalam serbuan di sebuah rumah di kampung Alor Lintah, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintenden Noor Zainy Mohd Nor.

Dalam kejadian 23 tahun lepas, lelaki yang ketika itu berusia 25 tahun disyaki membunuh kanak-kanak lelaki itu ketika dia sedang tidur dalam buaian di Kampung Gong Badang.

Lelaki itu dipercayai melarikan diri ke selatan Thailand dan bekerja sebagai penoreh getah di sana.

Noor Zainy berkata lelaki itu ditahan semasa dia pulang untuk melawat ibunya yang sakit.

"Suspek ditemui secara kebetulan ketika sepasukan anggota polis bahagian Narkotik dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut menyerbu kediaman ibu suspek untuk menahan anak saudaranya yang disyaki terbabit dalam kes dadah.

"Apabila mendapati anak saudaranya tidak berada di rumah itu, polis telah memeriksa suspek dan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau lalu menahannya," katanya.

Noor Zainy berkata lelaki yang masih bujang itu direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Irfan Bakti - "Minta Maaf Datuk Seri...."

''Saya minta maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kerana membuat keputusan berhijrah tanpa memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

''Beliau memang seorang peminat bola sepak dan saya cukup terharu dengan sokongan yang beliau berikan sepanjang saya menjadi jurulatih, namun keputusan meninggalkan Terengganu tidak boleh dielakkan lagi," luahan Irfan Bakti di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Said kelmarin berkata, beliau mengharapkan jurulatih itu berfikir dua kali sebelum meninggalkan skuad Terengganu.

Malah, Ahmad Said sedia berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Irfan untuk mendapatkan kepastian kerana beliau sebelum ini dimaklumkan tawaran kontrak selama dua musim ada ditawarkan kepada jurulatih berusia 60 tahun itu.

Irfan dianggap sebagai seorang jurulatih berpengalaman di negara ini kerana pernah membimbing beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka Perlis dan kelab Indonesia, Persipura serta Terengganu.

Bukan mahu bersikap tidak mengenang budi, jurulatih yang berasal dari Kelantan itu menganggap dia tidak mahu menimbulkan masalah di kemudian hari jika masih membimbing Terengganu walaupun enggan menyatakan punca sebenar meninggalkan skuad Penyu itu.

''Menteri ada berjumpa dengan saya sebelum ini dan bercakap perkara itu (kontrak), tetapi atas sebab tertentu iaitu perkara yang saya sifatkan terlalu peribadi, saya tidak dapat meneruskan apa yang dimahukan oleh MB (Ahmad Said), saya benar-benar minta maaf.

''Terus-terang saya cukup hormati MB (Ahmad Said) di samping tidak melupakan penyokong setia yang tidak putus-putus memberikan rangsangan kepada saya sepanjang dua musim di Terengganu," jelasnya.

Irfan memberitahu, dia yang sebenarnya telah menghubungi Selangor menawarkan khidmat membimbing skuad Merah Kuning dan bukannya tawaran datang dari pasukan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

''Sudah lama saya minat hendak menjadi jurulatih Selangor dan ini mungkin peluang terbaik saya ke sana," katanya.

Utusan Malaysia

Sekolah Diingatkan Tidak Tuntut Yuran Yang Telah Dimansuhkan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak pentadbiran sekolah kerajaan supaya tidak menuntut segala bentuk yuran yang sudah dimansuhkan termasuk yuran peperiksaan, kertas peperiksaan dan ko-kurikulum daripada pelajar.

Beliau berkata pemansuhan yuran yang membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta itu kini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan sebagaimana diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

"Kerajaan akan mengambil alih segala kos yang biasa dikenakan untuk peperiksaan, untuk membeli kertas-kertas, untuk ko-kurikulum dan sebagainya. Jadi saya harap sekolah-sekolah tidak akan menuntut bayaran sebegini kerana semuanya akan ditanggung kerajaan.

"Kita harap dengan pemansuhan ini juga akan dapat mengurangkan beban ibu bapa dan membantu anak-anak ke sekolah," katanya ketika berucap di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran akhbar harian berbahasa Tamil, Malaysia Nanban di Kuala Lumpur.

Seramai 185 pelajar India yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lepas dan mendapat A dalam mata pelajaran bahasa Tamil diraikan pada majlis itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau berharap pencapaian di sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara akan menjadi setanding dengan pencapaian sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah kebangsaan.

"Bagi kita, pendidikan adalah wahana paling penting dalam melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi yang akan menjadi faktor penentu kemajuan negara.

"Dalam soal ini kita tidak membeda-bedakan antara kaum dalam negara kita untuk mendapat hak dalam soal pendidikan. Oleh sebab itu setiap kaum kita berikan tumpuan. Kita ada hampir 10,000 sekolah di seluruh negara dan lebih 500 daripada jumlah itu adalah sekolah Tamil," katanya.

Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti cadangan yang dibuat Shafee Zaman yang dalam ucapan aluannya menyarankan supaya bahasa Tamil dijadikan mata pelajaran wajib diduduki oleh pelajar India dalam peperiksaan SPM.

"Kita akan meneliti perkara itu kerana kementerian juga perlu mengambil kira mata pelajaran bahasa lain dan ia akan diputuskan selepas diteliti kementerian," katanya.

Produk Keluaran PDK Akan Diedarkan JKM

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu akan membantu memasarkan produk dihasilkan oleh pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri.
Pengarah JKM Terengganu Zuhami Omar berkata tinjauan pihaknya mendapati pelbagai produk berjaya dihasilkan oleh PDK yang berkualiti dan mampu dipasarkan untuk kegunaan orang ramai.

Katanya, beliau tertarik dengan usaha PDK Bandar Jerteh yang berjaya menghasilkan produk sabun untuk kegunaan pelajarnya membasuh tangan yang kini digunakan secara meluas dan boleh dipasarkan kepada umum.

"Sabun yang dibuat sendiri oleh pengurusan dan pelajar PDK Bandar Jerteh itu berkualiti dan JKM akan membantu memasarkannya untuk kegunaan dalam negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat PDK Bandar Jerteh semalam.

Beliau berkata sabun untuk kegunaan membasuh tangan itu akan diedarkan ke setiap PDK seluruh negeri di samping pejabat agensi-agensi JKM serta kegunaan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir untuk kegunaan seharian dalam masa yang terdekat.

Selain itu, beliau berkata produk lain yang berjaya dihasil PDK seperti makan sampingan dadih dengan pelbagai rasa, produk kraftangan seperti anyaman dan jahitan, akan turut dipasarkan dan dipamerkan di peringkat kebangsaan.

Promosi Kraf Malaysia, Termasuk Dari Terengganu Di 1Borneo, Sabah

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah akan mengadakan Promosi Kraf Malaysia peringkat negeri kali ke-3 di pusat membeli belah 1Borneo Hypermall, dekat sini, selama seminggu bermula 24 November ini.

Pengarahnya Mohammad Latiff Dirun berkata program promosi yang bertemakan "Kraf Menjana Ekonomi" itu akan menyediakan pelbagai aktiviti dalam usaha meningkatkan pemasaran dan promosi produk kraf Malaysia terutama di peringkat domestik.

Katanya, program yang diadakan setiap tahun itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan pelancong khususnya produk kraf yang mempunyai kualiti dan keunikan yang tersendiri.

Ini terbukti daripada jumlah pendapatan yang meningkat setiap tahun dan sasaran jualan hasil kraf tahun ini iaitu sekitar RM400,000, katanya kdi Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata program itu juga bertujuan membantu pengusaha kraf tempatan untuk memasarkan produk mereka kepada pelbagai lapisan masyarakat dan juga pelancong dalam dan luar Negara.

Ini secara tidak langsung akan meluaskan pasaran kepada produk dan meningkatkan pendapatan mereka seterusnya membantu memacu industri kraf negara, katanya.

Mohammad Latiff berkata antara aktiviti yang diadakan sempena kempen promosi kraf itu ialah jualan kraf, pameran produk baru, demonstrasi kraf, pendidikan dan interaktif kraf.

Beliau berkata aktiviti jualan kraf itu akan disertai oleh 70 pengusaha kraf seluruh Negara termasuk Kelantan, Sarawak, Kedah, Melaka, Selangor dan Terengganu merangkumi bidang kraf seperti hasil rimba, tekstil, aneka Kraf dan logam.

Turut diperagakan ialah rekaan baru produk batik dengan bercirikan etnik negeri Sabah, fesyen batik, produk dari keladi hutan (buntoi) dan pameran teknologi pembuatan dan penghasilan produk (produk kajian), kata beliau.

Mohammad Latiff berkata dmonstrasi kraf melibatkan bidang-bidang seperti penghasilan dan pembuatan anyaman Tudung Duang dan anyaman Kelarai Buluh.

Irfan Bakti Tinggalkan Terengganu Atas Keputusan Sendiri - Ahmad Said

Keputusan Ketua Jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim meninggalkan pasukan penyu itu untuk melatih pasukan bola sepak Selangor adalah atas kehendaknya sendiri.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau mendapat maklumat bahawa keputusan itu dibuat Irfan Bakti tanpa tekanan mana-mana pihak.

Ahmad Said berkata Terengganu mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang diberi sehingga berjaya menjadi juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan juara Liga Super.

"Pemergiannya ke sana (Selangor) mungkin (kerana) beliau mendapat tawaran yang lebih baik atau sebagainya," katanya.

Mengenai kenaikan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan baru-baru ini, Ahmad berkata itu urusan FAM dan beliau tidak boleh masuk campur soal persatuan.

"Dia (FAM) ada rasionalnya naikkan harga tiket. Persatuan sukan sebenarnya dibantu oleh kerajaan, kalau harapkan tiket, mereka tidak boleh menguruskannya sendiri," katanya.

Mengenai tiket subsidi yang disalahguna sesetengah pihak yang menjualnya dengan harga yang mahal, Ahmad berkata beliau akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Beliau berkata FAM mengagihkan 30,000 tiket ke Terengganu dan kerajaan bersetuju membuat potongan 50 peratus dan tiket-tiket berkenaan diagih menerusi pejabat Pembangunan Dewan Undangan Negeri dan pejabat Wakil Rakyat.

"Saya dimaklumkan ada yang jual sendiri untuk mendapat untung. Saya minta siasat perkara ini benar atau sebaliknya. Mungkin ada individu tertentu ambil kesempatan nak cari duit," katanya.

Ditanya kemungkinan beliau mengambil alih jawatan Presiden Pesatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Ahmad Said berkata:"Saya sibuk. Bagilah pada orang lain. Saya sentiasa memberi sokongan asalkan mereka dapat mengurus persatuan dengan baik".

Masih Kenal Pasti Kedai Layak

Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa restoran atau kedai makan yang bena-benar layak untuk disenaraikan sebagai Restoran Menu Rakyat 1Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata pihaknya belum mendapat senarai penuh berkaitan mana-mana restoran yang menawarkan harga berpatutan kerana masih dalam proses pemilihan.

Katanya, apabila senarai penuh diperoleh, satu majlis khas akan dianjurkan untuk memperkenalkan restoran terpilih supaya orang ramai dapat berkunjung dan menikmati menu yang disediakan.

“Kewujudan Restoran Menu Rakyat 1Malaysia mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa ada kedai yang masih menjual harga pada yang berpatutan dan tidak timbul lagi isu makanan mahal terutama dengan situasi di negeri ini.

“Saya yakin rakyat akan menyokong restoran yang menawarkan harga berpatutan ini, manakala restotan terpilih itu perlulah mengikut pakej yang diperkenalkan,” katanya.

Dr A Rahman mengakui sebahagian besar restoran di Terengganu tidak meletakkan harga standard sehingga mengelirukan orang ramai.

Harapan Jadi Hos Sepak Takraw Super Series Berkecai

Hasrat Terengganu untuk menjadi tuan rumah kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf yang dijadual berlangsung Disember ini berkecai apabila Malaysia tidak dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu tahun ini.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd Shapian Ali berkata, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail telah memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Saya telah terima emel daripada PSM (Ahmad) dua tiga hari lepas memaklumkan berhubung perkara itu. Kita tidak dimaklumkan di mana pula kejohanan itu akan diadakan,” katanya semalam.

Mohd Shapian yang juga Naib Presiden PSM berkata, kerajaan negeri telah memberi lampu hijau kepada PSTNT untuk menganjurkan kejohanan tersebut dan sesuatu yang menyedihkan apabila kejohanan itu tidak diadakan di Terengganu.

Mohd Shapian berkata, kejohanan super series yang dijadual Disember ini merupakan yang kedua daripada lima siri, dengan yang pertama diadakan di Bangkok, Thailand awal September lepas.

Kaunter JPN Seluruh Negara Tutup Mulai 5 hingga 7 Nov

Operasi kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara akan ditutup selama tiga hari mulai 5 hingga 7 Nov sempena Hari Raya Aidiladha.

Menurut kenyataan JPN semalam, kaunter JPN akan beroperasi semula seperti biasa pada Selasa, 8 Nov.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi pejabat Khidmat Pelanggan ibu pejabat JPN Putrajaya di talian 03-88807077/7071/7067/7069/8206.

Wednesday, November 2, 2011

Isu Jurulatih – Kemelut Apa Yang Melanda PBSNT Ketika Ini?

Irfan masih enggan menyatakan sebab sebenar beliau mahu tinggalkan Terengganu. Perlukah campur tangan Ahmad Said dalam isu ini?

"Memang sedih nak tinggalkan negeri ini dan pemain, namun di saat ini saya terpaksa buat keputusan ini demi masa depan pasukan dan diri sendiri.

Demikian kata Irfan Bakti tanpa mengulas lanjut punca sebenar beliau mengambil tindakan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Terengganu kelmarin.

Irfan kelihatan sugul ketika mengumumkan keputusannya, namun menafikan keputusannya itu kemungkinan berkait dengan situasi tidak menyenangkan baginya.

Ketika Irfan sudah memuktamadkan keputusannya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengharapkan jurulatih itu berfikir dua kali sebelum meninggalkan skuad Terengganu.

Ahmad Said menyatakan beliau tidak bermaksud mahu campur tangan dengan pihak pengurusan PBSNT tetapi khidmat jurulatih yang berusia 60 tahun itu masih diperlukan untuk misi kejuaraan akan datang.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau sepanjang membimbing pasukan Terengganu dan saya berharap beliau akan kekal bersama Terengganu untuk tahun hadapan." ujar Ahmad Said.

Menteri Besar Terengganu melihat ada kewajarannya Irfan terus bersama Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan jika jurulatih itu mahukan cabaran lebih besar kerana harapan makin tinggi.

Menurut Ahmad Said, beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan jurulatih berasal dari Kelantan itu untuk mendapatkan kepastian.

Sebelum ini, katanya, beliau dimaklumkan PBSNT ada menawarkan kontrak kepada Irfan Bakti untuk dua musim lagi, namun tidak tahu mengapa jurulatih itu enggan menyambung kontraknya.

Pertanyaan, apakah PBSNT membuat keputusan bersendirian tanpa merujuk kepada ‘ketua majikan’ mereka dalam membuat keputusan?

Ahmad Said memang mengambil berat sukan bolasepak negeri dan peruntukan tahunan dua pasukan negeri – Terengganu dan T’Team – mendapat perhatian serius beliau walaupun tidak memegang jawatan sebagai Presiden persatuan bola sepak negeri seperti rakan Menteri Besar di negeri lain.

Ahmad Said mengiktiraf bahawa selama dua musim di bawah kendalian Irfan, Terengganu berjaya menjuara Piala FA, menjadi naib juara Liga Super dan terbaru naib juara Piala Malaysia selepas kalah kepada Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir Sabtu lalu.

Irfan akan tetap akan diingati sebagai jurulatih yang bertanggungjawab menjadikan Terengganu gergasi bola sepak Pantai Timur.

Pengumuman Irfan dalam nada sebak sambil mengakui keputusan itu sesuatu yang sukar untuk dilakukannya menggambarkan sesuatu yang tidak kena.

Secara terbuka Irfan mengakui pasukan Terengganu merupakan pasu- kan terbaik yang pernah dibimbingnya sejak menjadi jurulatih lebih 20 tahun lalu.

“Saya sayangkan pasukan ini dan saya sayangkan pemain-pemain saya. Mereka telah memberikan kerjasama yang cukup baik sepanjang dua musim saya berada di sini,” ujarnya yang mempunyai kontrak sehingga 31 November ini.

Ditanya adakah faktor dalaman mendorong keputusannya untuk menarik diri, Irfan enggan mengulas sebaliknya memberi alasan inginkan cabaran baharu.

Irfan yang menggantikan Ken Worden sebagai jurulatih Terengganu pada awal musim 2010, tidak menafikan yang beliau memang ada menerima tawaran daripada pasukan lain.

Namun, bekas pengendali skuad Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Telekom Melaka itu masih belum bersedia untuk mendedahkan pasukan yang bakal disertainya pada musim depan.

Dan pengumuman tergesa-gesa tanpa memaklumkan kepada Menteri Besar oleh PBSNT yang mengundang Ahmad Said mahu berbincang secara tiga mata – Ahmad Said, PBSNT dan Irfan – menggambarkan bahawa Ahamd Said tidak dimaklumkan mengenai keputusan PBSNT mahu mengambil jurulatih baharu.

"Saya akan berbincang dengan kedua-dua belah pihak mengenai perkara ini dan berharap jurulatih itu terus dapat berkhidmat dengan pasukan Terengganu kerana beliau telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan ini," katanya pada majlis perasmian Sukan Rakyat Mega di Kampung Jeram Manir, dekat Kuala Terengganu, malam kelmarin.

PBNST telah pun menawarkan tugas yang dikosongkan Irfan itu kepada bekas jurulatih Pos Malaysia, Mat Zan Mat Aris secara lisan.

Terengganu Dapat Faedah Daripada Program Pembangunan Kemahiran ECER

Wilayah ekonomi Pantai Timur (ECER) akan melancarkan program "Memperkasa Kemaman" untuk meningkatkan pencapaian akademik dan keupayaan mendapatkan pekerjaan di kalangan penduduknya di sini.

Satu kenyataan daripada ECER berkata esok (Khamis)Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, akan melancarkan program itu yang bertujuan meningkatkan kemahiran di kalangan pendudukanya di samping menyediakan latihan akademik kepada pelajar-pelajar UPSR, PMR dan SPM.

Program yang ditawarkan secara percuma ini terdiri daripada dua program utama iaitu Latihan Kemahiran Akademik dan Latihan Kemahiran Keusahawanan.

Daerah Kemaman dipilih bagi projek "memperkasa" perintis di Terengganu pada Mac.

Katanya program yang akan mengambil kumpulan pertama 900 penduduk itu melibatkan pelajar, penganggur, lepasan sekolah, graduan baharu dan ibu/bapa tunggal yang tinggal di Kemaman.

Program ini telah dilaksanakan di Bentong, Temerloh dan Kuala Lipis di Pahang; dan Jeli di Kelantan sejak tahun lepas.

Terengganu Julung Kali Sertai Kejohanan Renang Piala Presiden

Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) buat pertama kali akan menghantar 15 atlet untuk menyertai Kejohanan Renang Piala Presiden ke-30 di Shah Alam, Selangor 18 Nov ini.

Setiausaha PRAT Yan Kong Lee berkata mereka terdiri daripada 10 atlet lelaki dan lima wanita.

"Sebagai pendatang baru dalam arena sukan renang, inilah peluang terbaik untuk perenang kami menguji bakat di peringkat yang lebih tinggi. Kami tidak meletakkan sebarang sasaran," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata kejohanan antara kelab-kelab di Malaysia itu terbahagi kepada beberapa kategori iaitu bawah umur 11, 13 dan 15 tahun. Terengganu menyertai semua acara yang dipertandingkan.

Sementara itu, Yan berkata seramai lapan perenang terdiri dari empat lelaki dan empat wanita dipilih untuk menyertai kem latihan atlet Sukma Terengganu di Melaka dari 18 hingga 25 Dis.

Monsun Timur Laut Mungkin Landa Terengganu Awal Bulan Ini

Negara diramalkan mengalami Monsun Timur Laut mulai awal November sehingga awal Mac 2012 yang boleh menyebabkan hujan lebat dan banjir di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Menurut Jabatan Meteorologi, dalam tempoh musim ini, negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, kawasan pantai Sarawak dan Pantai Timur Sabah akan mengalami hujan lebat yang berterusan selama dua hingga tiga hari akibat luruan monsun.

"Dalam kes cuaca yang ekstrem, hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari dan boleh menyebabkan berlakunya banjir.

"Episod hujan lebat biasa berlaku terutamanya di negeri-negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung iaitu bermula di negeri Kelantan dan Terengganu pada bulan November dan awal Disember," kata jabatan itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambah laporan itu lagi, hujan monsun yang lebat secara perlahan-lahan akan beranjak ke selatan, lazimnya kawasan timur negeri Pahang dan Johor akan mengalami hujan lebat pada bulan Disember dan awal Januari.

Teganukita

Juara Dunia Mara Ke Terengganu Untuk Pusingan Akhir

Lapan negara, tujuh bulan persaingan, satu juara dunia. Saingan untuk memenangi Kejohanan Match Racing Dunia ISAF bagi tahun 2011 bermula di Marseille, Perancis, di mana Damien Iehl (Perancis Match Racing Team) mengalahkan pasukan negaranya Bertrand Pace (Aleph Sailing Team) di Match Race Perancis.

Perlumbaan bersambung di Langenargen, Jerman di mana Francesco Bruni (ACP/Bruni Racing) memperoleh kemenangan pertamanya dalam Siri Jelajah Dunia Match Racing selepas mengalahkan Datuk Peter Gilmour (AUS/Yanmar Racing) yang merupakan Juara Dunia empat kali di Match Race Jerman.

Namun, Bruni tewas kepada Bjorn Hansen (SWE/Mekonomen Sailing Team) dalam acara kemuncak di Gyeonggi, Korea Selatan.

Semasa Portimao Portugal Match Cup di Portugal, Bruni telah tewas kepada Ian Williams (GBR/Team GAC Pindar) yang telah memenangi acara pertamanya selepas tiga tahun.

Kemenangan Williams meneruskan corak pemenang yang berlainan pada setiap empat peringkat Siri Jelajah Dunia Match Racing 2011, menjadikannya musim yang paling hangat dipertandingkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Kemenangan Williams melonjakkan pasukannya dari kedudukan ke-10 ke tempat ketiga, pada pertengahan siri.

Di Marstrand, Sweden, Williams memperoleh kemenangan kedua berturut-turut ketika bersaing dengan Hansen dalam perlumbaan yang sengit di Stena Match Cup Sweden.

Perlumbaan diteruskan ke St Moritz, Switzerland di mana Torvar Mirsky (AUS/The Wave Muscat) telah dinobatkan juara baru selepas mengalami musim yang agak mencabar ini manakala Williams tamat di tempat ketiga untuk mara ke kedudukan pertama keseluruhan kejohanan Siri Jelajah Dunia Match Racing.

Mirsky seterusnya telah menang dalam saingan kalah mati kepada Berntsson (Swe/Berntsson Sailing Team) di Argo Group Gold Cup di Hamilton, Bermuda.

Justeru beliau menuntut kemenangan kedua berturut-turut pada Siri jelajah Match Racing 2011.

Kemenangan Bruni pada perlawanan penentu tempat ketiga telah mendekatkan lagi persaingan dengan hanya enam mata di antara Williams, Bruni dan Mirsky untuk mara ke Piala Monsun.

Turut menyertai adalah dua jemputan wildcard, Mathieu Richard (FRA/French Match Racing Team) yang dengan 69,6 mata Pmasih boleh menjuarai Kejohanan Dunia dan Phil Robertson (NZL/WAKA Racing) yang baru sahaja menandatangani perjanjian dengan Team China, pencabar rasmi untuk Piala Amerika.

Melengkapkan senarai peserta Piala Monsun 2011 adalah pemenang Kejohanan Match Racing Asia, William Tiller (NZL/Full Metal Jacket Racing) dan Juara Match Racing Malaysia, Jeremy Koo (Abdullah Chan/KRT).

Juara Dunia Match Racing ISAF 2011 akan diputuskan pada Piala Monsun, yang berlangsung dari 22 hingga 27 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Kuala Terengganu.

Jom Bersih Tukun’ Bantu Nelayan Pesisir


Penyelam UMT membawa naik pukat yang tersangkut pada tukun semasa program Jom Bersih Tukun di perairan Seberang Takir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Tukun-tukun yang didamparkan di dasar perairan Seberang Takir di sini tidak lagi menjadi kawasan lubuk ikan apabila hasil tangkapan nelayan di kawasan itu makin berkurangan.

Mereka mengeluh dan puncanya disebabkan pencerobohan bot pukat tunda yang mengaut hasil di situ dan pukat-pukat yang terputus menutupi tukun sehingga fungsinya sebagai pusat pembiakan terjejas.

Bagi membantu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi (SCD) mengambil pendekatan untuk membersihkan tukun berkenaan baru-baru ini.

Program ‘Jom Bersih Tukun’ menggunakan kepakaran 26 penyelam dari UMT serta dibantu Jabatan Perikanan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan kawasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Program selama dua hari di kawasan dengan kedalaman 20 meter itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Naib Censelor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Menurut Noor Azhar, empat buah bot milik UMT digunakan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, UMT mempunyai kepakaran dalam selam skuba dan kemudahan peralatan yang sudah tentu akan memudahkan aktiviti memotong dan menaikkan pukat tersebut.

‘‘Tukun-tukun di kawasan perairan berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi tujuan pembiakan ikan apabila persekitarannya terjejas.

‘‘Nelayan di kawasan berkenaan mengalami masalah kekurangan sumber ikan dan memaksa mereka ke kawasan lebih jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan,” ujar beliau.

Melalui program itu katanya, penyelam akan membersihkan tukun bagi memboleh ia berfungsi semula dengan baik dan sekali gus melestarikan hidupan laut itu.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Teluk Ketapang, Mohd Razaki Abdullah berterima kasih kepada UMT kerana menggerakkan usaha itu.

Katanya, selama ini nelayan merungut kerana hasil tangkapan mereka semakin berkurangan apabila bot pukat tunda sering menceroboh kawasan sehingga kawasan tukun bukan lagi lubuk ikan.

Utusan Malaysia

Zeti: Angka KDNK Llebih Baik Pada Suku Ketiga

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata adanya penambahbaikan dalam angka-angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga negara, disokong oleh permintaan penggunaan yang kukuh dan pelaksanaan pelbagai projek kerajaan.

"Tetapi, kita akan tengok setakat mana penambahbaikan itu - sama ada ia lebih daripada 4.5 peratus atau hampir kepada 5.0 peratus," kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

BNM dijadual mengumumkan angka KDNK suku ketiga Malaysia pada 18 November.

"Daripada petunjuk perdagangan yang kita lihat, permintaan pengguna dan pelaksanaan beberapa projek oleh kerajaan, kesemuanya dalam trend positif, dan pembiayaan terus agak kukuh dalam suku ketiga," tambah beliau.

Menjawab soalan sama ada Malaysia lebih bimbang mengenai inflasi atau pertumbuhan, Zeti berkata kedua-duanya mendapat perhatian.

"Situasinya begitu dinamik, kita kena buat penilaian yang amat berhati-hati. Kita tidak mahu menjejaskan prospek masa depan pertumbuhan kita jika kita punya inflasi tinggi, ia akan menjejaskan pertumbuhan masa depan."

Jadi, dasarnya tidak boleh hanya sementara, ia perlu mampan sehingga tempoh pertengahan, tambah beliau.

JKM Terengganu Selesai Hantar Keperluan Banjir

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah menghantar barangan keperluan banjir ke semua 138 pangkalan hadapan termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang bagi menghadapi musim banjir ini.

Pengarah JKM Terengganu Zuhami Omar berkata barangan keperluan seperti beras, sardin, gula, teh, minuman, susu tepung dan ikan kering bernilai RM700,000 itu mula dihantar beberapa minggu lepas.

Beliau berkata bekalan yang dihantar itu adalah untuk tempoh dua minggu bagi beberapa pangkalan hadapan di daratan manakala barangan bagi dua pulau ialah untuk sebulan.

Zuhami berkata cuti lebih 500 kakitangan termasuk pegawai jabatan itu akan dibeku sebaik sahaja musim tengkujuh dan banjir melanda Terengganu.

Sementara itu ketika berucap merasmikan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Jerteh di sini, Zuhami meminta ibu bapa yang mempunyai anak-anak dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya mendaftarkan mereka dengan jabatan itu.

Harap Irfan Kekal Bersama Terengganu - MB

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap Irfan Bakti Abu Salim berfikir dua kali sebelum membuat keputusan mengejut untuk tidak terus bersama pasukan Terengganu pada musim hadapan.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan jurulatih berasal dari Kelantan itu untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Sebelum ini katanya,beliau dimaklumkan PBSNT ada menawarkan kontark kepada Irfan Bakti untuk dua musim lagi namun tidak tahu mengapa beliau enggan menyambung kontak itu.

"Saya akan berbincang dengan kedua-dua belah pihak mengenai perkara ini dan berharap jurulatih itu terus dapat berkhidmat dengan pasukan Terengganu kerana beliau telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan ini." katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita pada majlis perasmian Sukan Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu di Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu, malam semalam.

Ahmad Said berkata beliau tidak bermaksud mahu campur tangan dengan pihak pengurusan PBSNT tetapi khidmat jurulatih yang berusia 60 tahun itu masih diperlukan untuk misi kejuaraan akan datang.

"Saya berpuas hati dengan khidmat beliau sepanjang membimbing pasukan Terengganu dan saya berharap beliau akan kekal bersama Terengganu untuk tahun hadapan." Kata Ahmad.

Irfan Bakti yang membimbing pasukan Terengganu selama dua musim sehingga pasukan itu muncul naib juara Piala malaysia dan turut membantu Terengganu menduduki tangga kedua Liga Super selain memenagi Piala FA musim ini.

Kelmarin, Irfan Bakti mengumumkan akan meninggalkan Terengganu apabila kontraknya berakhir 31 November ini.