|
Ahmad Said secara rasmi menjadi Yang Dipertua PERKASA Terengganu mulai semalam. |
Ke mana hala perjuangan Datuk Seri Ahmad Said selepas
mendapat jawatan Yang Dipertua Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) Terengganu bekuatkuasa
semalam?
Dengan memiliki vehicle
secara rasmi, langkah politik bekas menteri besar itu semakin panjang, Apakah
keadaan ini akan mendatangkan masalah kepada Menteri Besar dan UMNO Terengganu?
Juga apakah ‘serangannya’ terhadap kerajaan negeri,
khususnya Ahmad Razif Abdul Rahman menjadi semakin sengit?
Cakap-cakap di Terengganu mengatakan Ahmad Said tidak
rugi apa-apa jika beliau terus mengkritik kerajaan negeri dan kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ini kerana beliau mungkin digugurkan sebagai calon untuk
DUN Kijal pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau turut dikatakan menimbang untuk melepaskan
jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Walupun beliau belum mengumumkan haluan politiknya, ADUN
Kjial itu dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri
itu baru-baru ini mengumumkan akan menubuhkan parti baharu.
Seperkara lagi, Ahmad
Said belum menyatakan secara khusus apa ‘rahsia besar Najib’ yang ada padanya.
Menurutnya rahsia itu ada ‘dalam poketnya’.
Pelantikan Ahmad Said dalam PERKASA itu dibuat ketika
beliau menolak jawatan timbalan EXCO Terengganu
secara rasmi semalam.
Ahmad Said berkata beliau menolak pelantikan sebagai
timbalan pengerusi Jawatankuasa Perumahan
dan Kerajaan Tempatan yang diumumkan Ahmad Razif kelmarin kerana berminat
bekerja secara sukarela.
"Saya rasa sekarang ini saya lebih berminat bekerja
secara sukarela daripada dibayar gaji sebab saya dah berpencen," katanya
pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa PERKASA di Kuala
Terengganu semalam.
Pengerusi PERKASA Datuk Ibrahim Ali mengumumkan dalam sidang media itu,
pelantikan Ahmad Said sebagai yang dipertua PERKASA Terengganu berkuatkuasa
semalam.
Beliau menggantikan Datuk Ismail Samah yang mahu
menumpukan kepada perniagaan selain bergiat untuk PERKASA di Parlimen Setiu
sahaja.
Ketika ini Ahmad Said menyepi diri sejak beberapa ketika. Tetapi jangan lupa sidang DUN ada dua kali lagi itu pada Ogos dan Disember depan. Apakah Ahmad Said akan melakukan sesuatu yang 'tidak diduga' sekali lagi?
Pelantikan Ahmad Said sebagai Timbalan EXCO diumumkan oleh Ahmad Razif kelmarin sempena rombakan
dan penstrukturan semula EXCO melibatkan pertambahan dan pertukaran tugas
dalam usaha memantapkan pentadbiran negeri.
Ahmad Said menimbukan kekecohan pada Persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebelah pagi pada 8 Mac lalu berikutan cadangan
usul undi tidak percaya oleh ADUN Kijal itu terhadap Menteri Besar. Bagaimanapun
usul itu ditolak oleh Datuk Mohd Zuber Embong kerana tidak mengikut peraturan
ketika mencadangkannya.
Usul undi tidak percaya itu dibuat oleh Ahmad Said ketika
membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum
sidang berehat. Malah, bekas menteri besar yang mengemukakan cadangan itu kemudian langsung
tidak kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu.
Berikutan itu, Ahmad Razif berkata tindakan Ahmad Said
mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya, sebagai menteri
besar Terengganu, dibuat atas dorongan pihak tertentu.
Ahmad Razif turut menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai
satu hikmah kerana beliau kini dapat mengetahui siapa musuh daripada dalam yang
cuba menjatuhkan BN di Terengganu.
Sebelum itu, pada persidangan DUN 12 Mei 2015, sidang DUN
turut dikejutkan dengan pendedahan-demi pendedahan oleh Ahmad Said ketika
menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan
Terengganu.
Paling mengejutkan ialah pendedahan beliau berkaitan
cubaan pihak yang ingin mencagarkan hasil gas dan minyak Terengganu dan
akhirnya dibatalkan atas bantahan pihaknya dan menyebabkan dia “diturunkan” dari
jawatannya.
Beliau turut mengemukakan pertanyaan berkenaan jumlah
sebenar Dana Khas kerajaan negeri yang telah digunakan dalam
pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2. Soalan itu dikemukakan kerana katanya,
beliau sendiri tidak mengetahui berapakah kos sebenar pembinaan LPT2 itu kerana
beliau dimaklumkan LPT2 bernilai RM4 billion.
Juga ditanya ialah sikap kerajaan negeri sendiri mengenai
penemuan minyak Bertam 307 yang terletak 120 km dari Pantai Geliga, yang mana Perdana
Menteri telah menyebut bahawa Bertam 307 adalah ditemui di Pahang. Beliau menafikan
dakwaan Perdana Menteri itu sambil
menegaskan ia adalah hak Terengganu. Pahang ada sedikit 307 A dan B, Bertam A,
B tapi sedikit sahaja, katanya.
.
Beliau meminta agar Menteri Besar memikul amanah rakyat
Terengganu dengan mendapatkan kepastian daripada perdana menteri berkenaan
status Bertam 307 itu. Beliau memaklumkan
kepada Dewan, ketika dia menjadi Menteri Besar, beliau pernah menulis
surat kepada Petronas dan Petronas hanya mendiamkan diri.
Beliau juga menimbulkan isu kenapa kerajaan pusat
membayar Dana Khas dengan kadar lebih rendah kepada kerajaan negeri pada enam
bulan pertama. Katanya, jika alasan harga minyak jatuh, maka kenapa ketika
harga minyak naik, kerajaan pusat tidak membayar lebih kepada kerajaan negeri
kerana pembayaran itu berasaskan anggaran harga minyak ialah sebanyak 75 dolar
bahi satu tong.
Di Kemaman kelmarin, Ahmad Razif menjelaskan rombakan portfolio anggota EXCO yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran
tugas, yang berkuatkuasa 1 Ogos, adalah perkara biasa, malah tiada sebarang isu
yang harus ditimbulkan.
Mengenai pelantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ahmad Razif berkata
perkara itu bukan perkara baru.
"Malah setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang
jawatan pengerusi secara automatik dilantik memegang jawatan timbalan
pengerusi. Sebelum ini Ahmad Said memang ada memegang jawatan timbalan
pengerusi, cuma kita tak umum jawatan itu... tapi sekarang kita umumkan jawatan
timbalan pengerusi sebab nak mudahkan urusan pentadbiran.
"Ini sudah menjadi perkara biasa dan bukan perkara baharu... lagipun kita
memang tak cukup orang sampai ada ada wakil rakyat BN yang menjawat sehingga
dua jawatan timbalan. Jadi, jawatan timbalan kita kekalkan, tak ada
perubahan,"
katanya.
Ahmad Said menjelaskan semalam, beliau belum menerima
surat rasmi mengenai pelantikan itu dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.