Friday, November 19, 2010

Selagi Ada Ahmad Said, PAS Sukar Tawan Terengganu

"Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS." - Shuhaimi Al-Maniri

Ahmad Said dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang mesra.

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri (http://kalamperantau.wordpress.com)Disiarkan semula oleh Teganukini, Khamis 11 November 2010 – (Tajuk Asal: “Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS Makin Sukar?”)

Beberapa orang kenalan dalam PAS minta pandangan saya berhubung dengan peluang PAS memerintah semula Terengganu selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. Satu soalan cepu emas yang sukar untuk saya jawab sebenarnya.

Gambar menceritakan seribu makna. Bolehkah Datuk Idris Jusoh duduk semeja seperti ini?

Saya hanya memberitahu kenalan aktivis-aktivis muda PAS berkenaan bahawa saya tidak ada data terkini dan maklumat yang tepat ketika ini berhubung dengan politik Terengganu dewasa ini kerana suasana politik sentiasa berubah-ubah.

Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS.

Ahmad Said membahagi-bahagikan eBook untuk semua pelajar tidak kira anak orang PAS atau UMNO.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran maklumat ini mempengaruhi rakyat Terengganu atau mereka ini terpengaruh dengan dunia maya yang berlaku dalam internet, sama ada di laman-laman sesawang (homepage) atau media jaringan sosial yang baru seperti facebook, twitter dan sebagainya.

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan PAS Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu pada ketika kebangkitan semula PAS Terengganu bersama-sama dengan kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Malah pada satu ketika sebelum PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, saya pernah meramalkan barisan kabinet bayangan kerajaan PAS di Terengganu jika PAS diberi peluang memerintah negeri berkenaan.

Tetapi saya tidak bercadang untuk menulis semula apa yang telah saya tulis dalam kabinet bayangan tersebut. Ianya bukan sahaja menjadi kenyataan tetapi saya diberitahu seorang pemimpin kanan PAS Terengganu pada ketika itu tidak begitu menyenanginya kerana namanya tidak tersenarai.

Baru-baru ini, seorang aktivis pemuda daripada mereka yang pernah membaca tulisan tersebut bertanya kepada saya, jika PAS memerintah Terengganu semula selepas ini, siapa yang akan menjadi Menteri Besar Terengganu?

Satu lagi soalan cepu emas yang ditujukan kepada saya untuk melihat reaksi saya kerana menjelang pilihanraya yang lepas saya ada menulis sepintas lalu berhubung dengan perkara ini menyebabkan tulisan tersebut sedikit kontroversi.

Kali lagi saya minta aktivis muda berkenaan membaca kembali tulisan berkenaan dalam akhbar ini (Siasah) di mana saya tidak menyebut siapa sepatutnya menjadi Menteri Besar seperti ramalan saya terdahulu (sebelum PRU 1999) melainkan saya quote pandangan beberapa pihak di dalam dan di luar PAS yang saya dengar.

Apa yang saya mampu mengatakan pada masa ini sejarah politik PAS menunjukkan peluang memerintah kerajaan negeri sama ada di Kelantan atau Terengganu hanya diberi sekali kepada sesuatu generasi pemimpin PAS selepas sesuatu kejatuhan kerajaan PAS. Kenapa ianya berlaku, saya akan bincangkan dalam tulisan yang lain. Jika masih berminat untuk mengetahui ramalan saya bagi Menteri Besar dan barisan kabinet PAS Terengganu selepas ini, saya akan melakukannya pada masa yang sesuai.

Mungkinkah PAS Tawan Terengganu PRU ke-13 nanti?

Pada saya bukan siapa yang patut menjadi Menteri Besar yang perlu dibincangkan pada saat ini tetapi mampukan PAS kembali menguasai Terengganu seperti perkiraan mudah Haji Hanafiah Ramli, Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu.

Beliau dengan yakin menyebut PAS berupaya menambahkan 9 kerusi lagi dalam pilihanraya umum akan datang terutama yang majoriti dimenangi oleh UMNO begitu tipis disamping mengekalkan 8 kerusi yang telah dimenangi oleh PAS sekarang ini.

Dilapor dengan lapan kerusi sedia ada dan ditambah yang sudah dimenangi PAS kini, ia menjadi 17 kerusi dan membolehkan kerajaan majoriti mudah dibentuk dalam DUN Terengganu yang mempunyai 32 kerusi.

Untuk rekod, 8 kerusi DUN Terengganu yang dimenangi oleh PAS sekarang adalah Rhu Rendang (Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang), Manir (Dato’ Haji Harun Taib), Wakaf Mempelam (Haji Abdul Wahid Endut), Batu Burok (Dr. Syed Azman Syed Ahmad), Bukit Payong (Mohd Nor Hamzah), Sura (Wan Hasan Ramli), Ladang (Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar) dan Bukit Tunggal (Dr. Alias Razak)

Sungguhpun Haji Hanapiah tidak menyatakan kerusi yang akan ditawan oleh PAS Terengganu dalam pilihnraya umum akan datang, pemerhati politik menjangkakan 8 kerusi DUN dimana UMNO menang dibawah 1,000 undi menjadi sasaran PAS, iaitu Paka (344), Tepuh (430), Telok Pasu (462), Chukai (769), Rantau Abang (790) Alor Limbat (799), Jabi (804) dan Pengkalan Berangan (930).

Selain 16 dari 32 kerusi DUN berkenaan, PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) juga mensasarkan beberapa kerusi lain yang mana BN menang sekitar 1,500 undi seperti Bandar (1142), Batu Rakit (1486) dan Kuala Berang (1592).

Keadaan ini menjadikan UMNO cukup risau untuk menang mudah di Terengganu walaupun terdapat usaha memperlekeh dan menidak kemampuan PAS Terengganu meralisasikan hasrat tersebut. Ketua UMNO, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disebut, “PAS sebenarnya tiada kubu kuat di negeri itu” dalam sebuah akhbar harian Edisi Terengganu berbahasa Melayu baru-baru ini

Dengan hujah yang agak cemas dengan situasi yang berlaku sekarang ini, istilah kubut kuat bagi beliau adalah sekiranya PAS sentiasa konsisten memenangi sesuatu kerusi dengan majoriti besar tanpa berlaku pengurangan.

Namun berdasarkan kepada beberapa pilihanraya umum sebelum ini, keadaan ini tidak berlaku. Sebaliknya kawasan yang dimenangi oleh PAS juga menunjukkan kemerosotan majoriti undi PAS yang ketara. Beliau mengambil DUN Wakaf Mempelam sebagai contoh.

“Pada PRU 1999, di Wakaf Mempelam kita (BN) kalah dengan majoriti lebih 5,000 undi, tetapi lima tahun kemudian (2004) kita hanya kalah dengan 1,000 majoriti undi. Maknanya kalau benar ia (Wakaf mempelam) kubu kuat PAS, majoriti undi tidak akan bergerak. Ia tetap berada dalam jumlah 5,000 undi sama ada berlaku tsunami, rebut, taufan, panas atau hujan, tetapi fakta menunjukkan ada kekurangan”, katanya.

Jika hujah Wan Farid ini dijadikan asas, PAS juga boleh mendakwa sebaliknya. Analisis terhadap keputusan pilihanraya umum 2008 mendapati majoriti BN merosot dengan teruk dibandingkan dengan apa yang diperolehi oleh BN pada OPRU 2004.

Cuma PAS Terengganu tidak bernasib baik sebagaimana rakan-rakan di negeri lain yang bergantung kepada swing pengundi-pengundi bukan Melayu yang tinggi. Sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO di Terengganu tidak boleh mendabik dada Terengganu dalam genggaman mereka pada setiap kali pilihnraya.

Apa yang pasti UMNO dan BN akan bergantung kepada “talian hayat” mereka iaitu persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan memihak kepada mereka. Sungguhpun sejarah pilihanraya sebelum ini (1986, 1995 dan 2004), persempadanan semula kawasan pilihanraya akan membantu UMNO terselamat di Terengganu.

Kita tunggu bagaimana rupabentuk sempadan baru pilihanraya Terengganu yang dijangka akan diadakan pada tahun ini. Apakah sekali lagi ianya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan BN. Jika tiada pertambahan kerusi parlimen dan DUN sekali lagi selepas 20 tahun sebagaimana persempadanan-persempadanan sebelum ini ianya adalah petanda awal kepada talian hayat UMNO dan BN di Terengganu.


Azizulhasni Tebus Dua Perkara

Azizulhasni(depan) membuat henjutan di selekoh terakhir sambil diburu Zhang Miao (kanan) dan Josiah Ng, kelmarin.

Andai masih hidup, Allahyarham Daud Ibrahim harus menjadi antara orang yang paling gembira melihat sejarah terlakar di Velodrom Guangzhou, semalam apabila jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang akhirnya gah menamatkan kemarau 40 tahun tanpa pingat emas di Sukan Asia.

Semalam, anak muda dari Dungun, Terengganu itu tampil mengubati duka dibatalkan kemenangan di Sukan Komanwel, New Delhi dengan memenangi acara kegemarannya, keirin manakala rakannya, Josiah Ng memenangi perak.

Kali terakhir emas diraih skuad berbasikal negara adalah menerusi Allahyarham Daud dan Ng Joo Ngan yang memenanginya di Sukan Asia 1970 di Bangkok.

Percaturan ketua jurulatih, John Beasley yang mahu kedua-dua anak buahnya mengawasi dua wakil China, Zhang Miao dan Zhang Li berhasil apabila mereka mengawal tempo perlumbaan sekalipun Zhang Miao yang memungut gangsa membuat henjutan awal.

“Apabila terlepas terlepas pingat acara pecut pada sebelah pagi, saya memang tekad untuk bermati-matian dalam peluang terakhir ini dan bersyukur percaturan perlumbaan hari ini (semalam) berhasil.

“Sebelum perlumbaan, saya agak sedih dan tertekan selepas gagal dalam perebutan pingat gangsa acara pecut, sebab itu saya nekad dalam perlumbaan tadi,” kata Azizulhasni yang akan mencukur kepala sebagai membayar nazar atas kemenangan pingat emas itu.

Josiah yang memenangi emas keirin di New Delhi, bulan lalu berkata kemenangan 1-2 ini membuktikan Malaysia kini kuasa baru acara berkenaan di Asia.

“John (Beasley) menegur sesiapa yang ada peluang menang harus menggunakannya dan hari ini, kami berlumba dengan baik,” katanya yang mempunyai koleksi tiga perak Sukan Asia selepas Busan 2002 (pecut) dan Doha 2006 (keirin).
Berita Harian

Angkara Dadah, Pasangan Sambut Aidiladha Dalam Lokap

Sepasang suami isteri menyambut Hari Raya Aidiladha dalam lokap setelah ditahan polis Selasa lalu berhubung kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata pasangan suami isteri berumur 23 dan 21 tahun itu ditahan di rumah sewa mereka di Kampung Tok Hakim, Padang Midin kira-kira 11 pagi.

"Dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, pihak polis menemui tujuh bungkusan berwarna biru dipercayai berisi 1,260 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000.

"Siasatan polis juga mendapati, rumah pasangan itu dijadikan tempat pengedaran dadah dan mereka dipercayai menjadi pembekal kepada penagih tegar di daerah Marang," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dadah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran.

Suami isteri itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka juga negatif, katanya.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Chendering itu disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Kedua-dua suspek kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Pusat Rawatan Perubatan Dapat Sambutan Menggalakkan Masyarakat Manir

Pusat Rawatan Perubatan Masyarakat Kampung Pulau Bahagia di Kuala Terengganu.

Pembukaan Pusat Rawatan Perubatan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Batu Hampar sejak Jun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Pusat tersebut menawarkan perkhidmatan secara percuma khusus bagi golongan kurang berkemampuan sekali sebulan iaitu pada setiap hari Sabtu minggu ketiga.

Setiap kali dibuka, sekurang-kurangnya 100 penduduk tempatan mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan di samping mendapatkan rawatan.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam berkata, sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat amat menggalakkan.

Katanya, berasaskan sambutan itu, pihaknya bercadang untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan itu kelak.

Yusof berkata, pusat rawatan tersebut atau lebih dikenali 'klinik percuma' memudahkan masyarakat mendapatkan rawatan setanding dengan yang ditawarkan di klinik dan hospital biasa.

Katanya, seramai 10 orang doktor daripada pertubuhan Sukarelawan Perubatan Bebas (Superb) merawat penduduk di kawasan tersebut.

"Pusat rawatan ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, namun sekiranya pesakit masih ramai, kebanyakan doktor tetap meneruskan khidmat mereka walaupun masa operasi telah tamat.

"Tiada bayaran dikenakan, namun khidmat rawatan masih yang terbaik seperti di klinik dan hospital biasa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Tambah beliau, ramai pesakit yang datang meminta perkhidmatan itu terus dikekalkan bagi memudahkan mereka memeriksa kesihatan tanpa perlu ke hospital yang terletak dari rumah.

"Kita memang ada perancangan untuk membuka klinik ini lebih kerap, namun setakat ini kita hanya membukanya setiap Sabtu memandangkan doktor-doktor ini perlu bertugas pada hari lain," jelasnya.

Dalam pada itu Ketua Operasi Superb, Dr. Rushdan Ismail berkata, warga Superb menyambut baik pembukaan pusat rawatan tersebut kerana memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, sebelum ini Superb sering mengadakan program turun ke kampung-kampung bagi merawat pesakit kronik dan sukar untuk ke hospital.

Bercuti? Lawatilah Mini Zoo Kemaman

Jangan lepaskan peluang pada hari cuti hari ini dan esok untuk ke Mini Zoo Kemaman.

Terdapat lebih kurang 100 spesies di zoo tersebut. Beberapa spesis haiwan seperti burung unta, merak, beruang, landak, burung helang, kucing hutan, rusa dan ular sedang dikuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di zoo berkenaan.

Binatang lain yang akan dipamerkan termasuk beberapa spesis beruang, banteng, seladang, kijang, kambing gurun, orang utan, buaya dan beberapa spesis harimau serta kuang raya.

Zoo yang terletak di kawasan seluas 135 ekar (54 hektar) bersempadan dengan kawasan kunang-kunang yang terletak di Kampung Yak Yah, Kemaman bakal mejadi antara 10 zoo terbaik di rantau ini. Keadaan hutan sekunder di kawasan pembangunan itu memberi kelebihan dari segi persekitaran.

Anda juga dapat melihat dengan lebih jelas lagi dengan adanya jambatan gantung di zoo itu.

Untuk lebih jelas lihat http://ickaa-swift.blogspot.com/

Thursday, November 18, 2010

Azizulhasni Pembakar Semangat Atlet Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) meraikan kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng (kanan) yang memenangi emas dan perak dalam acara keirin basikal trek Sukan Asia di Guangzhou, kelmarin.


Kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng meraih kemenangan 1-2 dalam acara akhir keirin kelamrin menjadi pembakar semangat atlet yang lain untuk mencipta kejayaan, sekali gus merealisasikan sasaran membawa pulang sembilan pingat emas pada Sukan Asia kali ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia XVI, Datuk Zolkples Embong yang juga adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, kejayaan Azizulhasni dan Josiah itu juga membuktikan Malaysia memiliki pelumba basikal yang bagus, walaupun terpaksa berdepan dengan taktik tuan rumah yang mengatur jadual ketat bagi tiga perlumbaan - pecut berpasukan, 200 meter pecut dan keirin dalam temasya ini.

''Kita telah membuktikan bahawa kita adalah yang terbaik di Asia. Alhamdulillah atas kejayaan ini. Kemenangan ini juga membuktikan bahawa kejayaan di Delhi (Sukan Komanwel, bulan lalu) bukan kerana nasib. Kita sebenarnya ada pelumba yang bagus.

''Kita tengok taktik China (buat jadual lumba). Tapi jurulatih John Beasley telah melakukan percaturan yang baik dengan merehatkan Azizulhasni dalam acara pecut berpasukan dan taktik dalam acara akhir untuk gangsa 200m pecut. Akhirnya kita berjaya dalam keirin," katanya yang ditemui sebelum acara penyampaian pingat berlangsung di Velodrome Guangzhou, kelmarin.

Dalam saingan akhir keirin, kelmarin, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat pertama untuk meraih pingat emas, manakala Josiah pula mengulangi pencapaiannya di Doha, empat tahun lalu apabila membawa pulang perak walaupun menang emas pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu.

Dalam pada itu, Beasley berkata, kesemua tekanan yang ditanggungnya selama acara berbasikal Sukan Asia terlerai selepas menyaksikan kemenangan 1-2 Azizulhasni dan Josiah.

Beliau berkata, kemenangan dua pelumba negara itu amat istimewa, sama seperti yang dilakukan oleh kedua-duanya pada Sukan Komanwel Delhi, walaupun pada akhirnya kemenangan Azizulhasni dibatalkan oleh komisar yang mendakwa Azizulhasni melakukan kesalahan semasa berlumba.

Menurut Beasley, dia telah mengarahkan kedua-dua anak didiknya agar tidak menyaingi antara satu sama lain, sebaliknya kedua-duanya perlu berusaha keras untuk mencatat kemenangan.
Pada perlumbaan akhir acara keirin, semalam, Azizulhasni yang memulakan aksi paling hadapan sambil diekori Josiah, tidak lagi menoleh ke belakang walaupun ketika memecut di selekoh 200 meter terakhir, berlaku pelanggaran pelumba Iran, Mohammad Parash dengan pelumba tuan rumah, Zhang Lei, juara acara pecut 200m sehingga kedua-duanya terbaring di atas lantai veleodrome.

Mengulas perancangannya selepas temasya ini, Azizulhasni berkata, dia akan menumpukan latihan bagi persediaan siri Piala Dunia dalam usaha mencari mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.

Azizulhasni pula berkata berliau berasa marah, geram, takut dan kecewa sebelum perlumbaan dan semuanya saya pusatkan pada perlumbaan akhir ini. “Saya beritahu jurulatih (John Beasley) saya akan buat cara kamikaze. Saya tidak kisah apa akan berlaku kerana saya mahu menang.

Kalau kalah sekalipun , saya akan berpuas hati sebab telah mengerah seluruh kudrat dalam acara akhir ini. Kepala saya benar-benar lega. Selepas kecewa dalam acara 200 meter pecut, saya rasa sangat tertekan untuk bersaing dalam acara akhir Keirin. Tetapi semua bebanan itu hilang selepas menang pingat emas.”

Azizulhasni yang kelihatan sangat ceria, malah mahu menghadiahkan kemenangannya itu kepada emak, ayah dan isterinya. Dia akan mencukur kepalanya sehingga botak sebagai menyempurnakan nazar yang dibuat jika berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara keirin berkenaan.

PDRM beku cuti hadapi banjir

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu membekukan cuti kepada semua pegawai dan anggotanya berjumlah 2,737 orang bagi persediaan banjir sepanjang musim tengkujuh di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan (gambar kiri) berkata, penguatkuasaan pembekuan cuti bermula 1 November lalu dibuat berdasarkan kepada ramalan Jabatan Meteorologi bahawa berlaku banjir besar di Terengganu.

Menurutnya, PDRM berasa bertanggungjawab dalam memastikan pihaknya dapat menggerakkan kekuatan tenaga yang ada pada bila-bila masa.

“Pembekuan cuti melibatkan semua jabatan PDRM dan akan ditamatkan sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir serta pulih seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian di Kuala Terengganu, kelamrin.

Pihaknya yang dipertanggungjawabkan menyelia jawatankuasa pemindahan dan keselamatan banjir juga bersiap sedia mengerahkan keseluruhan tenaga bagi membantu mangsa yang terlibat berdasarkan kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, pergerakan bermula sebaik sahaja Terengganu diisytiharkan banjir, dalam masa sama katanya, keadaan itu tidak akan sesekali menjadi alasan pegawai dan anggotanya mengabaikan tugas harian masing-masing.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai di negeri ini memandang serius terhadap bencana tersebut bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini yang boleh menyebabkan keselamatan nyawa terancam.

Bagi persiapan awal, katanya, mereka yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan menyimpan barang di tempat selamat dan memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan diri sendiri apabila banjir melanda.

“Mereka perlu berada dalam keadaan bersiap sedia kerana banjir di negeri ini bukan perkara baru. Apabila mendapat arahan berpindah, mereka perlu berkejar untuk berpindah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa memantau perkembangan anak sepanjang cuti persekolahan dengan tidak membiarkan mereka menjadikan banjir sebagai pesta bagi mengelak insiden mati lemas yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Akuatrop tingkat penyelidikan akuakultur

Aziz Deraman (dua dari kiri) melancarkan Hari Terbuka Sehari Bersama Akuatrop dengan melakukan teknik aruhan ikan keli untuk mendapatkan benih di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, Institut Akuakultur Tropikal (Akuatrop), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melahirkan empat pemegang doktor falsafah (Ph.D) dan 46 graduan ijazah sarjana dari dalam dan luar negara.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, ketika ini, pihaknya dalam usaha membangunkan sumber manusia bagi mengembangkan industri akuakultur dengan seramai 13 pelajar Ph.D dan 56 pelajar sarjana sedang mengikuti pengajian.

Katanya, ia seiring dengan matlamat kewujudan Akuatop bagi membantu kerajaan agar pengeluaran industri itu dapat menampung keperluan negara melalui pelbagai penyelidikan untuk mengkomersialkan segala sumber yang ada.

"Akuatrop turut bergiat dengan projek berimpak besar bagi menyumbang kepada pembangunan akuakultur negara seperti projek akuaponik Batin, pembenihan ikan kelah, kajian ternakan ikan talapia air masin serta penyelidikan belangkas dan kopepod.

''Juga penyelidikan ketam kulit lembut bagi membolehkan sumber permintaan yang tinggi ini dapat dihasilkan melalui usaha menternak secara komersial," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Sehari Bersama Akuatrop di UMT di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili dan Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Shaharom.

Program itu bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk meninjau, mendapatkan maklumat berhubung aktiviti dan pencapaian institut itu selain melihat dengan lebih dekat hasil penyelidikan serta berkomunikasi dengan para penyelidik Akuatrop.

Di samping itu, ia juga mendedahkan mereka kepada kejayaan-kejayaan dari penyelidikan yang telah dijalankan yang sudah semestinya memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi masyarakat tempatan.

Tambah Aziz, Akuatrop telah menyiapkan sebuah buku berjudul 'Talapia : Aquaculture Techniques and Potentials' yang bakal diterbitkan hujung tahun ini dan ia dapat memberi lebih banyak maklumat serta boleh dijadikan panduan oleh para penyelidik, pelajar atau pengusaha ternakan tersebut.

"Selain itu, Akuatrop ketika ini menjadi tuan rumah kepada penyelidik dari Hungarian Academy of Science, Prof. Dr. Csaba Szekel di bawah program 'Brain Gain Programme'.
"Beliau yang juga pakar dalam bidang parasit ikan akan berada di UMT selama tiga minggu untuk memberi ceramah, bimbingan dan tunjuk ajar kepada penyelidik dan pegawai-pegawai Akuatrop," katanya.

Jelasnya, Akuatrop komited meneruskan tanggungjawabnya dalam menjalankan pelbagai kajian berkaitan bidang akuakultur terutama pembenihan, pemakanan, genetik, kajian penyakit hidupan marin serta sistem akuakultur.

KWSP Naikkan Semula Caruman Pekerja Kepada 11 Peratus

Kadar caruman berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja akan dinaikkan semula kepada 11 peratus berkuatkuasa gaji bulan Januari 2011.

Caruman itu dibayar kepada KWSP mulai Februari 2011, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kadar caruman berkanun pekerja diturunkan daripada 11 peratus kepada 8 peratus untuk tempoh dua tahun bermula gaji bulan Januari 2009 hingga Disember 2010.

Majikan dinasihat memastikan jumlah caruman yang betul dipotong daripada gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baru ini dan dibayar kepada KWSP bermula daripada caruman bulan Februari 2011.

Beliau berkata ahli yang sebelum ini mengemukakan Borang KWSP 17A (AHL) Khas/KWSP 17AA Khas untuk mengekalkan kadar caruman pada 11 peratus sepanjang tempoh dua tahun itu tidak perlu mengambil sebarang tindakan.

Caruman KWSP bulanan bahagian majikan kekal pada 12 peratus, katanya.

Majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh mengunjungi cawangan KWSP terdekat, menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan mereka melalui laman web myEPF di Enquiry.

Monday, November 15, 2010

Pelajar Islam Di Terengganu Dikehendaki Baca Al-Quran Tiap Hari Mulai Tahun Depan

Setiap pelajar Islam di Terengganu akan dikehendaki memulakan sesi pesekolahan harian mereka dengan membaca Al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata ia adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memberi penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

“Kita mahu, walau di mana mereka berada dan apa yang dilakukan dan dicapai pada masa depan, pegangan agama akan menjadi sandaran dalam kehidupan.

“Ia sebahagian daripada pendekatan melestarikan pendidikan terbilang yang diberikan penekanan serius,” katanya dalam ucapan aluan majlis Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama Guru-Guru Daerah Besut, kelmarin (13 November 2010.

Razali berkata, dengan memulakan sesi pembelajaran dengan bacaan al-Quran dengan dipandu oleh ustaz, ia akan memberikan ketenangan emosi dalam menimba ilmu yang menjadi tuntutan agama.

Menurut Razali, pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

“Bagi kelompok kecil pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan,” katanya.

Malah pendekatan baru itu diharap dapat disusuli dengan majlis khatam pada penghujung tahun di setiap sekolah kelak.

Selain itu katanya, pihak jabatan juga memutuskan semua program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan dan kursus akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid mulai tahun depan.

Katanya, ia tidak lagi diadakan di hotel atau resort yang semakin menjadi amalan meluas selama ini.

“Saya yakin tempat yang paling baik dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar adalah masjid dan sekali gus ia turut membantu mengimarahkan institusi berkenaan.

“Umumnya masjid di negeri ini besar dan indah, malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang dapat dimanfaatkan dan pihak jabatan telah mendapat kerjasama jawatankuasa-jawatankuasa masjid,” tegas beliau.

Katanya, ia juga dapat membantu menyemaikan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap rumah ibadat itu termasuk bersama-sama membersih dan mengindahkan persekitaran.

Di samping itu, ia juga dapat menjimatkan kos dan peruntukan lebihan boleh disalurkan kepada pelaksanaan program dengan pendekatan berkesan.

Selain itu katanya semua program-program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid dan tidak lagi di resort atau di hotel-hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Sementara itu Razali berkata semua sekolah di Terengganu akan dikehendaki mengadakan Solat Hajat sebelum cuti persekolahan bermula minggu depan, di samping satu lagi solat Hajat serentak di seluruh negeri yang dirancang sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

Guru Pencetus Kejayaan Pendidikan di Terengganu - Ahmad Said

Ahmad Said menyampaikan pen drive kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud, Ab Rahman Sardar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menutup tirai pertemuan dengan 22,000 guru di seluruhTerengganu dengan dua acara beliau bersama Guru-Guru Daerah Setiu dan Besut, kelmarin (13 November 2010).

Majlis bagi Daerah Setiu diadakan pada sebelah pagi di hadiri seramai 1,646 guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Elit) Lembah Bidong.

Sementara majlis pada sebelah petang pula diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jerteh dihadiri 3,351 guru membabitkan 53 sekolah kebangsaan dan 20 sekolah menengah di daerah itu.

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada guru kerana mampu menjadikan Terengganu kekal terbaik UPSR 2010 dan daerah Besut adalah yang terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan.

Katanya, hasil kegigihan guru, Terengganu kini menduduki tangga teratas bagi semua peperiksaan, iaitu UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ahmad Said berkata kuota insentif lawatan ke luar negara tahun depan kepada guru besar dan pengetua sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan di negeri akan ditambah bagi menyuntik semangat berganda kepada golongan pendidik.

Mengumumkan perkara itu beliau berkata, kuota kepada guru besar yang memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) cemerlang dihantar melawat ke luar negara akan ditambah daripada 20 kepada 50 orang.

Menurutnya, bilangan pengetua yang akan dihantar juga akan dikaji apabila mencapai jika Terengganu terus mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik untuk peperiksaan OMR, SPM dan STPM.

“Ganjaran ini hadiah atas kesungguhan melahirkan kecemerlangan pelajar di negeri ini dan bagi guru besar yang sudah pergi sebelum ini mungkin selepas ini penolong kanan pula yang pergi,” katanya.

Sebelum ini, seramai 50 guru cemerlang di negeri ini sudah dihantar melawat Australia selama seminggu.

“Ia penghargaan Kerajaan Negeri kepada guru yang komited sehingga berjaya meletakkan Terengganu pada tangga teratas dalam tiga keputusan peperiksaan utama termasuk UPSR,” katanya.

Ahmad Said menegaskan, kerajaan Negeri sanggup berbelanja besar di bidang pendidikan dengan harapan melahirkan anak Terengganu yang cemerlang dan muncul sebagai profesional dalam pelbagai bidang, termasuklah menghantar pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pada kedua-dua majlis itu, Ahmad Said menyampaikan pen drive yang direka khas bernilai RM100 kepada guru yang hadir.Pemberian itu sebagai memenuhi janji beliau kepada lebih 22,000 warga pendidik negeri ini untuk memberikan cenderamata kepada mereka yang berjaya mengangkat pencapaian akademik negeri ini ke tahap membanggakan.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cenderamata itu, sebagai salah satu bentuk penghargaan kerana telah naikkan imej Terengganu sebagai ‘negeri anjung ilmu’.

Beliau bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang hadir.

Turut hadir pada majlis di Setiu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd Rahman, Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Asha’ari Idris selain Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.

Di Besut, selain Ahmad Razif dan Razali, turut hadir ialah ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad serta ADUN Jabi, Ramlan Ali.

2,428 Anak Penyu Dilepas Serentak

Za'abar Mohd. Adib (depan, dua dari kanan) dan orang ramai melihat penyu yang dilepaskan dan dipasang satellite tracking di Pantai Rantau Abang, Terengganu, kelmarin.

Sejumlah 2,428 ekor anak penyu dilepaskan petang semalam di pantai Rantau Abang dekat sini oleh lebih 500 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia yang diundang untuk bersama-sama melakukannya.

Program anjuran Jabatan Perikanan melalui Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) itu bertujuan menyemarakkan kesedaran umum terhadap pemuliharaan haiwan itu turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pelepasan terbanyak secara serentak.

Upacara pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib dan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Gulamsarwar Jan Mohammad.

Penyu yang dilepaskan itu berusia antara 1 hari dan enam tahun, kebanyakannya jenis Agar di samping beberapa ekor penyu Karah yang telah dieram dan ditetaskan di pusat penetasan Rantau Abang.

Kali ini, ia tidak dilakukan pada sebelah malam bagi mengelak tumpuan ikan-ikan pemangsa kerana masa pelepasan antara pukul 7 hingga 10 malam yang lazim dilakukan sebelum ini seolah-olah memberi 'tanda' tentang waktu untuk mendapatkan anak penyu sebagai habuan.

Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata, pada tahun ini kira-kira 200,000ekor anak penyu telah dilepaskan ke laut dalam usaha berterusan mengembalikan kegemilangan Terengganu dan Rantau Abang khususnya sebagai destinasi pendaratan penyu yang utama.

Beliau menarik perhatian, pendaratan penyu di pantai negeri ini sepanjang tahun mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad.

''Sebagai contoh, di pantai Geliga Kemaman, jumlah sarang sekitar 300 hingga 600 dari tahun 2000 hingga tahun lalu, namun, ia telah meningkatkan dengan drastik tahun ini kepada 1,391

''Ini menjadikan pantai Geliga mencatatkan bilangan pendaratan penyu yang kedua tertinggi selepas Sabah. Di Rantau Abang pula, daripada tujuh sarang pada 2005, ia meningkatkan kepada 50 tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, Zaaba memberitahu, dalam tempoh satu dekad yang lalu, kira-kira dua juta anak penyu telah ditetaskan dan dilepas di perairan negeri ini.

Namun, katanya, usaha pemuliharaan yang bermula sejak awal 1960-an berdepan dengan kesukaran kerana penyu menghadapi begitu banyak ancaman di laut termasuk ikan pemangsa dan juga manusia.

PAS Mula Pasang Angan-Angan?

Pas mengatakan ia bersedia pada bila-bila untuk memikul tanggungjawab menerajui kepimpinan parti pembangkang sekiranya parti lain dalam pakatan menerimanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, Pas tidak ada sebarang masalah kerana ia mempunyai keupayaan dari segi pengaruh dan kekuatan.

"Kalau ada orang lantik kita (pemimpin Pas), kita terima saja. Kalau kawan-kawan (parti dalam pakatan pembangkang) setuju lantik kita, kita setuju saja. Apa salahnya," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Beliau mengulas cadangan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim semalam bahawa pemimpin daripada Pas seharusnya diletakkan sebagai pemimpin pakatan pembangkang.

Zaid turut menamakan beberapa pemimpin Pas berkenaan iaitu Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa serta empat Ahli Parlimen Pas iaitu Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr. Mujahid Yusuf Rawa (Parit Buntar), Dr. Dzulkefli Ahmad (Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu seterusnya berkata, pihaknya yakin mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dan demokrasi sekiranya pemimpin Pas diberi peluang menerajui pakatan pembangkang.

Ini kerana katanya, Pas merupakan sebuah parti yang sentiasa mempunyai hala tuju yang lebih terurus, teguh serta terjamin dalam menghadapi senario politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita yakin Pas mampu memimpin (pakatan pembangkang) dengan baik dan kita yakin dapat tangani segala kemelut dalaman (Pas), seterusnya bergabung dengan rakan parti lain (DAP dan PKR).

"Pas sentiasa stabil dan kukuh. Kalau kawan-kawan (DAP dan PKR) setuju dan bagi kita peluang terajui (pakatan pembangkang), kita tak ada masalah," ulang Harun lagi.

Tempat Letak Kereta Bertingkat Beroperasi awal 2011

Tempat letak kereta bertingkat mengunakan sistem putaran di pusat bandar raya Kuala Terengganu yang pertama seumpamanya di negara ini dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Projek dengan kos lebih RM9 juta di Jalan Batas Baru itu menggunakan keluli, dibangunkan setinggi tiga tingkat dan boleh menampung 250 kenderaan pada satu-satu masa.

Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, ia sebahagian daripada langkah proaktif bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan perdagangan yang paling menjadi tumpuan umum.

''Ia dapat menjimatkan penggunaan ruang tempat letak kereta sedia ada di lokasi itu sebanyak tiga kali ganda, di samping lebih selamat bagi pemilik kenderaan," ujarnya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Tambah Adzlan lagi, teknologi itu dibawa masuk dari Guangzhou China dan bagi menguasai pengendalian operasinya itu kelak, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menghantar kakitangannya ke negara itu tidak lama lagi.

"Apabila siap sepenuhnya kelak, bangunan ini seakan-akan pusat komersial atau ruangan pejabat yang mewah, namun ia hanya sebuah garaj bertingkat dan ruang dinding akan disewakan untuk pengiklanan.

"Pengguna seakan-akan memasuki sebuah lif, itulah juga yang akan dialami oleh kenderaan mereka sewaktu dimasukkan ke dalam tempat letak kereta ini, "ujarnya.

Kelebihan teknologi ini katanya, ia juga menjimatkan masa dan lebih sistematik kerana pengguna hanya perlu memasukkan kenderaan mereka ke dalam ruangan dan meninggalkannya di situ.

"Dengan kaedah pembayaran melalui kad, kenderaan akan diangkat ke atas menggunakan kren hidraulik menerusi kawalan sistem komputer di bangunan berkenaan secara automatik.

"Kenderaan pengguna akan dibawa ke ruang kosong di bangunan berkenaan yang terhindar daripada hujan," jelasnya lagi.

Walaupun kemudahan mungkin menimbulkan kesangsian sebahagian warga bandar raya pada peringkat awalnya, katanya, ia suatu yang lumrah dan lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan keadaan.

"Apabila 'percubaan' ini menampakkan kemajuan dan keyakinan pengguna, kemudahan ini mungkin akan ditambah di lokasi yang lain, " jelasnya.

Utusan Malaysia

100 Bot Pelancong Di Terengganu Henti Operasi Berikutan Musim Tengkujuh

Kira-kira 100 buah bot pelancong di sekitar daerah ini telah memberhentikan aktiviti membawa penumpang sejak awal bulan ini berikutan musim tengkujuh.

Setiausaha Persatuan Pengusaha-pengusaha Resort Kepulauan Redang Terengganu Lorenz Law berkata bot pelancong tersebut sama ada milik pengusaha atau persendirian.

"Semua operasi bot pelancong ke pulau Redang, Pulau Perhentian dan lain-lain yang menjadi tumpuan pelancong, telah dihentikan sementara waktu kerana ombak besar dan laut bergelora yang dikhuatiri membahayakan penumpang," katanya kelmarin.

Beliau berkata perkhidmatan feri ke pulau-pulau peranginan dari jeti Syahbandar di sini turut diberhentikan semasa musim tengkujuh ini dan akan disambung semula awal Mac tahun depan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Keselamatan Negeri Terengganu memberi peringatan kepada pengusaha bot-bot pelancong supaya tidak mengadakan aktiviti sepanjang musim tengkujuh yang bermula hujung Oktober dan dijangka berakhir penghujung Mac depan.