Saturday, March 12, 2011

Program Tanam Sawit Tepi Rumah Di Tengganu Hampir Nampakkan Hasil

Konsep penanaman kelapa sawit di sekitar kawasan rumah yang diperkenalkan kerajaan Terengganu tiga tahun lalu hampir menampakkan hasil dan akan mula dituai mulai Ogos ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata ia antara projek awal yang dilaksanakan apabila beliau mula-mula memegang jawatan Menteri Besar tiga tahun lalu, bertujuan menjana pendapatan penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah.

"Penduduk terlibat di kampung perintis, Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, menanam antara 10 dan 15 pokok pokok kelapa sawit di sekeliling rumah masing-masing," katanya ketika membuat lawatan kerja ke Projek Kelompok Pertanian Kampung Pondok Pasir, Ibok di Kemaman, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu Shammodin Abd Halim.

Ahmad berkata beliau menyasarkan 50 hingga 60 penduduk di kampung-kampung yang terlibat dengan program itu menanam sekurang-kurangnya 10 pokok kelapa sawit setiap seorang di sekitar kawasan rumah masing-masing.

"Kini harga setandan kelapa sawit RM5, tetapi kalau pokok subur, buah besar dengan harga minyak sawit yang mahal sekarang, ia boleh mencapai RM10 setandan. Jika pokok dijaga dengan baik, ia boleh dipetik sehingga tiga tandan bagi satu pokok," katanya.

Beliau berkata projek penanaman kelapa sawit di halaman rumah masih diteruskan dan penduduk yang berminat menyertai program itu boleh memohon dengan Anggota Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Shammodin berkata projek kelompok pertanian di Kampung Pondok Pasir melibatkan kawasan seluas 34.8 hektar telah ditanam dengan pisang, kelapa matag yang mempunyai isi tebal dan berbuah lebat berbanding kelapa biasa dan kelapa pandan yang diusahakan oleh 127 peserta.

Beliau berkata penanaman pisang jenis berangan di situ seluas kira-kira 10.4 hektar, kini telah mengeluarkan hasil dan dijual kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu untuk dipasarkan.

"Kita beli RM1,400 bagi setiap tan pisang daripada petani di sini yang mampu mengeluarkan hasil sehingga 16 tan pisang bagi sehektar dalam tempoh 10 bulan.

"Pasaran pisang berangan sangat baik sekarang. Kalau petani usahakan bersungguh-sungguh, mereka akan dapat hasil sehingga RM25,000 bagi satu hektar dalam tempoh 10 bulan," katanya.

Penanaman kelapa di kawasan seluas 14 hektar dan kelapa pandan dengan keluasan 10.4 hektar dijangka dapat memenuhi permintaan santan dan kelapa muda tempatan.

Anuar Manan Raih Jersi Kunig, Menang Peringkat ke 4


Anuar cipta sejarah lagi....jaguh pecut peringkat keempat Jelajah Malaysia 2011.

Jaguh pecut dalam skuad lebuh raya negara, Anuar Manan mencipta sejarah tersendiri beliau apabila menjuarai peringkat keempat Kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia 2011 (JM2011) semalam.

Selain itu, Anuar dari pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG), turut merampas jersi kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan dari rakan sepasukan Mohd Hariff Salleh.

Perlumbaan peringkat keempat dari Kuala Rompin ke Pekan, Pahang sejauh 89.6km yang berlangsung dalam cuaca hujan lebat sedikit pun tidak mengganggu kejituan kayuhan Anuar untuk memecut ke garisan penamat.

Anuar, 25, menamatkan saingan dengan catatan masa sejam 52 minit dan 24 saat bersama kelompok besar pelumba lain ke garisan penamat.

"Cuaca hujan bukanlah satu halangan tetapi saya dan pasukan saya terpaksa berkerja keras sedikit untuk menyekat pelumba Iran. Saya dan Hariff memang sasarkan untuk kutip lebih mata dalam acara pecut.

"Namun, 300m sebelum garisan penamat, Hariff yang berada di depan telah dihalang oleh pelumba lain dan saya ambil peluang itu untuk menang di peringkat ini,” kata pelumba dari Kuala Ibai, Terengganu.

Selain memenangi peringkat keempat dan penyandang jersi kuning, Anuar turut merampas jersi biru (pelumba terbaik Asia) dan jersi putih (pelumba terbaik Malaysia) dari Mohd Hariff.

Pohon Bantuan Melalui Saluran Yang Betul - Yahya

Sikap segelintir individu yang tidak gemar bergaul dan meminggirkan diri daripada menyertai komuniti di kampung menjadi punca mereka tidak mengetahui saluran yang tepat bagi mendapatkan pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan itu lazimnya lebih gemar membawa haluan sendiri dan langsung tidak mahu terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dengan anggapan penyertaan itu tidak memberi apa-apa faedah kepadanya.

“Kadangkala golongan yang memerlukan datang berjumpa terus dengan kita dan minta bantuan tertentu. Walhal mereka ada saluran yang betul sama ada menemui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pejabat Penyelaras Dun masing-masing yang akan memberi khidmat dan menerangkan cara permohonan diuruskan,” katanya ketika ditemui Teganukita, kelmarin.

Katanya, pelbagai bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri untuk meringankan bebanan rakyat yang ditimpa kesusahan dan penyakit termasuk Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik dan Program Bantuan Rumah sama ada bina baru atau baik pulih.

Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan bantuan am berdasarkan beberapa kategori yang boleh dipohon berdasarkan syarat tertentu.

Beliau berkata, kes-kes bencana alam seperti ribut, kebakaran dan banjir adalah kejadian yang memerlukan tindakan segera dan perkara itu akan dirujuk di bawah Tabung Darul Iman.

Menurutnya, tabung itu mampu menangani had peruntukan jabatan yang terhad serta mengelakkan sebarang prosedur yang ketat berbanding bantuan-batuan lain.

Sementara Tabung Penyakit Kronik pula, katanya diwujudkan sejak tahun lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk kes rakyat yang menderita penyakit kronik dan kritikal dan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan yang sepatutnya disebabkan kekangan sumber kewangan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun mempunyai berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun dua jabatan itu mempunyai skim bantuan dan kadar maksimum bantuan yang terhad,” katanya.

YB Yahya berkata, berdasarkan kelemahan dan kekurangan itu, Kerajaan Terengganu mengambil langkah segera bagi menanganinya dengan menubuhkan Tabung Penyakit Kronik yang sudah melibatkan 230 pemohon dengan perbelanjaan kira-kira RM358,000 sehingga Februari lalu sejak tabung itu diperkenalkan.

Unit Komunikasi Negeri

100 Rakyat Malaysia Di Kawasan Gempa Bumi Di Jepun Selamat

Penduduk melihat bangunan musnah yang separuh tenggelam akibat tsunami di Kesennuma, selepas gempa bumi kuat di pantai bahagian timur Jepun semalam.
Seratus rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, iaitu tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi di Tokyo disahkan selamat, demikian menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo Ahmad Rozian Abdul Ghani.

"Pihak kedutaan telah menghubungi rakyat Malaysia di sini dah sahkan mereka selamat. Tidak semua dapat kita hubungi kerana ada antara mereka pulang bercuti ke Malaysia atau wilayah berhampiran ekoran cuti semester ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Daripada jumlah itu, katanya 67 orang adalah pelajar, 43 di universiti di Miyagi, 18 di Iwate dan enam di Aomori.

Pelajar dan rakyat Malaysia juga telah sedia maklum langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan seperti hadir ke pusat-pusat evakuasi yang disediakan pihak kerajaan tempatan seperti yang sentiasa dimaklumkan kepada mereka sebelum ini, katanya.

Laporan media asing berkata gegaran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun menyebabkan bangunan-bangunan di Tokyo bergegar dan bergoncang selama beberapa minit, memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing.

Berikutan itu amaran tsunami telah dikeluarkan di beberapa buah negara termasuk Filipina, Indonesia, Papua New Guinea dan Fiji.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) berkata gempa kuat itu telah menyebabkan beratus-ratus ribu pengguna komuter terkandas di stesen kereta api bawah tanah berikutan perkhidmatan itu ditangguhkan.

Restoran berhampiran stesen kereta api sesak dengan kebanjiran penumpang kereta api yang mendapatkan perlindungan daripada cuaca sejuk, katanya.

"Orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam selepas talian telefon bimbit mengalami kesesakan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama.

Yong berkata kedutaan Malaysia di Tokyo kini bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som dilaporkan sedang menghadiri seminar ketika gempa itu berlaku dan bergegas pulang ke kedutaan untuk memantau operasi.

Banyak gambar dan fail di pejabat kedutaan dilaporkan jatuh ke lantai ketika gempa kuat itu berlaku.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kedutaan Malaysia di Tokyo akan meneliti perkembangan bencana itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung gempa tersebut.

"Tiada laporan berhubung kematian di kalangan rakyat Malaysia setakat ini dan semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat," kata kenyataan itu.

Bukti Kesungguhan BN Bantu Golongan Muda

Langkah kerajaan menyediakan Skim Rumah Pertamaku dan melancarkan program Francais Usahawan Muda 1Malaysia jelas membuktikan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membantu golongan muda.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharudin berkata, usaha itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan bagi memulakan kehidupan yang lebih sejahtera.

Malah jelasnya, kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai inisiatif dalam menjayakan transformasi ekonomi terutama di kalangan golongan muda tanpa mengira kaum.

"Pemuda UMNO Terengganu percaya usaha ini menjadi pemangkin kepada golongan muda ke arah menjamin kehidupan lebih sejahtera dan kondusif," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas inisiatif terbaru kerajaan yang menyediakan Skim Rumah Pertamaku serta program Francais Usahawan Muda 1Malaysia anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang dilancarkan Perdana Menteri pada Selasa dan kelmarin.

Menerusi Skim Rumah Pertamaku, golongan muda berpendapatan kurang RM3,000 sebulan yang belum memiliki kediaman sendiri berpeluang membeli rumah melalui program berkenaan.

Skim itu memberi kemudahan pinjaman 100 peratus kepada pembeli dan mereka tidak perlu membayar wang deposit sebanyak 10 peratus seperti kebiasaan prosedur pembelian rumah.

Sementara itu, sempena pelancaran program Francais Usahawan Muda 1Malaysia, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa memperkasa kemampuan belia melalui pelbagai dasar dan program bagi memastikan golongan itu dapat bersama menentukan hala tuju negara.

Mengulas mengenainya, Saiful Bahri berkata, ia membuka peluang kepada golongan berkenaan memperoleh pinjaman bagi menjayakan perniagaan mereka selain turut membantu melonjakkan pendapatan ekonomi negara.

"Program francais seperti ini dapat melahirkan golongan usahawan muda cemerlang dan mereka mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Tsunami - Polis Pantau Pesisir Pantai Terengganu

Tsunami selepas gempa bumi di Jepun dilaporkan mengakibatkan kematian lebih 1,000 orang.

Pasukan peronda polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Terengganu telah diarahkan untuk memantau sepanjang pesisir pantai Terengganu mulai petang semalam.

Pegawai Bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Supritendan Shuhaimi Jusoh berkata, ia dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan laut bergelora dan ombak besar ekoran gempa bumi kuat yang melanda Jepun, semalam.

Gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang melanda Pantai Timur Honshu, Jepun pada pukul 1.46 petang semalam, dilapor mencetuskan fenomena tsunami setinggi 10 meter.

"Rondaan dibuat bagi memantau keadaan setelah mendapat arahan daripada Bukit Aman.
"Walaupun kita mungkin tidak terjejas dengan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, kita tetap berjaga-jaga dan pasukan peronda akan menasihatkan penduduk agar tidak melakukan ativiti seperti mandi-manda di pantai berikutan jangkaan paras air akan naik," kata Suhaimi.

Beliau berkata rondaan akan dibuat sehingga tengah malam ini bergantung kepada arahan seterusnya.

Katanya orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di talian 09-6354722.

Tiga Sekeluarga Maut, Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Timur-Barat

Seorang wanita bersama dua anak lelakinya terbunuh manakala suami dan seorang lagi anak mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Km53 Lebuh Raya Timur-Barat dekat Gerik, kira-kira 220 kilometer dari Ipoh, semalam.

Yang terbunuh dalam kemalangan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dikenali sebagai Wan Sariwani Zainal, 35, dan dua anak lelakinya Mohamad Imran Haziq Zainuddin, 3, dan Mohamad Izuan Hanif, 9 tahun.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata ketiga-tiga mereka yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata suami Wan Sariwani, Zainuddin Omar, 35, yang memandu kereta itu dan anak sulung mereka Iqbal Hakim 13, pula mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Bercakap kepada pemberita di Ipoh, Wan Abdullah berkata kejadian berlaku semasa keluarga yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan itu sedang dalam perjalanan menghala arah Gerik.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga itu terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan MPV.

Katanya tiga lelaki dan tiga wanita dalam MPV itu hanya cedera ringan dan kesemua mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Gerik.

Wan Abdullah berkata pasukan bomba dari Gerik dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mereka yang tersepit dalam nahas itu sebelum dihantar ke hospital.

Menurutnya nahas itu adalah kemalangan maut yang kedua dalam tempoh 24 jam berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, empat penuntut Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain di Km12 lebuh raya itu.

AZRB akan siapkan baki projek Lebuh Raya Pantai Timur

Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) menerima surat penerimaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiapkan baki kerja Fasa 2 projek Lebuh raya Pantai Timur, Terengganu, bernilai RM145.38 juta.

Dalam satu kenyataan kelmarin, AZRB berkata, kerja berkenaan dijangka siap pada 26 Ogos, 2012.

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih bagi tahun kewangan berakhir 2011 dan 2012.

Friday, March 11, 2011

Jabatan Penerangan Terengganu Rancang 486 Program Sepanjang Tahun Ini

Jabatan Penerangan Terengganu akan melaksanakan 486 program dan aktiviti melibatkan peringkat negeri dan daerah sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Azizah Awang berkata semua program yang dirancang itu berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dan jabatan.

"Semua program yang akan dijalankan itu adalah mengikut sasaran tertentu dan kesesuaian sesuatu tempat. Setakat ini, sebanyak 25 peratus daripada program itu telah dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Karnival 1Malaysia anjuran jabatan itu di Kolej Islam, Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu di Kuala Berang semalam. Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden KIST Group Holding Roomai Nor Ali.

Azizah berkata semua aktiviti jabatan itu melibatkan kumpulan sasar seperti Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, masyarakat umum dan belia.

Jabatan itu juga mengadakan program Wacana Bicara 1Malaysia di peringkat sekolah selain menubuhkan Kelab Setia di setiap sekolah menengah yang akan membantu menyebarkan dasar kerajaan.

Beliau berkata untuk masyarakat di akar umbi pula, jabatan mewujudkan Komuniti 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Komuniti Bestari di 83 mukim.

Sementara itu, Roomai Nor berkata KIST kini sedang meninjau peluang pendidikan di luar negara.

"Beberapa pegawai tinggi KIST Group Holding kini berada di Pakistan untuk meninjau peluang di negara itu," katanya.

Di Terengganu KIST mempunyai kira-kira 530 penuntut dalam enam jurusan iaitu Diploma Psikologi, Diploma Sains Senaman dan Sukan, Diploma Farmasi, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Diploma Kesihatan Persekitaran dan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Kita akan tambah tiga kursus lagi di sini mulai pengambilan Jun ini iaitu Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan dan Diploma Domestik Radioterapi," katanya.

Tuah Buat Harriff Bolot Empat Jersi

Mohd. Harrif menunjukkan keempat-empat jersi yang dimenanginya selepas peringkat ketiga kejohanan lumba basikal Jelajah 1Malaysia dari Kluang ke Rompin, semalam.

Hujan pada peringkat ketiga Jelajah 1Malaysia memberi tuah buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh apabila dia mencipta sejarah tersendiri membolot empat jersi sekali gus, selepas perlumbaan dari Kluang ke Rompin, semalam.

Juara peringkat ketiga kelmarin milik pelumba SP Tableware, Ioannis Tamourdis yang bijak mengambil kesempatan berikutan cuaca hujan dan berangin di sepanjang 158 kilometer laluan perlumbaan.

Harrif, yang sentiasa bekerjasama dengan rakan sepasukannya, Anuar Manan bermula dari peringkat pertama dan kedua, sekali lagi berada di kelompok depan dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti Anuar ketiga.

Kedudukan itu sudah cukup buat Harrif untuk memperoleh mata bonus dan membolehkannya menjadi pendahulu Individu Keseluruhan (jersi kuning), Raja Pecut (jersi hijau), Terbaik Asia (jersi biru) dan Terbaik Malaysia (jersi putih).

"Saya berpuas hati dengan kayuhan saya yang membolehkan saya memenangi empat jersi sekali gus, namun rakan-rakan saya agak kepenatan hari ini untuk mengekang Mehdi Sohrabi (pemegang jersi kuning sebelum ini)," katanya.

Sementara itu, pemenang perlumbaan semalam, Tamourdis menyifatkan hujan di sepanjang perlumbaan lebih baik berbanding terpaksa berkayuh dalam keadaan cuaca terik.

Perlumbaan hari ini melibatkan jarak paling pendek iaitu 89.5 kilometer dari Kuala Rompin dan berakhir di Pekan.

Tourism Terengganu Anjur Program Pacuan Empat Roda Media Antarabangsa

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) negeri Terengganu merancang mengadakan Program Pacuan Empat Roda Media Antarabangsa pada Jun ini.

Pengarah Tourism negeri Terengganu Mohd Nasir Kushairi berkata program yang merangkumi media tempatan dan luar negara itu akan menyusuri kawasan semula jadi dan tempat-tempat yang belum diterokai di negeri itu.

"Hasrat kita ialah untuk memperhebatkan industri pelancongan di Terengganu memandangkan negeri itu mempunyai banyak potensi dalam bidang eko-tourism," katanya pada program bersama media di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Nasir berkata program itu dijangka akan disertai 15 buah kenderaan yang melibatkan kira-kira 50 peserta tempatan dan antarabangsa.

Katanya pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Tourism Kelantan dan Pahang bagi menjayakan program berkenaan.

Hanya Kelantan, Terengganu Tidak DiKeluarkan Lesen Import Arak

Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol ialah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak dan payu dara serta penyakit hati. Pengambilan minuman beralkohol juga boleh menyebabkan kecelaruan tingkah laku dan mental akibat gangguan fungsi otak dan 48 peratus daripada kes berkenaan berpunca daripada pengambilan alkohol selain daripada bahan-bahan psikoaktif yang lain seperti dadah, heroin dan ganja. - Dr Rozanim

Menurut Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 45 peratus penduduk dunia tidak mengambil minuman beralkohol!

Congak-congakkanlah berapa ramai yang meneguk minuman ini jika diambil kira jumlah penduduk dunia yang kini melebihi enam bilion orang.

Laporan badan dunia itu juga menyebut pengambilan alkohol yang berbahaya ini menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

WHO turut menyatakan kebimbangan amalan yang tidak sihat ini semakin melibatkan generasi muda serta peminum di negara sedang membangun.

Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 WHO ini dilancarkan pada akhir mesyuarat empat hari di Geneva, Switzerland sebagai inisitaif perlaksanaan Strategi Global Mengurangkan Penggunaan Berbahaya Alkohol.

TREND MEMBIMBANGKAN

Di dalam negara, situasi yang agak membimbangkan turut dikongsi beberapa 'rakan strategik' Persidangan Meja Bulat "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini baru-baru ini.

Persidangan Meja Bulat mengenai arak ini adalah program kedua anjuran Ikim selepas muzakarah bertajuk "Arak dan Permasalahannya" pada 30 Okt 2009.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah trend pengambilan minuman beralkohol yang semakin meningkat di kalangan remaja bukan Islam dan Islam (terutama Melayu).

Nisbah pengambilan minuman beralkohol antara lelaki dan wanita juga semakin mengecil di mana semakin ramai wanita yang mengambil minuman keras ini.

Statistik yang dikongsi wakil Kementerian Kesihatan, Dr Rozanim Kamaruddin pula menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini sebab untuk mabuk.

"Di bidang kesihatan ini adalah satu kemudaratan kesihatan yang apabila berterusan di masa hadapan akan menyebabkan mereka ketagih kepada minuman beralkohol ini.

"Berbeza dengan ketagih dadah, mereka yang ketagih alkohol tidak boleh serta merta menghentikan pengambilan alkohol. Jika ini dilakukan, risiko mereka untuk maut tinggi. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan mereka mendapat sawan.

"Mereka yang ketagih kita nasihatkan pergi ke hospital kerana ada pemantauan berterusan dan akan diberi ubat untuk membantu mereka berhenti daripada mengambil minuman beralkohol ini," kata Dr Rozanim yang menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyalahgunaan Alkohol, Kementerian Kesihatan.

BANYAK RISIKO

Alkohol bergantung kepada corak pengambilan minuman dan berapa banyak seseorang itu meminumnya bukan sahaja menyebabkan kemabukan tetapi ia juga mempunyai kesan toksik terhadap organ badan.

Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol ialah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak dan payu dara serta penyakit hati.

Pengambilan minuman beralkohol juga boleh menyebabkan kecelaruan tingkah laku dan mental akibat gangguan fungsi otak.

Menurut Dr Rozanim, 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku adalah berpunca daripada pengambilan alkohol selain daripada bahan-bahan psikoaktif yang lain seperti dadah, heroin dan ganja.

"Daripada laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat 2008, 5.3 peratus daripada keseluruhan kes keganasan rumah tangga adalah berkaitan dengan alkohol.

"Sebanyak 4.5 peratus daripada keseluruhan kes baru penderaan kanak-kanak juga berkaitan dengan alkohol.

"Daripada laporan Polis Diraja Malaysia 2007, 0.5 peratus daripada keseluruhan kemalangan maut adalah berkaitan dengan pengambilan alkohol atau memandu di bawah pengaruh alkohol," kata Dr Rozanim.

LAGI STATISTIK POLIS

Statistik tangkapan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol di seluruh negara dalam operasi trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekod 536 kes pada 2010 berbanding hanya 163 kes pada 2009.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat jumlah tangkapan mabuk paling tinggi pada tahun lepas iaitu 216 kes berbanding 134 kes pada tahun sebelumnya.

Ini diikuti Sarawak dengan 120 kes pada 2010 dan 14 kes sahaja pada 2009. Pulau Pinang berada di tempat ketiga dengan 80 kes tangkapan mabuk pada 2010 berbanding hanya 2 pada 2009.

Statistik ini dikongsi Datuk Dr Ab Rahman Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas PDRM ketika sesi pembentangan "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Jabatan Peguam Negara".

"Ini menggambarkan gejala minuman keras ini terus berkembang dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan muda termasuk yang beragama Islam," kata beliau.

Beliau turut mendedahkan bahawa mabuk juga mencetus insiden pergaduhan kaum di mana rekod PDRM menunjukkan sehingga 22 Feb tahun ini melibatkan lapan kes.

Statistik untuk insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes sementara 79 kes dicatat pada 2009, 60 kes pada 2008, 131 kes pada 2007 dan 77 kes pada 2006.

IMPORT ARAK

Setiap pengimport arak perlu mendapat lesen aktiviti pengimportan arak dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengeluarkan lesen mengimport arak di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977.

Wakil JKDM ke Persidangan Meja Bulat mengenai Arak dan Pencegahannya, Habsah Harun berkata Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah pengimport arak tertinggi di negara ini iaitu 131.

Ini disusuli Selangor (70), Pulau Pinang (35) dan Pulau Langkawi (32) sementara tiada lesen pengimport arak dikeluarkan bagi Terengganu dan Kelantan.

Beliau yang menyandang jawatan Penolong Kanan Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM turut berkata minuman keras adalah satu daripada komoditi yang dikenakan cukai yang tinggi selepas kereta dan rokok.

Cukai yang tinggi juga menggalakkan penyeludupan minuman keras di mana jumlah kes meningkat dari 590 kepada 812 pada 2010. Untuk 2011 sehingga 20 Feb sebanyak 83 kes rampasan minuman keras direkod oleh JKDM.

HALANGAN PENGUATKUASAAN

Seksyen 19, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan jelas menyebut larangan ke atas orang Islam.

Ia bukan sahaja melarang minum apa-apa minuman yang memabukkan di mana-mana kedai atau tempat awam tetapi juga membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan.

Bagaimanapun tindakan penguatkuasaan adalah tidak semudah "ayat-ayat yang terkandung di dalam seksyen 19" kata Yaakob Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika membentangkan kertas kerjanya.

"Meskipun dapat banyak aduan, apabila kita membuat tangkapan, buat penahanan banyak perkara teknikal yang timbul. Yang kecil jadi besar dan yang besar bertambah besar.

"Apabila kita pergi ke premis-premis ada sekatan dan halangan untuk kita masuk. Ada pengawal dan sememangnya kerja kita berisiko tinggi," jelasnya yang turut menyatakan bahawa pihaknya membuat tindakan penguatkuasaan berdasarkan aduan di samping operasi yang lazim dilakukan Jawi.

Beliau menyebut antara halangan tersebut ialah mendapatkan penyaksian, mengesan dan menyimpan bahan bukti untuk mensabitkan kesalahan.

"Biasanya nak masuk ke premis yang eksklusif kita terpaksa melalui pengawal, kadang kala lima atau enam pengawal. Bila kita maklum ke pengawal di depan dan dia maklumkan ke dalam, bila kita masuk premis kosong.

"Kadang-kadang kita masuk dia kata dia duduk sembang-sembang dan kata dia baru duduk dan botol minuman bukan dia punya, orang lain yang punya. Di situ akan timbul masalah teknikal, mereka ini lagi licik daripada kita.

"Pada 2010 kita buat beberapa serbuan tetapi sampai sekarang kes tak selesai sebab masalah teknikal," katanya

Pemantauan Jawi ke atas beberapa kawasan yang diwartakan sebagai kawasan pelancong di mana premis-premis di situ dibenar beroperasi sehingga lewat pagi turut mendapati ada remaja Melayu yang keluar masuk ke premis seumpama.

BUDAYA HIBURAN

Wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerjanya "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Jabatan Peguam Negara" menyentuh budaya hedonisme atau budaya hiburan di samping gejala sosial yang keterlaluan yang sekarang ini mendominasi khususnya anak remaja Melayu.

"Mereka melihat arak ini sebagai satu minuman yang berprestij.

"Dia minum dia rasa hebat. Pertama kita lihat di mana dihidangkan minuman ini? Hotel lima bintang. Ia tidak dihidangkan di bawah pokok ceri. Tempat yang menghidangkan arak ini adalah tempat berkelas tinggi," kata Mahamad Naser.

Menurut beliau yang lebih merisaukan ialah apabila ada wanita Islam yang terlibat dalam penyalahgunaan arak ini iaitu mereka yang bekerja sebagai GRO khususnya di tempat hiburan.

"Di kalangan GRO boleh dikatakan hampir semua mereka minum arak, mabuk sebab bila mabuk boleh melayan pelanggan dengan sepenuhnya, hingga ke tempat lain.

"Dan terjadilah perkara-perkara yang disebut dalam hadis Rasululullah, arak itu adalah ibu kepada segala kejahatan.

Beliau yang menyandang jawatan Timbalan Bahagian Ketua Penasihat (Syariah), Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara turut menegur pihak disko dan pub yang terbuka serta kawasan yang menghidang arak yang ada dikunjungi orang Islam.

ANTARA CADANGAN

Perkemaskan undang-undang berkaitan arak (yang berselerak dalam perbagai undang-undang) dalam satu undang-undang. Ia boleh dipanggil sebagai Akta Kawalan Arak atau Akta Penyalahgunaan Arak, demikian pandangan peribadi Mahamad Naser.

Akta berkenaan perlu menyifatkan arak dalam apa bentuk jua pun digambarkan sebagai sesuatu yang memudaratkan sebagaimana dadah, dilarang terhadap umat Islam dan hukuman bagi semua bentuk kesalahan perlu ditingkatkan.

Mahamad Naser melahirkan pandangan peribadinya supaya publisiti serta kempen mengenai gejala keburukan arak perlu ditingkatkan melebihi rokok dan dadah supaya arak dipandang sebagai sesuatu yang keji dan hina.

Beliau turut mencadangkan agar pesakit yang ketagihan arak dikehendaki menanggung sendiri perbelanjaan dan dilarang daripada mendapatkan perubatan awam.

"Kesimpulannya undang-undang yang digubal seharusnya mampu meletakkan arak sebagai sesuatu yang negatif dan tidak wajar dijadikan sebagai sumber hasil negara dan ditadbir sebagai barang yang boleh dikenakan cukai," kata Mahamad Naser.

Rencana Bernama

23,000 sertai perarakan Maulidur Rasul Daerah Kemaman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengetuai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman yang disertai kira-kira 23,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan dan pelajar.

Kira-kira 3,000 kanak-kanak tadika daripada pelbagai agensi, turut menyertai perarakan yang bermula awal pagi semalam (9 Mac)

Kira-kira 23,000 orang menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Turut menyertai perarakan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman; Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman dan ketua-ketua jabatan.

Majlis sambutan Maulidur Rasul itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, diikuti ucapan Pegawai Daerah serta Menteri Besar dan penutup penyampaian sijil penghargaan kepada mereka yang memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.

Sambutan turut diserikan dengan cabutan bertuah selepas selesai perarakan di mana pelbagai hadiah menarik berupa barangan elektrik, basikal dan toto disediakan pihak penganjur.

Selain kanak-kanak tadika, kira-kira 7,000 pelajar sekolah rendah dan menengah turut menyertai perarakan tersebut.

Unit Komunikasi Negeri

UniSZA, UMT Terbabit Dalam Program Lahirkan Atlet Negara

UMS terpilih menjayakan program PST bagi acara bola sepak.

Sebanyak 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam termasuk satu IPT swasta di seluruh negara dipilih untuk menjayakan Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Program Pembangunan Pusat Sukan Tumpuan (PST).

Daripada jumlah itu lapan dipilih untuk melaksanakan kedua-dua program yang diyakini mampu melahirkan atlet negara bertaraf dunia dalam temasya Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada masa depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata lapan universiti terpilih sebagai PKS dan sebanyak 25 IPT terpilih sebagai PST.

“Pemilihan IPT ini diharap dapat meningkatkan atlet yang bermutu dan mampu menaikkan nama negara pada masa depan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis Kecemerlangan Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2010, Penyampaian Geran Penyelidikan Sukan KPT dan Pelancaran Liga Bola Sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dipilih bagi acara menembak bersesuaian dengan kemahiran universiti terbabit, manakala IPT swasta tunggal terpilih ialah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi acara hoki.

Beliau berkata, dua politeknik turut dipilih melaksanakan PST iaitu Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis (PTSS) dalam acara sepak takraw dan Politeknik Merlimau, Melaka (tenpin boling)
.
“Turut tersenarai adalah dua kolej komuniti iaitu Kolej Komuniti Hulu Langat, Selangor (KKHL) yang melaksanakan acara ping pong dan Kolej Komuniti Paya Besar, Pahang (KKPB, bola tampar),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPT, Ab Rahim Md Noor berkata kementerian mengambil berat pembabitan pelajar IPT dalam kegiatan kokurikulum terutama sukan untuk melahirkan modal insan seimbang meliputi perkembangan akademik, fizikal, mental dan rohani.

INFO: Pusat Kecemerlangan Sukan:
IPT - Sukan
Universiti Malaya - bola jaring
Universiti Sains Malaysia - renang
Universiti Kebangsaan Malaysia - kriket
Universiti Putra Malaysia - ragbi
Universiti Teknologi Malaysia - mendayung
Universiti Teknologi MARA - bola sepak
Universiti Utara Malaysia - golf
Universiti Malaysia Sabah - tae kwan do

Pusat Sukan Tumpuan

IPT - Sukan
Universiti Malaya - badminton
UKM dan UTM - bola tampar
Universiti Putra Malaysia - memanah
Universiti Teknologi MARA - sepak takraw
Universiti Utara Malaysia - ping pong
Universiti Malaysia Sabah - bola sepak
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - futsal
Universiti Malaysia Sarawak - tenpin boling
Universiti Pendidikan Sultan Idris - hoki dewan
Universiti Sains Islam Malaysia - tae kwan do
Universiti Malaysia Terengganu - squasy
Universiti Tun Hussien Onn Malaysia - silat
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - basikal
Universiti Malaysia Pahang - bola keranjang
Universiti Malaysia Perlis - tenis
Universiti Sultan Zainal Abidin - memanah
Universiti Malaysia Kelantan - boling padang
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) - hoki
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau - sepak takraw
Politeknik Merlimau, Melaka - tenpin boling
Kolej Komuniti Hulu Langat - ping pong
Kolej Komuniti Paya Besar, Pahang - bola tampar.

Kelab Perbendaharaan Terengganu Adakan Klinik Pelayaran Remaja

Kelab Perbendaharaan Negeri Terengganu (KPNT) akan menganjurkan Program Klinik Pelayaran Remaja EPIC pada Ahad dan Isnin ini bertempat di Ri-Yaz Heritage Marina Resort And Spa, Pulau Duyong Kuala Terengganu.

Setiausaha KPNT Khalib Che Ambak berkata tujuan penganjuran klinik itu adalah untuk memberi pendedahan mengenai sukan dan cabaran pelayaran kepada golongan remaja Terengganu yang berusia antara 14 dan 17 tahun.

"Program siri kedua itu ditaja EPIC Berhad, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu dan dikendalikan oleh T-Best Events, yang menguruskan kejohanan kapal layar Piala Monsun setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Terengganu, semalam.

Khalib berkata klinik itu adalah kesinambungan kepada program siri pertama yang dianjurkan pada Mac tahun lalu.

Katanya sebanyak empat pasukan akan menyertai klinik ini yang seterusnya menyertai Pertandingan Pelayaran Remaja EPIC.

"Pasukan pelayar muda ini akan berpeluang untuk menimba pengalaman dengan berlatih menggunakan perahu layar Foundation 36, iaitu perahu yang sama digunakan pelayar dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun," katanya.

Kawasan Dilanda Banjir Di Kemaman Dan Besut Pulih

Kawasan yang dilanda banjir di daerah Kemaman dan Besut semalam akibat hujan lebat sejak Isnin lalu kini telah pulih sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Zuhami Omar berkata seramai 54 orang daripada 15 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan telah dibenarkan pulang ke rumah kelmarin.

Katanya kawasan yang terlibat ialah Pekan Renek, Jabi di Besut melibatkan 20 mangsa dari enam keluarga yang berpindah ke Balai Raya Renek dan penduduk Kampung Sungai Mas, Kijal di Kemaman membabitkan 34 orang berpindah ke Balai Raya Kampung Sungai Mas.

Ada juga antara mangsa yang berpindah ke rumah saudara-mara masing-masing.

Cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu termasuk kawasan yang dilanda banjir juga cerah sejak kelmarin.

Thursday, March 10, 2011

Terengganu-Cuba Kerjasama Bidang Bio-Teknologi, Nano-Teknologi

Datuk Seri Ahmad Said dan Duta Besar Cuba ke Malaysia Carlos A Amores pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman semalam. - Gambar oleh ZulPutra.

Kerajaan Terengganu akan menghantar rombongan ke Cuba pada Mei atau Jun depan bagi meninjau peluang pelaburan dan kerjasama dengan negara itu terutama dalam bidang bio-teknologi dan nano-teknologi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap kerjasama itu dapat melonjakkan Terengganu dalam industri berkenaan," katanya semasa dikunjungi Duta Besar Cuba ke Malaysia Carlos A Amores di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, tengah hari semalam.

Ahmad Said berkata, rombongan ke Cuba itu terdiri daripada beberapa profesor dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menurutnya, bio-teknologi dan nano-teknologi adalah antara bidang utama yang menjadi tumpuan dalam kerjasama dua hala itu.

“Kerjasama dua hala dalam bidang berkenaan dibuat memandangkan Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap ia dapat melonjakkan industri itu di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Amores berkata, beliau ke Terengganu untuk mempelawa kerajaan negeri melawat Cuba bagi meninjau peluang kerjasama dalam bidang berkenaan.

"Malaysia dan Cuba telah menjalin hubungan dua hala yang baik di pelbagai peringkat. Walaupun begitu, kita masih lagi perlu mempertingkatkan kerjasama," katanya.

Beliau berkata terdapat pelbagai peluang pelaburan di Cuba terutama di bidang pelancongan, perubatan dan kesihatan selain teknologi nano dan bio-teknologi.

Katanya, Cuba masih memerlukan lebih banyak hotel dan kemudahan dalam bidang pelancongan. Cuba dikunjungi kira-kira 2.5 juta pelancong asing setahun.

Amores berkata, Cuba banyak mencapai kejayaan dalam bidang bio-teknologi terutama farmaseutikal.

“Ketika ini terdapat lebih 30,000 pelajar dari 70 buah negara yang sedang belajar dalam pelbagai bidang di negara itu,” katanya.

Amores turut memuji keindahan Terengganu terutama berkaitan Taman Tamadun Islam (TTI).

Malaysia Mara Ke Pusingan Kedua Kelayakan Olimpik 2012

Pertahanan Malaysia, Affize Faisal (dua dari kanan) menyekat penyerang Pakistan, Muhammad Rizwan (dua dari kiri) serta Kaleemullah (no 10) pada perlawanan pusingan pertama di Lahore malam semalam (9 Mac 2011).

Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 walaupun seri tanpa jaringan 0-0 menentang Pakistan pada perlawanan kedua, pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Punjab, Lahore, Pakistan lewat malam semalam (waktu Malaysia).

Terikat seri tanpa jaringan bagaimanapun membolehkan Malaysia mara ke pusingan kedua dengan kelebihan agregat 2-0.

Pada 23 Februari lepas, skuad anak buah Ong Kim Swee membawa bekal 2-0 apabila menewaskan Pakistan pada perlawanan pertama, pusingan pertama di Stadium Shah Alam.

Lawan Malaysia pada pusingan kedua akan ditentukan kemudian melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil dan perlawanan kalah mati tersebut akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan.

Pada pusingan kedua, 13 negara yang menduduki kedudukan tertinggi Asia akan beraksi bersama 11 negara yang menang dari pusingan pertama dan 12 pemenang dari pusingan kedua akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan akan bermain enam perlawanan bermula 21 Sept depan hingga 14 Mac 2012.

Pasukan yang menduduki tangga teratas dari setiap kumpulan secara automatiknya layak ke temasya itu di London.

Skuad bolasepak kebangsaan pertama kali layak ke pusingan akhir temasya sukan terbesar dunia itu pada Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 dan kali terakhir pada Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Malaysia bagaimanapun tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada ketika itu.

Pada kelayakan Olimpik Beijing 2007, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

Kerajaan Pertingkat Pengeluaran Air Bersih Sehingga 2015

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM82.50 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan bekalan air seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut RM72.0 juta adalah sumber pinjaman Kerajaan Pusat manakala bakinya iaitu RM10 juta dari sumber kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, antara projek yang diluluskan terdiri dari projek sambungan dan projek baru.

Katanya, projek bekalan Air Besut Peringkat 111, yang menelan belanja RM66 juta sedang dalam pembinaan, antara usaha meningkatkan kapasiti loji di Bukit Bunga dari 61.75 juta liter sehari kepada 99.5 juta sehari bagi menampung kepentingan air sehingga 2015.

Selain itu katanya, usaha juga sedang dibuat bagi mengurangkan kadar kehilangan Air Tidak Terakuan (NRW) dengan kos RM45.75 juta dan projek ini akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) membabitkan kos RM11 juta lagi untuk pelan pelaksanaan utama dengan sasaran mencapai 30 peratus NRW menjelang 2015.

Katanya, sebanyak RM32.7 juta turut dibelanjakan bagi projek naik taraf Loji Air Tepus di Dungun bagi menampung permintaan bekalan air domestik dan industri di kawasan Bukit Besi, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Jerangau dan sekitarnya.

“Projek bekalan air di Teluk Kalong dan Pasir Panjang di Pulau Redang juga sedang giat dijalankan dengan kos RM10.5 juta,” katanya.

Sebanyak RM15.781 juta lagi untuk pembangunan infrastruktur sistem air paip tangki bermenara di Bandar Baru Kijal, Kemaman yang kini sedang dilaksanakan.

Unit Komunikasi Negeri

Perdana Menteri Lawat Terengganu 30 April

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan kedatangan Perdana Menteri pada sidang media bersama Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores yang mengunjungi beliau di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu tengah hari semalam. - Gambar oleh ZulPutra.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka membuat lawatan ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini tentunya bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar kerana akhir bulan Mac ini adalah genaplah tiga tahun beliau diamanahkan menerajui Terengganu.

Ahmad Said menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 dan mengangkat sumpah menjawat jawatan itu di Istana Maziah pada 30 Mac 2008.

Kehadiran Presiden Umno ini juga amat bermakna berikutan Ahmad Said dilantik menerajui semula Umno Terengganu, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 1 Januari baru-baru ini.

Mengumumkan lawatan ini, Menteri Besar berkata, ia adalah siri lawatan Perdana Menteri ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Kira-kira tiga bulan lalu iaitu pada Disember 2010, Perdana Menteri telah hadir ke negeri Terengganu melancarkan Kelab Motor Terengganu bersama ribuan remaja di Stadium Tertutup, melawat pasar Chabang Tiga dan berkunjung ke rumah warga emas Esah Mamat,90 tahun di kampung berkenaan.

Kehadiran Perdana Menteri amatlah dialu-alukan oleh rakyat Terengganu, lebih-lebih lagi dari kalangan ahli dan pendokong Umno yang amat berterima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Ahmad Said menerajui semula Umno Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri

Celis Juarai Peringkat 2, Jersi Kuning Terus Di Tangan Mehdi

Maklumat penting yang disampaikan pengurus pasukannya membantu pelumba Sepanyol Vidal Celis menjuarai Peringkat 2 Jelajah Malaysia 2011 di Kluang, semalam.

Pelumba Le Tua Cycling Team itu berkata selepas berpecah daripada rakan sepasukan, dia membuat persiapan untuk menuju ke garis penamat secara berkumpulan tetapi Johari Nayan menyatakan kepadanya bahawa pada jarak 30m daripada garisan itu, terdapat laluan menurun yang boleh dimanfatkannya.

"Mendengar kata-katanya itu, saya memecut terlebih dulu daripada pelumba lain.

"Dan selepas selekoh di lampu isyarat, saya sudahpun mendahului pelumba lain untuk menuruni bukit di hadapan saya dan dengan itu, tidak perlu bersusah payah untuk menamatkan perlumbaan dan meraih kemenangan," kata Celis.

Pelumba berusia 29 tahun itu mencatat masa empat jam, 53 minit dan 14 saat untuk menghalang pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team, Anuar Manan dan Mohd Hariff Salleh daripada menjuarai peringkat berkenaan.

"Perlumbaan hari ini sungguh memenatkan kerana jarak laluan yang jauh dan berbukit. Dalam jarak 30km sebelum garisan penamat, saya diserang kekejangan otot.

"Selepas dua hari perlumbaan, kami belum mencapai kemenangan untuk sebarang peringkat. Kami ke sini dengan sasaran untuk menjadi juara peringkat dan saya harap kami mencapainya pada peringkat selepas ini," kata Mohd Hariff, 23, yang mengekalkan Jersi Hijau dan Putih.

Mohd Hariff menduduki tangga teratas kejuaraan pecut dengan mengumpul 32 mata, diikuti rakan sepasukannya, Anuar, dengan tiga mata di belakang.

Pelumba SP Tableware Pro Team, Ioannis Tamouridis dari Greece, menduduki tempat ketiga dengan 21 mata.

Jersi Kuning terus kekal di tangan pelumba Iran, Mehdi Sohrabi, walaupun dia tidak tersenarai dalam 10 pelumba teratas pada perlumbaan hari ini.

"Hari ini tidak begitu bertuah bagi saya. Saya berasa sungguh letih akibat diasak ramai pelumba. Bagaimanapun, kami yakin dengan perlumbaan esok dan tentunya keadaan pasukan saya akan lebih baik," katanya.

Pasukan Mehdi, Tabriz Petrochemical Team, menduduki tangga teratas bagi kelas keseluruhan dan kelas umum Asia dengan catatan masa 25'38:32s selepas dua peringkat perlumbaan.

Pelumba Jerman, Daniel Westmahelmann dari Team Eddy Merckx - Indeland, mendapat satu mata lagi di Ulu Belitong untuk membolehkannya menyimpan Jersi Merah sehari lagi.

Perlumbaan Peringkat 3 esok akan melalui kawasan pamah dari Kluang, Johor ke Kuala Rompin, Pahang, dengan jarak sejauh 158.2km, yang mengandungi tiga zon pecut dan dua zon pendakian.

Kerjasama Padu Antara Ukom, KAWAT

Kerjasama yang sudah sedia terjalin di kalangan pengamal media dengan agensi pentadbiran negeri semakin padu hasil pertemuan antara persatuan yang menaungi seluruh organisasi media Terengganu dengan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di pejabat agensi kerajaan itu, di Kuala Terengganu,semalam.

Program perjumpaan yang pertama antara Pengarah Ukom, Shamsuddin Sulong dan pegawai agensi itu dengan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) diketuai Presidennya, Encik Ayob Mamat berlangsung kira-kira dua jam. Hadir sama, Ketua Biro Sinar Harian, Puan Rohayu Mustafa.

Shamsuddin berkata, pihaknya sedar bahawa media memainkan peranan yang cukup penting dalam jatuh bangun sebuah negeri khususnya dalam aspek politik.

Malah, media menjadi antara komponen utama dalam pentadbiran negeri yang bertindak sebagai medium penyebar luas segala perkembangan dan isu semasa untuk diketahui rakyat.

Katanya, beliau sentiasa berfikiran terbuka dan menghormati peranan serta hak media, selain akan terus bekerjasama dalam memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat dan timbal balas dalam apa jua perkara.

“Saya mahu menjadikan Kawat sebagai rakan kongsi strategik dan Ukom akan bertindak sebagai agensi perantara dalam membantu merapatkan hubungan pengamal media negeri ini dengan institusi pentadbiran negeri terutama Pejabat Menteri Besar sendiri.

“Kita juga mahu media sentiasa dan akan terus membantu memperkasakan institusi kerajaan, Pejabat Menteri Besar serta politik negeri ini selaras dengan hasrat dan misi yang digariskan pentadbiran negeri melalui kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said,” katanya yang cukup berterima kasih kepada Kawat kerana mengatur pertemuan bermakna itu.

Menurut beliau, Ukom melalui Bahagian Perhubungan Awam dan Seranta juga mengatur pelbagai program yang melibatkan organisasi media dan kerjasama dengan Kawat termasuk Retreat Media, Jelajah Media serta Bicara Media Bersama Pemimpin Negeri yang melibatkan beberapa siri sejak bulan lalu.

Sementara, Ayob pula berharap pertemuan itu mampu merapatkan hubungan dan menambahkan lagi kemesraan yang sedia terjalin sejak dulu di kalangan pengamal media dengan agensi kerajaan khususnya Pejabat Menteri Besar .

Katanya, Kawat akan memberi sepenuh komitmen dan promosi secara meluas dalam apa jua program yang dilaksanakan agensi kerajaan itu menerusi program kerjasama supaya mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Hasil Ladang Sawit Urus Anak Yatim

Ladang Kelapa Sawit, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) menjana pendapatan RM3.9 juta tahun lalu hasil pengeluarannya dari kawasan ladang seluas 313 hektar di Kemaman.

Pendapatan hasil ladang ini menjadi pemangkin kepada Perkaya untuk belanja mengurus anak-anak yatim di negeri ini khususnya yang berada di Asrama Perkaya Pulau Kerengga, Marang dan Jabi, Setiu.

Pegawai Eksekutif Ladang Sawit Perkaya, Haji Harun Hasan berkata, tahun lalu harga sawit berada pada harga RM700 satu tan metrik dengan pengeluaran buah 5,600 mt.

“Dua bulan pertama tahun ini, harga kelapa sawit meningkat kepada RM800 satu mt, tetapi pengeluaran buah sedikit menurun iaitu 600 mt pada Januari dan turun kepada 500 mt pada Februari lalu,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, di samping hasil ladang, Perkaya juga mengambil inisiatif menternak lembu dan kambing yang ditempatkan di ladang kelapa sawit.

“Setakat ini terdapat 200 ekor lembu dan 400 ekor kambing yang diternak di ladang dan ini juga dapat menambah pendapatan dalam usaha Perkaya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak yatim di bawah jagaan pertubuhan itu,” katanya.

Selain itu katanya, Perkaya membuat perancangan untuk membuka ladang jagung dan telah kenal pasti kawasan seluas 56 hektar dan kini dalam proses dengan Pejabat Tanah.

Kerajaan Pusat Bantu Penternak Tenusu Termasuk Terengganu

Noh Omar (tengah) bersama-sama penerima sumbangan wang ehsan.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan melalui Tabung Amanah Pembangunan Tenusu bagi membantu 66 penternak yang terjejas pendapatannya selepas lembu tenusu mereka diserang penyakit kuku dan mulut (FMD) Disember lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata kelmarin, wang ehsan itu bertujuan membantu meringankan beban penternak dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Terengganu ekoran pengurangan hasil tenusu.

"Bantuan ini bukan gantirugi tetapi hanya wang ehsan yang bertujuan memberi dorongan kepada mereka," katanya selepas majlis penyerahan wang ehsan kepada 66 penternak lembu tenusu di Dewan Serbaguna Parlimen.

Peruntukan itu, katanya akan disalur secara berperingkat sebanyak tiga kali bagi menampung kerugian penternak berkenaan sejak Disember lepas.

"Peruntukan sebanyak RM314,783 merupakan pemberian pertama kita untuk kerugian pada Disember, dan peruntukan seterusnya untuk Januari dan Februari. Untuk Mac kita andaikan mereka sudah dapat kembali kepada keadaan asal," katanya.

Noh berkata bagi penternak yang kematian lembu akibat penyakit itu, kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan menggantikan lembu-lembu berkenaan untuk meringankan beban mereka yang terbabit.

Renek dan Kijal dilanda banjir

Hujan renyai kadangkala lebat yang melanda beberapa kawasan di Terengganu sejak dua hari lalu menyebabkan 54 orang dari 15 keluarga di Besut dan Kemaman dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setelah rumah mereka dinaiki air.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhami Omar berkata kesemua mereka dipindahkan antara jam 5 pagi dan 7.30 pagi ini.

"Di Besut, seramai 20 orang dari enam keluarga dari Kampung Renek dipindahkan ke Balai Raya Renek manakala empat keluarga terdiri dari 13 orang dari Padang Bual, Pasir Akar berpindah ke rumah saudara mara," katanya ketika dihubungi semalam.

Zuhami berkata di Kemaman, seramai 34 orang daripada sembilan keluarga dari kampung Sungai Mas, Kijal kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Sungai Mas.

Wednesday, March 9, 2011

Kerajaan Negeri Tentukan Tarikh Penghantaran Pelajar Ke Mesir Hari Ini?

Mungkinkah tarikh menghantar pulang pelajar Terengganu ke Mesir di putuskan oleh kerajaan negeri hari ini?

Ini kerana Penerbangan Malaysia (MAS) sudah bersetuju untuk mengadakan perkhidmatan sewa khas menggunakan pesawat Boeing 747 bagi menghantar semula pelajar Terengganu ke Mesir.

Sehingga ini tarikh penerbangan belum ditentukan kerana kerajaan negeri masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai keadaan keselamatan di negara tersebut.

Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) hari ini dikatakan akan membincangkan tarikh penghantaran pelajar selepas semua rundingan dengan pihak berkaitan selesai.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mula menghantar pelajarnya hari ini dan pagi esok selepas mendapati suasana di Mesir semakin pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, dilaporkan oleh Teganukita kelmarin, menyebut bahawa hasil rundingan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dengan pihak pengurusan MAS dua hari lalu, sudah mendapat persetujuan mengenai sewa khas pesawat MAS.

Beliau berkata, dalam perbincangan tersebut kedua-dua pihak bersetuju dengan kos sewa pesawat, tetapi tarikh penerbangan belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kelulusan MKN.

Pada 2 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, mengumumkan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik mereka ke Mesir, termasuk yang belajar di negara itu secara persendirian.

Bonus berganda buat pelajar Terengganu kerana Kerajaan Negeri akan menyediakan penerbangan terus dari Terengganu ke Kaherah, bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di universiti masing-masing, secepat mungkin.

Exco memutuskan untuk membiayai kos penerbangan balik semua pelajar dari Terengganu yang pulang ke negeri ini bulan lalu, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

Seramai 621 pelajar yang balik dari Mesir mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian.

Kos penerbangan pulang 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 52 pelajar yang ditaja oleh Mara akan ditanggung oleh penaja masing-masing manakala kerajaan negeri akan menanggung tiket penerbangan balik semua pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan pelajar persendirian.

Razif berkata, kemungkinan tarikh penerbangan pelajar berkenaan akan ditentukan dalam minggu ini dan pihak urusetia sedang mengatur jadual kepulangan pelajar tersenut.

Kerajaan negeri akan menggunakan pesawat MAS bagi urusan membawa pulang pelajar terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kaherah.

Persiapkan Belia Terengganu Hadapi Cabaran Masa Depan

Mungkin isu peruntukan yang dikatakan ‘hampir tidak ada’ untuk pertubuhan peringkat bawah untuk bergiat perlu diberikan perhatian serius kerajaan Negeri. Mungkin Rozi boleh membawa isu ini ke pengetahuan Menteri Besar dan mencari jalan mengatasinya segera. Dengan mendapat pendedahan lebih luas dalam pelbagai bidang kemahiran dan keusahawanan, belia di negeri ini mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negeri.


Analisis HAMBALI ABDUL LATIFF

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas di Dewan Rakyat kelmarin berkata, Kerajaan amat prihatin terhadap golongan belia di seluruh negara.

Ini terbukti melalui dasar dan program-program yang mencakupi pendidikan, latihan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, sukan, sosial, kebudayaan dan sebagainya.

Ia tidak lain dan tidak bukan sebagai mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.

Di Terengganu, kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri memainkan peranan aktif bukan sahaja dalam konteks menyediakan program yang sesuai dan penting untuk belia tetapi turut mensasarkan untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini terdapat 436 buah pertubuhan belia di Terengganu dengan keahlian seramai 30,000 orang.

Exco Belia dan Sukan, Rozi Mamat menekankan betapa belia di setiap kawasan perlu digerakkan.

Beliau mensasarkan setidak-tidaknya satu cawangan UMNO mempunyai sebuah persatuan yang aktif.

Amat jelas bahawa usaha murni ini sebagai galakan bagi golongan belia di negeri ini untuk menubuhkan persatuan belia di kawasan masing-masing.

Selain berusaha memperbanyakkan pertubuhan belia, Jabatan Belia dan Sukan negeri turut membantu memperkasakan pertubuhan belia yang sedia ada, sebagai usaha menarik lebih ramai generasi muda supaya aktif berpersatuan.

Yang pasti, kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa memberikan galakan, termasuk memberi bantuan kepada belia yang berminat menubuhkan persatuan belia.

Usaha ini adalah langkah terbaik memperkasakan golongan tersebut sebagai aset dan meneruskan proses kesinambungan pembangunan negara pada masa akan datang.

Belia yang berpesatuan bukan sahaja mudah untuk dihubungi tetapi penubuhan persatuan tersebut penting dalam membanteras masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang.

Dengan adanya pertubuhan seperti ini peruntukan daripada kerajaan dan pihak swasta juga mudah untuk disalurkan terus kepada kumpulan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Ada banyak persatuan belia di negeri Terengganu ini yang boleh dijadikan model kepada pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan mereka demi menjadikan setiap persatuan yang ditubuhkan mempunyai hala tuju yang jelas.

Yang penting, penubuhan persatuan ini tidak hanya pada nama sahaja, tetapi pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan, demi memberi faedah kepada semua pihak.

Selain itu melalui pertubuhan belia yang berdaftar, belia boleh menyuarakan kepentingan mereka dan paling penting, program pembangunan belia dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sebaiknya, termasuk melibatkan aspek seperti pendidikan, ekonomi, sukan, sosial dan agama.

Dengan ahli persatuan lebih dekat dengan masyarakat setempat, usaha membangunkan masyarakat dalam apa juga bentuk mudah dilaksanakan kerana jentera penerangan boleh dilaksanakan oleh belia di setiap kawasan.

Selain itu Jabatan Belia dan Sukan Terengganu dalam usaha memperbanyakkan pertubuhan atau persatuan, juga berusaha bagi mensasarkan untuk melahirkan 60 lagi usahawan belia dan untuk tujuan itu peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi latihan dan bimbingan.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Encik Abd. Aziz Abd. Rahman berkata beberapa hari lalu, peruntukan ini hanya untuk program dan aktiviti sehingga bulan Jun manakala baki enam bulan seterusnya akan diterima pada pertengahan tahun ini.

Menariknya jabatan itu turut menggariskan beberapa program kursus dan latihan untuk memantapkan kepimpinan belia di kawasan masing-masing. Tumpuan diberi kepada pemimpin belia di peringkat pertengahan yang baru mengambilalih kepimpinan persatuan setelah penguatkuasaan had umur 40 ke bawah bagi pemimpin belia.

Apa yang menarik, jabatan itu turut meneruskan program K-Bestari yang melatih golongan belia yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk mengikuti kursus dan latihan di TESDEC selama enam bulan.

Melalui cara ini pemimpin belia diberikan pendedahan dan melalui kursus-kursus mereka mampu bangkit menjadi pemimpin yang berwibawa.

Apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan negeri ini seperti mengenal pasti beberapa tempat untuk tujuan latihan kemahiran kepada golongan belia mengikut minat dan kecenderungan masing-masing akan memberikan mafaat yang tidak ternilainya kepada belia.

Cuma mungkin isu peruntukan yang dikatakan ‘hampir tidak ada’ untuk pertubuhan peringkat bawah untuk bergiat perlu diberikan perhatian serius kerajaan Negeri.

Mungkin Rozi boleh membawa isu ini ke pengetahuan Menteri Besar dan mencari jalan mengatasinya segera.

Sesungguhnya dengan memperbanyakkan pertubuhan belia dan kursus-kursus bersifat keusahawanan, belia-belia termasuk belia wanita tidak hanya terbabit dengan kursus jahitan dan masakan semata-mata.

Dengan mendapat pendedahan lebih luas dalam pelbagai bidang kemahiran dan keusahawanan, belia di negeri ini mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Kumpulan Pertama Pelajar Tajaan JPA Kembali Ke Mesir Mulai Rabu

Gambar Fail - kejayaan Ops Piramid membanggakan negara...


Kumpulan pertama 450 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melanjutkan pelajaran di Mesir akan berlepas kembali ke negara itu hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam laman webnya memaklumkan pelajar berkenaan yang telahpun menyerahkan pasport mereka kepada jabatan itu semalam, diminta membuat urusan 'check-in' bagasi pada pukul 10 malam untuk menaiki penerbangan 5.30 pagi.

Kumpulan kedua pula yang terdiri daripada 278 pelajar, akan berlepas pada 5.30 pagi esok (Khamis).

Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mendaftar secara online di laman JPA di ruangan 'Tiket Belum Dibeli' dan menyerahkan pasport masing-masing kepada JPA.

Menurut laman web itu lagi, pelajar yang mempunyai masalah visa akan dimaklumkan oleh JPA mengenai penerbangan mereka kemudian dengan kadar segera.

JPA turut mengingatkan pelajar yang akan tamat tempoh sah laku visa pada 15 Mac atau selepas itu supaya memperbaharui visa mereka sebaik tiba di Mesir.

Para pelajar tajaan JPA boleh menghubungi talian 03-8885 3430, 03-8885 3437 dan 03-8885 3511 atau e-mel ke esila@jpa.gov.my untuk memperoleh maklumat lanjut.

Pelajar tajaan JPA ini dibawa balik ke negara ini menerusi Ops Piramid yang dilancarkan oleh kerajaan pada Februari lepas ekoran pergolakan politik di Mesir.

Di bawah operasi itu, seramai 7,392 pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di Mesir dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi, dan daripada jumlah itu, 4,645 pelajar dan rakyat Malaysia dibawa pulang ke tanah air.

Gagasan - Adakan Kursus Intensif Bahasa Inggeris Untuk Lepasan STPM

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) mencadangkan kerajaan Terengganu dan Pusat Bahasa supaya mengadakan kursus insentif Bahasa Inggeris kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, kursus seumpama itu wajar disasarkan kepada mereka yang bakal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (ITPA) bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa itu.

Menurutnya, kursus insentif itu boleh memberi keyakinan mereka untuk bersaing dengan pelajar lain semasa mereka belajar di universiti nanti.

‘‘Kita mendapati kebiasaannya keputusan STPM diumumkan pada Mac dan mereka yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di ITPA ini akan diketahui dalam September depan. Banyak waktu terluang.

‘‘Jadi dengan adanya kursus seperti ini yang boleh memberi banyak manfaat kepada pelajar agar masa mereka tidak terbuang begitu sahaja,” katanya di Setiu, semalam.

Syed Anuar memberitahu, pada tahun ini pihaknya menjangkakan kira-kira 1,500 pelajar di negeri ini yang akan berjaya melanjutkan pengajian.

Beliau berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan terdapat 2,801 pelajar daripada 2,958 pelajar yang mengambil STPM pada tahun lepas berjaya memperoleh kelulusan penuh dalam peperiksaan itu.

Menurutnya, dengan peningkatan peratus kelulusan peperiksaan STPM pada tahun lalu, adalah wajar pihak kerajaan dengan agensi berkaitan seperti Pusat Bahasa menganjurkan kursus yang dimaksudkan itu.

‘‘Gagasan tidak menafikan sebelum ini pelbagai program membabitkan kecemerlangan pelajaran yang dianjurkan oleh kerajaan untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

‘‘Namun jika kursus insentif Bahasa Inggeris ini diadakan ia secara tidak langsung dapat memantapkan lagi diri mereka dalam bahasa itu yang perlu dipelajari semasa mereka berada di universiti,” katanya.

Peningkatan Pemilih di Terengganu - 43,387 orang

Seramai 11,579,280 pemilih di seluruh negara direkodkan sehingga suku tahun ketiga 2010 dengan pertambahan sebanyak 657,141 pemilih berbanding jumlah ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.

Semasa PRU-12, jumlah pemilih berdaftar adalah seramai 10,922,139 orang. Untuk tempoh PRU-12 hingga suku tahun ketiga 2010, Selangor mencatatkan peningkatan jumlah pemilih berdaftar tertinggi iaitu dari 1,565,494 orang kepada 1,695,591 orang.

Jumlah itu diikuti Johor dengan peningkatan 87,235 orang; Perak (70,780 orang); Sarawak (59,282 orang); Kelantan (49,246 orang); Terengganu (43,387 orang); Kedah (39,396 orang); Pulau Pinang (39,261 orang); Pahang (36,700 orang); Sabah (29,876 orang); Negeri Sembilan (26,503 orang); Kuala Lumpur (21,574 orang).

Sementara itu, Melaka dengan peningkatan 18,431 orang; Perlis (3,062 orang); Putrajaya (1,721 orang) dan Labuan (590 orang).

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Tuesday, March 8, 2011

Mehdi Menang Jersi Kuning, Hariff Tempat Ketiga

Pelumba Iran, Mehdi Sohrabi dari pasukan Tabriz Petrochemical, hari ini memenangi Jersi Kuning dalam perlumbaan Peringkat Satu Jelajah Malaysia 2011 dari Kota Iskandar ke Bandar Penawar di Kota Tinggi.

Pelumba berusia 30 tahun itu mencatat masa tiga jam, 39 minit dan 34 saat untuk melepasi garisan penamat, hanya 0.02 di hadapan pelumba Estonia, Mart Ojavee, dari pasukan Champion.

Seorang lagi pelumba Malaysia Mohd Hariff Salleh, yang mewakili Terengganu Pro-Asia Cycling Team, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 3'39:38s.

Dengan kemenangan itu, Mehdi juga meraih Jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia.

"Saya tak fikir akan berupaya memenangi dan mengekalkan Jersi Kuning dalam perlumbaan selepas ini," kata Mehdi, yang berjaya meninggalkan kumpulan pesaingnya bersama enam penunggang lain 60km sebelum garisan penamat.

Pelumba itu berkata rakan sepasukannya dari Rusia, Boris Shpilevsky, mampu meraih kemenangan pada peringkat berikutnya.

Shpilevsky meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dengan mengungguli Peringkat 9 dari Melaka ke Nilai.

Selepas Peringkat 1, Tabriz Petrochemical menjadi pendahulu keseluruhan JM2011 dan klasifikasi pasukan Asia dengan catatan masa 10'58:50s.

Sementara itu, Mohd Hariff (gambar kanan - kiri) berkata dia tidak menyangka akan meraih Jersi Biru bagi kategori pecut kerana menjangka rakan sepasukannya, Anuar Manan, yang akan memenanginya.

"Saya terjatuh pada zon pecutan pertama di Pulai Perdana dan menjangka ia akan menjejaskan peluang saya. Saya meneruskan perlumbaan, tapi Anuar kurang bernasib baik kerana tertinggal terlalu jauh," katanya.

Selain memenangi Jersi Hijau, Mohd Hariff juga meraih Jersi Putih yang dikhaskan bagi pelumba terbaik Malaysia.

Bagi perburuan Jersi Merah pula, pelumba Jerman, Daniel Westmahelmann, dari Team Eddy Merckk - Indeland, mendahului peserta lain dengan empat mata, diikuti Mark John Lexer Galedo dari 7 Eleven Racing Team by Roadbike Philippines, dengan mata yang sama.

Penunggang Aisan Racing Team, Yasuharu Nakajima, menduduki tempat ketiga, dengan dua mata.

Esok, para pelumba akan menghadapi laluan kedua terpanjang dalam kejohanan ini iaitu dari Bandar Penawar ke Kluang, sejauh 204.4km.